Jumaat, November 27, 2009

JAMIL KHIR BERKHUTBAH DI ARAFAH


Jemaah haji Malaysia diminta bermuhasabah diri dengan menghayati setiap amalan haji yang mereka kerjakan dalam aspek sejarahnya dari sudut ketakwaan kepada Allah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom berkata setiap amalan dalam haji merupakan manifestasi ketaatan dan ketakwaan Nabi Ibrahim, isterinya Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail kepada suruhan tuhan dalam menguji keimanan pada diri mereka kepada tuhan.

"Justeru dalam mencari keampunan Allah di bumi Arafah jemaah haji Malaysia seharusnya mencontohi peribadi ketiga-tiga mereka yang sanggup menjalani ujian berat semata-mata untuk mencari keredaan dariNya," katanya dalam khutbah Arafah yang disampaikannya tanpa merujuk kepada teks.

Khutbah Arafah disampaikan secara berasingan di setiap kawasan khemah jemaah haji sebelum waktu solat Zohor dan Jamil Khir menyampaikan khutbahnya di hadapan kira-kira 600 orang anggota petugas Tabung Haji yang mengerjakan haji bagi musim ini.

Jemaah haji akan berada di Arafah sehingga selepas waktu Maghrib dan masa yang ada digunakan untuk membaca Al-Quran serta berdoa, sebelum mereka beredar ke Mudzalifah untuk singgah sebentar bagi mengutip anak batu yang akan digunakan untuk melontar tiga jamrah di Mina selepas itu.

Pihak berkuasa Arab Saudi mengadakan kawalan ketat sepanjang masa ketika 2.5 juta jemaah haji seluruh dunia berhimpun di Arafah dengan helikopter berlegar-legar setiap masa di ruang udara bagi memantau keadaan.