Khamis, November 19, 2009

AKTA SEWA BELI AKAN DIPINDA


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan meminda Akta Sewa Beli kerana berlakunya banyak tindakan keterlaluan terhadap pengguna yang gagal melunaskan hutang ansuran kenderaan mereka.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pindaan akta itu perlu dilaksanakan kerana Akta Sewa Beli yang sedia ada memberi terlalu banyak kebebasan kepada bank sehingga melakukan tindakan dengan mengenakan pelbagai caj kepada pengguna yang gagal melunaskan hutang ansuran mereka.

"Sebagai contoh, apabila bank bertindak menarik kereta pengguna yang gagal melunaskan hutang ansuran mereka seperti yang ditetapkan dalam perjanjian sewa beli, pengguna akan menghadapi pelbagai bayaran untuk menuntut semula kereta mereka.

"Antaranya ialah bayaran upah tarik kereta, bayaran tuntutan semula dan bayaran untuk menyimpan kereta pengguna," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat antara KPDNKK dan 40 wakil daripada badan bukan kerajaan (NGO) persatuan pengguna di sini Rabu.

Pindaan Akta Sewa Beli itu akan memberi hak yang lebih adil kepada pengguna yang menghadapi masalah pembayaran hutang ansuran kereta mereka dan menghalang bank daripada melakukan pelbagai tindakan keterlaluan dan mengenakan pelbagai caj perkhidmatan kerana kegagalan pengguna melunaskan hutang ansuran, katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata kementerian akan turut meminda akta tribunal pengguna untuk menyenaraihitam peniaga yang ingkar membayar pampasan sewajarnya kepada pengguna.

Walaupun wujudnya tribunal pengguna, KPDNKK mendapati masih ramai pengguna tidak mendapat pampasan pada waktu yang ditetapkan dan menerima jumlah pampasan yang sewajarnya.

Bagaimanapun KPDNKK akan meminta pandangan daripada kementerian lain sebelum menyerahkan cadangan pindaan akta tribunal itu kepada Peguam Negara, katanya.

Sementara itu, KPDNKK bercadang untuk mewujudkan jawatankuasa bersama dengan kementerian lain bagi menyelesaikan masalah pengguna dengan cepat.

Jawatankuasa itu perlu diwujudkan kerana kebanyakan aduan yang diterima KPDNKK adalah di luar bidang kuasa mereka seperti kes rumah tidak siap atau terbengkalai yang terletak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Katanya jawatankuasa bersama itu akan dapat menyelesaikan masalah pengguna dengan lebih berkesan tanpa pengguna menunggu terlalu lama untuk mendapat tindakan susulan daripada kementerian yang terbabit.

Selain itu, Ismail Sabri berkata KPDNKK bercadang untuk mewujudkan akta baru, Akta Kredit Pengguna, sebagai akta alternatif kepada Akta Pajak Gadai dan Akta Peminjam Wang Berlesen.

KPDNKK tidak boleh meminda Akta Pajak Gadai dan Akta Peminjam Wang Berlesen kerana ia terletak di bawah kementerian lain, akta baru itu dapat lebih perlindungan kepada pengguna berbanding dua akta tersebut, kata beliau.