Khamis, September 24, 2009

PENGARAH JAIPK PERLU LETAK JAWATAN


Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mendakwa masalah teknikal menjadi punca sebahagian imam, bilal dan siak masjid dan surau di negeri ini tidak menerima bonus pemberian kerajaan negeri sebelum Hari Raya Aidilfitri Ahad lalu.

Pengarahnya, Datuk Sheikh Mohamah Nor Mansor al-Hafiz berkata, masalah itu mungkin berlaku semasa proses pengagihan wang tersebut di peringkat pejabat agama daerah ke 579 masjid dan 30 surau.

Beliau berkata, JAIPk menerima waran daripada Pejabat Kewangan negeri pada 9 September dan mengagihkan kepada pejabat agama daerah pada 11 September.

''Pejabat agama daerah pula diarah memproses segera bayaran tersebut ke dalam akaun setiap masjid dan surau pada 16 September dan pada hemat saya, semua pegawai masjid berkenaan telah menerima sagu hati itu selewat-lewatnya pada 18 atau 19 September lalu.

''Saya hanya mengetahui ada pegawai masjid yang tidak terima bonus hari raya selepas dihubungi Pegawai Kewangan negeri pagi ini,'' katanya pada sidang akhbar di Ipoh semalam.

Sebelum ini, kerajaan negeri bersetuju memberi wang sagu hati Hari Raya berjumlah RM1.25 juta atau RM500 seorang kepada 2,496 imam, bilal dan siak di Perak.

Bagaimanapun pegawai masjid yang tidak menerima bonus hari raya itu telah mengadu kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang kemudiannya bertanyakan perkara itu kepada Pegawai Kewangan negeri.

Sheikh Mohamad berkata, pihaknya kesal dengan masalah tersebut dan berjanji ia tidak berulang pada masa depan.

''Setakat ini, saya difahamkan sebahagian besar daripada mereka telah menerima sagu hati tersebut,'' katanya sambil memberitahu tidak mengetahui bilangan pegawai masjid yang lewat menerima bonus hari raya.

Ditanya sama ada masalah berkenaan disebabkan terdapat unsur sabotaj bagi memburukkan imej kerajaan negeri, beliau menafikannya dan menganggap masalah itu langsung tidak berbangkit.

Komen saya ialah beginilah nasib imam, siak dan bilal di Perak dipermain-mainkan oleh jabatan mereka sendiri. Niat kerajaan BN untuk memberi elaun khas kepada mereka wajar diberi pujian tetapi dari segi perlaksanaan, hancur kerana tiada komitmen dan kesungguhan jabatan berkenaan.

Kesian imam, bilal dan siak masjid seluruh Perak yang terpaksa menerima bonus selepas hari raya sedangkan wang itu boleh dibelanjakan untuk persiapan hari raya. Saya cadangkan supaya Pengarah JAIPk meletakkan jawatan kerana gagal mengagihkan bonus ini dengan kadar segera.