Isnin, September 28, 2009

NIK AZIZ SUDAH NYANYUK


'Perang mulut' antara Datuk Ibrahim Ali dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengulangi desakan supaya Ahli Parlimen Pasir Mas itu meletakkan jawatannya semakin memuncak.

Hari ini, Ibrahim yang bertanding sebagai calon Bebas dengan 'meminjam' logo Pas pada pilihan raya umum lalu menggariskan 10 hujah kenapa Nik Abdul Aziz mesti mengosongkan kerusi Menteri Besar Kelantan yang disandangnya sejak 1990.

Berikut adalah 10 hujah yang dikemukakan oleh Ibrahim:

1)Nik Abdul Aziz sudah terlalu lama bergelar wakil rakyat dan Menteri Besar. Beliau adalah 'barang lama' manakala naluri manusia pula sentiasa berkehendakkan sesuatu yang baru.

2) Beliau sudah nyanyuk kerana bercakap tanpa usul periksa apabila menerima maklumat selain melupakan jasa Ibrahim yang bekerjasama sewaktu kerajaan Pas Kelantan berada pada kedudukan getir.

3) Kerap uzur sedangkan kesihatan yang baik adalah syarat utama untuk menjadi ahli politik.

4) Tidak menumpukan kepada tugasnya sebagai Menteri Besar kerana asyik berceramah selain diperalat oleh beberapa individu dalam Pas Kelantan.

5) Tidak cekap mentadbir dan jauh sekali mempunyai idea dan kreativiti yang amat diperlukan dalam era dunia tanpa sempadan.

6) Menjadi alat kepada DAP walaupun parti itu secara terang-terangan menentang pelaksanaan negara Islam yang menjadi cita-cita Pas.

7)Menjadi alat kepada pakatan pembangkang untuk menghalalkan agenda memecahkan perpaduan umat Islam dan bangsa Melayu selain mempergunakan Islam untuk kepentingan politik.

8)Ramai pemimpin Pas Kelantan dan pusat mahu beliau meletak jawatan cuma mereka tidak berani bersuara.

9)Mempunyai sikap riak dan takbur kerana menganggap hanya beliau sahaja yang betul dari segi Islam sehingga sanggup menghukum bahawa ibadah orang yang tidak sehaluan dengannya tidak diterima Tuhan.

10)Gagal mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Kelantan walaupun mempunyai kekuatan modal insan yang rajin bekerja selain kaya dengan hasil bumi, budaya mahupun kepelbagaian makanan.

Sewaktu dihubungi, Ibrahim menjelaskan tindakan beliau itu tidak bermotifkan dendam peribadi sambil mengakui beliau juga mempunyai kelemahan.

"Walaupun pahit saya kena bercakap sebab orang lain tak berani, saya tahu perkara ini akan menyebabkan saya 'dibelasah' dalam blog tapi saya menerimanya dengan senang hati.

"Saya tiada masalah peribadi dengan Nik Aziz, beliau nak kecam saya, hukum saya masuk neraka pun saya tak kecil hati tetapi saya kena tegur untuk kebaikan agama bangsa dan negara," katanya.

Semalam, Nik Abdul Aziz mengulangi desakan supaya Ibrahim meletak jawatan jika mahu amal solehnya diterima Allah kerana rezeki yang diperoleh melalui jawatan tersebut adalah 'tidak betul'.

Desakan itu dibuat ekoran tindak tanduk politiknya yang semakin bertentangan dengan hala tuju Pas.