Selasa, Ogos 25, 2009

TERENGGANU BINA KILANG BESI RM3 BILION


Kerajaan Terengganu meluluskan kawasan seluas kira-kira 400 hektar kepada sebuah konsortium untuk membina kilang besi bernilai lebih RM3 bilion di Teluk Kalong, Kemaman dalam tempoh terdekat.


Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri Toh Chin Yaw berkata pembinaan kilang besi itu adalah yang ketiga di Kemaman selepas Perwaja Steel Sdn Bhd dan Lion Plate.


"Dengan adanya kilang besi yang baru ini, kerajaan percaya Teluk Kalong akan menjadi sebuah pusat industri besi berat pada masa depan," katanya selepas program sumbangan Ihya Ramadan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar di Masjid Abidin, di sini , Isnin.


Toh yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, berkata pelabur dalam konsortium berkenaan terdiri daripada rakyat Malaysia, China dan Australia.


Katanya kerja-kerja pembersihan kawasan kilang yang dijangka siap dalam tempoh antara dua dan tiga tahun, sedang dijalankan dan ia mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 2,000 orang terutama penduduk tempatan.


Beliau berkata Terengganu yang mempunyai banyak kemudahan asas dan kedudukannya yang strategik, mendapat perhatian banyak pelabur khususnya dari luar negara.


Menurut Toh perkara itu dapat dilihat berdasarkan kepada permohonan dan pertanyaan daripada syarikat berskala besar, termasuk industri petroleum untuk melabur di negeri ini.


"Pelabur-pelabur luar negara ini termasuklah dari Iran, China, Taiwan, Australia dan Timur Tengah. Kita sedang berusaha untuk menarik mereka datang (melabur) ke negeri ini," katanya.


Beliau berkata kerajaan negeri akan memberi pelbagai insentif kepada pelabur-pelabur berkenaan, antaranya pemotongan cukai pintu dan skim bayaran insurans bagi memastikan mereka melabur di Terengganu.