Khamis, Ogos 27, 2009

MARILAH KITA BANTU ANAK HARYATI

Di bulan Ramadhan ini marilah kita sama-sama bersedekah membantu orang yang susah. Mungkin penderitaan anak Haryati ini dapat mendorong kita untuk bersedekah sekadar yang mampu.
Haryati Ahmad Fauzi, 32, pilu apabila diminta menceritakan keadaan anaknya, Mohamad Ayub Mansur, 7, yang menghidap penyakit jantung sejak lahir.

Anaknya semakin hari semakin lemah dan tidak aktif seperti kanak-kanak lain yang seusia dengannya memandangkan injap kiri jantungnya mengalami kebocoran tahun lalu.

Tambahnya, oleh kerana sering kurang sihat, anaknya hanya ke sekolah dua hingga tiga hari seminggu.

"Saya terlalu bimbang tentang tahap keselamatannya saban hari namun tiada apa yang boleh saya buat dan hanya berdoa agar dia sembuh segera.

"Saya teringin menyambut Ramadan dan Syawal bersama-sama keluarga seperti keluarga lain namun setiap kali mengenangkannya saya berasa pilu," jelasnya di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Ujar Haryati, anaknya memerlukan sebanyak RM30,000 untuk menjalani pembedahan jantung namun sehingga kini jumlah wang belum mencukupi.

Tambahnya, dia hanya bergantung harap kepada suami, Mansur Embong, 39, yang bekerja sebagai jurujual alat ganti di sebuah syarikat swasta.

"Suami saya hanya berpendapatan RM700 sebulan. Setiap enam bulan, saya terpaksa berulang-alik ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk membawa anak mendapatkan rawatan dan setiap kali rawatan memerlukan RM500 .

"Bagi menjimatkan kos, saya minta hospital membuat rawatan sekali setahun namun saya amat bimbang tentang kesihatan anak saya,'' katanya selepas menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar, Toh Chin Yaw di Masjid Zainal Abidin, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Beliau berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat memberikan bantuan. Bagi yang ingin memberi sumbangan boleh menghubungi Haryati di talian 013-9304 520.