Isnin, Februari 02, 2009

DUA ADUN PKR SERTAI UMNO, KES SPRM DITARIKBALIK?


Adakah kerajaan pakatan antara DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berusia tidak sampai setahun, bakal runtuh?


Adakah kekecohan politik melibatkan kerajaan negeri itu sekarang hanya ribut dalam cawan atau petanda bakal berlaku pergolakan yang bakal menyaksikan perubahan landskap politik negeri tersebut?


Pada permukaannya, kemelut politik di negeri itu nampak biasa sahaja apabila dua anggota Dewan Undangan Negeri (DUN), Jamaluddin Mat Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) menafikan pengumuman Speaker V. Sivakumar semalam bahawa mereka telah mengosongkan kerusi masing-masing.


Sehingga petang ini, kedua-dua Adun itu tetap dengan pendirian bahawa surat peletakan jawatan mereka yang diterima Sivakumar bukan daripada mereka. Ia surat tidak bertarikh ditandatangani mereka selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas dan dalam hubungan ini, Osman hari ini membuat laporan polis di Shah Alam.


Daripada satu segi, memang satu kesimpulan mudah iaitu tentulah kerajaan negeri mahu kedua-dua Adun itu "meletak jawatan" bagi imejnya memandangkan dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) itu yang juga anggota Exco kerajaan negeri, sedang menghadapi tuduhan rasuah.


Penafian dua Adun tersebut meletak jawatan yang disokong pengerusi PKR negeri Osman Abdul Rahman juga bukan luar biasa kerana mereka baru saja dipilih sebagai Adun pada pilihan raya umum lepas dan tuduhan rasuah terhadap mereka belum terbukti di mahkamah.


Bagaimanapun, spekulasi timbul apabila peletakan jawatan-penafian tersebut dikaitkan dengan aksi "hilang" Jamaluddin dan Osman sejak Isnin lepas dan terputus hubungan dengan kerajaan negeri.Ini berlaku selepas Adun Bota daripada Umno, Datuk Nasaruddin Hashim, Ahad lepas mengisytihar diri keluar daripada Umno untuk menyertai PKR dan berlaku perang psikologi antara PKR dan Umno masing-masing mendakwa beberapa Adun pihak lawan bakal menyertai parti mereka.


Sementara itu, amaran keras Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bahawa parti itu akan menimbang secara serius untuk memanggil pilihan raya kecil sekiranya mana-mana wakil rakyatnya gagal dihubungi dalam tempoh 24 jam dikaitkan dengan "hilang"nya Adun Jelapang DAP, Hee Yit Foong, yang juga timbalan Speaker.


Beliau muncul tengah hari semalam di kediamannya setelah dikatakan menziarahi ibunya di luar kawasan.Sama ada pilihan raya kecil bagi kawasan Behrang dan Changkat Jering akan diadakan belum diketahui. Sivakumar telah pun menyerahkan surat peletakan jawatan Jamaluddin dan Osman kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri hari ini dan mengulangi bahawa kedua-dua Adun itu telah meletakkan jawatan.


Episod seterusnya mengenai status kedua-dua Adun itu hanya akan diketahui esok apabila SPR, menurut pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, mengadakan mesyuaratnya berhubung perkara itu.


Daripada sudut perundangan, menurut seorang pemerhati politik pernah berlaku dalam kes Datuk Ong Kee Hui lwn Sinyium Anak Mutit pada 1983 telah diputuskan bahawa penandatangan surat peletakan jawatan yang tidak bertarikh adalah tidak sah.


Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin mengelak media selepas menghadap Sultan Perak hari ini dipercayai berkaitan perkembangan di negeri itu.Bagaimanapun, Exco kanan Datuk Ngeh Koo Ham menegaskan kepada pemberita di Ipoh bahawa kerajaan negeri tidak bercadang membubarkan Dewan Undangan Negeri, sebaliknya mahu pilihan raya kecil diadakan.


Sementara DAP dan PAS kelihatan sama pendirian berhubung dengan isu peletakan jawatan Adun PKR, timbul tanda tanya apakah asas dan sebab-sebabnya kepimpinan PKR negeri tidak sehaluan dengan parti rakan dalam pakatan mereka.


Semuanya bermula dengan penyertaan ADUN Bota ke dalam PKR, Nasaruddin Hashim. Selepas itu berlaku tawar-menawar antara dua ADUN PKR untuk menyertai UMNO. Pak Lah sendiri telah menyatakan dalam sidang akhbar bahawa ada kemungkinan ADUN PKR menyertai UMNO. Kebetulan dua ADUN ini sedang disiasat oleh SPRM. Jadi mungkin ada deal jika mereka sertai UMNO kes rasuah mereka tidak akan diteruskan.


Jika mereka sertai BN, kemungkinan kerajaan Perak akan tumbang. Oleh itu keadaan tidak menentu di Perak amat menarik perhatian kita semua sama ada pilihan raya kecil jadi atau tidak.