Rabu, Januari 14, 2009

TIMBALAN MENTERI PELAJARAN YANG BERTUAH



Kementerian Pelajaran menukar nama Institut Perguruan Kuala Terengganu kepada Institut Perguruan Datuk Razali Ismail sebagai mengenang jasa bekas Timbalan Menteri Pelajaran itu, berkuat kuasa Jumaat ini.


Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang mengumumkan keputusan itu berkata kementerian juga bersetuju menukar nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar yang terletak di Parlimen Kuala Terengganu kepada SMK Datuk Razali Ismail.


Katanya, majlis permasyhuran pertukaran nama itu akan dilakukan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dihadiri keluarga Allahyarham Razali, Jumaat ini.

"Kita berpendapat, legasi dan sumbangan Allahyarham dalam pendidikan di peringkat nasional wajar diberi pengiktirafan tinggi dan khidmatnya dalam perkhidmatan pendidikan bermula 16 Januari 1974 sebagai seorang guru dan memegang beberapa jawatan penting, termasuk Pengarah Maktab Perguruan Kuala Terengganu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Pengarah Bahagian Pendidikan Guru dan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional," katanya selepas menutup Program Jejaki Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan, di sini, semalam.


Hadir sama, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Pemuda Umno negeri, Mohd Sabri Alwi. Allahyarham yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu meninggal dunia di Institut Aminuddin Baki (IAB), Genting Highlands pada 28 November lalu.



Arwah Razali amat bertuah kerana beliau adalah satu-satunya timbalan menteri pelajaran di negara ini yang diberi nama maktab perguruan dan sekolah menengah.


Malaysia telah melahirkan ramai timbalan menteri pelajaran seperti Khalil Yaakub, Aziz Shamsuddin, Mahazir Mohd. Khir (menyebut beberapa nama) tetapi arwah Razali adalah timbalan menteri pelajaran tunggal yang diabadikan namanya di maktab perguruan dan sekolah. Adakah ini dapat menarik undi para penyokong arwah Razali dan keluarganya untuk terus menyokong BN sedangkan adik iparnya, Azmi Lop Yusof berkempen untuk PAS?