Isnin, Disember 01, 2008

CADANGAN MUHYIDDIN PERLU DILAKSANAKAN



Cadangan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bakal dinobatkan sebagai Timbalan Presiden UMNO Malaysia pada Mac depan supaya semua 100,000 ketua cawangan memilih barisan pemimpin UMNO perlu diberi perhatian segera.


Saya berharap tidak ada orang marahi saya bila saya kata Muhyiddin bakal jadi Timbalan Presiden UMNO pada Mac depan. Saya kata demikian kerana dari segi pencalonan, Muhyiddin jauh mengatasi pencalonan Datuk Seri Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.



Walaupun jumlah pencalonan tidak menggambarkan keadaan sebenar, tetapi UMNO memerlukan pemimpin nombor dua yang boleh check and balance kepada pemimpin nombor satu.Maka Muhyiddin adalah jawapan yang tepat.


Jika UMNO mahukan pemimpin yang yes man, maka Ali yang akan menang. Tapi pada firasat saya, Muhyiddin bakal mendudukki kerusi nombor dua itu kerana perwakilan terhutang budi kepada Muhyiddin yang konsisten mengkritik Pak Lah sehingga Pak Lah berundur lebih awal dua tahun dari Jun 2010.


Kita berharap bila Datuk Seri Najib Tun Razak jadi Presiden UMNO pada Mac 2009, Najib dapat melaksanakan cadangan Muhyiddin ini. Yang pertama, Muhyiddin mencadangkan supaya kuota dihapuskan. Beranikah Najib melaksanakan cadangan ini?


Silap-silap Najib yang tersungkur bila Muhyiddin dapat dua pencalonan untuk menentang Najib pada pemilihan 2012?


Cadangan kedua jika dilaksanakan memang boleh menghapuskan politik wang. Sekarang ini begitu mudah calon-calon yang bertanding membeli 2,500 orang perwakilan.


Jika 100,000 ketua cawangan berpeluang mengundi para pemimpin UMNO, agak sukar untuk membeli undi sebegitu ramai perwakilan. Oleh itu jika Najib melaksanakan kedua-dua cadangan Muhyiddin ini, beliau akan dikenang sebagai pemimpin yang berani menghapuskan politik wang.


Saya percaya jika Najib ikhlas, Najib tidak akan dilanggar oleh Muhyiddin walaupun beliau sudah menghapuskan kuota. Melainkan Najib mementingkan suku-sakat dan kroninya, maka Muhyiddin tidak ada pilihan lain terpaksa melawan Najib pada tahun 2012.