Selasa, Oktober 07, 2008

POK LI JELAS PEMECATAN USTAZ KAMAL


Pak Li : Tak kan suka tidur macam Pak Lah jugak Pak. Steadylah. Ketua Bahagian tetap dalam tangan dah. Lawan ayam mata dene je tu.

Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan menjelaskan bahawa soal bekas ADUN Sura, Ahmad Kamal Abdullah dipecat sebagai ahli jawatan kuasa UMNO Bahagian Dungun tidak timbul.
Katanya, ini adalah kerana perlantikannya adalah berdasarkan kedudukannya sebagai wakil rakyat ketika itu.
“Apabila beliau tidak lagi menjadi Pengerusi Penyelaras DUN Sura, maka tempat itu diganti oleh calon BN yang menggantikannya, Rosli Harun. Oleh kerana Ahmad Kamal duduk di situ kerana atas perlantikan saya, maka saya layak menggugurkannya kerana Rosli Harun kini adalah Pengerusi Penyeleras DUN Sura,”katanya ketika menjelaskan berita “UMNO Dungun pecat orang yang tidak setia” yang tersiar dalam akhbar WATAN, 7-13 September 2008.
Katanya, oleh itu tidak timbul Ahmad Kamal dipecat kerana tidak menyokong beliau.
“Kerusi ahli jawatan kuasa dilantik amat terhad. Bila Rosli Harun jadi Pengerusi Penyelaras DUN Sura yang baru, maka saya kena lantik beliau sebagai ahli jawatan kuasa UMNO Bahagian. Secara automatic Ahmad Kamal perlu diggugurkan kerana dia duduk di situ atas kerusi Pengerusi Penyelaras ADUN,”jelasnya lagi.
Rosli yang juga bekas Ahli Parlimen Dungun tidak bimbang dicabar oleh ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Dungun.
“Biar perwakilan menentukan kedudukan saya. Tanpa jawatan dalam kerajaan, ia memudahkan saya berkhidmat kepada UMNO Bahagian dengan lebih berkesan lagi,”katanya lagi.
Sementara itu WATAN difahamkan Ahmad Kamal Abdullah akan dilantik sebagai wakil khas kerajaan negeri di Mesir bagi menangani masalah pelajar-pelajar Terengganu di Mesir. WATAN difahamkan bahawa Menteri Besar telah bersetuju dengan perlantikan itu. Di zaman kerajaan PAS, Ahmad Kamal sebagai pegawai tadbir agama negeri telah digam oleh kerajaan PAS dan telah dipilih menjadi calon BN pada tahun 2004.