Memaparkan catatan dengan label nafi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label nafi. Papar semua catatan

Khamis, Disember 21, 2017

MUTALIF NAFI BUKAN ANAK TEMPATAN



oleh ABDULLAH KARIM





PETALING JAYA: Naib Ketua Umno Bahagian PJS, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim  (tiga dari kiri) berkata beliau sebenarnya membesar di Taman Medan. Adalah tidak benar sama sekali sesetengah pihak di kawasan Taman Medan mengatakan beliau bukan anak tempatan dan tidak layak dipertimbangkan untuk calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan.




Beliau menambah sebenarnya banyak orang tidak tahu asal usul keluarganya dan dengan sewenangnya membuat cerita beliau bukanlah anak tempatan dan tidak seharusnya beliau diberi tempat pada pemilihan calon Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.




“Saya ada lima adik beradik dan saya anak ketiga dalam keluarga saya. Abang saya Datuk Azeez (Abdul Azeez Abdul Rahim) antara orang lama di Kampung Medan dan sama-sama duduk rumah setinggan dengan beliau,” katanya.




Beliau yang juga Penolong Koordinator Pembangunan Persekutuan DUN Taman Medan berkata beliau sebenarnya tidak kisah siapa yang akan diletakkan di DUN Taman Medan pada PRU 14 nanti.




Sebaliknya beliau serta dua lagi rakannya iaitu Pemangku Ketua, Jamaludin Razali dan Ketua Pemuda, Haji Riduan Mahidin telah bersepakat akan memberi kerjasama antara satu sama lain jika salah seorang daripada nama ini dipilih sebagai calon di Taman Medan.




“Kami bertiga sudah berikrar akan bantu membantu andai kata salah seorang daripada kami jadi calon. Jadi tak ada masalah andai kata Jamaludin naik ataupun Riduan naik, yang pasti kami akan bantu untuk pastikan calon ini menang,” katanya.




Datuk Mutalif turut membetulkan fakta calon yang mengatakan tujuh nama telah diserahkan kepada pucuk pimpinan Umno negeri. Sebaliknya hanya tiga nama sahaja yang telahpun berada di pejabat Tan Sri Noh Omar (Pengerusi Umno Selangor).




Beliau berkata terserahlah kepada kebijaksanaan Tan Sri Noh untuk memilih calon di Taman Medan ini. Beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti negeri dan Pusat untuk menentukan siapa dikalangan ketiga-tiga ini akan dipilih sebagai calon.




Mengenai porla pengundi di kawasan ini, beliau menjelaskan penduduk di Taman Medan sudah berpecah kepada dua kumpulan. Satu yang menyokong Umno dan satu lagi pembangkang.




Datuk Mutalif berkata untuk Umno beroleh kemenangan, para pengundi kaum India mesti didekati. Ini ada kerana kaum ini kebanyakkannya menyokong pari Umno sejak dulu hinggalah sekarang.




Beliau mengakui akan cuba mendekati kaum India dan memberi kefahaman betapa pentingnya kaum tersebut memilih calon Umno pada PRU akan datang supaya nasib masa depan kaum mereka terbela.




“Secara jujur saya boleh cakap bahasa Tamil. Orang India ni mereka lebih senang dan mudah simpati kalau kita cakap sama bahasa dengan mereka. Sebab itu saya katakan tadi pengundi India akan kembali kepada kita jika kita yakinkan mereka bahawa parti BN ataupun Umno boleh membela nasib mereka,” katanya.




Datuk Mutalif seterusnya menasihatkan kepada semua pengundi di DUN Taman Medan supaya kembali memilih calon Umno sekiranya nasib mereka hendak dibela.




Sejak wakil rakyat pembangkang menang dua penggal lepas, tidak banyak pembanguan di bawa di DUN tersebut. Sebaliknya Umno telah memainkan peranan besar sehinggakan tol di Kampung Datuk Harun telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diberi secara percuma kepada pengguna jalan raya.




“Inilah hasil kerja yang telah dibuat oleh pemimpin Umno. Umno sentiasa ke depan memikirkan keperluan penduduk setempat. Jadi adalah elok kalau DUN Medan ini kita kembalikan semula kepada Umno sebab ternyata parti Umno banyak ambil berat penduduk di Taman Medan,” katanya.

Sabtu, Oktober 08, 2016

UMNO TERENGGANU NAFI KELUARKAN SENARAI CALON

KUALA NERUS, 7 Okt (Bernama) -- Badan Perhubungan UMNO Terengganu menafikan ada mengeluarkan senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, seperti yang disiarkan sebuah akhbar.

Pengerusinya Ahmad Razif Abdul Rahman yang juga Menteri Besar Terengganu, berkata beliau kesal dengan laporan berita tersebut yang hanya berpandukan sumber daripada aplikasi WhatsApp.

"Saya amat kecewa atas sikap tidak bertanggungjawab pihak akhbar terbabit yang membesarkan perkara ini sedangkan kita dalam UMNO Terengganu tak ambil kisah sangat kerana kita belum hantar pun senarai nama...kenapa laporan tersebut perlu ditafsirkan sebagai senarai bocor? Bocornya daripada mana?

"Itu yang kita amat terkejut sebab pihak Majlis Tertinggi (UMNO) belum lagi minta senarai nama. Saya bimbang, nanti akan keluar lagi nama baru. Setakat ini perbincangan pun belum ada, tak fikir pun lagi hal ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Himpunan Jentera Penerangan UMNO Terengganu, yang dihadiri Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Ahmad Razif berkata semua pihak juga seharusnya mendapatkan berita sahih daripada sumber yang sah sebelum menerbitkannya.

Ditanya keadaan UMNO di Terengganu, Ahmad Razif berkata UMNO negeri ini masih dalam keadaan kuat dan sedang dalam persiapan untuk menghadapi PRU14.

"Sebenarnya tak ada pergolakan sangat di negeri ini tetapi sudah pasti ada 'tangan-tangan' (pihak) yang tidak senang melihat kekuatan UMNO, sama juga seperti yang berlaku di peringkat pusat.



"Sebab itu saya nampak ada gangguan yang sedang dilakukan daripada pihak tertentu termasuklah mengedarkan senarai nama. Apa tujuannya? Tak lain tak bukan untuk menimbulkan konflik sesama kita. Perkara ini tidak akan jadi halangan dan tak perlu diambil cakna sangat," katanya.

Ahmad Razif berkata apa yang penting jentera UMNO haruslah sentiasa bersedia dan diperkukuhkan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

-- BERNAMA

Khamis, Oktober 17, 2013

AHMAD SHABERY NAFI TAJA MAT DALAM

KEMAMAN: Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan beliau menaja calon Ketua Bahagian Kemaman Mat Dalam Awang menentang Datuk Seri Haji Ahmad Said pada pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian pada 19 Oktober depan. Beliau juga menafikan menaja calon Naib Ketua UMNO Bahagian Kemaman Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar yang mencabar Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid penyandang jawatan.. Beliau berterima kasih kepada Ahmad Said kerana telah membantu beliau sehingga berjaya hari ini. Mengenai pertandingan Wanita dan Puteri, Shabery berkata, beliau tidak pernah dan memberi arahan kepada sesiapa untok bertanding dan beliau tidak bolih menghalang mana mana calon kerana ia adalah demokrasi. Beliau berharap biarlah pertandingan yang sihat demi perpaduan sesama ahli. Sehingga kini Shabery belum turun padang untok memperkenalkan dirinya sebagai Calon Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Beliau lebih kepada tugas sebagai menteri membantu kerajaan, Perkara ini dinyatakan oleh pegawai khas beliau Haji Mustafa Abdul Rahman kepada Kelab Media Kemaman di pejabat Persatuan Kebajikan Bekas Perisikan Malaysia ( PERISI ) Cawangan Kemaman hari ini.. Menurutnya Haji Mustafa, Shabery mengucapkan terima kasih kepada perwakilan dan semua pihak di atas sokongan yang tidak berbelah bagi kepada beliau. Beliau berharap ahli Umno terus memberi sokongan kepada Shabery dalam dalam pemilihan Majlis Tertinggi Umnokhususnya dari perwakilan Umno Bahagian Kemaman.

MUKHRIZ NAFI MAHU JATUHKAN NAJIB

PETALING JAYA: Calon Naib Presiden Umno, Datuk Mukhriz Mahathir berkata beliau tidak pernah langsung terlintas dalam fikiran hendak menjatuhkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak jika beliau menang pada 19 Oktober ini. Katanya, sewaktu Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin datang ke Sungai Limau baru-baru ini beliau bertanya Muhyiddin mengenai laporan media asing kononnya beliau dengan Muhyiddin mahu menjatuhkan Perdana Menteri, beliau hanya gelak. “Selepas PRU ke 13, Umno makin kuat dapat 88 kerusi di parlimen dan dapat tawan semula Kedah, maka sebab itu mereka ada agenda dengan membuat laporan yang bukan-bukan seperti itu untuk melaga-lagakan kita,” katanya dalam wawancara khas dengan sebuah akhbar harian baru-baru ini. Menurut Menteri Besar Kedah itu, usaha itu tidak akan berjaya kerana kita tahu apa sebenarnya isi hati kita dan perkara seperti itu memang tidak wujud. Mukhriz bertanding jawatan Naib Presiden Umno Sabtu ini bersama lima calon lain iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Datuk Seri Shafie Apdal, Tan Sri Isa Samad dan Datuk Seri Ali Rustam. Beliau berkata beliau bertanding jawatan Naib Presiden Umno kerana mahu membuat transformasi dalam Umno berdasarkan keputusan pilihan raya umum 2008 dan 2013. “Sekiranya tidak ada suatu transformasi yang berlaku pada parti seperti mana yang disebut Presiden Umno dan timbalannya, maka mungkin kita akan terima padahnya.,” katanya. Katanya lagi, kita tahu transformasi ini bukan mudah untuk dilakukan. “Lebih-lebih lagi kalau tidak sedar bahawa kita tidak sepatutnya ada zon selesa. Maka, kita bimbang masa depan kita dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya. Peluang terakhir Beliau menambah berdasarkan kepada pengalaman menawan semula Kedah dalam PRU-13, ada sesuatu yang beliau boleh sumbangkan bagi meningkatkan keupayaan parti menghadapi cabaran getir itu. Mukhriz berharap ada gabungan pemimpin pusat dan negeri dalam barisan Naib Presiden Umno. “Saya berpendapat gandingan pengalaman di Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri itu sangat berharga dan bernilai untuk saya kongsikan. Kita sudah ada Menteri bukan hanya di peringkat Naib Presiden tetapi juga di peringkat Majlis Tertinggi (MT). Saya ingat agak bernilai juga sumbangan idea dan pandangan oleh seorang Menteri Besar yang lebih memahami dan terdedah kepada isu-isu setempat,” ujarnya. Beliau menolak dakwaan bahawa terlalu awal baginya bertanding kerusi Naib Presiden Umno sedangkan beliau tidak pernah menjadi ahli majlis tertinggi Umno. “Saya bimbang dalam tempoh lima tahun ini kalau sokongan kepada BN itu terus menurun, mungkin tidak ada lagi kali yang selepas ini,” katanya. Katanya, itu yang menimbulkan rasa cemas bagi diri beliau bahawa sesuatu perlu dilakukan dengan lebih cepat. Kita mesti memberi respons lebih awal kepada kehendak pengundi. “Saya menganggap diri saya ini seperti Johnny come lately. Kalau saya tidak menawarkan diri bertanding peringkat Naib Presiden sekarang, saya fikir lebih ramai lagi tokoh-tokoh atau pemimpin muda yang lebih layak daripada saya selepas ini,” katanya lagi. Ditanya apa kelebihan beliau berbanding lima calon lain, Mukhriz berkata beliau mempunyai idea-idea yang bersifat di luar kotak. “Cara saya mengendalikan jentera pada PRU-13 tidak diduga pihak lawan. Kita sangat low profile, tidak terlalu ke depan. Kita bergerak banyak di bawah,” dakwanya. Pendekatan luar kotak Sebagai contoh, sambungnya lagi, di Kedah kita memberi penekanan kepada soal agama khususnya kita masuk secara senyap-senyap berjumpa dengan warga pondok agama, maahad tahfiz, sekolah agama rakyat di mana sepatutnya menjadi kekuatan kepada Umno yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara. “Selalu disebut agama yang pertama tetapi entah mengapa Umno tidak dilihat sebagai pejuang agama,”katanya. Katanya, pendekatan ini sangat sesuai untuk seluruh negara bukan hanya untuk Kedah sahaja. “Saya fikir semua orang boleh buat tetapi pendekatan luar kotak ini yang sangat diperlukan oleh parti kerana pihak lawan cukup mengenali kita kerana ramai dalam kalangan pemimpin mereka berasal dari Umno,” katanya.

Ahad, Julai 28, 2013

JAWI NAFI BENARKAN EMPAT WANITA ISLAM BERTANDING RATU CANTIK

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI ) hari ini menafikan akan memberi kebenaran kepada empat finalis Miss Malaysia World 2013 yang beragama Islam menyertai semula pertandingan berkenaan seperti dilaporkan sebuah portal tempatan baru-baru ini. Pengarahnya Datuk Che Mat Che Ali berkata Jawi sehingga kini belum membuat keputusan berhubung isu itu memandangkan ia masih dalam siasatan. "Perkara ini memang kita tidak boleh terima. Ini hanya spekulasi. Kertas siasatan hanya akan selesai sebelum Hari Raya Aidil Fitri berhubung tindakan selanjutnya terhadap empat peserta itu yang hanya akan dibuat oleh pihak pendakwaan Jawi kepada mahkamah," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis pelepasan konvoi program kembara Dakwah Ramadan ke Rumah Anak-anak Yatim Al-Ihsan, Bentong, Pahang di ibunegara hari ini. Majlis itu dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Razali Shahabudin. Sebelum ini sebuah portal menyiarkan laporan bahawa JAWI berkemungkinan akan membenarkan penyertaan empat wanita Islam itu berikutan tindakan penganjur pertandingan ratu cantik itu Datuk Anna Lim membuat rayuan kepada Jawi. Menurut laporan itu Anna Lim memberitahu media bahawa keempat-empat wanita Muslim mungkin mempunyai peluang untuk mengambil bahagian dalam Miss Malaysia World 2013. Che Mat turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai perkara itu kerana Jawi belum membuat keputusan rasmi. Sementara itu, seramai 120 penunggang motosikal berkuasa tinggi menyertai acara tahunan anjuran Jakim dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jawi, Pejabat Agama Islam Daerah Bentong dan Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi 300KMj. Mereka bukan sahaja menziarah dan beramah mesra dengan anak-anak yatim, malahan terdapat pelbagai pengisian bersama penghuninya yang telah diatur pihak penganjur, antaranya ceramah, majlis berbuka puasa, solat berjemaah serta penyampaian sumbangan.

Rabu, Jun 19, 2013

ZAHID NAFI ATUR PERTEMUAN NAJIB-ANWAR DI JAKARTA

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan khabar angin beliau menjadi perantara pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa berlaku di Jakarta, Indonesia baru-baru ini. Katanya, beliau mengiringi Perdana Menteri ke negara jiran itu Isnin lalu bagi menghadiri beberapa program yang diaturkan tetapi bukan untuk bertemu dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu. "Khabar angin ialah khabar angin, saya ada program sendiri dan Anwar juga begitu. Perdana Menteri tidak bertemu Anwar setakat yang saya tahu. "Saya ingin nafikan pertemuan Anwar dan Najib serta saya dalam pertemuan itu walaupun ketiga-tiga kami berada di Jakarta tetapi mempunyai program yang berbeza," katanya selepas menghadiri Majlis Pertemuan Bersama Ahli Lembaga dan Ahli Lajnah Tahseh al-Quran di Hotel The Everly di sini hari ini. Utusan Malaysia kelmarin melaporkan penafian Perdana Menteri yang didakwa bertemu dengan Ahli Parlimen Permatang Pauh seperti yang dilaporkan oleh portal berita propembangkang, The Malaysian Insider baru-baru ini. Laporan portal propembangkang itu yang dipetik berkata, pertemuan yang diatur oleh Ahmad Zahid itu bagi membantu Perdana Menteri mengelakkan persaingan di Parlimen dan partinya sendiri selepas keputusan buruk pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

Rabu, Oktober 27, 2010

KU LI NAFI TIDAK SOKONG AZIZ



Ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menafikan beliau tidak merestui calon BN, Abdul Aziz Yusof yang juga setiausaha UMNO Bahagian bertanding dalam pilihanraya kecil Galas.

Beliau membuktikan bahawa calon yang dipilih BN bagi pilihan raya kecil Galas menerima sokongan daripada beliau sendiri.


Lewat malam tadi, beliau hadir menemui sekumpulan penduduk di Kampung Baru, salah sebuah daripada dua daerah mengundi dengan majoriti pengundi Cina dalam DUN Galas.

Tindakannya juga memadamkan desas-desus bahawa beliau berkecil hati dengan tindakan BN mencalonkan Abdul Aziz Yusof.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh yang juga pengarah pilihan raya kecil BN di Galas, turut mengambil peluang untuk menjelaskan ketidakhadiran beliau ke pusat penamaan calon hari ini, selepas berbual-bual selama kira-kira 40 minit dengan penduduk setempat di sebuah restoran.

“Sebenarnya saya tak biasa ke pejabat DO tempat menyerah kertas penamaan calon. Ramai kawan-kawan saya yang akan bersama-sama calon untuk menyerahkan kertas penamaan calon.


“Jadi saya kata elok saya berada di luar untuk bersama-sama penyokong untuk kerja kita di merata tempat ke seluruh negara berhimpun di situ. Jadi tak semestinya semua orang ke sana. Tak jadi masalah. Itu saja," jelasnya.

Beliau hanya ketawa kecil apabila diajukan pertanyaan oleh wartawan sama ada beliau berkecil hati sehingga tidak memasuki pusat penamaan calon semalam.

Turut hadir di pusat penamaan calon semalam ialah mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta pemimpin lain yang pernah bersamanya ketika dalam Angkatan Perpaduan Ummah.

“Itu perkara biasalah nak cari sebab supaya nak laga-lagakan kita tapi takkan berhasil kerana calon ini calon yang saya sokong seratus peratus.


“Dia telah dipilih oleh jawatankuasa Umno bahagian semasa kita mengadakan rundingan dengan undi yang banyak sekali. Dan itulah nama yang saya kemukakan kepada Datuk Seri Najib supaya dia menentukan pilihan yang sebenar.

“Jadi dia membuat pilihan daripada apa yang diputuskan semua orang. Orang lain semua tak dapat undi seperti dia. Dia dapat undi terbanyak," kata Tengku Razaleigh yang juga ketua Umno bahagian Gua Musang.

“Kita rasa kempen kali ini seolah-olah satu pertandingan 'friendly contest' (pertandingan persahabatan). Iyalah apabila berlaku pertandingan tidak berlaku 'friendly contest' lagi barangkali tetapi bagaimanapun saya ingin anjurkan 'friendly contest' sesama kita,” katanya.

“Satu hari anda bersahabat, satu hari anda jadi seteru, tapi tidak ada rugipun (kepada saya),” katanya lagi yang mesra dengan panggilan Ku Li.


Mengulas mengenai sokongannya kepada tuntutan royalti minyak oleh Kelantan, Tengku Razaleigh berkata beliau akan tetap dengan pendirian yang dinyatakan sebelum ini dalam isu tersebut.

“Penjelasan saya sudah cakap, saya rasa apa yang terpakai dalam undang-undang yang terpakai kita akan teruskan. Itulah pendapat saya,” katanya lagi.

Jumaat, Mac 19, 2010

KU LI NAFI SERTAI PEMBANGKANG


Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menafikan beliau antara lapan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang akan menyertai pakatan pembangkang untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang pada 16 September 2008.

"Saya tak mahu komen pasal ini, 48 tahun saya bersama Umno. Apa yang didakwa itu sebagai satu cerita dongeng," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Anggota Parlimen Bebas bagi Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim telah menamakan lapan Anggota Parlimen BN di Dewan Rakyat semalam, dengan mendakwa mereka bersedia menyertai pakatan.

Tengku Razaleigh berkata, jika dakwaan itu benar, beliau kini pasti sudah memegang satu jawatan besar dalam Parti Pakatan Rakyat (PKR) yang dipimpin Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam dakwaan itu, Zahrain telah menamakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau), Datuk Enchin Majimbun (Bebas-Sepanggar), Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat), Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut) dan salah seorang daripada Timbalan Speaker juga tersenarai dikatakan akan melompat menyertai pembangkang.

Beliau berkata disebabkan dakwaan itu ibarat satu cerita dongeng, iaitu sebuah cerita yang direka mengikut fantasi pembangkang, beliau tidak mahu membuat sebarang komen terhadap dakwaan yang tidak betul itu.

Tengku Razaleigh juga menafikan beliau ada didatangi pihak berkenaan agar keluar BN untuk menyertai PKR bagi membolehkan pembangkang membentuk kerajaan persekutuan kira-kira tujuh bulan selepas pilihan raya umum ke-12.

Ahad, Disember 06, 2009

DR NG NAFI BERGESER DENGAN SULAIMAN


Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen meminta media tidak membuat spekulasi kononnya terdapat pergeseran antara beliau dan timbalannya, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib sehingga Sulaiman menzahirkan hasratnya untuk meletakkan jawatan kepada Perdana Menteri.

"Itu (pergeseran) spekulasi. Adakah ia datang dari mulut dia (Sulaiman)? Tak ada. Apa pun itu spekulasi dan bukan dari mulut dia," kata Ng ketika ditanya pemberita sama ada benar terdapat pergeseran antara beliau dengan timbalannya itu.

"Spekulasi ni macam-macam jenis, kata saya dengan Azalina (Datuk Seri Azalina Othman Said, bekas Menteri Pelancongan). Ini tidak adil. Selagi tidak keluar dari mulut dia (Sulaiman), jangan buat spekulasi," katanya pada sidang media selepas pelancaran Pesta Tarian Cuti-Cuti 1Malaysia di Dataran Merdeka, di sini pada Ahad.

Ng ketika diminta mengulas hasrat timbalannya itu berkata keputusan yang dibuat Sulaiman adalah kehendak peribadinya.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah memaklumkan kepada saya bahawa timbalan menteri ada memberi surat kepada beliau dan beliau (Najib) belum lagi membuat keputusan. Apa maksud surat itu, kita tak tahu lah. Ini memang personal. Jadi saya haraplah media jangan buat spekulasi," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata bahawa selama tujuh bulan bekerjasama di kementerian, hubungan beliau dan Sulaiman adalah baik.

Ketika ditanya sama ada Sulaiman ada memaklumkan mengenai hasratnya itu kepada beliau, Ng berkata: "Tiada..ini personal dialah."

Semalam, Perdana Menteri mengesahkan telah menerima surat perletakan jawatan Sulaiman sebagai Timbalan Menteri Pelancongan.

Ahad, Oktober 04, 2009

MB NAFI RETAK DENGAN ISA


Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau merupakan antara orang pertama yang mencadangkan supaya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bertanding di Bagan Pinang.

Sambil menafikan tuduhan pihak pembangkang kononnya berlaku keretakan hubungan antara beliau dan Mohd Isa, Mohamad berkata perkara itu sengaja diada-adakan pembangkang sebagai modal politik semata-mata.

"Saya yang suruh dia, ramai yang saksi masa di hospital lagi, masa jenazah Allahyarham (Azman) ada lagi dalam wad, saya cakap, Tan Sri (Isa) bersiap untuk bertanding," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Persatuan Penduduk, Nazir Masjid, Pengurusan Kuil, Tokong dan Gereja Serta Badan Bukan Kerajaan sekitar Port Dickson di Bagan Pinang hari ini.

Mohamad berkata pada ketika itu Mohd Isa tidak memberi sebarang jawapan kepadanya sebaliknya meminta untuk berfikir terlebih dahulu mengenai permintaan itu.

Bagaimanapun, demi untuk memantapkan Barisan Nasional (BN), Mohd Isa menerima permintaan itu dan sanggup berkorban kerana rakyat di Bagan Pinang amat memerlukan khidmat beliau.

Mohamad yang turut ditanya mengenai pendekatan agresif parti lawan kali ini sehingga anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ditumbuk pada hari penamaan calon semalam, berkata budaya samseng sudah menular dalam parti pembangkang.

Menurutnya, insiden ganas dan liar seumpama itu bukan kali pertama berlaku dan beliau berharap penyokong parti pembangkang tidak akan bertindak keterlaluan semasa berkempen untuk pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Pada pilihan raya kecil 11 Okt ini, BN meletakkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohd Isa, 59, sebagai calonnya dan beliau ditentang Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar, 45.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian ADUN Bagan Pinang Azman Mohammad Noor pada 4 Sept lepas.

Azman, yang mewakili BN, menang kerusi DUN Bagan Pinang dalam pilihan raya umum 2008 setelah menewaskan calon PAS Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

KU NAN NAFI KELUAR SURAT


Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menafikan beliau telah menulis surat kepada Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan supaya memilih Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selaku calon BN pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Katanya surat yang menggunakan kepala surat rasmi Setiausaha Agung Umno itu yang kononnya ditandatangani beliau, adalah dipalsukan oleh pihak pembangkang.

Perbuatan itu merupakan taktik kotor terbaru pihak pembangkang dalam usaha memburuk-burukkan hubungan antara Ibu Pejabat UMNO, ahli Majlis Tertinggi (MT) parti dengan badan perhubungan negeri dan Umno bahagian Teluk Kemang khususnya, katanya.

Antara kandungan surat palsu itu, yang kini dimuatkan di laman web Umno-Online dituliskan seperti berikut: "Pihak Majlis Tertinggi amat dukacita memaklumkan bahawa calon yang dicadangkan oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan terpaksa ditolak kerana Presiden parti mahukan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon PRK N31 Bagan Pinang."

Tengku Adnan memberitahu Bernama bahawa surat berunsur fitnah itu kini sudah diedarkan secara meluas di sekitar kawasan Bagan Pinang dalam usaha untuk memecah belahkan Umno yang dilihat begitu utuh di Bagan Pinang.

"Saya tidak pernah mengeluarkan surat itu, itu satu pembohongan, ia surat yang telah dipalsukan oleh pihak pembangkang untuk memecah belahkan Umno khususnya di Bagan Pinang. Ini adalah taktik kotor parti lawan yang terdesak untuk memecah kubu kuat Umno," jelasnya.

Katanya beliau menyedari mengenai surat palsu itu setelah diberitahu pekerja parti yang meninjau aktiviti pembangkang di Bagan Pinang.

"Saya diberitahu tadi oleh pekerja parti, mereka jumpa surat yang diedarkan di kawasan itu (Bagan Pinang), mereka tanya kepada saya adakah itu surat betul, saya jawab saya tak pernah keluarkan surat itu, tanda tangan itu palsu," katanya.

Katanya beliau meminta agar jentera parti memantau perkara itu dan kalau ia berlarutan dan terus dijadikan modal politik parti pembangkang, beliau bercadang untuk melaporkan kepada polis.

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pada 11 Okt ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor, dari BN pada 4 Sept lalu.

Khamis, Ogos 27, 2009

ROSOL NAFI MASUK PKR


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Datuk Rosol Abdul Wahid dahulu bukan main lantang tak mahu Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu. Hinggakan dia pernah berkata sedia meletakkan jawatan sebagai ADUN untuk hadapi pilihanraya kecil Ajil. Tapi bekas guru ini tak tahu bahawa bila letak jawatan dia tak boleh tanding semula untuk lima tahun. Sebab itu dia tak jadi letak jawatan.


Baru-baru ini heboh beberapa ADUN telah menemui Anwar Ibrahim tetapi kononnya mereka telah diberi amaran oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak. Semalam Rosol secara rasmi menafikan beliau mengetuai kumpulan sembilan ADUN negeri ini untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).



Rosol turut menyifatkan laporan mengenainya yang disiarkan oleh portal berita The Malaysian Insider bersifat provokasi selain bertujuan menjatuhkan imej UMNO.



Beliau mengakui masih berlaku masalah dalaman di negeri itu namun tidak pernah berbincang berhubung niat untuk meninggalkan UMNO seterusnya menyertai PKR seperti yang didakwa.



''Saya tetap bertegas bahawa laporan portal tersebut adalah khabar angin semata-mata. Ini tak akan berlaku dalam kumpulan kita.



''Khabar angin ini hanya untuk menimbulkan suasana tidak selesa di kalangan wakil rakyat UMNO.



''Kita masih lagi wakil rakyat BN, itu tiada kompromi, kita yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri ke-12 ditangguhkan semalam.

Khamis, Julai 16, 2009

MB NAFI ROMBAK EXCO


Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menafikan desas-desus berlakunya rombakan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu dalam tempoh terdekat.


Sehubungan itu, Ahmad turut menegaskan bahawa setakat ini pihaknya tiada perancangan untuk melakukan perubahan ke arah itu.


“Tiada. Setakat hari ini tidak ada sebarang perancang, orang lain yang bercakap tidak tahulah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Pejabat Menteri Besar, di sini, semalam.


Sebelum ini, terdapat desas-desus mengatakan rombakan Exco akan berlaku dalam masa terdekat berikutan wujud beberapa Exco tertentu yang dikatakan tidak ‘sebulu’ dengan beliau.


Desas-desus itu bertiup kencang apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut dikatakan ingin membuat undi tidak percaya kepada Ahmad ketika Sidang Dewan Undangan Negeri yang lepas.


Bagaimanapun, Ahmad tetap optimis terhadap perkara itu dan berharap barisan Exco sedia ada mampu berkhidmat dengan kerajaan negeri sekurang-kurangnya satu penggal.


Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan barisan Exco sedia ada, Ahmad me-ngakui kesemuanya tiada masalah.


“Setakat ini ok, kita beri peluang, sekurang-kurang-nya pegang jawatan sampai satu penggal, kalau dua tahun setengah nak berpuas hati memang tidak dapatlah.


“Tahun pertama kata orang tahun berbulan madu, tahun kedua baru nak siapkan perancangan. Kita bagi peluang untuk selesaikan satu penggal,” katanya.

Rabu, April 15, 2009

LAJIM NAFI KECEWA TIDAK DILANTIK MENTERI


Ahli parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Haji Okin menafikan bahawa beliau kecewa kerana tidak dilantik menteri dalam rombakan kabinet yang dilakukan oleh Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Razak minggu lalu.


Beliau dikekalkan sebagai timbalan menteri tetapi ditukarkan ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari Kementerian Pengangkutan.


"Kuasa melantik menteri adalah kuasa Perdana Menteri. Tidak benar dakwaan bahawa saya kecewa tidak dilantik menteri penuh mewakili Sabah," katanya kepada blogger Memo Belakang ketika ditemui di majlis penyerahan tugas dari bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ong Ka Chuan kepada menteri baru, Kong Cho Ha di pejabatnya di Kuala Lumpur Isnin lalu.


Ahli parlimen Kimanis, Datuk Anipah Aman yang menolak tawaran Pak Lah sebagai timbalan menteri selepas pilihanraya umum 2008 dilantik sebagai Menteri Luar dari Sabah yang baru selain Shafie Afdal yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar.


"Walaupun saya menang ahli majlis tertinggi UMNO di tempat kelapan dan Anifah tidak bertanding jawatan majlis tertinggi, tetapi kemenangan itu tidak kena mengena dengan perlantikan menteri kerana ia adalah kuasa prerogatif Najib," katanya.


Sehubungan dengan itu, beliau bersyukur kepada Allah kerana mengekalkannya sebagai timbalan menteri di kementerian yang baru. Kementerian itu pernah menonjolkan beberapa ahli parlimen sebagai timbalan menteri termasuk Osu Sukam dan Azizah Mohd. Dun.


"Saya seronok bekerja di Kementerian Pengangkutan kerana menterinya, Ong Tee Keat memberi kepercayaan penuh kepada saya. Saya berharap menteri baru, Kong Cho Ha akan memberi kepercayaan yang sama seperti yang pernah diberi oleh Presiden MCA kepada beliau.


Katanya, ini adalah kali kedua beliau dari UMNO diberi peluang berkhidmat di bawah menteri dari MCA.


"Bila menjadi timbalan menteri dari UMNO yang diketuai oleh menteri dari MCA, ahli-ahli UMNO memberi harapan yang tinggi kepada saya untuk mengadu hal kerana mereka tidak mungkin mengadu terus kepada menteri sebaliknya saya yang menjadi jambatan di antara mereka dengan kementerian," katanya lagi.