Isnin, November 11, 2013

SEKOLAH SUKAN AKAN DIBUKA DI SABAH- TAWFIQ

TAWAU: Penubuhan sekolah sukan di Sepanggar, Kota Kinabalu diharap akan dimanfaatkan ke arah melahirkan atlet pelapis yang berkualiti dan mampu meraih kecemerlangan. Menteri Belia Dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata kewujudan sekolah sukan itu memberi ruang dan peluang kepada atlet muda di Sabah untuk mengasah bakat dalam lapangan sukan yang diceburi. "Kita jadikan sekolah sukan di sana sebagai aras...saya rasa bilangan pelajarnya masih kurang daripada 100 orang," katanya ketika diminta mengulas sesi lawatannya ke sekolah-sekolah sukan di Semenanjung baru-baru ini. Tawfiq berkata pihaknya akan melihat keperluan yang berkaitan di sekolah sukan itu yang baharu beroperasi pada tahun ini. Beliau berkata pegawainya telah diarahkan untuk mempunyai perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang ke arah melakukan perubahan pembangunan sukan di negeri ini. "Kita memastikan ada blueprint untuk sukan di Sabah kerana selama ini apabila jadikan sukan Sukma penanda aras, Sabah berada di kedudukan nombor lapan, nombor sembilan, tidak pernah dapat lima teratas atau tiga teratas. "Jadi ini merupakan cabaran, kita mahu ada perubahan dan kita akan mula dari bawah termasuk bola sepak mesti ada usah pembangunan akar umbi," katanya. Dalam pada itu, Tawfiq mahu kerjasama daripada persatuan-persatuan sukan di negeri ini ditingkatkan untuk pembangunan sukan secara keseluruhannya. Beliau berkata persatuan tidak akan mampu membangun secara menyeluruh atlet kerana mereka mempunyai kekangan kewangan kerana peruntukan mereka hanya untuk menganjurkan kejohanan dan bukan pembangunan akar umbi. -- BERNAMA

Khamis, November 07, 2013

FELCRA PERLU ATASI CABARAN DALAMAN

,
KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Berhad perlu mengatasi pelbagai masalah dan cabaran dalamannya sebelum dapat melaksanakan transformasi yang berkesan. Pengerusinya Datuk Bung Moktar Radin berkata, punca masalah termasuk pentadbiran, pengurusan ladang kelapa sawit dan getah, kilang pemprosesan serta kebajikan para pengurus dan peserta akan dikenal pasti dan diselesaikan agar organisasi dapat merancang dan meningkatkan pendapatan sekali gus meluaskan rangkaian perniagaan. "Jika tidak ada kerjasama dan keberanian untuk melakukan perubahan positif, impak lebih buruk akan melanda Felcra. Justeru ia perlu diberi perhatian kerana ini adalah amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh 'tuan' kita iaitu kerajaan dan para peserta," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Pengerusi Felcra di sini hari ini. Kira-kira 400 petugas menghadiri majlis itu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Datuk Ramlee Abu Bakar, ahli-ahli lembaga serta para pengurus Felcra. Katanya memandangkan harga komoditi getah dan kelapa sawit di pasaran mengalami penurunan, Felcra juga harus mencari jalan untuk mempelbagaikan aktiviti perniagaan di dalam dan luar negara agar dapat terus bersaing dengan syarikat-syarikat milikan kerajaan (GLC) yang lain. Antara yang dirancang ialah penubuhan kilang baja di Terengganu, pembukaan ladang lembu di Australia dan getah di Kemboja serta perusahaan ladang jagung dengan usaha sama syarikat luar di Indonesia, selain merancakkan pembangunan hartanah seperti hotel dan rumah-rumah kedai. Felcra sehingga kini memiliki keluasan sebanyak 260,000 hektar tanah dalam negara. Dalam sidang medianya Bung Moktar berkata, Felcra dijangka menerima pendapatan kira-kira RM2 bilion dalam tempoh lima hingga 10 tahun, hasil perniagaan bukan komoditi termasuk mineral bijih besi yang diperoleh melalui tanah milikan Felcra. Jelasnya, untuk membantu generasi baru pula, Unit Usahawan akan turut diperluas bagi membuka peluang kepada anak-anak muda Felcra menceburi bidang industri kecil dan sederhana (IKS) dan berhasrat untuk mendapatkan peruntukan berjumlah RM1 juta, mulai tahun depan. -- BERNAMA RKMS KHY RAM

TERENGGANU TARIK RM20.4 BILION MELALUI ECER

KUALA TERENGGANU, 7 Nov (Bernama) -- Sejak penubuhannya lima tahun lepas, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menarik pelaburan swasta bernilai RM20.4 bilion ke Terengganu. Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Jebasingam Issace John berkata ia secara tidak langsung mewujudkan kira-kira 10,850 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan dan 800 usahawan baharu di negeri itu. "Pelabur, termasuk syarikat bertaraf global seperti Petronas (Malaysia), Gevo dan Huntsman dari Amerika Syarikat, Arkema dari Perancis, CJ Cheiljedang
dari Korea Selatan dan Shougang Corporation dari China. "Pelaburan awam dan swasta itu memacu momentum transformasi ekonomi di Terengganu dan hasilnya, pendapatan rakyat telah meningkat dan seterusnya membawa kepada peningkatan taraf hidup mereka," katanya kepada pemberita dalam satu sesi taklimat khas hari ini sempena ulang tahun kelima penubuhan ECER di Terengganu September lepas. Kerajaan Persekutuan melalui ECERDC, memperuntukkan RM1.11 bilion untuk melaksanakan 41 projek ECER di Terengganu dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan RMK-10. Pelaburan tersebut diluluskan bagi melaksanakan inisiatif pembangunan infrastruktur dan sosial, yang bertujuan meningkatkan daya tarikan Terengganu sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif, sekali gus meningkatkan status sosioekonomi rakyat. Matlamat utama ECERDC, yang sentiasa berganding bahu dengan Kerajaan Negeri Terengganu, ialah untuk menggerakkan transformasi ekonomi negeri, untuk manfaat rakyat, katanya. Beliau berkata projek pembangunan yang dirancang perlu memenuhi tiga kriteria iaitu mewujudkan peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan peningkatan hasil isi rumah bagi penduduk setempat. Di Terengganu, ECERDC kini melaksanakan pelbagai projek dan program yang memanfaatkan kekayaan sumber semula jadi yang terdapat di negeri ini seperti minyak dan gas asli, bijih besi, pertanian dan pelancongan. Beliau berkata pembangunan Taman Biopolimer Kertih (KBP), yang memberi fokus pada sektor-sektor berkaitan bioteknologi, adalah bersifat saling melengkapi dengan industri minyak dan gas di Terengganu. "KBP merupakan lokasi bagi loji biometionina dan tiokimia bersepadu pertama di dunia, yang akan melonjakkan kedudukan Terengganu sebagai pusat teknologi baharu dan peneraju serantau dalam bidang biopenapisan. "Terletak di kawasan seluas 70 hektar di KBP, projek bernilai RM2 bilion ini merangkumi pembangunan loji biometionina milik syarikat CJ CheilJedang dari Korea dan platform tiokimia milik syarikat Arkema dari Perancis," katanya. Pembinaan sedang berjalan dan kemudahan itu dijangka mula beroperasi pada 2014. Apabila siap, kilang bersepadu tersebut akan muncul sebagai kemudahan pertama di dunia menggunakan proses fermentasi dalam pengeluaran L-methionine, sejenis asid amino yang digunakan untuk pengeluaran makanan untuk haiwan ternakan. Satu lagi penggerak industri bioteknologi yang telah memilih Terengganu sebagai destinasi pelaburan mereka ialah Gevo, sebuah syarikat bahan kimia boleh baharu dan biobahan api generasi baharu yang berpangkalan di Colorado, Amerika Syarikat. Jebasingam berkata Gevo merancang membina sebuah kilang pengeluaran isobutanol berasaskan bio daripada biojisim lignocellulosic di KBP, yang akan menjadikannya syarikat pertama mengeluarkan bahan tersebut daripada biojisim lignocellulosic secara komersil, apabila kilangnya di Kertih mula beroperasi kelak. "Bagi kluster pertanian, ECERDC mengenal pasti Taman Bio Herba Pasir Raja sebagai tapak penanaman komersil bagi 10 jenis herba bernilai tinggi yang menjadi bahan mentah untuk pengeluaran produk farmaseutikal dan nutraseutikal halal. "Pembinaan prasarana asas, sedang giat dijalankan untuk menarik para pelabur ke Taman Bio Herba tersebut dan ia dijangka siap pada akhir 2013," katanya. Pada masa yang masa, ECERDC juga sedang membangunkan Pusat Pembiakbakaan dan Inovasi Ternakan Biri-biri Kuala Berang, yang akan mula beroperasi pada awal 2014. Sebuah syarikat peneraju akan dikenal pasti untuk menggerakkan industri tersebut, khususnya melalui perkongsian teknologi dan amalan pertanian baharu dan terkini dengan petani tempatan, yang akan dibimbing untuk menjadi petani kontrak. Beliau berkata selain itu, satu lagi projek strategik ECER ialah Taman Industri Berat Kemaman (KHIP), yang dibangunkan untuk memanfaatkan sumber bijih besi tempatan yang terdapat di negeri Terengganu. "Taman industri ini akan memfokuskan kepada bidang fabrikasi besi dan keluli untuk menyokong operasi huluan syarikat-syarikat minyak & gas utama di Terengganu. "Pelabur-pelabur terbesar KHIP ialah Eastern Steel, sebuah syarikat usaha sama antara Hiap Tech Venture Berhad dari Malaysia dan Shougang Corporation, yang merupakan sebuah syarikat Fortune 500 dari China," katanya. Eastern Steel melabur RM1.8 bilion untuk membina kompleks kilang keluli bersepadu di Teluk Kalung yang akan menggunakan teknologi baharu dalam industri besi dan keluli. Bagi kluster pelancongan, ECERDC melancarkan pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) pada 2011 bagi memperkukuh peranan dan kedudukan bandar Kuala Terengganu sebagai Gerbang Pelancongan Timur di ECER. Beliau berkata pelan induk KTCC meliputi beberapa komponen utama iaitu pelancongan, perdagangan, pendidikan, kesihatan dan kediaman, yang akan mempertingkatkan daya tarikan bandar Kuala Terengganu sebagai pusat pelancongan dan penginapan. ECERDC juga akan membina sebuah jambatan gantung yang akan menghubungkan Muara Selatan dan Muara Utara di bawah pembangunan KTCC. Selain menjadi mercu tanda ikonik bagi sebuah bandar moden, jambatan tersebut juga akan berfungsi sebagai sistem penyuraian trafik. Katanya pembinaan jambatan ini akan bermula pada Januari 2014 dan dijadualkan siap pada tahun 2016. Kerja-kerja pembinaan prasarana sedang dilaksanakan di Muara Selatan dan dijadualkan siap bulan ini. "KTCC Mall Sdn Bhd pula telah memberikan komitmen pelaburan berjumlah RM1 bilion untuk membina pusat membeli-belah, sebuah hotel 4-bintang dan 500 unit suit perniagaan di KTCC. "Pusat membeli-belah tersebut dijangka mula beroperasi pada akhir tahun 2014, sementara hotel dijangka siap pada hujung 2016," katanya. Kini secara amnya, jurang kemiskinan antara Pantai Timur dan Pantai Barat sudah bertambah baik menerusi pelancaran beberapa projek berimpak tinggi di ECER. "Sasaran kita tiada lagi kemiskinan tegar di Terengganu menjelang 2020, pasti tercapai," katanya. -- BERNAMA KAK AZM LAT

Jumaat, November 01, 2013

GURU TAKMIR PERLU KUASAI ILMU BAHARU

TAWAU: Guru takmir atau guru agama yang mengajar di masjid dan surau perlu menguasai ilmu pengetahuan baharu sesuai dengan perkembangan semasa bagi menghasilkan kuliah berkualiti, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan. Katanya langkah itu juga akan menarik lebih ramai jemaah untuk turut serta dalam sesi kuliah, sekali gus memperlihat sifat profesional guru-guru berkenaan. "Guru takmir merupakan barisan hadapan di masjid dan surau yang pastinya dapat menyampaikan ilmu dan dakwah secara berkesan kepada seluruh masyarakat," katanya ketika menangguhkan Kursus Peningkatan Profesionalisme Guru Takmir Negeri di sini hari ini. Tawfiq berkata golongan guru itu juga perlu bijak merencanakan kuliah masing-masing supaya mempunyai unsur perpaduan dan menghindarkan masyarakat daripada berpecah-belah akibat percanggahan pendapat dan fahaman. Terdahulu, Pengarah Bahagian Kemajuan Islam di Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Ramlah Yong berkata beliau akan mengemukakan masalah yang dihadapi guru-guru takmir di pantai timur Sabah kepada pihak pengurusan Jakim untuk dipertimbangkan. Menurutnya guru-guru di kawasan tersebut memohon agar kadar elaun mereka dikaji semula berdasarkan cabaran tugas terpaksa mereka hadapi seperti tempat mengajar yang jauh di pedalaman. -- BERNAMA

Khamis, Oktober 31, 2013

KELUAR PENJARA DAPAT RM322,000

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi memerintahkan pihak penjara dan dua lagi membayar pampasan berjumlah RM322,000 kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan BSN Bhd kerana cuai sehingga menyebabkan dia dipenjara melebihi tempoh. Hakim Hadhariah Syed Ismail juga memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM15,000 dan faedah pada kadar lima peratus daripada jumlah pampasan mulai tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh kepada Ahmad Skhri Ramli. Ahmad Skhri menamakan Ketua Pengarah Penjara Malaysia Datuk Seri Zulkifli Omar, Pengarah Penjara Kajang Datuk Al Zafry Mohamed Nassif, Pengarah Penjara Bentong Mohd Sakeri Dollah, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan. Dalam penghakimannya, Hadhariah berkata pegawai di bawah seliaan defendan didapati cuai kerana tidak mempedulikan aduan plaintif semasa di penjara bahawa dia sudah melunaskan sebahagian daripada denda yang dikenakan ke atasnya. Beliau berkata jika saksi defendan tidak mempercayai aduan plaintif kerana tiada resit pembayaran, mereka boleh menghubungi mahkamah bagi mendapatkan pengesahan. -- LAGI MAHKAMAH-CEO 2 SHAH ALAM Selain itu, Hadhariah berkata pihak penjara perlu memastikan tempoh pemenjaraan ke atas banduan adalah betul dan tidak boleh terkurang atau terlebih. Penyataan tuntutan menyebut Ahmad Shkri dihantar ke Penjara Kajang pada 4 Ogos 2009 selepas gagal membayar denda berjumlah RM300,000 bagi dua pertuduhan terlibat dalam urusan jualan singkat. Pada 21 Dis 2006, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengenakan denda RM150,000 atau penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Ahmad Skhri mengikut Seksyen 41(2) Akta Perindustrian Sekuriti 1983. Dia kemudian membayar denda itu secara ansuran berjumlah RM220,000 dari 24 Okt 2007 hingga 4 Feb 2008. Bagaimanapun, pada 4 Ogos 2009, rayuannya ditolak Mahkamah Tinggi dan Ahmad Skhri dihantar ke Penjara Kajang pada hari yang sama kerana gagal membayar denda berkenaan sepenuhnya. Plaintif dijadual menjalani hukuman penjara selama setahun dan akan dibebaskan pada 3 Ogos 2010. Dia kemudian dipindah ke Penjara Bentong pada 4 Dis 2009 dan dibebaskan pada 18 Feb 2010 selepas pihak penjara menyedari plaintif sudah menjelaskan sebahagian daripada denda menerusi peguamnya. Tuntutan Ahmad Shkri mendakwa, jika diambil kira wang denda yang sudah dibayarnya, tempoh dia sepatutnya dipenjara ialah dua bulan tujuh hari sahaja dan bukan enam bulan 15 hari seperti yang terpaksa dijalani. Saman yang difail Tetuan Law Practice of Rafique pada 15 Feb lepas itu, antara lain, menuntut ganti rugi am dan khas, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta wang denda yang dibayar plaintif kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dikembalikan. Ahmad Skhri, ketika ditemui di luar mahkamah, berkata dia gembira dengan keputusan mahkamah setelah terpaksa meringkuk dalam penjara melebihi tempoh yang sepatutnya. Dia kini bekerja sebagai perunding sambilan dengan sebuah syarikat kontraktor. Plaintif diwakili peguam Muhamad Rafique Rashid Ali manakala Peguam Kanan Persekutuan Hani Aziza Ismail mewakili kesemua defendan. -- BERNAMA

Rabu, Oktober 30, 2013

SATU KATIL LAIN PARTI

KOTA KINABALU: Pelik tapi benar. Suami orang PKR tapi isteri orang Umno. Mereka dapat tidur sekatil walaupun berlainan parti. Ini yang berlaku kepada ADUN PKR, Jailani Hamdan dengan isterinya, Redonah Bahanda. Kalau isterinya ahli biasa Umno tidak apa, tetapi isterinya adalah Ketua Wanita Umno Bahagian Marudu yang berjaya mengalahkan penyandang Tina Majwan. Jailani dahulu adalah Ketua Pemuda Umno Bahagian Marudu dan telah menyertai PKR dan beliau menang bertanding di DUN Matunggong pada pilihanraya umum lalu. Dalam pemilihan Ketua Wanita Umno Bahagian Marudu pada 19 Oktober lalu, walaupun penyandang jawatan, Tina memainkan isu Redonah adalah isteri wakil rakyat PKR tetapi Redonah tetap menang. Dapatkah Redonah mengorek rahsia PKR daripada suaminya ketika berada di atas katil? Atau adakah Jailani yang mengorek rahsia Umno daripada isterinya? Ini yang menjadi tanda tanya kepada kita.

Selasa, Oktober 29, 2013

SAYA HANYA TAKUT PADA ALLAH- DATUK ISMAIL YAHYA

Kuala Terengganu: “Saya tidak takut kerana saya menegakkan kebenaran mengikut hukum syarak. Saya hanya takut pada Allah. Maruah saya cuba dijatuhkan kerana menegakkan kebenaran. Tunggu sajalah, kes pun baru berjalan dan belum diputuskan bersalah atau tidak,” kata bekas Ketua Hakim Syarie Terengganu Datuk Ismail Yahya, 57, yang dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam. Ismail yang juga bekas Mufti Negeri berdepan dua pertuduhan menghina Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu dan mempertikai arahan Sultan Terengganu berhubung penstrukturan semula MAIDAM tahun lalu. Bagaimanapun, Ismail yang didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail. Mengikut pertuduhan pertama, Ismail didakwa bertindak secara bertulis menghina MAIDAM melalui surat yang dihantar kepada Setiausaha Kerajaan Terengganu pada 29 Oktober 2012 di Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, Jalan Sultan Mohamad, di sini. Beliau didakwa melakukan penghinaan itu dengan kata-kata “Oleh yang demikian jelas kelihatan usaha MAIDAM mengambil alih dan meletakkan pentadbiran Mahkamah Syariah Terengganu di bawah kawalannya satu usaha ke arah melakukan perbuatan maksiat. Adalah menjadi tanggungjawab ke atas sesiapa yang bertanggungjawab supaya tidak memberi sokongan ke atas usaha sedemikian.” Bagi pertuduhan kedua pula, Ismail pada tarikh dan tempat sama didakwa mempertikaikan arahan Sultan Terengganu sebagai Ketua Agama Islam yang mengampuni perkenan pelaksanaan penstrukturan baru Institut Pentadbiran Agama Islam dan Adat Melayu dengan kata-kata “Soalnya adakah hasrat MAIDAM pada masa ini yang mahukan pentadbiran Mahkamah Syariah diletakkan sebagai sebuah jabatan di bawah MAIDAM dibuat secara musyawarah atau mengikut kehendak seseorang tertentu? “Jika hasrat itu diputuskan atas pandangan seseorang, apakah MAIDAM meninggalkan ajaran Islam sebagai mana kehendak firman Allah dalam ayat 38 atau sebahagiannya dari Surah Al-Syura itu? Jika musyawarah diadakan, berapa ramaikah ahli yang berkepakaran dalam bidang perundangan dan kehakiman syariah khususnya dijemput sama? “Adakah cadangan yang hendak dilaksanakan MAIDAM itu bermaksud mahu mencampur adukkan kuasa kehakiman ke dalam kuasa pentadbiran? Seterusnya timbul pula persoalan apakah hukumnya mengikut hukum syarak mencampur adukkan kuasa kehakiman ke dalam kuasa pentadbiran? “Soalnya, adakah tindakan MAIDAM yang sedang berusaha bersungguh-sungguh mahu meletakkan pentadbiran Mahkamah Syariah Terengganu di bawah kawalannya itu, bererti tidak mahu mengikuti hukum syarak dan peruntukan undang-undang yang tersedia dalam negara kita baik pada peringkat negara mahupun pada peringkat negeri”.  Kamalruazmi kemudian membenarkan Ismail diikat jamin RM800 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes bagi memberi peluang Ismail melantik peguam.

Selasa, Oktober 22, 2013

DIN ADAM TAMATKAN KARIER POLITIK POK LI

DUNGUN: Kemenangan tiga sayap parti yang berpihak kepada kem Datuk Rosli Mat Hassan (gambar) dalam pemilihan sebelumnya ternyata bukan deposit untuk membolehkan penyandang Ketua Umno Bahagian Dungun itu mengekalkan kedudukan apabila dirampas pencabarnya, Datuk Din Adam. Keputusan Din yang juga bekas ADUN Bukit Besi masuk gelanggang sekali lagi bagi menentang Rosli setelah dikecewakan pada pemilihan lalu, akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya menambat hati majoriti perwakilan dengan meraih 431 undi berbanding Rosli dengan 358 undi. Din berkata, beliau mahu semua ahli melupakan segala perselisihan faham yang mungkin berlaku berikutan perebutan jawatan itu, sebaliknya memberikan lebih fokus bagi menghadapi PRU14. Bagi Rosli pula, kekalahan itu diterimanya dengan hati terbuka dan beliau menyifatkan kalah menang merupakan adat pertandingan. Seorang lagi calon ketua bahagian, Mohamad A Rahman gagal meraih sebarang undi daripada lebih 800 perwakilan yang mendaftar untuk pemilihan kali ini. Sementara itu, Adun Bukit Besi, Roslee Daud tidak menghadapi laluan sukar untuk menang jawatan timbalan ketua apabila meraih 681 undi mengetepikan pencabarnya, Mohamad Jusoh yang mendapat 104 undi. Bekas Ahli Parlimen Dungun, Datuk Matulidi Jusoh pula berjaya mempertahankan jawatan naib ketua dengan 405 undi menewaskan Abdul Razak Endut yang mendapat 354 undi. Dengan kekalahan ini maka berakhirlah karier politik Rosli Mat Hassan atau lebih dikenali sebagai Pok Li di Dungun. Pok Li merupakan seorang ahli politik yang gigih.Beliau pernah kalah tiga kali (1988, 1990, 1993) bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Dungun di tangan bekas ADUN Paka, Zakaria Ariffin.Pada tahun 1995 baru dia menang dalam pertandingan Ketua Pemuda apabila Zakaria sudah habis usia pemudanya. Pada tahun 1998, Din Adam pula menjadi Ketua Pemuda kerana Pok Li sudah habis usia pemuda. Pada tahun 1999, BN kalah di Terengganu yang mana Senator Pok Li selaku Timbalan Ketua Bahagian juga kalah bertanding di DUN Paka. Pada tahun 2000, Pok Li menjadi Ketua Umno Bahagian Dungun yang baru. Beliau dikatakan “memperdaya” Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang mana Pok Li mengatakan bahawa bekas ADUN Bukit Besi, Datuk Awang Jabar sudah setuju kompromi di mana Pok Li sebagai Ketua Bahagian manakala Awang sebagai Timbalan. Ketika itu Awang berada di London. Bila Awang balik ke Dungun, Awang terkejut kerana Pok Li “mainkannya” sedangkan pada peringkat awal telah dipersetujui bahawa Awang Jabar jadi ketua bahagian manakala Pok Li menjadi timbalannya. Tetapi Awang terpaksa akur kerana ia sudah diumumkan oleh Pak Lah yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu. Bila bercakap tentang “memperdaya” ini, Pok Li yang dilantik Senator mewakili Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) pernah memperdaya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Apabila jawatan Senatornya sudah tamat, beliau selaku Setiausaha Agung PKMM bertemu dengan Dr Mahathir membawa surat kononnya Presiden PKMM, Datuk Ruslan Awang Chik sudah bersetuju menyambung Pok Lo jadi Senator untuk penggal kedua. Apabila Ruslan yang kalah di DUN Ladang pada pilihanraya umum 1999 pergi jumpa Dr Mahathir kerana mahu Senator itu untuknya selaku Presiden PKMM terkejut apabila Dr Mahathir kata perkhidmatan Pok Li seudah disambung semula ekoran surat palsu itu. Pada tahun 2004, Pok Li dipilih sebagai calon BN di parlimen Dungun dan beliau berjaya mengalahkan calon PAS, Datuk Mustafa Ali. Pada tahun yang sama Din Adam dipilih sebagai calon di DUN Bukit Besi dan beliau menang dan beliau dilantik Exco Kerajaan Negeri dalam kerajaan baru yang diketuai Datuk Seri Idris Jusoh. Dengan terpilihnya Pok Li sebagai ahli parlimen dan dilantik Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM), Pok Li kekal menjadi Ketua Bahagian Dungun manakala Din yang habis umur pemuda menjadi Timbalan Ketua Bahagian yang baru. Pada tahun 2008, Idris menggugurkan Pok Li sebagai calon BN selain dari dua ketua bahagian yang lain seperti Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Hulu Terengganu) dan Datuk Rahman Bakar (Marang). Sementara itu dua ketua bahagian yang bertanding di DUN ditukarkan ke parlimen iaitu Datuk Mohd Jidin Shafie (Setiu) dan Datuk Nasir Ibrahim Fikri (Kuala Nerus). Ketua Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Farid Wan Salleh tidak dipilih calon manakala Ketua Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said kekal di DUN Kijal. Pada tahun 2008, Din yang kekal ADUN Bukit Besi tapi tidak dilantik Exco di bawah Menteri Besar, Ahmad Said mencabar Pok Li bagi jawatan Ketua Bahagian. Din kalah walaupun Pok Li bukan wakil rakyat. Pada pilihanraya umum 5 Mei lalu, Din selaku “hard core” Idris Jusoh digugurkan sebagai calon. Tapi DUN Bukit Besi yang ditandingi calon baru, Roslee Daud sahaja yang menang di Dungun manakala tiga DUN lain kalah (Paka, Rantau Abang dan Sura). Pok Li yang bertanding semula di parlimen Dungun setelah berehat sepenggal kalah teruk di tangan calon PAS, Wan Hassan Mohd Ramli dengan majoriti 3,942 undi. Maka Din nampak kekalahan Pok Li memberi kelebihannya untuk menumbangkan Pok Li sebagai Ketua Bahagian. Maka pada 19 Oktober lalu, perwakilan Umno Bahagian Dungun telah mengangkat Din Adam sebagai Ketua Bahagian yang baru. Pok Li ibarat orang yang jatuh ditimpa tangga. Lima bulan lepas beliau kalah dalam pilihanraya, kini Sabtu lepas beliau kalah dalam pemilihan Umno pula. Begitulah nasib Pok Li yang selama ini amat licik politiknya. Kemenangan Din Adam merupakan satu tugas berat baginya untuk menawan semula tiga kerusi DUN dan kerusi parlimen Dungun dari tangan PAS pada PRU ke 14 nanti.(dipetik dari free malaysia today.com)

SAYA DITUDUH PENYEBAR FITNAH

Saya hairan bin ajaib bila Setiausaha Umno Bahagian Kemaman, Rosli Ahmad (Sipendek) menyebut nama saya dalam ucapannya sebelum para perwakilan mengundi di Dewan Berlian, MPK, Kemaman Sabtu lalu. Saya pelik kenapa dia marahi saya? Apa dosa saya kepada beliau? Dia mula serang saya di sebuah kedai makan di stesen teksi. Kawan saya yang ada di situ yang beritahu saya. Jadi saya jawab balik tuduhannya pada saya dalam blog saya. Malah banyak tulisan saya dalam blog ini adalah kenyataan calon yang bertanding. Bukannya saya yang buat fitnah. Kalau saya buat fitnah samanlah saya. Dia sendiri yang berucap di rumah Datuk Mohamad Awang Tera bahawa pengiraan undi akan dibuat di tempat lain dan bukan di Dewan Berlian. Kenapa pula saya dituduh buat fitnah? Soal saya tidak ada hadir dalam majlis itu tidak timbul kerana yang melaporkan kepada saya adalah orang ramai. Jadi maknanya benda itu betul dan bukan fitnah. Kalau tidak puas hati, jumpalah saya. Kenapa cemarkan nama saya dihadapan 850 orang perwakilan? Bukannya semua orang baca blog saya. Apabila dia serang saya dalam ucapannya di persidangan perwakilan Umno Bahagian Kemaman makin ramai orang call saya nak tahu apa cerita sebenar Sipendek dengan saya. saya pun malas layan orang tak cukup inci. Berangan nak jadi calon BN Air Puteh akhirnya ditahan SPRM kes sapu duit maulud nabi akibat dilapor bekas girlfriendnya. Ini semua bukan fitnah. Semua orang K
emaman tahu ceritanya.

Jumaat, Oktober 18, 2013

TIDAK MUSTAHIL MAT DALAM BUAT KEJUTAN

KEMAMAN: Tidak mustahil seorang bekas penghulu, Mat Dalam Awang ( gambar) buat kejutan mengalahkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dalam pertandingan Ketua Umno Bahagian Kemaman esok. Ini berdasarkan rekod lepas yang menunjukkan bahawa Mat Dalam pernah mengalahkan bekas ahli parlimen Kemaman, Datuk Ismail Said dalam pertandingan Pengerusi Tetap Umno Bahagian Kemaman pada tahun 2000. Dalam pertandingan tersebut, beliau menang dengan majoriti satu undi. Oleh itu esok Mat Dalam mengalahkan Ahmad Said dengan majoriti satu undi juga tidak mustahil. Selain dari itu, Mat Dalam yang menjadi penghulu ketika itu pernah mengalahkan Ahmad Said dalam pertandingan Pengerusi Belia 4B Daerah Kemaman pada tahun 80an ketika Ahmad Said menjadi Penolong Pegawai Daerah. Kalau dilihat sejarah kemenangan Ahmad Said dalam pertandingan ketua pemuda, naib ketua bahagian dan ketua bahagian sebelum ini, beliau menang dengan majoriti yang kecil. Oleh itu tidak mustahil ramai perwakilan yang tidak mengundi Ahmad Said pada tahun 1993, 1998 dan 2000 akan beri undi kepada Mat Dalam esok. Pada tahun 1993, Ahmad Said selaku ADUN Kijal mengalahkan Nazri Salleh dan Mohamad Rahim Husin bagi jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kemaman dengan majoriti 21 undi. Pada tahun 1988, Ahmad Said selaku Exco Kerajaaan Negeri mengalahkan Tuan Kecil Tuan Tengah bagi jawatan Naib Ketua Bahagian dengan majoriti 50 undi. Pada tahun 2000, Ahmad Said mengalahkan ADUN Kemasik, Datuk Abu Bakar Ali bagi jawatan Ketua Bahagian dengan majoriti 30 undi. Memalukan Bagaimana pula nasib Ahmad Said selaku Menteri Besar esok? Adakah beliau akan menang dengan majoriti 50 undi juga? Ada orang berkata sekarang Ahmad Said sudah jadi Menteri Besar. Tidak mungkin Ahmad Said menang dengan majoriti 50 undi sahaja berbanding dahulu. Akan tetapi jika Mat Dalam dapat lebih dari 100 undi esok, ia sudah tentu memalukan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu itu dan sekali gus menolak kata-kata Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid supaya jangan berikan Mat Dalam mendapat lebih dari satu undi. Jika tidak berlaku sebarang penipuan esok, Ahmad Said akan menang dengan majoriti nipis. Sebaliknya jika Setiausaha Bahagian, Rosli Ahmad berkeras mahu pengiraan undi dibuat di tempat lain, maka Mat Dalam akan kalah besar esok seperti mana yang berlaku minggu lepas kepada calon Ketua Pemuda, Mohd Hazarul Ifdaz (Along) dan calon Ketua Wanita, Che Ku Maznah Che Ku Awang. Sejauh mana 950 orang perwakilan esok terpengaruh dengan slogan Mat Dalam iaitu menentang kemungkaran adalah fardhu kifayah? Ahmad Said dikatakan mementingkan kroni yang mendorong Mat Dalam menentangnya. Malah semua orang tahu orang yang sama dapat projek di Kemaman seperti Haji Dol dan Agu yang mendorong Mat Dalam mencabar Ahmad Said. Nasib baik Mat Dalam bukan kontraktor. Kalau tidak orang akan kata beliau berjuang untuk kepentingan diri kerana tak dapat projek dari Ahmad Said. Mat Dalam hanya menjadi lilin yang sanggup membakar diri sendiri. Biar apa pun, pemerhati politik meramalkan Ahmad Said tetap menang. Yang mereka mahu tahu, sebanyak mana undi protes kepada Ahmad Said berani dizahirkan oleh para perwakilan esok? (dipetik dari freemalaysiatoday.com)

Khamis, Oktober 17, 2013

YANG DIRAMAL MENANG AHLI MAJLIS TERTINGGI LUSA IALAH

25 orang yang diramal menang lusa ialah Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Ismail Shabery Yaacob, Tan Sri Anuar Musa, Datuk Zahidi Zainul Abidin, Datuk Tawfiq Abu Bakar, Datuk Rosnah Shirlin, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Abdul Azeez Rahim, Datuk Mustapha Mohamad, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Razali Ibrahim, Datuk Dr Puad Zakarshi, Datuk Halimah Sadique, Datuk Mokhtar Radin, Datuk Jamil Khir Baharom, Datuk Rahman Dahlan, Datuk Dr Noraesah Mohamad, Datuk Mohamad Hassan, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Hassan M
alek, Abd Zarin Mohd Yasin, Datuk Idris Harun, Datuk Azlan Man dan Datuk Saifuddin Abdullah

YANG DIRAMAL MENANG NAIB PRESIDEN UMNO IALAH

Mereka yang diramal menang pada hari Sabtu ini ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Datuk Seri Ali Rustam

SETIAUSAHA POLITIK MB KATA PM BODOH

KEMAMAN: Seorang perwakilan Umno Bahagian Kemaman kesal dengan ucapan Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid (gambar dari kiri) yang mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bodoh. Menurut mereka, seorang Setiausaha Politik tidak sepatutnya bercakap begitu kepada Perdana Menteri. “Apatah lagi ucapannya dibuat secara terbuka kepada 300 perwakilan DUN Kijal pada 8hb Oktober lalu ketika beliau berkempen kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Kemaman,” kata seorang perwakilan kepada FMT yang enggan namanya disebut. Ahmad Said akan ditentang seorang bekas penghulu, Mat Dalam Awang dalam pertandingan dua penjuru pada 19 Oktober depan. Menurut perwakilan itu lagi, bukannya Najib menentang Ahmad Said. “Kenapa Wan Ahmad Nizam perlu bodohkan Najib?” soal beliau. Dalam ucapannya, Wan Ahmad Nizam yang dicabar jawatan Naib Ketua Bahagian oleh ADUN Air Puteh, Wan Hakim Wan Mokhtar berkata betapa susahnya Ahmad Said nak jadi Menteri Besar buat penggal kedua selepas pilihanraya umum Mei lalu. Katanya, Ahmad Said telah pergi menemui Perdana Menteri di pejabatnya untuk ambil watikah perlantikan Menteri Besar tetapi beliau diberitahu Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri bahawa Najib amat sibuk buat persiapan untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Wan Ahmad Nizam mendakwa Ahmad Said dan beliau pergi ke rumah Najib dan menunggu Najib di rumahnya. Bila Najib sampai di rumah, Najib benarkan Ahmad Said menemuinya tetapi Najib suruh Ahmad Said balik terlebih dahulu kerana Najib tidak puas hati kerana BN menang 17 kerusi sahaja di Terengganu. “Bodoh betul Najib. Ahmad Said nak pergi ambil watikah, dia suruh balik dulu,” kata Wan Ahmad Nizam dalam ucapannya itu yang mengejutkan semua hadirin. Menurut perwakilan itu, dalam pertandingan Ketua Bahagian, jangan babitkan Perdana Menteri kerana bukannya beliau menaja Mat Dalam Awang menentang Ahmad Said. “Oleh itu saya amat kesal dengan sikap Setiausaha Politik Menteri Besar yang celupar itu,” katanya lagi.

BERTANDINGLAH ATAS KEKUATAN SENDIRI

KEMAMAN: ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar mengajak calon-calon yang bertanding pada pemilihan Umno 19 Oktober ini bertanding di atas kekuatan sendiri. Katanya, calon tidak perlu menjual nama sesiapa dalam meraih undi para perwakilan. “Sudah tentulah agak janggal dan pelik sekiranya saya mengaitkan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad (ayahandanya) dalam kempen saya, “katanya dalam facebook beliau mengulas kenyataan Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid yang mengatakan menentangnya seolah-olah menentang Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Wan Hakim akan berhadapan penyandang Naib Ketua Bahagian, Wan Ahmad Nizam dalam pertandingan satu lawan satupada 19 Oktober ini. Menurut Wan Hakim, sudah tentu lucu kalau beliau menggunakan taktik ini iaitu perwakilan patut mengundinya kerana saya anak bekas Menteri Besar yang banyak berjasa di Kemaman dan tidak mengundinya adalah sama derhaka kepada beliau. Katanya lagi, saya dilantik Menteri Besar sebagai pengerusi Backbencher. “Jika saya berkempen menentang saya seolah-olah menentang Menteri Besar sudah tentu sama lucunya kerana beliau yang melantik saya sebagai Pengerusi Backbencher,” ujarnya lagi. Beliau percaya perwakilan Umno cukup bijak dan calon-calon perlu mempunyai kekuatan serta kebolehan sendiri untuk bertanding jawatan dlm parti. “Isu-isu legacy dan patronage tidak lagi relevan,” tegasnya. Wan Hakim berkata Umno perlukan pembaharuan dan transformasi di Kemaman khususnya dan Terengganu amnya. “ Segala strategi dan pendekatan yg diguna pakai selama lima tahun kebelakangan ini tidak begitu membuahkan hasil jika dilihat keputusan pilihanraya,” jelasnya. Beliau percaya dgn tulus hati, beliau boleh membawa nilai tambah kepada Umno Kemaman membantu kepimpinan dengan memberi pandanganpandangan serta perspektif baru pada pengurusan serta strategi parti berdasarkan landasan transformasi yg sudah beliau perincikan sebelum ini.

MENENTANG MB ADALAH FARDU KIFAYAH

KUALA LUMPUR: Tepat ramalan FMT pada 4 September lalu bahawa seorang tokoh politik veteran dijangka mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Kemaman. FMT pada hari tersebut menulis tanpa menyebut nama tokoh tersebut, sumber itu berkata beliau akan membuat kejutan pada 19 Oktober nanti walaupun beliau tahu peluang untuk menang adalah sukar. Hari ini tokoh berkenaan, Mat Dalam Awang (gambar) mengesahkan bahawa beliau akan mencabar Ahmad Said untuk menyelamatkan Umno Terengganu dari kecundang dalam pilihanraya umum ke 14 kelak. “Walaupun ditakdirkan nanti saya tewas setidaknya saya telah melaksanakan fardhu kifayah untuk semua ahli Umno Terengganu,” kata beliau kepada FMT ketika ditemui di Restoran Nagas berhampiran PWTC pagi ini. Beliau pernah mengejutkan ahli Umno Kemaman pada tahun 2008 apabila beliau memutuskan untuk menentang Timbalan Ketua Umno Bahagian, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang juga Menteri Belia dan Sukan ketika itu. Namun demikian,beliau tidak jadi bertanding kerana tidak cukup pencalonan yang menyebabkan Ahmad Shabery menang tanpa bertanding. Beliau yang juga bekas Pengerusi Tetap Umno Bahagian berkata rakyat sudah hilang kepercayaan kepada Menteri Besar apabila 15 kerusi DUN BN tewas dalam pilihan raya umum lalu. “Kalau kita tak berani berubah,ini bermakna BN Terengganu akan kecundang dalam pilihanraya umum 2018,” katanya. Beliau berkata biarlah beliau mengorbankan diri untuk menyelamatkan Umno dari kehilangan kuasa memerintah negeri. “Kehilangan 15 kerusi BN bermakna rakyat Terengganu telah memberi amaran keras kepada BN,” dakwanya lagi. Sehubungan dengan itu, beliau yang pernah menjadi Pengerusi Belia 4B Daerah Kemaman menegaskan jika orang Umno masih berdiam diri, masih takut berkata benar, masih membiarkan amalan kroni dan rasuah terus berleluasa maka tidak mustahil Umno dan BN akan dihukum oleh rakyat Terengganu pada pilihanraya umum akan datang. “Kalau dahulu Umno pernah mengidap penyakit di kaki maka kepala akan memikirkan bagaimana hendak mengubatinya, tapi hari ini Umno sudah mengidap sakit di kepala, anggota mana lagi yang boleh memikirkan untuk mengubatinya?” soal beliau.

PASTIKAN MAT DALAM TIDAK DAPAT LEBIH DARI SATU UNDI

KEMAMAN: Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid (gambar) menyeru perwakilan Umno Bahagian Kemaman mempastikan pencabar Ketua Bahagian, Mat Dalam Awang tidak mendapat lebih dari satu undi pada pemilihan 19 Oktober ini. Katanya, Datuk Seri Ahmad Said selaku Menteri Besar sudah banyak berjasa di Kemaman ini. “Oleh itu pastikan Mat Dalam tidak mendapat lebih dari satu undi pada 19 Oktober,” katanya dalam pertemuan dengan jenteranya di sebuah hotel di sini baru-baru ini. Pada 19 Oktober, Ahmad Said ditentang bekas penghulu, Mat Dalam Awang bagi jawatan Ketua Bahagian. Pada 19 Oktober, seramai hampir 1,000 orang perwakilan akan menentukan nasib Ahmad Said atau Mat Dalam Awang sebagai Ketua Bahagian. Manakala bagi jawatan timbalan pula, Menteri Multimedia dan Komunikasi, Datuk Ahmad Shabery Cheek menang tanpa bertanding. Bagi jawatan Naib Ketua, Wan Ahmad Nizam ditentang ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar. “Saya adalah Setiausaha Politik. Kalau saya kalah, maknanya imej Menteri Besar tercemar. Oleh itu pastikan Wan Hakim kalah,” pesan beliau lagi. Beliau yang kalah dalam pilihanraya umum lalu di DUN Chukai ditentang Wan Hakim setelah Wan Ahmad Nizam memenanginya jawatan Naib Ketua Bahagian pada tahun 2008 mengalahkan Datuk Mohd. Rahim Husin. Pertandingan ini menarik kerana ia adalah perlawanan di antara wakil rakyat Air Putih dengan bekas wakil rakyat Air Putih (Wan Ahmad Nizam pernah menjadi ADUN Air Putih dari tahun 2004 hingga 2008). Dalam pertemuan itu, beliau yakin Ahmad Said akan menang kerana berbanding Mat Dalam dengan Ahmad Said, apa jasa Mat Dalam kepada ahli-ahli Umno Kemaman. “Apa yang Mat Dalam dapat beri kepada perwakilan?’ soal beliau. Mat Dalam permah emngejutkan perwakilan Umno tahun 2000 apabila beliau mengalahkan bekas ahli parlimen Kemaman, Datuk Ismail Said bagi jawatan Pengerusi Tetap dengan majoriti satu undi.

KETUA CAWANGAN BERHARAP PENIPUAN TIDAK BERULANG

KEMAMAN: Seorang ketua cawangan Umno berharap penipuan yang berlaku sewaktu mengira undi dalam pemilihan Umno Bahagian Kemaman pada tahun 2008 tidak akan berulang pada pemilihan kali ini, Menurut beliau yang enggan namanya disebut, pengambilan pelajar Universiti Teknologi Mara (Uitm) Dungun untuk mengira undi dijangka tidak menimbulkan sebarang penipuan. “Pada tahun 2008, pengira undi dari KEMAS dikatakan bersubahat dengan penyelia kanan KEMAS (si pendek) yang membuat penipuan ketika mengira undi,” kata ketua cawangan itu lagi. Pada tahun 2008, penyandang jawatan Naib Ketua Bahagian, Datuk Mohamed Rahim Husin tewas kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam dengan majoriti yang kecil. Menurut ketua cawangan tersebut, penipuan itu dirancang oleh “si pendek” yang akhirnya dilantik sebagai Setiausaha Bahagian yang baru menggantikan Zahari Said sebagai hadiah “membunuh” karier politik Mohamed Rahim. “Yang paling mengejutkan banyak kertas undi ditemui dalam bag seorang ahli jawatankuasa wanita,” dakwa ketua cawangan itu lagi. Dalam konspirasi itu, Zahari juga kalah bertanding ahli jawatankuasa Bahagian yang jelas menunjukkan “si pendek” yang melakukan penipuan itu. Calon yang kalah buat bantahan kepada Badan Perhubungan Umno Terengganu. Badan itu mengarahkan supaya pemilihan Umno Bahagian Kemaman diadakan semula tetapi wakil perhubungan meminta supaya ia diselesaikan secara baik. Zahari selaku Setiausaha Bahagian sudah mengeluarkan surat panggilan untuk mengadakan semula pemilihan tetapi Ahmad Said selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu menggunakan kuasa vetonya supaya pemilihan itu tidak diadakan semula atas alasan pemilihan semula akan memalukan nama baik Menteri Besar kerana ia berlaku di bahagian Menteri Besar. “Kalau pada tahun 2008, pihak Bahagian sanggup menipu, apa jaminan pemilihan kali ini tiada penipuan?” tanya ketua cawangan itu. Dalam pertandingan 2008, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menang tanpa bertanding sebagai Ketua dan Timbalan Ketua Bahagian. Pada 12 Oktober ini, Shaheda Jusoh mencabar Asfalinda Razak bagi jawatan Ketua Puteri, manakala dua calon merebut jawatan Ketua Pemuda yang kosong, Mohd Hazarul Ifdaz Mohd Rahim (Along) dengan Fikri Ibrahim (Bulat) dan Che Ku Maznah mencabar Senator Rohani Abdullah bagi jawatan Ketua Wanita. Manakala pada 19 Oktober pula, Mat Dalam Awang (gambar) menentang Ahmad Said bagi jawatan Ketua Bahagian dan Wan Hakim Wan Mokhtar mencabar Wan Ahmad Nizam Wan Hamid bagi jawatan Naib Ketua Bahagian. Sementara itu Ahmad Shabery Cheek menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian. “Saya berharap pemilihan pada 12 dan 19 Oktober tidak ada lagi sebarang penipuan,” katanya lagi.

AHMAD SHABERY NAFI TAJA MAT DALAM

KEMAMAN: Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan beliau menaja calon Ketua Bahagian Kemaman Mat Dalam Awang menentang Datuk Seri Haji Ahmad Said pada pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian pada 19 Oktober depan. Beliau juga menafikan menaja calon Naib Ketua UMNO Bahagian Kemaman Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar yang mencabar Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid penyandang jawatan.. Beliau berterima kasih kepada Ahmad Said kerana telah membantu beliau sehingga berjaya hari ini. Mengenai pertandingan Wanita dan Puteri, Shabery berkata, beliau tidak pernah dan memberi arahan kepada sesiapa untok bertanding dan beliau tidak bolih menghalang mana mana calon kerana ia adalah demokrasi. Beliau berharap biarlah pertandingan yang sihat demi perpaduan sesama ahli. Sehingga kini Shabery belum turun padang untok memperkenalkan dirinya sebagai Calon Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Beliau lebih kepada tugas sebagai menteri membantu kerajaan, Perkara ini dinyatakan oleh pegawai khas beliau Haji Mustafa Abdul Rahman kepada Kelab Media Kemaman di pejabat Persatuan Kebajikan Bekas Perisikan Malaysia ( PERISI ) Cawangan Kemaman hari ini.. Menurutnya Haji Mustafa, Shabery mengucapkan terima kasih kepada perwakilan dan semua pihak di atas sokongan yang tidak berbelah bagi kepada beliau. Beliau berharap ahli Umno terus memberi sokongan kepada Shabery dalam dalam pemilihan Majlis Tertinggi Umnokhususnya dari perwakilan Umno Bahagian Kemaman.

PERWAKILAN KEMAMAN DICUCUK HIDUNG?

KEMAMAN: Para perwakilan Umno Bahagian Kemaman akan ‘dicucuk hidung’ supaya mengundi 20 orang calon ahli majlis tertinggi Umno yang direstui oleh Umno Bahagian. Menurut Setiausaha Umno Bahagian Kemaman, Rosli Ahmad atau Si Pendek , senarai itu akan dikeluarkan pada pagi 19 Oktober untuk memudahkan 900 orang perwakilan mengundi calon-calon ahli majlis tertinggi. “Senarai itu akan diedar sewaktu para perwakilan mendaftar nanti,” katanya ketika berucap di rumah bekas ADUN Chukai, Datuk Mohamad Awang Tera (gambar) malam tadi di majlisperjumpaan dengan perwakilan Umno dari DUN Chukai. Si pendek turut berkata pengiraan undi akan dibuat di tempat lain supaya tidak mengganggu perjalanan persidangan perwakilan Umno Bahagian di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) pada Sabtu ini. Menurut seorang perwakilan, apa motif pengiraan undi dibuat di tempat lain. “Adakah si pendek merancang penipuan mengira undi seperti berlaku pada calon Ketua Pemuda semalam, Along?” soal perwakilan yang enggan namanya disebut. Semalam Hazarul Ifdaz (Along) kalah teruk kepada Fikri Ibrahim (Bulat). Bulat mendapat 302 undi manakala Along mendapat 67 undi. Bulat menang dengan majoriti 235 undi. Perwakilan itu mendakwa si pendek itu yang merancang penipuan kira undi pada tahun 2008 yang menyebabkan Naib Ketua Bahagian, Datuk Mohamad Rahim Husin kalah kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid. Malah Setiausaha Bahagian, Zahari Zaid yang dapat undi popular setiap tahun turut kalah dalam pemilihan 2008 sebagai ahli jawatankuasa bahagian setelah ditipu kira undi oleh si pendek. Perwakilan itu meminta semua calon yang bertanding Sabtu ini membuat bantahan jika benar seperti kata si pendek pengiraan undi hendak dibuat di tempat lain. Pertandingan Sabtu ini amat sengit di antara Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dengan seorang bekas penghulu, Mat Dalam Awang ( gambar) bagi jawatan Menteri Besar. Ahmad Said ketika menjadi Penolong Pegawai Daerah Kemaman pada tahun 1980an pernah tewas kepada Mat Dalam Awang dalam pertandingan Pengerusi 4B Daerah Kemaman. Satu lagi pertandingan sengit pada Sabtu ini ialah di antara penyandang jawatan Naib Ketua Bahagian, Wan Ahmad Nizam Wan Hamid dengan ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar.

KEDAH DAPAT DITAWAN KERANA SHAFIE APDAL?

PETALING JAYA: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal mendakwa Kedah dapat ditawan semula pada pilihanraya umum 5 Mei lalu kerana sumbangannya. Katanya, beliau berharap perwakilan dapat menilai kemampuannya apabila BN berjaya menumbangkan PAS di Kedah. “Apakah sumbangan saya selama dua tahun setengah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah walaupun mungkin sekitar satu atau lima peratus sehingga Kedah berjaya dirampas balik?,” tanya beliau dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia semalam. Katanya lagi, beliau berharap penilaian itu akan menjadi faktor-faktor kepada perwakilan dalam menentukan kejayaan beliau mempertahankan jawatan ini. Tiada Sekatan Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar mempertahankan jawatan itu bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein. Mereka bertiga dicabar Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad, Pengerusi PUNB, Datuk Seri Ali Rustam dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir. Mengulas penyertaan Mukhriz, beliau berkata itu hak dia. “Kalau dia hendak bertanding menawarkan diri tiada sekatan tetapi seperti yang saya katakan terdapat proses-proses yang harus dilalui. Syarat-syaratnya ada. Sebab itu sebelum menawarkan diri perlu menepati syarat-syaratnya iaitu menjadi ahli selama tiga tahun atau satu penggal,” katanya. Katanya lagi, kemudian baru boleh menawarkan diri untuk menjadi Ahli Jawatankuasa Bahagian dan kemudian menawarkan diri menjadi calon di peringkat MT dan begitu juga di peringkat Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden. Ada langkah-langkahnya. Shafie seolah-olah menyindir Mukhriz apabila beliau berkata,”Dalam dunia politik ini bila kita menurut langkah-langkah yang ada prosesnya ia akan mematangkan kita. Itu jauh lebih baik. Bayangkanlah seorang ahli biasa terus menawarkan diri untuk bertanding sebagai Presiden yang mana dia tidak tahu menahu tentang perjalanan parti,”. Mukhriz yang tidak pernah menjadi ahli majlis tertinggi Umno terus menawarkan diri bertanding kerusi Naib Presiden Umno. Ditanya adakah beliau optimis menang, Shafie berkata beliau tak boleh kata yakin 100 peratus. “Kena kerja kuat. Dalam politik kita tidak boleh terlalu yakin sehinggalah hari pengundian itu tiba dan kita akan akan rasa puas kerana sudah buat yang terbaik untuk memastikan sasaran sudah dicapai,” katanya lagi. Ditanya beliau akan dapat undi padu dari Sabah setelah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman tidak bertanding jawatan Naib Presiden Umno, Shafie berkata walaupun beliau dari Sabah dan mendapat sokongan padu perwakilan Sabah pun, itu tidak bermakna beliau boleh boleh menang. “Sabah hanya mewakili 25 bahagian sahaja, sedangkan saya perlu jugasokongan daripada perwakilan negeri-negeri lain. Di seluruh negara UMNO mempunyai 191 bahagian. Calon-calon yang bertanding perlu mendapatkan sokongan lebih 100 bahagian untuk menang dalam mana-mana jawatan yang dipertandingkan baik Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden mahu pun Majlis Tertinggi,” kayanya lagi.