Rabu, Oktober 09, 2013
EMPAT ORANG TAK LAYAK BERTANDING DI KEMAMAN
KUALA TERENGGANU: Jawatankuasa Pemilihan UMNO Terengganu menyenaraikan 42 daripada keseluruhan 1,567 calon di lapan bahagian UMNO di negeri ini tidak layak bertanding peringkat bahagian dan sayap.
Pengerusinya, Datuk Muda Mamat berkata, bahagian Setiu mencatat angka tertinggi iaitu sembilan calon diikuti Kuala Nerus (lapan), Besut (tujuh), Hulu Terengganu (lima), Kuala Terengganu (lima), Kemaman (empat), Dungun (dua) dan Marang (dua).
Katanya sebahagian besar daripada 42 calon yang gagal melayakkan diri bertanding terlibat dengan masalah jaminan pinjaman dan muflis yang tidak disedari calon.
"Kalau sah tidak lepasi saringan Jabatan Insolvensi dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), terlibat berkaitan jenayah, khalwat dan sebagainya, mereka secara automatiknya akan digugurkan daripada bertanding," katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan menjelang pemilihan UMNO.
Pemilihan bagi tiga sayap parti diadakan serentak di seluruh negara Sabtu ini, manakala pemilihan peringkat bahagian dan majlis tertinggi 19 Oktober ini. - BERNAMA
Selasa, Oktober 08, 2013
KETUA CAWANGAN HARAP PENIPUAN TIDAK BERULANG
KEMAMAN: Seorang ketua cawangan Umno berharap penipuan yang berlaku sewaktu mengira undi dalam pemilihan Umno Bahagian Kemaman pada tahun 2008 tidak akan berulang pada pemilihan kali ini, Menurut beliau yang enggan namanya disebut, pengambilan pelajar Universiti Teknologi Mara (Uitm) Dungun untuk mengira undi dijangka tidak menimbulkan sebarang penipuan. “Pada tahun 2008, pengira undi dari KEMAS dikatakan bersubahat dengan penyelia kanan KEMAS (si pendek) yang membuat penipuan ketika mengira undi,” kata ketua cawangan itu lagi. Pada tahun 2008, penyandang jawatan Naib Ketua Bahagian, Datuk Mohamed Rahim Husin tewas kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam dengan majoriti yang kecil. Menurut ketua cawangan tersebut, penipuan itu dirancang oleh “si pendek” yang akhirnya dilantik sebagai Setiausaha Bahagian yang baru menggantikan Zahari Said sebagai hadiah “membunuh” karier politik Mohamed Rahim. “Yang paling mengejutkan banyak kertas undi ditemui dalam bag seorang ahli jawatankuasa wanita,” dakwa ketua cawangan itu lagi. Dalam konspirasi itu, Zahari juga kalah bertanding ahli jawatankuasa Bahagian yang jelas menunjukkan “si pendek” yang melakukan penipuan itu. Calon yang kalah buat bantahan kepada Badan Perhubungan Umno Terengganu. Badan itu mengarahkan supaya pemilihan Umno Bahagian Kemaman diadakan semula tetapi wakil perhubungan meminta supaya ia diselesaikan secara baik. Zahari selaku Setiausaha Bahagian sudah mengeluarkan surat panggilan untuk mengadakan semula pemilihan tetapi Ahmad Said selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu menggunakan kuasa vetonya supaya pemilihan itu tidak diadakan semula atas alasan pemilihan semula akan memalukan nama baik Menteri Besar kerana ia berlaku di bahagian Menteri Besar. “Kalau pada tahun 2008, pihak Bahagian sanggup menipu, apa jaminan pemilihan kali ini tiada penipuan?” tanya ketua cawangan itu. Dalam pertandingan 2008, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menang tanpa bertanding sebagai Ketua dan Timbalan Ketua Bahagian. Pada 12 Oktober ini, Shaheda Jusoh mencabar Asfalinda Razak bagi jawatan Ketua Puteri, manakala dua calon merebut jawatan Ketua Pemuda yang kosong, Mohd Hazarul Ifdaz Mohd Rahim (Along) dengan Fikri Ibrahim (Bulat) dan Che Ku Maznah mencabar Senator Rohani Abdullah bagi jawatan Ketua Wanita. Manakala pada 19 Oktober pula, Mat Dalam Awang (gambar) menentang Ahmad Said bagi jawatan Ketua Bahagian dan Wan Hakim Wan Mokhtar mencabar Wan Ahmad Nizam Wan Hamid bagi jawatan Naib Ketua Bahagian. Sementara itu Ahmad Shabery Cheek menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian. “Saya berharap pemilihan pada 12 dan 19 Oktober tidak ada lagi sebarang penipuan,” katanya lagi - See more at: http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/10/08/umno-kemaman-ketua-cawangan-berharap-penipuan-tidak-berulang/#sthash.u7qumIGi.dpuf
WANG PUNCA PENENTANGAN DI KEMAMAN
KEMAMAN: Wang dikatakan punca penentangan jawatan utama di Bahagian Kemaman. Menurut sumber, Mat Dalam Awang, 60, menentang Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bagi jawatan Ketua Umno Bahagia Kemaman berpunca dari wang ehsan. Wang ehsan yang diberi kepada rakyat Terengganu menjelang hari raya Aidilfitri tidak diberi di tiga DUN di Kemaman (Kemasik, Air Putih dan Cukai) tahun ini kecuali di DUN Kijal yang diterajui Ahmad Said. Ini yang menimbulkan kemarahan ahli Umno kepada Ahmad Said dan ia juga menjadi punca kenapa Mat Dalam mencabar Ahmad Said bagi jawatan tersebut. Ahmad Said dikatakan marah kerana BN tewas di DUN Cukai kepada calon PAS, Hanafiah Mat dengan majoriti 2,446 undi. Hanafiah mendapat 12,457 undi manakala calon BN yang juga Setiausaha Politik Menteri Besr, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid mendapat 10,001 undi. Calon Naib Ketua Bahagian, Wan Hakim Wan Mokhtar yang menentang Wan Ahmad Nizam yang membangkitkan kenapa wang ehsan tidak diberi kepada tiga DUN dalam mesuarat jawatankuasa Umno Bahagian Kemaman. Membela Dalam pertandingan 19 Oktober ini, Mat Dalam Awang menentang Ahmad Said manakala Wan Hakim yang juga ADUN Air Putih menentang Wan Ahmad Nizam. Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Ahmad Shabery Cheek pula menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian. Sementara itu sumber itu menambah wang juga punca ahli jawatankuasa Umno Bahagian, Che Ku Maznah Awang menentang Senator Rohani Abdullah bagi jawatan Ketua Wanita Umno Bahagian Kemaman pada 12 Oktober ini. Menurut sumber, Che Ku Maznah pernah membangkitkan isu wang perayu undi sebanyak RM67,000 dari Umno pusat tidak diberi kepada perayu undi di DUN Chukai manakala perayu undi di tiga DUN lain ( Air Putih, Kijal dan Kemasik) sudah dibayar. Senator Rohani berkata wang itu digunakan untuk bayar pengundi luar sedangkan peruntukan pengundi luar sudah ada. Perayu undi wanita yang tidak dibayar punca kekalahan teruk calon BN di DUN Chukai. Sumber itu berkata, Che Ku Maznah menawarkan diri menentang Ketua Wanita adalah untuk membela nasib perayu undi di DUN Chukai yang tidak diberi upah setelah penat berkempen sepanjang pilihanraya umum Mei lalu. Sejauh mana isu wang ini akan mempengaruhi undi calon Ketua Bahagan dan calon Ketua Wanita Bahagian? Jika kedua-dua calon ini menang, ini bermakna penerima wang ehsan di tiga DUN bersetuju mereka tidak diberi wang ehsan oleh kerajaan Terengganu pada tahun ini dan ini bermakna perayu undi wanita di DUN Chukai rela buat kerja tanpa bayaran. - See more at: http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/10/06/wang-punca-penentangan-di-kemaman/#sthash.x6bUYoAz.dpuf
Sabtu, Oktober 05, 2013
SAYA TAK TANDING TAPI KENA SERANG
Saya tidak bertanding sebarang jawatan pada pemilihan Umno kali ini. Kali terakhir saya bertanding ialah pada tahun 2004 jawatan ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kemaman tapi tewas 13 undi kepada AJK no 20, Tuan Chik Tuan Muda. Saya dapat nombor 23 selepas Cikgu Najib, Haji Yahya Mohamad.Yang peliknya saya diserang oleh sipendek di sebuah kedai di Chukai empat hari lepas seolah-olah saya turut bertanding kali ini.Kenapa si pendek marah sangat kepada saya? Adakah kerana saya mengiringi Tok Mulu Dalam mengambil borang pencalonan Ketua Bahagian? Kebetulan pagi itu saya minum dengan Tok Mulu Dalam. Dia ajak saya pi temankannya ke pejabat Umno. Maka saya pergilah. Apa salahnya saya temankan Tok Mulu Dalam ambil borang. Bukannya saya taja Tok Mulu Dalam menentang Datuk Seri Ahmad Said. Keputusan Mat Dalam menentang MB tidak kena mengena dengan saya. Si pendek kata saya munafik kerana janji nak derma kepada Pemuda Umno pada tahun 1994 tetapi tidak tunaikan janji. Kenapa peristiwa lama ini diungkitkan semula? Memang betul saya janji nak beri derma tapi ketika itu saham Hicom saya hangus apabila BSKL merudum. Saya cagarkan 10 lot saham saya di BSKL terus kerugian dan tak dapat berbuat demikan. Kenapa si pendek ungkitkan cerita ini. Bukannya saya lawan MB.Saya pula yang jadi mangsa. Saya tak tunaikan janji kerana keadaan yang memaksa demikian. Apabila Tun Daim Zainuddin umumm bahawa beliau tidak ada kena mengena dengan mana-mana saham, maka BSKL terus merudum dan ada orang Cina yang bunuh diri. Saya yang main saham juga terus kehilangan 10 lota saham Hicom saya. Si pendek berkata Ahmad said yang lantik saya Ketua Penerangan Pemuda pada tahun 1995. Untuk makluman si pendek, saya menang AJK pemuda no 7 mendapat undi yang sama banyak dengan Wan Ahmad Nizam. Kalau Ahmad Said tak lantik saya Ketua Penarangan, saya tetap ajk pemuda. Sebaliknya si pendek kalah dalam pertandingan itu tetapi dilantik sebagai AJK lantikan. Jadi siapa yang hebat pada tahun 1995? saya atau si pendek? Tanding ajk pemuda pun kalah. Saya dituduh munafik tapi saya bangga kerana saya tidak sapu duit maulud nabi. Semua orang Kemaman tahu kisah si pendek selaku penyelia kanan KEMAS sapu duit maulud nabi. Yang lucunya bekas girlfriendnya yang report kepada SPRM. Kita tunggulah SPRM mendakwa si pendek di mahkamah nanti. Tulisan ini bukan bertujuan untuk mempertahankan saya . Tetapi oleh kerana saya diserang, maka saya berhak memberi penjelasan. Tak payahlah serang saya kerana saya bukan bertanding. Sepatutnya seranglah Mat Dalam Awang yang menentang MB.
Isnin, September 30, 2013
WAN AHMAD NAFI CAMPURTANGAN PEMILIHAN UMNO
Saya selaku Ketua Pegawai Esksekutif Terengganu Inc berasa amat dukacita di atas beberapa tuduhan ke atas diri saya berkaitan pertandingan dalam pemilihan umno di peringkat Bahagian di negeri Terengganu sebagaimana dipaparkan melalui beberapa banner di beberapa lokasi di negeri ini dan kemudiannya disebarkan lagi melalui laman social (FB) tertentu.
Saya telah mengesan bahawa terdapat sekumpulan facebooker yang telah menaikkan banner dalam facebook mereka dimana kandungannya mempunyai unsur fitnah terhadap saya.
Kandungan banner tersebut juga mempunyai unsur hasutan dimana boleh menyebabkan masyarakat memandang serong kepada saya dan seterusnya menjatuhkan kredibiliti saya sebagai ketua pegawai eksekutif Terengganu Incorporated Sendirian Berhad. Pemilik-pemilik akaun facebook di atas telah menaikkan (upload) banner berkenaan ke facebook mereka serta menyebarkan (tag) kepada rakan-rakan facebook mereka yang mana rakan-rakan facebook berkenaan pula membuat pelbagai komen dan ada antaranya juga memfitnah dan menghasut.
Saya juga menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dan fitnah yang dibuat ke atas diri saya sebagaimana dalam banner berkenaan dan perbuatan sedemikian telah menjejaskan kredebeliti saya selaku Ketua Pegawai Eksekutif serta menjatuhkan maruah diri saya serta keluarga. Sehubungan dengan itu saya telah membuat laporan polis pada 25 Sptember 2013 bagi tujuan siasatan pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya menurut saluran undang-undang negara kepada pihak yang terbabit . Seterusnya saya sendiri melalui peguam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terbabit mengaitkan saya dalam pekara sebagaimana tuduhan dan fitnah itu.
Suka saya menjelaskan pertandingan dan proses menawarkan diri dalam pimpinan Umno adalah hak individu tertentu selaras dengan amalan demokrasi dalam parti itu dan tidak kena mengena sama sekali dengan arahan dan permintaan saya.
Contohnya di Bahagian Besut, sebagaimana yang dilaporkan oleh media, pertukaran Ketua Bahagian adalah atas kehendak YB Dato’ Seri Haji Idris Jusoh sendiri selaku Ketua Bahagian bagi memberi laluan kepada pemimpin baru bagi tujuan proses meremajakan Umno, sebagaimana kenyatatannya dalam Berita Harian pada 23 September 2013 menyatakan “Secara peribadi saya tegaskan saya sentiasa memberi peluang dan ruang kepada pemimpin pelapis untuk menerajui pucuk pimpinan UMNO Besut”.
Di Bahagian Kemaman pula, YAB Dato’ Seri Haji Ahmad Said sendiri selaku Ketua Bahagian UMNO tersebut dicabar bagi jawatan itu.
Kalau berdasarkan tuduhan ke atas diri saya yang mencampuri urusan pencalonan di setiap bahagian, bermakna saya juga menaja calon yang mencabar Ketua Bahagian Kemaman itu. Adakah logik untuk saya menaja dengan menyalur peruntukan kepada Bahagian berkenaan bagi pertandingan Ketua Bahagian tersebut? Oleh itu jelaslah bermakna segala tuduhan ke atas diri saya yang disebarkan itu adalah tidak berasas dan tidak munasabah sama sekali, malah merupakan fitnah ke atas diri saya serta mempunyai unsur hasutan supaya masyarakat membenci saya. Bagi Bahagian Hulu Terengganu, banner berkenaan menuduh saya menaja Yang Berhormat Rozi Mamat bertanding jawatan Ketua Bahagian manakala Yang Berhormat Cikgu Razali ADUN Ajil sebagai naib ketua. Perkara ini tidak menjadi kenyataan bila Rozi hanya mempertahankan jawatan Timbalan Ketua Bahagian menakala Razali tidak bertanding.
Sebaliknya Ahli Parlimen Hulu Terengganu menawar diri untuk bertanding jawatan Ketua Bahagian mencabar ADUN Kuala Berang, Tengku Putera yang mempertahan jawatan tanpa pengaturan daripada saya, menakala Yusof Awang Hitam pula mempertahankan jawatan naib ketua.
Saya difahamkan bahawa terdapat mereka yang tidak bertanggung jawab dan “desperate” menuduh saya bertemu YB. Datuk Jailani Johari kononnya bagi memberi arahan untuk beliau bertanding jawatan Ketua Bahagian Hulu Terengganu.
Siapalah saya berbanding dengan YB. Timbalan Menteri untuk mengarahkan beliau bertanding? Sebaliknya sayamemang pernah bertemu Timbalan Menteri itu atas kapasiti saya selaku Pengerusi Radio Manis Fm Terengganu bagi memohon bantuan beliau untuk mendapatkan lesen meluaskan siaran radio Manis Fm ke seluruh Negara yang telah ditolak sebelum itu.
Begitulah juga pertandingan di Umno Bahagian-bahagian lain di negeri ini adalah berlaku atas kehendak individu itu sendiri, berdasarkan tempat masing masing tanpa permintaan mahupun arahan saya serta peruntukan dari saya sebagaimana yang disebarkan itu.
Semoga dengan penjelasan dan kenyataan saya ini dapat memperbetulkan keadaan yang sebenar serta tidak mengeruhkan keadaan yang boleh membangkitkan pra sangka buruk, silap faham dan sebagainya yang menjejaskan hubungan di antara satu sama lain atau dalam erti kata lain boleh mengkucar kacirkan keadaan yang merugikan masyarakat, Umno dan kerajaan.
DATUK WAN AHAMAD WAN MUDA
Jumaat, September 27, 2013
SURAT SITI HAJAR KEPADA PM
Assalamualaikum Dato’ seri.. Tujuan saya menulis surat ini adalah sebagai seorang anak Malaysia yang ingin negaranya membangun dan mengurangkan kemiskinan di negara sendiri.. Beberapa isu ingin saya ketengahkan kepada Dato’ Seri dan saya berharap apa yang saya perkatakan ini memberi idea dan impak kepada semua rakyat Malaysia. Saya menulis surat ini adalah sifat keberanian dalam diri saya dimana saya ingin menjadikan Malaysia ini sebuah Negara Membangun Pesat bukan Negara Yang Sedang Membangun.
Sejak akhir-akhir ini isu minyak diperkatakan. Ada yang mengatakan negara-negara jiran kita lebih mahal minyak jika dibandingkan di Malaysia. Ya. Saya setuju tentang kenyataan itu tetapi idea untuk menaikkan harga minyak adalah sesuatu yang memang terang lagi bersuluh bukan idea yang bijak. Jika hari ini kerajaan telah menaikkan harga minyak sebanyak 20 sen, ia bukan sekadar memberi impak kepada golongan muda sahaja tetapi juga golongan miskin dan juga seluruh rakyat Malaysia. Hari pertama harga minyak naik, food court ditempat kerja saya menaikkan harta roti sebanyak 30 sen. Lihat! Impak terhadap kenaikan minyak. Tetapi jika satu hari nanti harga minyak turun walaupun sebanyak 50 sen sekalipun, harga roti yang naik 30 sen ketika harga minyak naik akan kekal sama dan tiada pengurangan. Mungkin ianya kecil pada mata orang-orang yang kaya nilai 20 sen itu tetapi ia cukup berharga kepada kami yang baru sahaja memulakan kehidupan.
Perjalanan hidup saya masih jauh. Umur baru 27 tahun.Belum berkahwin. Tetapi saya dah rasakan bebanan yang saya akan hadapi untuk 10 tahun akan datang. Bagaimana pula sahabat-sahabat saya yang sebaya dengan saya, yang telah berumahtangga? Pasti mereka lebih terbeban akibat krisis kenaikan harga minyak. Boleh dikatakan golongan muda belia ini sangat diperlukan bagi menjamin kesejahteraan Negara pada masa akan datang, tetapi saya tidak nampak bagaimana kami mampu memajukan Negara sedangkan saya sendiri rasa ianya satu penindasan ke atas kami. Apa yang dikatakan penindasan?
Mengenai BR1M. Pada mereka yang diberikan BR1M, pasti mereka akan gembira. Kenaikan BR1M telah memberi impak positif yang besar kepada kerajaan kerana kerajaan telah melaksanakan sebahagian tanggungjawab untuk membantu rakyat, tetapi pada masa yang sama kenaikan harga memberi impak negatif yang lebih besar kepada seluruh rakyat Malaysia baik yang menerima BR1M atau tidak. Mengapa tidak bajet BR1M itu digunakan bagi memberi subsidi minyak?
Kerajaan mengatakan bahawa pemberian BR1M kepada rakyat bagi mengurangkan bebanan terhadap mereka yang berpendapatan rendah. Tetapi saya tidak nampak semua itu. Seperti saya katakan tadi, apabila harga minyak melambung, maka harga barang juga turut melambung. Jadi pemberian itu tidak memberi makna apa-apa terhadap rakyat. Ia umpama buruk siku. Lepas bagi, ambil balik.
Dato Seri,
Kadang-kadang saya terfikir, apakah keistimewaan saya sebagai rakyat Malaysia? Adakah hanya sekadar penyumbang ekonomi negara tanpa mendapat sebarang kebaikan daripada negara sendiri? Gaji saya di dalam golongan middle income (RM3,000 – RM5,000). Saya tidak layak menerima BR1M malah saya juga di dalam kategori pembayar tax kepada kerajaan. Golongan middle income pada hari ini masih sukar untuk membeli rumah kerana kos sara hidup yang tinggi. Apakah keistimewaan kami yang mana suatu hari nanti bakal menerajui negara sendiri?
Seterusnya pula, Boleh dikatakan golongan lepasan Ijazah yang belum berkahwin, gaji permulaan bermula RM2200. Maka mereka tidak layak untuk menerima BR1M. Syarat untuk menerima BR1M bagi individu adalah bawah RM2000. Manakala bagi mereka yang telah berkahwin dibawah RM3000. Walaupun gaji mereka Bawah RM3000 dan layak untuk menerima BR1M, ia masih tidak mencukupi kerana mereka ada tanggungan yang perlu ditanggung bukan setakat anak isteri tetapi juga pinjaman pembiayaan pelajaran. Untuk memulakan hidup, saya pasti Dato’ Seri pun tahu bagaimana gigihnya seseorang untuk menanggung keluarga.
Beban atas kenaikan minyak amat dirasai pada golongan kami.
Gaji kasar : RM2300 (fresh graduate)
Gaji bersih : RM2032 (masih tidak layak menerima BR1M)
Kereta : RM 400 (Kawasan yang sukar mendapatkan public transport seperti di kawasan Damansara, maka kami memerlukan kereta)
Tol: RM1.60 x 2 kali sehari : RM 3.20 x 23 hari = RM73.60 (melalui LDP, masih tidak menerima 20% rebate touch n go)
Parking : 23 hari x RM5 = RM115
Minyak : RM 12 x 23 hari = RM230 (dari Taman Melati ke Damansara dan untuk ke kerja sahaja)
Sewa : RM 200 (paling murah di Kuala Lumpur untuk satu bilik)
PTPTN : RM150 (minimum)
Makan untuk sebulan = RM 450 (sehari RM15)
Ibu Ayah = RM200
Baki : RM2032 – RM400 – RM73.60 – RM115 – RM230 – RM200 – RM150 – RM450 – RM200
TOTAL BAKI : RM213.40
Ini apa yang pernah saya lalui. Tak dinafikan ada juga beberapa bulan saya tidak dapat membayar PTPTN apabila dalam keadaan yang terdesak seperti memperbaharui roadtax dan insurans kereta dan apabila hari Raya menjelma. Dua keadaan yang perlu dilalui yang memerlukan duit tambahan.
Apabila kita melihat baki bulanan yang sebanyak RM213.40, maka pembelian rumah untuk kami memang jauh sekali. Cuba Dato’ Seri lihat harga rumah pada hari ini. Di Taman Melati, Setapak harga rumah bagi 660 sqf adalah RM150,000 dan interest rate sebanyak 4% untuk 30 tahun,maka setiap bulan perlu membayar RM717. Bagaimana golongan belia pada hari ini mahu memangkin ekonomi masa hadapan? Sedangkan perlaburan terbaik datangnya daripada Pelaburan Hartanah.
Saya telah kira RM213 hanya mampu membeli rumah berharga RM40,000 dengan interest rate sebanyak 4% untuk 30 tahun. Bagaimana kami mampu membantu menjana ekonomi Negara sedangkan gaji kami hanya mampu membayar rumah RM40,000 sahaja? Dan dimanakah rumah yang berharga RM40,000 ini? Di kawasan pedalaman yang memang tidak boleh untuk membuat pelaburan. Kita perlu melihat ke hadapan. 10 tahun akan datang, kami golongan belia bakal menerajui Malaysia. Tetapi ianya tak akan berjaya jika pihak atasan tidak memandang idea dan mendengar suara kami.
Seterusnya lagi, berkaitan tentang gaji lepasan Ijazah dan diploma. Boleh dikatakan kebanyakan syarikat swasta tidak mahu membayar gaji mengikut qualification yang kami ada. Mereka menganggap kami lepasan ijazah sama seperti lepasan SPM. Gaji yang ditawarkan tidak sepadan dengan gaji yang sepatutnya. Alhamdulillah, saya bekerja di sektor GLC dan gaji yang saya perolehi dianggap memuaskan. Tetapi bagaimana rakan-rakan saya dan belia lain pula? Nasib mereka tidak seperti saya. Saya mencadangkan Dato’ Seri melihat bagaimana pekerja di US. Mungkin US telah maju sekarang ni. Kita buat perbandingan di negara Australia menerima gaji bulanan bagi lepasan ijazah. Sangat berbeza jika dibandingkan di negara kita.
Seterusnya, mengenai status penjawat awam mahupun swasta. Ini masalah yang besar kami hadapi. Kebanyakan syarikat-syarikat baik GLC mahupun Semi- Government mahupun swasta, mereka akan menetapkan setahun kontrak dan selepas itu diserap menjadi penjawat tetap dan ada juga sesetengah syarikat langsung tidak menjadikan penjawat tetap malah akan kekal sebagai penjawat kontrak. Apa masalah yang ingin saya ketengahkan ini adalah berkaitan dengan pinjaman perumahan yang amat sukar. Walaupun sebelum ini telah lama bekerja tetap dan selepas itu mendapat tawaran lebih baik tetapi ianya kontrak, apabila membuat pinjaman perumahan, ia akan ditolak atas alasan pekerja kontrak. Maka harga rumah semakin hari semakin meningkat. Jika ingin menunggu setahun kemudian setelah disahkan penjawat tetap, harga rumah itu juga telah melambung tinggi dan kami tidak dapat membelinya. Ini masalah yang saya hadapi sekarang ini.
Saya sebagai seorang rakyat Malaysia dan juga sebagai seorang yang berpegang kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional, saya merayu agar Dato’ Seri dapat memikirkan masalah yang kami hadapi sekarang ini. Sebagai pemimpin disegani di seluruh dunia, saya pasti Dato’ Seri mampu mengubah dan memperbetulkan apa yang dirasakan membebankan kami.
Terima kasih
Ikhlas,
Siti Hajar binti Aladin
Selasa, September 24, 2013
WAN HAKIM CETUS GERAKAN TRANSFORMASI?
KEMAMAN: Transformasi hendaklah bermula dari cawangan. Tetapi apabila ia bermula di Bahagian, ia sepatutnya bermula dari jawatan Ketua Bahagian.
Sebaliknya ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar, 45, menggunakan slogan “Gerakan Pencetus Transformasi” dalam pertandingan Naib Ketua Bahagian Umno Kemaman pada 19 Oktober depan.
Beliau akan melawan penyandang, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.
Ahmad, 57, dicabar bekas penghulu, Mat Dalam Awang, 60, bagi jawatan Ketua Bahagian. Sepatutnya Mat Dalam yang mencetuskan transformasi ini. Sebaliknya Wan Hakim yang menggunakan slogan ini.
Wan Ahmad Nizam adalah proksi Ahmad Said tetapi Wan Hakim bukanlah proksi Mat Dalam. Mat Dalam dan Wan Hakim bukannya beregu dalam pemilihan 19 Oktober. Mereka bergerak berasingan.
Hanya jawatan Timbalan Ketua Bahagian yang disandang Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menang tanpa bertanding. Ahmad Shabery rasa lega kerana beliau tak perlu fikir soal pertandingan di Bahagian sebaliknya menumpukan pertandingan di peringkat majlis tertinggi.
Pada zaman Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menjadi Ketua Bahagian, jawatan utama parti sudah diatur. Tetapi bermula dari tahun 2000, jawatan utama di Umno Kemaman sudah tidak diatur lagi.
Ahmad Said memecahkan tradisi ini apabila beliau selaku Naib Ketua Bahagian mencabar Pemangku Ketua Bahagian, Datuk Abu Bakar Ali. Dalam pertandingan berakit itu, Ahmad menang bersama Ahmad Shaery Cheek (timbalan) dan Datuk Md Rahim Husin (naib ketua).
Pada tahun 2004, ketiga-tiga penyandang jawatan utama, Ahmad Said, Ahmad Shabery Cheek dan Md Rahim menang tanpa bertanding. Pada tahun 2008, Ahmad Said dan Ahmad Shabery mengekalkan lagi jawatan tanpa bertanding.
Sebaliknya Wan Ahmad Nizam, Ketua Pemuda bahagian yang sudah habis umur pemuda menentang Md Rahim. Wan Ahmad Nizam yang tidak terpilih sebagai calon BN di Air Putih menang kerana beliau adalah Setiausaha Politik Menteri Besar.
Pada pilihanraya umum 5 Mei lalu, Wan Ahmad Nizam tewas di DUN Cukai. Ini yang mendorong Wan Hakim yang kekal sebagai ADUN Air Putih buat penggal kedua mencetuskan gerakan transformasi dengan menentang Wan Ahmad Nizam bekas bossnya.
Wan Hakim adalah lulusan Ijazah Sarjana muda Sains Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat (Ivy League) pada tahun 1991. Beliau memperolehi ijazah Sarjana (MBA) dari Universiti London, England pada tahun 1992.
Sebelum menceburi politik pada tahun 1997 sebagai Ketua Pemuda Umno cawangan Chukai,beliau adalah seorang ahli perniagaan di Kuala Lumpur. Pada tahun 2000, selepas Wan Ahmad Nizam menang jawatan Ketua Pemuda, beliau melantik Wan Hakim sebagai Bendahari Pemuda.
Pada tahun 2008, Datuk Seri Idris Jusoh selaku Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu memilih Wan Hakim sebagai calon DUN Air Putih menggantikan Wan Ahmad Nizam yang menjadi wakil rakyat selama sepenggal sahaja.
Wan Hakim tidak menyokong Ahmad Said ketika krisis Menteri Besar selepas pilihanraya umum 2008 kerana beliau terhutang budi kepada Idris yang memilihnya sebagai calon BN. Ahmad Said selaku Ketua Bahagian memang mahu Wan Ahmad Nizam kekal sebagai calon DUN Air Putih.
Menjelang pilihanraya umum 2013, Wan Hakim dikatakan ditawarkan Ahmad Said bertanding di DUN Chukai (kawasan lama ayahandanya) tetapi beliau enggan berpindah ke situ kerana mahu kekal di Air Putih yang merupakan kerusi selamat.
Maka Ahmad Said terpaksa meletakkan Wan Ahmad Nizam di DUN Chukai yang menyebabkan Wan Ahmad Nizam kalah teruk di tangan calon PAS, Hanafiah Mat yang menang dengan majoriti 2,446 undi.
Percaturan politik Wan Hakim memang bijak. Kalau beliau berpindah ke DUN Chukai, beliau juga akan menerima nasib yang sama seperti Wan Ahmad Nizam.
Nama Wan Hakim disebut akan dilantik sebagai Exco baru selepas Ahmad Said dikekalkan sebagai Menteri Besar buat penggal kedua tetapi nama ADUN Kemasik, Ir Rosli Othman yang naik sebagai Exco mewakili Bahagian Kemaman. Kononnya Sultan Mizan tidak perkenan nama Wan Hakim sebagai Exco mewakili Bahagian Kemaman, maka Wan Hakim kekal sebagai ADUN biasa.
Wan Mokhtar sentiasa menang tanpa bertanding sebagai Ketua Bahagian. Pada tahun 1998, Wan Mokhtar mahu dicabar Naib Ketua Cawangan Lot Seri Jaya, Mukhatar Abdul Rahman bagi jawatan Ketua Bahagian tetapi majlis tertinggi Umno memutuskan semua ahli majlis tertinggi tidak boleh dicabar maka selamatlah Wan Mokhtar.
Kepimpinan Wan Mokhtar di Bahagian Kemaman tidak pernah teruji. Nampaknya Wan Hakim lebih berani dari Wan Mokhtar yang mencabar penyandang Naib Ketua Bahagian, Wan Ahmad Nizam.
Ia adalah pertandingan kalah mati kerana jika beliau kalah kedudukannya sebagai calon Air Putih dalam pilihanraya umum akan datang sudah tentu berakhir, Sebaliknya kalau beliau menang dalam pertandingan ini, kerusi Air Putih kekal buat penggal ketiga pada pilihanraya umum 2018.
Wan Hakim berani melawan arus dengan menentang proksi Ahmad Said. Siapakah yang jadi pilihan perwakilan Umno Bahagian Kemaman pada 19 Oktober ini? Adakah wakil rakyat (Wan Hakim) atau bukan wakil rakyat (Wan Ahmad Nizam)?
Mampukah Wan Ahmad Nizam mengikut jejak langkah bossnya, Ahmad Said? Pada tahun 2000, Ahmad Said bukan wakil rakyat tetapi berjaya mengalahkan ADUN Kemasik, Abu Bakar Ali dengan majoriti nipis. Mampukah Wan Ahmad Nizam mengekalkan jawatannya walaupun beliau bukan wakil rakyat? Terpulang kepada perwakilan untuk menentukan nasib mereka.
Selasa, September 17, 2013
KETUA BAHAGIAN KEMAMAN: ANTARA GAJAH DENGAN SEMUT MERAH
KEMAMAN: Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata beliau tidak gentar jika jawatannya selaku Ketua Umno Bahagian Kemaman dicabar pada pemilihan parti bulan depan.
“Itu demokrasi. Terserah kepada perwakilan,” katanya kepada Bernama di Kuala Terengganu semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus mengenai perkara itu. Sabtu lalu bekas Penghulu mukim Jabor, Mat Dalam Awang telah mengambil borang pencalonan di Pejabat Umno Bahagian Kemaman untuk menentang Ahmad Said.
Dalam FMT bertarikh 13 September lalu Mat Dalam berkata menentang MB adalah fardhu kifayah.
Kali keempat
Dalam sejarah politik Ahmad Said, ini adalah kali keempat beliau dicabar. Pada tahun 1993, beliau selaku ADUN Kijal bertanding jawatan Ketua Pemuda Bahagian yang disandang Allahyarham Nazri Salleh. Ahmad Said menang dalam pertandingan tiga penjuru itu yang turut disertai seorang ahli perniagaan, Md Rahim Husin.
Perwakilan memilih beliau kerana Allahyarham Nazri dianggap menderhaka kepada Ketua Bahagian, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang juga Menteri Besar Terengganu. Lagi pun Ahmad adalah wakil rakyat sedangkan Nazri dan Md Rahim bukan wakil rakyat.
Pada pemilihan 1995, Ahmad Said yang sudah jadi Exco Kerajaan Negeri Terengganu menang jawatan Ketua Pemuda Bahagian tanpa bertanding. Pada tahun 1998, Ahmad dipilih Naib Ketua Bahagian setelah ditentang Tuan Kecil Tuan Tengah. Pada waktu yang sama Wan Mokhtar melantik beliau sebagai Setiausaha Umno Bahagian.
Pada tahun 2000, Wan Mokhtar bersara dari politik. Ahmad yang dipecat Setiausaha Bahagian oleh Pemangku Ketua Bahagian, Datuk Abu Bakar Ali (ADUN Kemasik) mencabar Abu Bakar yang menyebabkan Ahmad menang dalam pertandingan berakit itu. Ahmad membawa balik Ahmad Shabery Cheek (yang kalah bertanding Ketua Pemuda pada tahun 1998) menentang regu Abu Bakar, Allahyarham Nazri bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian.
Ahmad yang kalah dalam pilihanraya umum 1999 berjaya mengalahkan ADUN Kemasik, Abu Bakar Ali. Pada tahun 2004, beliau menang tanpa bertanding sebagai Ketua Bahagian buat penggal kedua. Pada tahun 2008, beliau juga menang tanpa bertanding sebagai Ketua Bahagian buat penggal ketiga.
Berakit
Pada 19 Oktober ini, ini adalah kali keempat Ahmad ditentang dalam karier politiknya. Kali ini oleh bekas Pengerusi Tetap Umno Bahagian, Mat Dalam Awang yang pernah berakit dengan Ahmad Said pada tahun 2000 dahulu.
Begitulah politik. Tidak ada kawan yang kekal dan musuh yang abadi. Pada tahun 2000, Mat Dalam mengalahkan regu Abu Bakar Ali, Datuk Ismail Said dengan majoriti satu undi bagi jawatan Pengerusi Tetap. 13 tahun kemudian, Mat Dalam berentap dengan ketua rakitnya sendiri, Ahmad Said bagi jawatan Ketua Bahagian.
Yang menariknya Ahmad pernah menjadi timbalan kepada Mat Dalam ketika beliau menjadi Pengerusi Belia 4B Daerah Kemaman dahulu. Sudah tentu cabaran Mat Dalam terhadap Ahmad kali ini dianggap sebagai antara gajah dengan semut merah kerana Ahmad sudah menjadi Menteri Besar Terengganu (gajah) sedangkan Mat Dalam orang biasa (semut merah).
Ahmad Said adalah orang yang sering bernasib baik dalam politik. Pada pilihanraya kecil DUN Kijal, nama Ahmad tiada dalam senarai Ketua Bahagian, Wan Mokhtar yang juga Menteri Besar sebagai calon BN. Wan Mokhtar mahu Cikgu Johar Yusof jadi calon tetapi didesak Special Branch (SB) untuk meletakkan Ahmad sebagai calon BN kerana Semangat 46 sudah menamakan Ahmad Shabery Cheek sebagai calonnya. SB berhujah jika BN meletakkan Cikgu Johar maka Semangat 46 akan menang.
Melobi
Pemangku Penyelaras DUN Kijal, Haji Khalid Karim yang main peranan penting untuk melobi Ahmad sebagai calon BN berkata Wan Mokhtar memang tak suka Ahmad kerana Ahmad suka bertumbuk. Maka Wan Mokhtar tiada pilihan terpaksa meletakkan Ahmad sebagai calon BN pada pilihanraya kecil tersebut kerana kalau letak Cikgu Johar, BN kalah.
Ahmad bijak dalam percaturan politiknya. Dari orang yang tidak disukai Wan Mokhtar kepada orang yang paling disayangi Wan Mokhtar. Pada tahun 1992, Ketua Pemuda Umno Kemaman, Allahyarham Nazri bersikap derhaka kepada Wan Mokhtar apabila menyokong tindakan Pemuda Umno Negeri diketuai Idris Jusoh menentang kepimpinan Wan Mokhtar.
Inilah peluang terbaik untuk Ahmad Said mempertahankan Wan Mokhtar. Ahmad ditaja untuk menjatuhkan Nazri dalam pertandingan Ketua Pemuda Bahagian pada tahun 1993. Ahmad menang dan akhirnya dilantik Ketua Pemuda Negeri.
Pada tahun 1995 beliau dilantik Exco Kerajaan Negeri. Pada tahun 1999, Ahmad Said menganggur sepenggal apabila kalah dalam pilihanraya umum pada tahun tersebut. Pada tahun 2004, beliau menang di Kijal dan dilantik Exco Kerajaan Negeri di bawah Menteri Besar baru, Datuk Seri Idris Jusoh.
Sekali lagi nasib menyebelahi Ahmad Said pada tahun 2008 apabila Sultan Mizan tidak berkenan nama Idris diangkat pucuk pimpinan sebagai Menteri Besar yang baru.
Dicantas
Oleh kerana semua Ketua Bahagian sudah dicantas Idris seperti Datuk Rosli Mat Hassan(Dungun), Datuk Wan Farid Wan Salleh (Kuala Terengganu), Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Hulu Terengganu) dan Datuk Rahman Bakar (Marang) manakala Datuk Md Jidin Shafee (Kuala Nerus) dan Datuk Nasir Ibrahim Fikri (Kuala Nerus) tidak boleh menjadi Menteri Besar kerana mereka adalah ahli parlimen, maka Sultan Mizan tidak ada pilihan melantik Ahmad ,Ketua Umno Bahagian Kemaman sebagai Menteri Besar yang baru.
Menjelang pilihanraya umum 2008, Idris turut menggugurkan nama Ahmad sebagai calon BN tetapi Ahmad sempat menemui Pak Lah maka beliau kekal bertanding di DUN Kijal. Idris mahu Mufti Terengganu, Datuk Ismail Yahya sebagai calon tetapi itulah nasib Ahmad yang selalu menyebelahinya.
Pada tahun 2013, BN menang 17 kerusi dan pembangkang menang 15 kerusi. Perlantikan Menteri Besar sekali lagi jadi spekulasi. Ahmad dikatakan tidak akan dilantik Menteri Besar. Nama Tengku Putera dan Md Jidin disebut sebagai Menteri Besar yang baru. Tapi nasib menyebelahinya sekali lagi. Beliau kekal sebagai Menteri Besar Terengganu buat penggal kedua walaupun ada khabar angin yang mengatakan beliau hanya Menteri Besar setahun sahaja.
Bagaimana pula nasib Ahmad Said pada 19 Oktober ini? Mampukah beliau mempertahankan jawatan Ketua Bahagian? Di atas kertas memang sukar Mat Dalam mengalahkan Ahmad Said tetapi berapa banyak undi yang dipungut Mat Dalam menunjukkan bahawa ada undi protes kepada Menteri Besar.
Tiga kali bertanding, Ahmad menang sebagai Ketua Pemuda, Naib Ketua Bahagian dan Ketua Bahagian dengan undi 60 peratus sahaja. Ini bermakna 40 peratus perwakilan masih menolak Ahmad Said. Dengan senario di atas, maka jika Mat Dalam dapat undi 40 peratus, Mat Dalam sudah menang dalam kalah dan Ahmad Said sudah kalah dalam menang.
Turut baca
Menentang MB adalah fardhu kifayah
Umno Kemaman: Semua jawatan utama ditandingi (dipetik dari www.freemalaysiatoday.com)
Jumaat, September 13, 2013
MENENTANG MB ADALAH FARDHU KIFAYAH
KUALA LUMPUR: Tepat ramalan FMT pada 4 September lalu bahawa seorang tokoh politik veteran dijangka mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Kemaman.
FMT pada hari tersebut menulis tanpa menyebut nama tokoh tersebut, sumber itu berkata beliau akan membuat kejutan pada 19 Oktober nanti walaupun beliau tahu peluang untuk menang adalah sukar.
Hari ini tokoh berkenaan, Mat Dalam Awang (gambar) mengesahkan bahawa beliau akan mencabar Ahmad Said untuk menyelamatkan Umno Terengganu dari kecundang dalam pilihanraya umum ke 14 kelak.
“Walaupun ditakdirkan nanti saya tewas setidaknya saya telah melaksanakan fardhu kifayah untuk semua ahli Umno Terengganu,” kata beliau kepada FMT ketika ditemui di Restoran Nagas berhampiran PWTC pagi ini.
Beliau pernah mengejutkan ahli Umno Kemaman pada tahun 2008 apabila beliau memutuskan untuk menentang Timbalan Ketua Umno Bahagian, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang juga Menteri Belia dan Sukan ketika itu.
Namun demikian,beliau tidak jadi bertanding kerana tidak cukup pencalonan yang menyebabkan Ahmad Shabery menang tanpa bertanding.
Beliau yang juga bekas Pengerusi Tetap Umno Bahagian berkata rakyat sudah hilang kepercayaan kepada Menteri Besar apabila 15 kerusi DUN BN tewas dalam pilihan raya umum lalu.
“Kalau kita tak berani berubah,ini bermakna BN Terengganu akan kecundang dalam pilihanraya umum 2018,” katanya.
Beliau berkata biarlah beliau mengorbankan diri untuk menyelamatkan Umno dari kehilangan kuasa memerintah negeri.
“Kehilangan 15 kerusi BN bermakna rakyat Terengganu telah memberi amaran keras kepada BN,” dakwanya lagi.
Sehubungan dengan itu, beliau yang pernah menjadi Pengerusi Belia 4B Daerah Kemaman menegaskan jika orang Umno masih berdiam diri, masih takut berkata benar, masih membiarkan amalan kroni dan rasuah terus berleluasa maka tidak mustahil Umno dan BN akan dihukum oleh rakyat Terengganu pada pilihanraya umum akan datang.
“Kalau dahulu Umno pernah mengidap penyakit di kaki maka kepala akan memikirkan bagaimana hendak mengubatinya, tapi hari ini Umno sudah mengidap sakit di kepala, anggota mana lagi yang boleh memikirkan untuk mengubatinya?” soal beliau.
Turut baca
Umno Kemaman: Semua jawatan utama ditandingi (www.freemalaysiatoday.com)
SEMUA JAWATAN UTAMA DI KEMAMAN DICABAR
Umno Bahagian Kemaman dijangka menyaksikan tiga jawatan utamanya dicabar Oktober ini.
Menurut sumber, seorang tokoh politik veteran dijangka mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bagi jawatan Ketua Bahagian.
Tanpa menyebut nama tokoh tersebut, sumber itu berkata beliau akan membuat kejutan pada 19 Oktober nanti walaupun beliau tahu peluang untuk menang adalah sukar.
Sumber itu menambah, jika tokoh veteran itu jadi menentang Ahmad Said, ini bermakna Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu itu gagal mengawal ahlinya supaya menjadikan Umno Kemaman sebagai contoh kepada tujuh bahagian lain di Terengganu.
Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Ahmad Shabery Cheek pula dijangka menerima cabaran daripada seorang ahli perniagaan bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian.
Cabaran dari ahli perniagaan itu dikatakan direstui Ahmad Said kerana Ahmad Shabery dijangka mencabar Ahmad Said pada tahun 2016 jika benar Ahmad Said dikekalkan Menteri Besar untuk satu tahun sahaja.
Sumber itu menambah, maka politik Ahmad Shabery perlu dimatikan pada 19 Oktober jika Ahmad Said mahu kekal sebagai Ketua Bahagian pada tahun 2016.
Manakala bagi jawatan naib ketua pula, ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar (gambar) dikatakan akan mencabar Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid.
Sumber itu memberitahu FMT bahawa Wan Hakim dikatakan mendapat sokongan daripada Ahmad Shabery yang mahu melihat karier politik Setiausaha Politik Menteri Besar itu berakhir.
Manakala Mohd Hazarul Ifdaz Mohd Rahim,29, dijangka menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda yang dikosongkan oleh Hisham Zubir.
Hisham dikatakan merestui Fikri Ibrahim atau nama glamournya, Bulat, 37, untuk jawatan tersebut yang akan menyaksikan pertandingan dua penjuru. (dipetik dari www.freemalaysiatoday.com)
Rabu, September 11, 2013
TERENGGANU INCORPORATED BAYAR DIVIDEN RM20.2 JUTA KEPADA ENAM AGENSI
KUALA TERENGGANU,-- Terengganu Incorporated Sdn Bhd
(Terengganu Inc.) akan membayar dividen RM20.2 juta kepada enam agensinya dalam
tempoh terdekat.
Syarikat pegangan pelaburan utama negeri Terengganu itu membuat pembayaran
itu kepada Lembaga Tabung Warisan Negeri Terengganu, Perbadanan Memajukan
Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Yayasan Terengganu, Yayasan Islam Terengganu
(YIT), Yayasan Pembangunan Keluarga dan Menteri Besar Diperbadankan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Wan Ahamad Wan Muda berkata pembayaran
tersebut merupakan komitmen syarikat itu kepada agensi di bawahnya untuk
melaksanakan agenda mereka.
"Agensi berkenaan kemudiannya akan menyalurkan dividen itu kepada rakyat
Terengganu yang layak mengikut peranan agensi terbabit untuk memastikan
kebajikan rakyat Terengganu terpelihara," katanya dalam satu kenyataan di sini
hari ini.
Menurut Wan Ahamad, dividen tersebut akan disalurkan melalui pelaksanaan
projek-projek yang dikenal pasti mengikut peranan dan fungsi agensi terbabit.
Menurutnya sehingga kini nilai aset bersih Terengganu Inc. melalui
pelaburan dalam anak syarikat, syarikat bersekutu dan lain-lain pelaburan di
dalam sektor perladangan, minyak dan gas, hartanah, pelancongan serta
hospitaliti, berjumlah RM987 juta.
Beliau juga berkata syarikat itu sedang merangka Pelan Strategik Lima Tahun
dengan unjuran nilai aset bersih meningkat kepada RM2 bilion, atau peningkatan
20 peratus setahun.
"Bagi menjayakan rancangan itu, Terengganu Inc. bercadang menceburi
projek-projek berpotensi yang menghasilkan pulangan yang tinggi dan lumayan,
selain pelaburan strategik," katanya.
-- BERNAMA
Jumaat, September 06, 2013
PROF DR AGUS ULAS KENAIKAN MINYAK
Mulai 3 September 2013, harga petrol RON 95 dinaikkan sebanyak 20 sen dan harga minyak diesel pula dinaikkan sebanyak 20 sen. PM menyatakan kenaikan harga petrol tersebut adalah untuk mengelakkan masalah kepada kedudukan kewangan negara. Kata PM: "Ini mungkin akan jadi bebanan sikit kepada rakyat, tetapi kalau kedudukan kewangan (negara) keseluruhan terjejas, ia akan merosakkan seluruh negara."
Saya tidak segera mengulas kenaikan harga minyak tersebut kerana mahu melupakan sementara hal-hal negara untuk memberi tumpuan kepada tugasan akademik yang banyak tertangguh. Namun, apabila kelmarin Timbalan Menteri (TM) Kewangan menyatakan harga minyak Malaysia adalah yang kelapan termurah di dunia selepas Venezuela, Arab Saudi, Kuwait, Mesir, UAE, Iran dan Nigeria, hati saya segera terpanggil untuk memberikan sedikit ulasan. Ini kerana jiwa saya menolak pemberian fakta yang tidak tepat dan kenyataan yang menafikan intelek rakyat.
Jika setakat tujuh negara di atas, apakah kita hendak menafikan fakta bahawasanya harga minyak petrol di Brunei, Qatar, Bahrain, Algeria, Sudan, Libya dan Oman adalah lebih murah dari Malaysia? Kenapa TM Kewangan tidak menyatakan juga harga minyak di negara tersebut? Mengapa memberikan hujah yang salah atau berhujah dengan menyembunyikan fakta yang nyata?
Bagi membuktikan harga minyak di Malaysia adalah kelapan termurah di dunia, maka TM Kewangan pun mengumumkan harga RON 95 dan diesel di negara jiran kita. Antaranya ialah Thailand RM4.74 dan RM3.06, Singapura (RM5.56 dan RM4.32), Indonesia (RM3.05 dan RM3.43) dan Filipina (RM5.44 dan RM4.32). Kenapa kita bandingkan dengan negara kita yang tidak ada minyak ata sedikit sumber petroleumnya? Kenapa tidak kita bandingkan dengan harga minyak petrol di Brunei, UAE, Libya, Bahrain, Qatar, Oman dan lainnya yang harga minyak mereka jauh lebih murah daripada negara kita? Inilah yang saya katakan sebagai kenyataan yang menyembunyikan fakta untuk mengelirukan rakyat, jikapun tidak untuk membodohkan rakyat.
Untuk pengetahuan TM Kewangan, dalam konteks harga barangan ini, ada aspek yang kita boleh bandingkan dengan negara lain dan ada perkara yang kita tidak boleh bandingkan dengan negara lain. Misalnya, kenapa tidak kita bandingkan harga kereta di Malaysia dengan di Singapura atau Indonesia? Di Indonesia misalnya, jika setakat kereta Toyota Vios, mereka buat teksi sahaja. Jika di Finland dan Sweden, teksi mereka semuanya terdiri dari kereta mewah—lebih dari separuh teksi mereka menggunakan kereta Mercedes dan selebihnya BMW, Audi dan Volkswagen.
Itu belum lagi kita bincangkan tentang harga rumah. Dengan kos harga rumah kita yang ‘over priced’ dan kenaikannya tidak terkawal, apakah harga rumah di negara kita masih yang termurah di dunia? Begitu juga dengan hutang isi rumah rakyat di negara kita. Data menunjukkan lebih enam juta isi rumah rakyat di negara ini kini menanggung hutang berjumlah RM653 bilion. Secara purata, ini bermakna setiap isi rumah di negara ini tidak kira pangkat, status dan usia mempunyai hutang kira-kira RM108,000 seorang.
Kadar hutang ini adalah amat membimbangkan, apatah lagi peningkatan nisbah hutang isi rumah Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat setiap tahun dari 63.9% pada tahun 2008 kepada 76.6% tahun 2009, 75.8% tahun 2010, 76.6% tahun 2011 dan 80.5% pada tahun 2012. Rekod terkini hutang isi rumah Malaysia untuk tahun 2013 berada pada kadar 83.0% dari KDNK yang menyebabkan amaran untuk berwaspada daripada penganalisis kewangan di rantau ini.
Melihat kepada data hutang isi rumah di atas, apakah kita hendak menyatakan kadar hutang isi rumah rakyat di negara kita adalah antara kelapan terendah di dunia atau harga kereta dan rumah kita juga antara terendah di dunia? Saya berhujah begini untuk menunjukkan saya menolak data tidak masuk akal yang diberikan oleh TM Kewangan kita tentang harga minyak kita yang kelapan termurah di dunia.
Saya juga tertarik dengan alasan yang diberikan oleh TM Kewangan yang menyatakan kenaikan harga minyak adalah untuk membolehkan kerajaan memberikan BRIM kepada rakyat. Katanya: "Bantuan subsidi seharusnya disalurkan kepada yang benar-benar memerlukan dan melalui pemotongan subsidi (kenaikan harga petrol) ini kerajaan kemudian menyalurkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk rakyat yang berpendapatan rendah."
Saya tidak faham kaitan antara kenaikan harga minyak dengan bantuan BRIM yang diberi oleh kerajaan kepada rakyat. Pemberian BR1M ini untuk apa? Sebagai umpan untuk menggula-gulakan rakyat atau benar-benar untuk menolong rakyat? Jika untuk menolong rakyat miskin, kenapa pula BR1M yang diberikan itu diambil semula dalam bentuk menaikkan harga minyak petrol? Tidakkah kerajaan sedar dengan kenaikan harga petrol ini, BRIM yang diberikan kepada rakyat tidak dapat menampung beban kehidupan mereka kerana kenaikan harga petrol tersebut tentulah datangnya bersama dengan kenaikan kos hidup dan kos barangan keperluan harian? Tidakkah ini tidak boleh difikirkan oleh kerajaan?
Oleh sebab itulah, saya menolak kenyataan TM Kewangan ini sebab hujahnya tidak tepat dan hujah inilah yang sentiasa diberikan secara berulang-ulang setiap kali harga minyak naik. Carilah alasan yang boleh diterima umum seperti demi kesihatan ekonomi negara, bagi mengurangkan defisit fiskal, kita terbeban dengan hutang luar, bagi faedah ekonomi negara jangka masa panjang, bagi mengurangkan jumlah subsidi kerajaan yang semakin meningkat, akibat kenaikan harga minyak di pasaran dunia ataupun sebahagian daripada proses rasionalisasi bagi membantu menstabilkan ekonomi negara.
Jikapun hendak memberikan analisis perbandingan dengan negara lain, berilah analisis perbandingan yang sesuai, bukannya untuk sesuaikan data dengan keperluan dan hujah kita. Analisis akademik menuntut kejujuran kita memberikan data yang tepat. Begitulah!..
- Prof Madya Dr. Muhammad Agus Yusoff adalah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial, Universiti Kebangsaan, Dan Penganalisis Politik.
Rabu, September 04, 2013
KADIR JASIN ULAS KENAIKAN MINYAK
SAYA akui bahawa sesetengah bentuk subsidi tidak lestari (unsustainable), tidak adil pembahagiannya dan wajar dirasionalisasikan.
Tetapi mengurangkan kadar subsidi dengan mendadak bukan saja membebankan pengguna dengan serta merta tetapi boleh juga menyebabkan kenaikan kadar inflasi dalam jangka masa sederhana dan panjang.
Adalah sukar meyakini dakwaan rasmi bahawa harga bahan makanan akan naik 0.1% sahaja akibat pemotongan subsidi terbaru sedangkan jumlah yang akan diselamatkan bernilai RM1.1 bilion. Apa halnya dengan kos pengangkutan, pengilangan dan penjanaan elektrik?
Kalau tujuan Mohd Najib adalah meyakinkan badan-badan penarafan antarabangsa agar tidak menurunkan “rating” Malaysia, penjimatan RM1.1 bilion itu tidak memadai kalau tidak disusuli oleh pakej ekonomi, fiskal dan mata wang yang lebih mantap, mampan dan disertai oleh pembahagian yang lebih sama rata.
POSTING ASAL
MULAI tengah malam tadi, harga petrol RON95 dan diesel naik 20 sen seliter berikutan pelaksanaan seterusnya dasar rasionalisasi subsidi.
Kalau masih ada yang belum lupa, harga semua bahan petroleum naik dengan banyak pada bulan Februari 2006 apabila bekas pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan dasar itu.
Kalau ada pembaca yang berminat, bolehlah baca disini. Saya tidak mahu mengulang ulas sebab kesannya lebih kurang sama sahaja.
Inilah demokrasi berpilihan raya. Sebelum dan ketika pilihan raya, semua pihak yang berebut kuasa akan menjanjikan yang terbaik – janji ditepati.
Kita pun janganlah terperanjat sangat kalau beban kewangan yang terpaksa kita tanggung tidak berhenti di sini. Tunggulah Belanjawan 2014 tidak berapa lama lagi.
Pengurangan subsidi menyebabkan harga minyak naik dan beban pengguna meningkat. Menteri Kewangan kata, kenaikan terbaru ini akan menjimatkan kira-kira RM1.1 bilion.
Di mana penjimatan itu akan dibelanjakan kita kena tahu. Harap-harap janganlah tumpu kepada bandar saja. Ingatlah siapa yang menyelamatkan BN pada 5 Mei lalu!
Dilihat dari luar, nampak kerajaan boros. Belanja lawatan ke luar negara Perdana Menteri saja RM44.07 juta sejak Mohd Najib jadi PM lima tahun lalu. Belanja baik pulih dan ubah suai kediaman rasmi pula berapa?
Janganlah jadi cerita: Raja dalam dapur makan roti gula. Suri dalam rumah buat kira-kira. Rakyat luar pagar hidup menderita.
Selasa, September 03, 2013
UMNO AKAN HANCUR JIKA POLITIK WANG TIDAK DIBENDUNG
Umno akan hancur pada pilihanraya umum ke 14 jika politik wang tidak dibendung dalam pemilihan Umno Oktober ini.
Menurut bekas ahli jawatankuasa Umno Bahagian Batu Sapi, Sapari Idal (gambar) , politik wang masih berleluasa dalam pemilihan cawangan di bahagian tersebut.
“Saya sedih dengan fenomena ini. Jika politik wang tidak dibendung segera, saya kira Umno (BN) akan hancur pada pilihanraya umum akan datang,” katanya kepada FMT.
Beliau yang disebut-sebut sebagai calon Ketua Bahagian menentang ADUN Sekong, Shamsuddin Haji Yahya berkata beliau tidak jadi bertanding kerana perwakilan masih meminta wang dari calon.
“Saya tiada wang maka saya tak mampu membeli undi,” katanya.
Beliau kalah bertanding bagi jawatan Naib Ketua Bahagian pada tahun 2008 kerana tiada wang sedangkan ada calon yang sanggup bayar RM1,000 kepada setiap perwakilan.
Sapari selanjutnya meminta Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen memantau politik wang di setiap bahagian terutamanya di Sabah.
“Perwakilan minta wang. Kalau calon tak hulur, kalah. Jadi calon kena hulur untuk menang,” dakwanya lagi.
Beliau menambah Umno akan hancur jika fenomena politik wang ini berterusan di mana orang kaya sahaja yang dapat jadi pemimpin sedangkan cerdik pandai yang tiada wang akan tercicir.

ISU HUTANG PTPTN: KHAIRY UNTUNG?
Walaupun belum ada pengesahan dari Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Harun untuk mencabar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, kedudukan Khairy semakin hari semakin kukuh.
Sama ada Idris mencabar Khairy atau tidak, saham Khairy semakin meningkat. Jika Ketua Menteri Melaka itu jadi menentangnya, pemerhati politik percaya beliau gagal menumbangkan Khairy.
Khairy semakin popular di kalangan perwakilan Pemuda. Isu hutang PTPTN melonjakkan nama Khairy.
Entah macam mana pada 19 Ogos lalu Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan melaksanakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dengan kerjasama Bank Negara bagi menyenaraikan peminjam ingkar, bermula bulan Ogos ini.
Sistem
Menurut Idris, CCRIS merupakan sistem pangkalan data Bank Negara yang menyimpan maklumat kredit peminjam yang telah dilaporkan oleh institusi kewangan.
Menerusi pendekatan ini peminjam PTPTN yang ingkar menerima kesan seperti peminjam institusi kewangan lain, terutama membabitkan kelulusan permohonan pinjaman, kad kredit, sewa beli dan sebagainya, kata Idris.
Kenyataan Idris segera menerima reaksi pembangkang dan Khairy sendiri. Mereka tidak tahu inilah dilema yang dihadapi PTPTN mengutip kembali hutang mereka.
Sehingga 30 Jun lepas PTPTN telah meluluskan pembiayaan pendidikan kepada 2.2 juta pelajar dengan amaun keseluruhan berjumlah RM49.9 bilion.
Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli mengulas isu itu berkata PKR itu akan menggerakkan kempen membantah tindakan PTPTN sehingga kerajaan BN membatalkan hasrat berkenaan.
Ugutan
Rafizi dalam satu kenyataan berkata langkah untuk menyenaraikan peminjam dalam CCRIS merupakan satu “ugutan dan hukuman” serta perbuatan yang tidak mempedulikan kebajikan rakyat, terutama golongan muda.
Katanya, beliau juga percaya bahawa langkah untuk menyenaraikan peminjam dalam sistem yang diuruskan Bank Negara Malaysia itu tidak akan memperbaiki prestasi PTPTN untuk mengutip hutang berkenaan.
“Ugutan PTPTN menyekat kemudahan pinjaman institusi kewangan ini bukanlah kali pertama PTPTN menggunakan cara kasar untuk menekan peminjam.
“Sebelum ini pun, PTPTN telah menyenaraihitamkan peminjam PTPTN dalam senarai imigresen hingga menyukarkan mereka ke luar negara.
“Ugutan itu tidak pun berjaya memperbaiki kedudukan kutipan hutang PTPTN, maka ugutan terbaru menyenaraikan peminjam dalam CCRIS juga saya yakin tidak akan berkesan,” katanya.
Rekod
Jelasnya, sistem berkenaan akan membolehkan institusi kewangan menambah rekod peminjaman PTPTN sebagai kriteria baru dalam menilai kedudukan kredit kewangan seseorang.
“Secara langsung, tindakan ini akan digunakan oleh institusi kewangan untuk menafikan kemudahan pinjaman (perumahan, kenderaan dan peribadi) kepada peminjam PTPTN yang didaftarkan oleh PTPTN di dalam CCRIS.
“Ini bermakna peminjam PTPTN seolah-olah jatuh ditimpa tangga – sudahlah dibebankan dengan kos sara hidup yang tinggi dan gaji yang rendah, mereka kini diugut oleh PTPTN untuk dinafikan hak memiliki rumah, kereta dan lain-lain,” katanya.
Khairy yang senada dengan Rafizi menyifatkan sebagai tidak wajar cadangan untuk menyenarai peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ingkar di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).
Beliau berkata pinjaman PTPTN adalah satu keperluan kepada golongan pelajar dan berbeza dengan pinjaman berasaskan pilihan peribadi seperti kad kredit dan kenderaan.
“Harus diakui bahawa pinjaman PTPTN bersifat keperluan kerana kerajaan tidak menawarkan pendidikan percuma sepenuhnya di institusi pengajian tinggi.
“Dan keperluan memiliki kelulusan sama ada diploma atau ijazah adalah penting bagi pembangunan kerjaya dan intelektual seseorang anak muda,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur pada 21 Ogos lalu.
Pendirian
Pada hari yang sama Khairy selaku Menteri Belia dan Sukan menyatakan pendiriannya dalam mesyuarat kabinet. Ini bermakna beliau berani bersuara dalam kabinet awalupun Idris sudah buat pengumuman.
Selesainya mesyuarat kabinet, beliau menulis dalam twitternya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang mendengar suara orang muda.
“Baru selesai mesyuarat Jemaah Menteri. Alhamdulillah, PTPTN tidak akan meneruskan cadangan untuk menyenaraikan peminjam di bawah CCRIS. Terima kasih pada PM & menteri-menteri pendidikan kerana mendengar suara-suara orang muda,” kata Khairy dalam twitternya.
Ada yang mempertikai kenapa Khairy yang perlu buat pengumuman. Sebenarnya bukan Khairy yang buat pengumuman. Beliau hanya meluahkan perasaannya dalam twitter.
Sebaliknya Idris selaku menteri bertanggungjawab membuat pengumuman pada petang Rabu itu bahawa kerajaan bersetuju menangguhkan cadangan menyenaraikan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dengan kerjasama Bank Negara.
Memufliskan
Beliau berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri pada hari tersebut dan tindakan selanjutnya atau tindakan lain akan ditentukan selepas menerima pandangan semua pihak kelak.
“Kementerian perlu mencari punca kenapa para peminjam gagal membayar pinjaman kerana kerajaan bukannya hendak memufliskan para peminjam yang bermasalah kerana kementerian sentiasa fleksibel dan terbuka dalam menyelesaikan masalah ini,” katanya di majlis sambutan hari raya Kementerian Pendidikan.
Esoknya di Besut, Idris yang tidak puas hati dengan keputusan kabinet berkata ada orang yang menghasut bekas peminjam PTPTN supaya tidak membayar hutang.
Katanya, dalam Islam, orang Islam wajib membayar hutang.
Khairy ketika menyokong langkah kerajaan menangguhkan rancangan menyenarai peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ingkar di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) berkata keputusan itu bertepatan dengan keadaan semasa.
“Kaedah tersebut memang tidak patut digunakan, banyak cara lain lagi boleh digunakan untuk dapatkan kembali hutang pinjaman tersebut.
“Antaranya kita boleh kenakan tindakan mahkamah bagi mereka yang tegar tidak mahu membayar hutang. Kenapa perlu takutkan serta senarai hitam mereka yang lambat bayar atau minta pengecualian,” katanya kepada pemberita.
Khairy berkata hanya lima hingga enam peratus peminjam yang tidak mahu membayar hutang PTPTN manakala selebihnya lambat membayar atau menunggu untuk mendapat pekerjaan sebelum melunaskannya.
Ternyata isu hutang PTPTN menaikkan saham Khairy dalam pemilihan Ketua Pemuda Umno nanti. Sebaliknya isu ini sudah tentu menjejaskan undi Idris Jusoh yang mempertahankan jawatan ahli majlis tertinggi Umno pada 19 Oktober nanti.

WAJARKAH MUKHRIZ TANDING NAIB PRESIDEN UMNO?
Sehingga ini empat orang calon sudah mengesahkan akan merebut kerusi tiga orang Naib Presiden Umno pada 19 Oktober depan. Mereka ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Shafie Afdal dan Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad.
Dua orang calon yang disebut-sebut akan menawarkan diri tetapi belum membuat pengumuman ialah Pengerusi PUNB, Datuk Seri Ali Rustam dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. Malah nama Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir turut dicadangkan bertanding jawatan tersebut.
Ditekankan
Wajarkah Mukhriz bertanding jawatan tersebut? Ini yang mahu ditekankan dalam tulisan ini buruk baiknya beliau bertanding.
Mukhriz yang kali pertama bertanding di parlimen Jerlun pada pilihanraya umum 2008 telah dilantik Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Pada tahun 2009 beliau dicalonkan bertanding kerusi Ketua Pemuda Umno menggantikan Hishamuddin yang bertanding jawatan Naib Presiden Umno. Mukhriz kalah di tangan ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dalam pertandingan tiga penjuru yang turut disertai bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo.
Baru-baru ini ayah Mukhriz yang juga bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Umno patut beri laluan kepada generasi muda untuk memimpin parti itu. Adakah ia ditujukan kepada perwakilan supaya memilih Mukhriz sebagai Naib Presiden Umno?
Sebagai Menteri Besar Kedah, saya kira beliau patut bertanding jawatan ahli majlis tertinggi Umno sahaja kerana beliau belum pernah berada dalam majlis tersebut kecuali selepas dilantik menteri besar. Tak payahlah beliau bertanding kerusi naib presiden Umno kecuali beliau sudah menang sebagai ahli majlis tertinggi sebelum ini.
Menumbangkan
Saya percaya jika beliau bertanding kerusi majlis tertinggi, beliau akan menang dalam senarai “top five.” Ini adalah kerana kejayaan beliau menumbangkan kerajaan PAS pada pilihanraya umum lalu walaupun beliau adalah Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah.
Pada tahun 2016 bolehlah beliau bertanding kerusi naib presiden. Namun demikian jika beliau mahu menguji popularitinya beliau boleh mencuba bertanding jawatan tersebut walaupun sebagai orang baru mustahil menang.
Saya yakin beliau akan kalah jika terus bertanding kerusi Naib Presiden Umno kerana karismanya sebagai pemimpin pusat belum terserlah.
Mungkin beliau mahu mengikuti jejak ayahnya, Dr Mahathir yang pernah kalah bertanding kerusi naib presiden pada tahun 1972 tetapi Dr Mahathir menang dalam percubaan kedua pada tahun 1975 setelah dilantik Menteri Pelajaran.
Ditarik
Mukhriz boleh bertanding buat kali pertama pada tahun ini dan bila kalah, beliau boleh mencubanya buat kali kedua pada tahun 2016. Pada tahun 2016 beliau sudah ditarik bertanding di parlimen dan menjadi menteri pusat pula. Pada tahun yang sama, Khairy Jamaluddin juga akan bertanding jawatan Naib Presiden Umno setelah menyandang jawatan Ketua Pemuda selama dua penggal.
Mungkin pada tahun 2016, kerusi naib presiden Umno menjadi milik anak Hussein Onn, anak Dr Mahathir dan menantu Pak Lah kerana itulah tradisi Umno yang mewariskan kepimpinan Umno dari ayah kepada anaknya pula.
Kemungkinan mereka bertiga menang pada tahun 2016 tidak mustahil kerana dalam Umno boleh buat apa sahaja yang possible. Menurut sumber, Hishamuddin sudah kalah pada tahun 2009 tetapi oleh kerana Najib mahu Hishamuddin-Zahid-Shafie menang, maka Khaled Nordin yang menang terpaksa dikorbankan.
Hasil dari pengorbanan Khaled, maka jawatan Menteri Besar Johor diserahkan kepadanya sedangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu bekas setiausaha politiknya, Datuk Dr Shaharuddin menjadi Menteri Besar Johor.
Dengan terlantiknya Khaled sebagai Menteri Besar Johor, Khaled telah memberi sokongan kepada Hishamuddin sebagai calon tunggal dari Johor yang bertanding jawatan Naib Presiden Umno. Hishamuddin tersenyum lega kerana beliau mahu jadi Naib Presiden nombor satu mengambil tempat Zahid Hamidi.
Rumusannya, pemilihan 19 Oktober 2013 masih terlalu awal bagi Mukhriz bertanding jawatan naib presiden. Tetapi perwakilan 2016 mungkin sudah bersedia menerima Mukhriz sebagai Naib Presiden Umno di samping Khairy Jamaluddin.
JANGAN ULANGI PILIHANRAYA KE 13
Veteran Umno Terengganu, Datuk Abdul Rahman Bakar, berkata Barisan Nasional negeri itu akan hilang kuasa jika mengulangi kesilapan dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu.
Beliau menambah, BN negeri melakukan banyak kesilapan hingga menyebabkan mereka kalah 15 kerusi negeri dan empat kerusi parlimen.
Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN dan lapan kerusi parlimen.
“Antaranya calon BN khususnya Umno yang tidak mencapai cita rasa pengundi, ia termasuk calon yang sudah tua; kurang pendidikan dan calon yang berpotensi dipinggirkan.
“Faktor-faktor lain termasuklah jentera pilihan raya yang kurang kemas; serta masalah dalaman yang berlaku di Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus serta Dungun.
“Saya katakan kesilapan ini perlu diperbetulkan dan jangan diulangi pada pilihan raya umum akan datang,” tambah beliau.
Abdul Rahman bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan calon Ketua Pemuda Umno Besut, Zahari Mat yang dilaporkan sebagai berkata, Umno Terengganu memerlukan perubahan drastik.
Menurut Zahari, perubahan yang perlu dilakukan melalui pemilihan parti pada 19 Oktober ini perlu digunakan sebaik mungkin supaya BN tidak kecundang di Terengganu pada pilihanraya umum akan datang.
Katanya, jika perubahan tidak dibuat, suatu hari nanti semua ahli Umno malu mengaku “saya adalah ahli Umno”.
“Kegagalan BN di 15 kawasan DUN adalah cermin kepada kepimpinan Umno sekarang,” katanya mengulas adakah pertandingan di peringkat Bahagian akan memecahbelahkan parti,” kata Zahari.
UMNO TERENGGANU PERLUKAN PERUBAHAN DRASTIK
Umno Terengganu perlu melakukan perubahan drastik untuk memenangi semula 15 kerusi yang kalah.
Menurut calon Ketua Pemuda Umno Bahagian Besut, Zahari Mat, perubahan yang perlu dilakukan melalui pemilihan parti pada 19 Oktober ini perlu digunakan sebaik mungkin supaya BN tidak kecundang di Terengganu pada pilihanraya umum akan datang.
Katanya, jika perubahan tidak dibuat, suatu hari nanti semua ahli Umno malu mengaku “saya adalah ahli Umno”.
“Kegagalan BN di 15 kawasan DUN adalah cermin kepada kepimpinan Umno sekarang,” katanya mengulas adakah pertandingan di peringkat Bahagian akan memecahbelahkan parti.
Zahari tidak nampak pertandingan itu akan memecahkan parti kalau ia diadasrkan atas semangat kekeluargaan.
“Yang saya kesalkan ada calon yang bertanding sanggup membunuh kawan baik sendiri dengan peteh-memeteh sesama sendiri,” katanya kesal.
Oleh itu beliau berharap semua calon yang bertanding tidak mengamalkan budaya fitnah dan tikam belakang kerana ia dikhuatiri menjadi senjata kepada pembangkang untuk menyerang Umno dalam pilihanraya umum akan datang apabila segala pekong didedah oleh calon Umno sendiri.
Beliau berharap seperti mana kata Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, pemimpin Umno yang sudah lama memegang jawatan pelu memberi laluan kepada muka baru dalam proses peremajaan Umno.
Katanya lagi, jika BN menang besar di Terengganu pada pilihanraya umum lalu, pilihanraya kecil Kuala Besut tidak mungkin sampai bernilai RM750 juta.
“RM750 juta digunakan untuk melahirkan seorang wakil rakyat sedangkan duit sebanyak itu dapat membangunkan seluruh Terengganu seperti membaiki jalan yang rosak dan pelbagai program memperaksakan belia,” katanya lagi.
KETUA WIRA PERKASA DESAK NAJIB LETAK JAWATAN
Ketua Pemuda Perkasa, Irwan Fahmi Ideris mengejutkan negara apabila mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan.
Menurut beliau, Najib masih lagi menggunakan kaedah lama yang mana masih meminggirkan kaum pribumi di negara ini dan mengagong agongkan kaum lain.
“Peruntukan untuk sekolah jenis kebangsaan mendapat peruntukan jutaan ringgit, peruntukan sekolah-sekolah ini diberi dengan banyak sekali jika berbandingkan dengan sekolah pondok,” tulis beliau dalam blog peribadinya www.irwanfahmi.blogspot.com pada 25 Ogos lalu.
Sehubungan dengan itu, Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Abu Bakar akan memanggil Irwan untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Perkasa yang selama ini dianggap menyokong kerajaan mengambil sikap berkecuali pada pilihanraya umum lalu. Malah dalam pertemuan ahli majlis tertinggi Perkasa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Perkasa melahirkan banyak kekecewaan dengan dasar Najib yang merugikan orang Melayu.
KETUA WIRA PERKASA TIDAK SEDAR DIRI
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyifatkan kenyataan Ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi Ideris yang mendesak Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri sebagai tidak ‘berpijak di bumi nyata’.
“Presiden anda (Ibrahim Ali) pun sudah kalah dalam pilihan raya lepas tu perasan nak minta Perdana Menteri letak jawatan.
“Anda perlu tahu kedudukan anda dulu. Apa Pemuda Perkasa ini?” katanya ketika ditemui pemberita di majlis Jamuan Raya Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan di Bukit Kiara di sini hari ini.
Khairy berkata, Irwan Fahmi langsung tidak berhak mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana kapasitinya yang hanya ketua sayap kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan bukannya parti politik.
“Saya rasa dia patut letak jawatan dulu. Siapa dia nak minta Perdana Menteri letak jawatan?
“Dia bukan Ketua Pemuda Umno. Dia Pemuda Perkasa…Perkasa ada apa,” soalnya.
Irwan Fahmi dalam entri blognya “Sudah Cukup Segalanya Digadai, Hj Najib Wajar Meletakkan Jawatan.” berkata kepimpinan Najib terbukti gagal apabila tidak mendapat sokongan majoriti rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Mei lalu.
Beliau berkata slogan 1 Malaysia yang dibawa Najib gagal mendapat sokongan kaum Cina, malah menganggap Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang kononnya membantu rakyat sebenarnya adalah rasuah yang di halalkan oleh kerajaan.
“Laungan 1 Malaysia ini dilaungkan oleh pengampu-pengampu, saya mahu tanya apakah 1 Malaysia ini berjaya? Jika pada pandangan saya ianya terbukti gagal,” katanya Ahad lalu.
Filem Tanda Putera
Sementara itu, mengulas mengenai tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang yang mengeluarkan arahan kepada panggung wayang supaya tidak memainkan filem Tanda Putera, Khairy berkata perkara itu tidak munasabah.
“Saya harap mereka teruskan. Kalau ada usaha mereka nak halang, saya minta Jabatan Penerangan hantar wayang pacak dan tayangkan kepada orang ramai,” katanya.
Katanya, sebagai parti yang mengagungkan demokrasi dan memperjuangkan
kebebasan bersuara, DAP perlu membenarkan tayangan tersebut kerana ia tidak ada kaitan dengan mana-mana pemimpin parti itu.
“Tanda Putera ialah cerita tentang Tun Razak dan Tun Dr Ismail selamatkan negara kita selepas tragedi 13 Mei. Ini tiada kena mengena langsung dengan DAP.
“Kenapa Guan Eng terasa? Kenapa perasan sangat? Tak ada kena mengena dengan beliau ataupun (Lim) Kit Siang,” katanya.
Langgan:
Catatan (Atom)