Ahad, November 09, 2008

BAHAGIAN PEKAN TIDAK BERANI



Umno Bahagian Pekan membuat kejutan semalam, apabila tetap mencalonkan Datuk Seri Najib Razak untuk jawatan Presiden Umno, walaupun Majlis Tertinggi (MT) sebelum ini, memutuskan supaya bahagian itu dan Umno Bahagian Kepala Batas dikecualikan daripada membuat sebarang pencalonan.

Sebaik mesyuarat bermula pada kira-kira jam 11.30 pagi selepas Najib selesai memberi ucapan dasarnya, seorang perwakilan mencadangkan Najib dicalonkan juga untuk jawatan Presiden dan kemudian disokong semua ahli yang hadir.


Dalam cadangannya itu, perwakilan terbabit berkata, adalah tidak wajar semua bahagian Umno mencalonkan Najib tetapi bahagiannya sendiri tidak berbuat demikian.


“Sehubungan itu, saya mencadangkan Bahagian Pekan tetap mencalonkan Najib untuk jawatan Presiden tetapi akur dengan keputusan tidak mencalonkan calon bagi jawatan lain," katanya.


Tetapi nampaknya Pekan tidak gentleman kerana tidak berani calonkan Muhyiddin atau Ali atau Muhammad untuk jawatan Timbalan Prtesiden UMNO. Malah Pekan juga penakut untuk calonkan tiga orang calon Naib Presiden UMNO.


Sedangkan melalui bahagian ini mungkin Dr. Jamaluddin Jarjis, Dr. Zahid Hamidi dan Hishamuddin akan mendapat pencalonan.


Sekurang-kurangnya bila Pekan calonkan Muhyiddin, ia dapat memberi petunjuk kepada ahli-ahli UMNO bahawa Najib mahu Muhyiddin sebagai timbalannya. Bila Pekan tak buat pencalonan, maka para perwakilan terpaksa buat pilihan sendiri yang mungkin bertentangan dengan kemahuan Najib.


Najib mungkin tidak mahu Muhyiddin yang akan menyukarkan masa depan politiknya. Mungkin Ali yang jadi pilihan Najib kerana Ali lebih bersih dari Muhammad.


Di Wangsa Maju, Muhyiddin dicalonkan untuk jawatan nombor dua tetapi tidak semestinya Najib mahukan Muhyiddin walaupun Wangsa Maju diketuai oleh setiausaha politiknya, Datuk Shafie Abdullah.

TAHNIAH NASIR



Tahniah kepada Datuk Nasir yang mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus dengan majoriti 18 undi malam tadi. Beliau mendapat 225 undi manakala bekas timbalannya, Azmi Abdul Rahman mendapat109 undi dan bekas naibnya, Basir mendapat 207 undi.


Jika berlaku pertandingan dua penjuru, kemenangan mungkin berpihak kepada Basir atau Azmi jika salah seorang menarik diri. Sebaliknya pertandingan tiga penjuru telah menyelamatkan Nasir dari tersungkur.


Dengan keputusan ini, diharapkan ahli-ahli UMNO Kuala Nerus dapat bersatu semula untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang terutamanya untuk merampas kembali kerusi DUN Bukit Tunggal yang merupakan satu-satunya kerusi DUN yang tewas dalam parlimen Kuala Nerus pada pilihan raya umum lalu.


Sebagai ahli parlimen yang baru, kita doakan selamat maju jaya kepada Datuk Nasir. Semoga di zaman Najib kelak beliau akan jadi timbalan menteri atau menteri penuh. Tahniah!

TIMBALAN PRESIDEN DIJANGKA TIGA PENJURU



Nampaknya pertandingan timbalan presiden UMNO pada tahun depan melibatkan tiga penjuru antara Muhyiddin Yassin, Ali Rustam dan Muhammad Muhd. Taib. Ali yang dapat 41 pencalonan semalam sudah layak manakala Muhammad memerlukan tiga pencalonan lagi.


Kemungkinan besar beliau akan mendapat tiga pencalonan lagi pada hari ini. Bila berlaku pertandingan tiga penjuru, bukanlah laluan mudah bagi Muhyiddin kerana dalam tempoh empat bulan akan datang, macam-macam boleh berlaku kepada para perwakilan.


Pencalonan tidak menggambarkan pengundian. Sudah banyak berlaku seorang calon dapat banyak pencalonan bila mengundi kalah. Tak tahu apa faktornya? Adakah wang? Calon B yang hulur lebih dari calon A mungkin menang.


Para perwakilan lebih suka ada pertandingan bagi jawatan timbalan presiden supaya Muhyiddin tidak boleh cakap besar. Yang kedua, bila ada pertandingan perwakilan dapat rasa wang dari ketiga-tiga calon sama ada Muhyiddin, Ali dan Muhammad.


Bagi jawatan Naib Presiden, hari ini Dr. Jamaluddin Jarjis dijangka mendapat cukup pencalonan bersama Dr. Rais Yatim. Ini bermakna pertandingan ini melibatkan lapan penjuru iaitu Hishamuddin, Khaled, Syed Hamid, Isa Samad, Dr. Ahmad Zahid, Shafie Afdal, Dr. Jamaluddin dan Dr. Rais. Biarlah perwakilan menentukan siapa yang layak duduk di tiga kerusi naib presiden itu.

Sabtu, November 08, 2008

RM8 RIBU BIASALAH


Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan menyiasat dakwaan sebuah akhbar milik pembangkang bahawa angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha telah memperoleh pendapatan hampir RM1.2 juta hasil siri ceramah yang dilakukannya di seluruh negara sejak tahun lalu.


Timbalan Menterinya, Fadillah Yusof melahirkan rasa terkejut dengan dakwaan itu dan menyifatkan tindakan angkasawan berkenaan sebagai 'tidak patut' sekiranya spekulasi itu terbukti benar.
"Bagaimanapun, dalam hal ini, saya terpaksa menyiasat perkara ini terlebih dulu memandangkan berita itu datangnya daripada akhbar pembangkang," katanya hari ini.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan yang diterbitkan oleh sebuah akhbar yang mendakwa Sheikh Muszaphar mengenakan bayaran sebanyak RM8,000 untuk satu jam berceramah.


Menurut laporan akhbar berkenaan, angkasawan itu telah menjana pendapatan sebanyak RM1.2 juta secara purata daripada 150 badan korporat sejak kembali dari Stesen Angkasa Antarabangsa pada Oktober 2007.


"Jika benar, ia tak patut berlaku sebab Sheikh Muszaphar merupakan ikon negara dan dia merupakan tiket dan lambang kepada kejayaan negara.


"Dia dilahirkan untuk memberi inspirasi dan menyemai minat dalam bidang sains dan teknologi kepada remaja dan belia Malaysia.


"Oleh itu, dia perlu lebih rasional dalam membuat sebarang keputusan, dia juga perlu jaga imej baiknya... memang tak patutlah (merujuk kepada spekulasi)'' ujarnya.


Bagaimanapun, menurut Fadillah, memandangkan kontrak yang dimeterai oleh angkasawan itu sebagai duta MOSTI sudah pun berakhir baru-baru ini, tiada tindakan khusus boleh dikenakan kepadanya.


"Selepas kontrak beliau tamat dengan kita, dia secara automatik mempunyai hak dan bebas melakukan apa yang dia suka.

\
"Namun, apa yang ingin saya katakan, walau nak buat ceramah sekali pun pada masa akan datang, mintalah bayaran yang berpada-pada dan jangan sesekali mengenakan caj yang tinggi,'' katanya.


Jelas beliau, dalam pengetahuannya, Sheikh Muszaphar hanya memberi ceramah secara percuma di mana-mana organisasi semasa masih bersama MOSTI.


Projek angkasawan adalah projek Dr. Mahathir tetapi dilaksanakan di zaman Pak Lah. Selepas Dr. Jamaluddin Jarjis tak jadi menteri, projek itu entah tak tahu apa jadinya. MOSTI pun tak ada program untuk Dr. Sheikh Muzhaphar. Jadi dia caj yang mahal untuk korporat apa salahnya kerana dia uruskan sendiri ceramahnya. Itu biasalah rate penceramah seperti Dr. Fazilah Kamsah.

Jumaat, November 07, 2008

SEKAT MENYEKAT PERKARA LUMRAH


Nampaknya calon timbalan presiden, Muhammad Muhd. Taib dan calon naib ketua wanita, Azalina Othman kena beri bukti kepada UMNO bahawa mereka disekat oleh ketua bahagian untuk mendapatkan pencalonan.


Soal sekat menyekat bukanlah soal baru. Soal biasa dalam politik. Jika Muhammad hubungi ketua bahagian di Melaka, sudah tentu ketua bahagian itu tidak berani kerana pengerusi perhubungan UMNO Melaka ialah Ali Rustam yang mahu mencabar Muhammad dan Muhyiddin.



Hal yang sama dialami di Selangor yang mana mungkin ketua bahagian di negeri itu takut mencalonkan Ali kerana Muhammad adalah pengerusi perhubungan UMNO negeri. Di Johor sentiment kenegerian terhadap Muhyiddin mesti tebal. Jadi sukarlah Muhammad dan Ali mendapat pencalonan dari Johor kecuali Kota Tinggi dan Johor bahru yang tidak mencalonkan Muhyiddin.


Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta pemimpin yang mendakwa diri mereka disekat daripada dicalonkan supaya tidak hanya bercakap sebaliknya mengemukakan bukti.


Beliau berkata, mereka yang terbabit perlu memaklumkan kepada ibu pejabat perkara itu dengan menyertakan bersama fakta bagi membolehkan siasatan rasmi dilakukan.


‘‘Jangan setakat cakap saja. Dakwa ada sekat (pencalonan) sana, ada sekat sini. Kalau nak bercakap (tentang dakwaan disekat) biar ada fakta.


‘‘Sebab itu kalau betul, sila tampil buat laporan, biar ibu pejabat bertindak menyiasat. Kita ada saluran untuk bertindak,’’ katanya semalam.


Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden semalam mendakwa terdapat cubaan menyekat pencalonannya bagi memastikan beliau tidak layak bertanding pada pemilihan Mac depan.


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu mendakwa hasil maklumat yang diterimanya, kumpulan terbabit bergerak aktif pada minggu-minggu terakhir persidangan perwakilan bahagian sekarang termasuk menyebarkan cerita kononnya beliau akan menarik diri daripada pertandingan tersebut.


Selain Muhammad, kelmarin, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said juga mendakwa terdapat usaha di peringkat bahagian untuk menyekat pencalonan beliau bagi jawatan Naib Ketua Wanita UMNO.


Ditanya sama ada terdapat laporan dibuat kepada ibu pejabat berhubung perbuatan menyekat pencalonan, Tengku Adnan berkata, setakat ini belum ada.

CHERAS BANTAH PEKAN, KEPALA BATAS BERKECUALI


Majlis Tertinggi (MT) UMNO tidak berhak mengecualikan Bahagian Kepala Batas dan Pekan daripada membuat pencalonan untuk pemilihan parti pada Mac depan.


Ketua UMNO Bahagian Cheras, Senator Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, pengecualian itu menyebabkan hak ahli yang terkandung dalam perlembagaan parti telah dinafikan.


"Memang calon yang menerima sokongan daripada dua bahagian tersebut boleh mendakwa mereka adalah calon pilihan namun kedudukan mereka akan ditentukan oleh undi perwakilan.


"Ia juga berpotensi menutup peluang calon untuk melepasi kuota kelayakan, mungkin terdapat calon-calon yang kurang satu atau dua pencalonan berikutan pengecualian kepada bahagian itu," katanya.


Akhbar semalam menyiarkan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa MT telah memberi pengecualian kepada Bahagian Kepala Batas yang diketuai Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Pekan yang diketuai Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada membuat pencalonan.

UPKO TAK PERLU UGUT BN


Apalah malangnya nasib BN? Selepas SAPP, Pertubuhan Kebangsaan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) pula yang ugut mahu keluar dari BN jika kerajaan pusat tidak batalkan projek saluran paip gas bernilai RM3 bilion dari Kimanis, Sabah ke Kompleks Gas Asli cecair Petronas di Bintulu, Sarawak.


UPKO akan mengkaji kedudukannya dalam Barisan Nasional (BN) sekiranya kerajaan tetap meneruskan projek saluran paip gas bernilai RM3 bilion dari Kimanis, Sabah ke Kompleks Gas Asli Cecair Petronas di Bintulu, Sarawak, kata Presidennya, Tan Sri Bernard Dompok.


Beliau berkata, bantahan tersebut akan dibawa ke mesyuarat Kabinet hai ini dan sebarang keputusan selepas itu akan mempengaruhi hala tuju UPKO.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, pihaknya sudah beberapa kali membantah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri sebelum ini memberi jaminan tidak akan meneruskannya.


"Perdana Menteri sudah memaklumkan pada 31 Mei lalu bahawa projek ini tidak akan diteruskan. Kita akan menyeberang (keluar BN) jika projek tersebut tetap diteruskan," katanya.


Kalau UPKO nak keluar, keluarlah dari BN. Tak payah ugutlah. Baru ini pula Wilfred Bumburing salah seorang pemimpin kanannya turut buat ugutan yang sama jika kerajaan tidak selesaikan masalah kad pengenalan orang kadazan yang hilang.


UPKO menang pun bukan kerana kekuatan sendiri tetapi kekuatan BN. Jika PBS mewakili BN lawan calon UPKo, kalah UPKO. Tapi oleh kerana tak faham dengan setiakawan BN, BN sanggup beri kerusi UMNO di Kinabalu kepada UPKO pasal nak suruh presidennya berada dalam kabinet selepas kalah di kubunya sendiri di Penampang. Sedarlah sikit diri UPKO.

LEBIH BAIK ONG TEE KEAT MASUK PKR


Presiden MCA, Ong Tee Keat hari ini berkata, sudah sampai masanya bagi rakyat Malaysia membebaskan diri mereka daripada belenggu isu perkauman.


Dengan mengambil Barack Obama, yang dipilih sebagai Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat, sebagai contoh, Ong berkata: "Sedihnya di Malaysia, kita masih berbalah dalam soal remeh berhubung pelantikan seorang wanita Cina sebagai Pemangku Pengurus Besar, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).


"Sudah sampai masanya bagi kita membebaskan diri melakukan sesuatu perkara secara ortodoks. Di Amerika Syarikat, ia mengambil masa lebih 200 tahun bagi seorang lelaki kulit hitam untuk dipilih sebagai presiden di sebuah negara yang dikuasai orang kulit putih.


"Ironiknya, rakyat di Malaysia, yang bersorak untuk Obama tidak berfikir bahawa seorang wanita Cina itu layak menerajui PKNS, kata Ong yang juga Menteri Pengangkutan, dalam satu kenyataan di sini.


Ong berkata, reaksi daripada sesetengah ahli politik daripada kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang berhubung pelantikan itu menunjukkan bahawa mereka masih lagi berada di dalam kepompong perkauman mereka sendiri.


Apa tujuan Ong Tee Keat menyamakan isu Pemangku Pengurus Besar PKNS dengan Obama. Ia tak ada kena mengena. Rakyat Amerika memilih Obama bukan atas dasar perkauman. Ia adalah atas dasar kemampuan Obama.


Bukan orang Melayu marah orang Cina jadi Pemangku GM PKNS. Ong kena faham bahawa tujuan PKNS ditubuhkan untuk membantu orang Melayu. Apa jaminan orang bukan Melayu duduk di situ dapat membantu orang Melayu?


Ong sendiri tak tolong orang Melayu masa berkuasa di kementeriannya. Kalau Ong setuju dengan PKR, masuk PKRlah dan berhenti jadi Presiden MCA.

Khamis, November 06, 2008

KEPALA BATAS, PEKAN BERKECUALI


UMNO Bahagian Kepala Batas dan Pekan yang dijadualkan bersidang hujung minggu ini tidak akan membuat sebarang pencalonan untuk pemilihan parti Mac depan.


Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kedua-dua bahagian tersebut telah mengemukakan permohonan agar dikecualikan daripada membuat pencalonan.


Katanya, permohonan itu juga telah diluluskan oleh Majlis Tertinggi (MT).
“Perlembagaan UMNO tidak menghalang bahagian yang diketuai oleh Presiden dan Timbalan Presiden daripada membuat pencalonan.


“Bagaimanapun, kedua dua bahagian itu sudah mengemukakan permohonan supaya diberi pengecualian dan ia telah diluluskan oleh MT,” katanya .


Sudah wajarlah Kepala Batas dan Pekan tidak membuat pencalonan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden supaya orang ramai tidak salah tafsir siapa yang disokong Pak Lah dan Najib bagi jawatan timbalan presiden.


Jika Pekan mencalonkan Muhyiddin tetapi Kepala Batas mencalonkan Ali, ia akan menimbulkan kekeliruan. Oleh itu lebih baik kedua-dua bahagian ini berkecuali.


Begitu juga bagi pencalonan Naib Presiden yang boeh menimbulkan tafsiran yang bermacam-macam. Pencalonan bagi Ketua Pemuda pun sudah menimbulkan kekeliruan apabila Pekan mencalonkan Mukhriz tetapi Kepala Batas mencalonkan Khairy Jamaluddin.


Kononnya Najib mahu Mukhriz jadi ketua pemuda yang baru manakala bahagian Semberong yang diketuai oleh Hishamuddin mencalonkan Khairy turut menimbulkan tafsiran. Oleh yang demikian lebih baik Kepala Batas dan Pekan berkecuali supaya ia tidak menimbulkan sebarang tafsiran yang negatif.

SIAPA CALON YANG KENA NANTI?


Lembaga Disiplin UMNO melalui khidmat pemantau yang diwujudkan telah berjaya mengenal pasti calon-calon yang menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan politik wang sepanjang tempoh pemilihan parti yang berlangsung sejak bulan lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, calon-calon yang menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden didapati menggunakan khidmat pengurus, perayu dan pelobi atau 3P untuk mendapatkan pencalonan.

Beliau mengingatkan bahawa mereka yang didapati bersalah kerana terlibat dengan amalan itu akan hilang hak untuk bertanding atau kemenangan mereka dibatalkan.

''Pihak kami kini dalam proses menganalisis dan menyiasat secara serius serta terperinci untuk mengumpulkan segala bahan bukti bersama saksi bagi membolehkan tindakan tegas diambil tanpa mengira sesiapa pun.

''Saya selaku Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO berasa amat terpanggil untuk menyatakan perasaan saya yang amat sedih dan kecewa tentang gejala amalan politik wang yang berlaku dalam tempoh pemilihan parti kali ini,'' katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini hari ini.

Pemilihan di peringkat 191 bahagian UMNO di seluruh negara telah bermula sejak 9 Oktober lalu dan dijadualkan berakhir Ahad ini.

Jumaat lalu, Majlis Tertinggi (MT) memberi amaran kepada ejen pelobi, pengurus kempen dan perayu undi calon-calon pemilihan UMNO yang berada di hotel sekitar ibu negara dan negeri-negeri supaya pulang ke bahagian masing-masing sebelum dikesan oleh pemantau dan dikenakan tindakan.

Sementara itu, Tengku Ahmad Rithauddeen turut mengeluarkan amaran tegas supaya baki 49 bahagian yang akan bersidang pada minggu terakhir ini agar menghentikan amalan politik wang.
Katanya, amalan tersebut bukan sahaja perbuatan yang tidak baik tetapi merupakan perbuatan terkutuk.
Bagi saya, tak salah calon ada 3P tetapi yang salah bila 3P hulur wang. 3P hulur wang kerana ketua bahagian atau wakil bahagian yang minta wang. Siapa antara tiga calon timbalan presiden yang main wang ini? Adakah Muhyiddin? Ali atau Muhammad?
Siapa pula calon naib presiden yang main wang antara enam orang ini. Adakah Hishamuddin, Khaled, Dr. zahid, Isa, Syed Hamid dan Shafie Afdal? Kalau semua calon main wang, maka kosonglah jawatan timbalan presiden atau naib presiden.

TITAH SULTAN PERAK WAJAR DIBERI PERHATIAN


Titah Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah di majlis penyerahan memorandum Gabungan Melayu Perak di Kuala Kangsar semalam wajar diberi perhatian oleh semua orang Melayu.


Sultan Azlan meminta semua pihak menghentikan mempertikai perkara yang telah dipersetujui dalam perlembagaan. Ia dibimbangkan akan mengguris hati dan emosi orang Melayu.

Mujur kita masih ada Raja-Raja jika tidak orang DAP sudah jadi MB di Perak. Itu pun orang Melayu masih tak sedar diri sanggup sokong DAP yang kononnya memperjuangkan kepentingan semua kaum.


Sebarang pindaan perlembagaan menyentuh Raja-Raja serta bidang kuasa Raja Pemerintah merangkumi agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan orang Melayu serta bumiputera di Sabah dan Sarawak perlu terlebih dahulu mendapat perkenan Raja-Raja.
Oleh itu orang Melayu tak perlu bimbang tentang kedudukan mereka kerana ia terjamin dalam perlembagaan.

Dalam pada itu orang Melayu kena ubah sikap. Jangan jadi alat orang bukan Melayu. Kerana DEB orang Melayu dapat tender. Tapi tender itu akhirnya disubkontrak kepada orang bukan Melayu kerana orang Melayu mahu kaya cepat. Yang dapat rasa daging orang bukan Melayu, yang dapat rasa kuah ialah orang Melayu kerana dasar mahu kaya cepat.


Orang Melayu sendiri yang mengkhianati orang Melayu. Bukan salah kerajaan kerana banyak peluang sudah diberi kepada Melayu tetapi kuota 30 peratus belum tercapai.


Bila orang MCA cadang buka kuota, kita marah sebaliknya kita sendiri yang menggagalkan kuota itu tercapai. Dapat saham, dapat projek terus jual projek kepada bukan Melayu. Bila keadaan ini berterusan, bila kuota 30 peratus itu akan tercapai?



Sudah sampai masanya bagi orang Melayu bermuhasabah. Lihatlah apa yang PKR dan DAP buat di Pulau Pinang dan Selangor serta Perak. Orang Cina yang tak pernah jadi GM PKNS dilantik sebagai pemangku GM. Oleh itu orang Melayu hendaklah kembali menyokong perjuangan untuk menegakkan kedaulatan orang Melayu.

Rabu, November 05, 2008

AZALINA DITOLAK WANITA


Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau tidak yakin akan mendapat cukup pencalonan bagi melayakkannya bertanding jawatan Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO.


Beliau mendakwa terdapat sekatan di peringkat bahagian supaya beliau tidak dicalonkan bertanding jawatan tersebut bagi menghormati peralihan kuasa antara Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.


"Bagi saya, ia mencerminkan budaya pergerakan Wanita UMNO yang patuh kepada arahan pemimpin atasan dan kepada mereka itu mungkin satu budaya positif,'' katanya selepas merasmikan Kempen Zoom! Malaysia di ibu pejabat Media Prima di Kuala Lumpur semalam.


Beliau sehingga kini mendapat 13 pencalonan bagi jawatan Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO dan masih jauh daripada kuota kelayakan yang diperlukan iaitu sebanyak 29 pencalonan.
Azalina tidak menolak bahawa penerimaan ahli-ahli Puteri UMNO di dalam Wanita masih pada kadar yang perlahan dan ia merupakan salah satu faktor mengapa beliau gagal mendapat pencalonan yang mencukupi.


Azalina berkata, beliau akan mempertahankan jawatan Majlis Tertinggi (MT) UMNO setelah mendapat pencalonan yang mencukupi.

Macam mana Azalina mahu diterima sebagai naib ketua wanita kerana beliau sendiri tidak kahwin. Semalam beliau diserang secara peribadi oleh beberapa ahli parlimen ketika menjawab soalan Wee Chee Keong dari Wangsa Maju.


Tetapi, Azalina yang tertekan dengan Wee terus menyatakan,"yang berhormat, saya masih muda. berilah saya peluang menyiasat dakwaan yang dikatakan."


Beliau kemudian diusik ahli dewan lain,"bila nak kahwin?" dan ada yang menyampuk,"dah ada calon ke?" menyebabkan Azalina berkata,"itu terlalu peribadi," sambil kembali membincangkan topik asal.
Oleh itu Azalina perlu ada keluarga dulu. Lepas itu barulah fikirkan kedudukan dalam pergerakan wanita UMNO.

BERILAH PELUANG KEPADA DR. RAIS


Menteri Luar, Dr. Rais Yatim yang memerlukan empat lagi pencalonan untuk melepasi kuota kelayakan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO terpaksa merayu dan berkata saya memerlukan ihsan ahli-ahli.

Dr. Rais tebal dengan prinsipnya tidak mahu main politik wang. Sedangkan kalau satu pencalonan bernilai RM10 ribu, Dr, Rais hanya perlu keluarkan RM40 ribu sahaja. Namun demikian saya berharap bahagian-bahagian yang akan bersidang minggu ini dapat beri peluang kepada Dr. Rais untuk lepasi kuota.


The more the merrier. Sehingga ini enam orang sudah layak bertanding iaitu Hishamuddin, Khaled Nordin, Shafie Afdal,Syed Hamid Albar dan Isa Samad. Oleh itu biarlah Dr. rais jadi calon ketujuh untuk bertanding jawatan tersebut. Pada tahun 1981, beliau kalah lima undi kepada Tengku Ahmad Rithaudeen dalam pertandingan Naib Presiden yang turut dimenangi Ghafar Baba dan Harun Idris. Selamat berjaya Dr. Rais.

HISHAMUDDIN PANDANG KE DEPAN


Ketua Pemuda Umno, Hishammuddin Hussein berkata tidak salah sekiranya ramai calon bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti Mac depan asalkan apa jua keputusan nanti tidak menjejaskan hubungan sesama ahli.


“Biarlah 100 orang pun bertanding, tidak salah asalkan mereka layak dan itu yang ditentukan perwakilan dan kita tidak boleh sekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kualiti Kementerian Pelajaran di Putrajaya semalam.


Hishammuddin, yang juga Menteri Pelajaran, diminta mengulas mengenai kemungkinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mendapat pencalonan yang cukup untuk layak bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sudahpun layak.


Untuk layak bertanding jawatan itu, seseorang itu perlu mendapat sekurang-kurangnya 39 pencalonan daripada bahagian Umno. Sehingga semalam, Mohd Ali memperoleh 32 pencalonan dan Muhammad 30 manakala Muhyiddin mendapat 79 pencalonan. Sebanyak 49 lagi bahagian belum bermesyuarat.


Hishamuddin lebih suka jawatan nombor dua ditandingi kerana sepupunya, Najib sudah menang tanpa bertanding sebagai Presiden UMNO. Hishamuddin suka Muhyiddin dicabar kerana jika Muhyiddin menang tanpa bertanding, ia akan menggugat kedudukan sepupunya pada pemilihan 2012.


Pada tahun 1981, keretakan dalam UMNO mula timbul bila Ku Li dan Musa Hitam dibiarkan bertanding bagi merebut jawatan timbalan presiden. Ia berlanjutan pada tahun 1984 apabila Musa-Ku Li berentap buat pusingan kedua.


Jika pertandingan Muhyiddin-Ali-Muhammad dibenarkan pada tahun ini, tidak mustahil pada tahun 2012, pertandingan pusingan kedua antara mereka akan berlaku. Oleh itu adakah pertandingan seperti ini wajar?


Ia wajar jika ia mahu para perwakilan memilih antara mereka bertiga. Tetapi yang tak wajar jika dua orang yang kalah pada tahun 2009 membalas dendam pada tahun 2012 yang mana akhirnya UMNO akan lemah dengan pertandingan yang berterusan seperti ini.


Atau mungkin Hishamuddin yang akan menang sebagai Naib Presiden nombor 1 pada tahun 2009 sudah berkira untuk melanggar siapa yang menang sebagai nombor dua pada tahun 2009 pada tahun 2012?


Kerana sudah jelas kepada kita selepas Najib jadi PM, PM seterusnya adalah Hishamuddin dan bukannya pemenang nombor dua pada tahun 2009 (sama ada Muhyiddin atau Ali atau Muhammad). Jadi Hishamuddin lebih suka jawatan nombor dua dicabar seberapa ramai yang boleh.

NAJIB TIDAK BERANI


Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan Rakyat hari ini sebagai membantah keengganan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak melayan pertanyaan yang dikemukakan ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Bajet 2009.
Najib memberitahu dewan bahawa beliau akan menjawab soalan-soalan dari ahli Parlimen selepas selesai menyampaikan ucapannya.Sehubungan itu, beliau tidak membenarkan beberapa percubaan oleh ahli Parlimen pembangkang untuk mendapatkan penjelasan.
Ahli-ahli Parlimen pembangkang juga kecewa kerana perangkaan dalam ucapan Najib itu, berbeza dengan perangkaan dalam bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga menteri kewangan September lalu.

Sebelum itu, Tian Chua (PKR-Batu) menyebabkan Pandikar Amin Mulia hilang sabar apabila beliau berkeras mengatakan bahawa ‘bajet baru’ itu melanggar Perintah Tetap 66(1) berhubung pembentangan rang undang-undang bajet.
Beliau mengarahkan Tian keluar dewan sepanjang ucapan itu disampaikan.

Berikutan itu semua ahi Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan, dengan ketuai Anwar, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) dan Nasharuddin Mat Isa (PAS-Bachok).
Sementara itu, Bernama melaporkan Najib berkata tindakan anggota Parlimen pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat ketika sesi penggulungan kementerian kewangan hari ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata pembangkang tidak sepatutnya bertindak demikian kerana apa yang dibentangkan di dalam Dewan Rakyat adalah langkah tambahan yang begitu penting untuk masa depan negara dan juga untuk membela kepentingan rakyat.
"Jadi dalam pembentangan seperti ini, mereka sebagai pembangkang yang bertanggungjawab dan menunjukkan sikap yang membina sepatutnya hadir dalam masa pembentangan itu."Ini satu yang rakyat mesti sedar bahawa mereka telah mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai pembangkang yang konstruktif dan bertanggungjawab,"katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen.
Ketika sesi penggulungan Kementerian Kewangan yang bermula 4.30 petang ini, pembangkang bertindak keluar Dewan selepas tidak puas hati kerana mendakwa Najib tidak memberikan mereka peluang untuk mencelah bagi mendapatkan penjelasan.
Najib yang juga menteri kewangan berkata beliau membuat keputusan tidak memberikan laluan untuk penjelasan sehingga selesai pembentangan peringkat pertama kerana ingin memberikan gambaran yang jelas supaya tidak ada pihak yang terkeliru dengan langkah dan dasar baru yang dibentangkan.
"Elok saya buat pembentangan dulu. Bila dah nampak gambaran keseluruhannya, kalau mereka nak buat pertanyaan penjelasan, saya sanggup memberi penjelasan.

"Tapi nampaknya mereka tidak sabar dan nak keluar juga. "Saya memang dah janji bahawa saya akan bagi masa untuk mereka membuat sebarang pertanyaan dan penjelasan. Saya bukan menafikan, saya menggunakan hak saya untuk menentukan bila saya nak bagi peluang," katanya.
Ketika ditanya sama ada kekeliruan berlaku di antara bajet baru dan bajet tambahan yang dibentangkan hari ini, Najib berkata: "Ini bukan bajet baru sebab dari segi jumlah untuk perbelanjaan pembangunan dan untuk bajet perbelanjaan pengurusan ia masih kekal pada paras yang sama."
Mahu kasi laluan atau tidak semasa ini?" soal Pandikar Amin kepada Najib.
Najib menjawab: "Saya nak bentangkan, itu hak saya Tuan Yang Dipertua. Itu hak saya."
Sementara itu, dalam sidang media selepas itu, Anwar berkata tindakan ahli Parlimen pembangkang meninggalkan sesi berkenaan disebabkan rasa tidak puas hati dengan pendirian yang diambil oleh Najib.
"Kami menunggu sejam untuk mendapatkan kebenaran menteri bagi membolehkan kami memberi respons dan mengambil bahagian dalam perbahasan. Inilah masanya untuk menteri menjawab isu yang dibangkitkan oleh ahli Parlimen," katanya.
Anwar juga mendakwa timbalan perdana menteri telah mengemukakan usul dan cadangan baru terhadap Bajet 2009 yang dibentangkan sebelum ini.

Manakala Lim yang hadir sama di sidang akhbar tersebut, pula berkata insiden tersebut merupakan satu permulaan yang malang pada hari pertama Najib sebagai bakal perdana menteri.

“Kami datang untuk berbahas, bukan untuk mendengar syarahan ekonomi oleh menteri kewangan,” kata Nasharuddin.

Selasa, November 04, 2008

SELAMATKAH NASIR DI KUALA NERUS?

Seorang lagi hulubalang Mat Said dijangka tumbang!!!” Mat Said akan melenting lagi. Mat Said akan memecat Exco lagi dan sesiapa sahaja yang ada kepentingan di bawah bidang kuasanya. Itu cakap-cakap umum berdasarkan perkiraan di atas kertas dan cakap-cakap sentimen keyakinan kem yang bertanding.

YB Dato’ Nasir Ibrahim, Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, berhadapan laluan sukar. Jauh lebih sukar sewaktu beliau bersaing bersama Datuk Rahin Said dalam pemilihan 2004 lalu. Saingan ketika itu agak seimbang, walaupun ramai yang meramalkan Rahin boleh menang mudah, yang berlaku Nasir berjaya menerajui Bahagian Kuala Nerus walaupun dengan majoriti tipis 10 undi.
Kali ini Nasir berhadapan dengan Che Azmi Abd Rahman, Timbalan Ketua Bahagian yang pernah menjadi regunya pada pemilihan 2004 lalu di samping turut menghadapi Basir Ismail, Naib Ketua Bahagian. Azmi dan Basir mempunyai satu tekad. Bekerja untuk menumbangkan Nasir di Kuala Nerus.

Sama ada Azmi dan Basir akan bersaing dalam pertembungan tiga penjuru atau kemudiannya mereka bergabung menjadi dua penjuru, Nasir tetap akan bersendirian.Nasir yang diuar-uarkan akan dilantik sebagai Menteri atau Timbalan Menteri, serta dengan rasmi telah menawarkan diri bertanding jawatan MKT itu, kali ini hanya bergandingan bersama Haji Ismail Nik, Pengerusi Penyelaras DUN Bukit Tunggal untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua.

Manakala Azmi dan Basir menyediakan jalur kepimpinan yang didokong setiap seorang dengan seorang Exco Kerajaan negeri. Di belakang Azmi ada adiknya YB Ahmad Razif (ADUN Seberang Takir / Exco Kerajaan negeri), manakala di belakang Basir ada YB Datuk Rahin Said (ADUN Teluk Pasu / Exco Kerajaan negeri) dan ada juga YB Ustaz Ramli Noh (ADUN Tepuh).Nasir hampir lemas.

Amaran MB supaya Ketua Bahagian tidak dicabar dan amaran MB kepada Exco menjadi pelampung utama Nasir bagi menyelamatkan dirinya agar tidak terus tenggelam begitu saja. Nasir amat mengharapkan tindakan memecat Exco yang ‘keras kepala’ dan bersubahat dengan pencabar Ketua Bahagian dapat dilaksanakan oleh Mat Said sesegera mungkin, paling tidak sebelum persidangan Bahagian Kuala Nerus 8 November ini.

Ini penting kerana kalau benar berlaku tiga pemecatan (Yahya Khatib dan dua Exco yang bersekongkol dengan calon yang menyanggah Ketua Bahagian), dua Exco di Bahagian Kuala Nerus akan turut kecut perut. Nasir berkeadaan sedikit selamat, sekiranya Rahin dan Razif dipaksa terjun dulu ke dalam sungai Nerus sebelum rakit mereka merempuh rakit Nasir dan menenggelamkannya.

Tumbangnya Azmi atau/dan Basir 8 November ini tidak meninggalkan impak yang besar, tetapi tumbangnya Nasir akan bertambah parahnya luka MB, selain perihnya nyilu keaiban Nasir. Nasir perlu menang seperti menangnya Dato’ Mat Jidin di Setiu, walaupun secara bersendirian terpaksa berhadapan dengan 4 sekawan.

Nasir ada resepi tersendiri untuk menutup maruah dirinya yang cuba diaibkan itu.Berjayakah Nasir atau apakah Nasir juga akan menerima nasib seperti Man Bakar? Mungkinkah Rahin dan Razif akan turut mengikuti jejak Yahya Khatib Mohamad? Kuala Nerus yang menentukan dan Mat Said yang akan melaksana. Marang dan Kuala Nerus mungkin memiliki aura dan sentimen politik yang sama tetapi tidak serupa.

(dipetik dari www.jaranganakmelayu.blogspot.com)

DILEMMA SHAHRIZAT


Shahrizat Abdul Jalil kini dalam dilemma. Dia kini mendapat 66 pencalonan untuk mencabar ketua wanita, Rafidah Aziz. Sedangkan sebelum ini Rafidah telah mengatakan bahawa beliau akan serahkan jawatannya pada bulan Jun 2009.

Perhimpunan agung UMNO diadakan dari 24-28 Mac 2009. Maknanya jika Shahrizat tidak langgar Rafidah, Shahrizat akan jadi pemangku ketua wanita untuk tiga tahun manakala kerusi naib ketua akan kosong sepanjang tiga tahun tersebut. Alangkah ruginya pergerakan wanita UMNO tiga tahun tanpa naib ketua.

Sebaliknya jika Shahrizat lawan Rafidah, ada dua kemungkinan berlaku. Pertama, jika Shahrizat menang, dia selamat dan Rafidah bersara dari politik.Tetapi jika dia kalah, Shahrizat akan kempunan jadi ketua wanita kerana Kamelia Ibrahim yang menang tanpa bertanding sebagai naib ketua akan menjadi pemangku ketua wanita yang baru pada Jun ini.

Oleh itu Shahrizat perlu solat istiqarah. Biar dapat petunjuk dari Allah supaya keputusan menentang Rafidah ini mendapat restu dari Allah. Peluang begini datang sekali dalam seumur hidup. Jika dia tak langgar Rafidah, mungkin peluang seperti ini tidak datang lagi. Oleh itu menghadaplah Allah untuk mendapat jawapan selepas 9 November ini.

Isnin, November 03, 2008

SALLEH KEMBALI SEMULA


Bekas Ketua Menteri Sabah, Salleh Said Keruak kembali meneraju UMNO Bahagian Kota Belud selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Musbah Jamli, pada pemilihan yang berakhir tengah malam tadi.


Pada pemilihan itu, Salleh yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Belud mendapat 341 undi, manakala Musbah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, 294 undi.
Salleh yang juga Presiden Pertubuhan Bajau Sabah Bersatu (USBO) tidak dipilih bertanding pada pilihan raya lalu.


Sementara itu, Awadnir Matanggal menang tanpa bertanding untuk jawatan Timbalan Ketua UMNO bahagian.


ADUN Usukan, Datuk Japlin Akim yang melepaskan jawatan Ketua Pemuda Kota Belud kerana faktor usia pula menang bagi jawatan Naib Ketua UMNO bahagian.


Pada tahun 2004, Salleh tidak mempertahankan jawatan ketua bahagian. Bila sudah tiada jawatan dalam bahagian, beliau yang ketika itu adalah ahli parlimen Kota Belud kehilangan jawatannya pada pilihan raya umum baru-baru ini apabila beliau digugurkan sebagai calon BN. Bekas Ketua Pemuda Tuaran, Rahman Dahlan dipilih sebagai calon BN Kota Belud menggantikan Salleh.


Dengan kemenangan ini Salleh dapat bergerak semula dalam politik secara aktif dan beliau juga akan bertanding kerusi majlis tertinggi pada bulan Mac depan.

CADANGAN ADNAN PERLU DITIMBANG


Beranikah semua calon bersumpah wallahi, wabilahi, watallahi bahawa saya tidak beri wang kepada para perwakilan seperti cadang Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob?

Cadangan Adnan wajar diberi pertimbangan kerana jika berani bersumpah begitu tetapin jika mereka terlibat, mereka akan terima padahnya dari Allah. Sumpah bukannya boleh dibuat main-main.


Adnan patut menjadi orang pertama tampil ke hadapan bersumpah bahawa beliau langsung tidak hulur untuk dapatkan pencalonan bagi jawatan ahli majlis teringgi.

Isu politik wang masih menghantui UMNO. Pelbagai mekanisme dicadang tetapi semakin kuat dilarang politik wang, semakin berleluasa amalan itu berlaku. Sekarang ini semua orang tuduh orang ini main wang tetapi tiada bukti kerana tiada rakaman CCTV dan sebagainya.

Oleh itu UMNO perlu melihat cadangan Adnan Yaakob ini secara serius? Malah Ku Li pernah diminta RM1 juta untuk mendapatkan pencalonan bagi jawatan Presiden UMNO. Untuk dapatkan kuota, Ku Li perlu belanja RM58 juta. Untuk menang pula, entah berapa juta lagi yang Ku Li perlu belanja. Tetapi oleh kerana Ku Li tidak mahu beli pencalonan, maka beliau tercicir dan tidak layak bertanding.

ALI SEMAKIN HAMPIR


Tinggal 49 bahagian lagi yang belum bermesyuarat. Ku Li sudah tiada harapan untuk bertanding jawatan Presiden UMNO kerana kuotanya ialah 58 pencalonan. Kalau semua baki 49 bahagian mencalonkan Ku Li, Ku Li tetap tak boleh mencabar Najib.

Tetapi bagi jawatan timbalan presiden, kemungkinan pertandingan tiga penjuru antara Muhyiddin, Ali dan Muhammad. Sehingga semalam, Muhyiddin dapat 79 pencalonan manakala Ali perlukan tujuh lagi untuk cukup kuota dan Muhammad perlukan sembilan pencalonan lagi. Shahrir perlukan 38 lagi pencalonan untuk cukup kuota.

Ini bermakna Muhyiddin terpaksa lupakan hasratnya untuk menang tanpa bertanding kerana cabaran Muhammad dan Ali biarpun mereka kurang dapat pencalonan tetapi pengundian akan menjadi sebaliknya.

Usaha untuk menonjolkan Shahrir sebagai calon timbalan presiden terlalu lambat walaupun Musa Hitam pernah jumpa Shahrir memintanya bertanding. Cuma Gua Musang yang berminat dengan Shahrir walaupun Shahrir mencalonkan sepupunya Najib untuk jawatan Presiden UMNO.

Yang sedihnya jentera Ku Li kuat di Johor tetapi satu bahagian pun tidak calonkannya untuk jawatan Presiden UMNO. Malah Muar yang disebut-sebut bakal mencalonkan Ku Li juga turut kecundang.


Mungkin kaedah pencalonan iaitu undi angkat tangan tidak sesuai lagi untuk menunjukkan akar umbi mencalonkan seseorang tokoh untuk jawatan penting dalam parti. Maka UMNO perlu memikirkan supaya undi sulit dibuat kepada semua pencalonan jawatan pada pemilihan akan datang.