Memaparkan catatan dengan label kembali. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kembali. Papar semua catatan

Sabtu, Julai 01, 2017

CATATAN ZABIDI MUNCUL KEMBALI

Setelah berehat selama sebulan blog ini muncul kembali pada hari ini 1 Julai. Ramai orang whatsapp saya tanya ke mana saya menghilangkan diri selama sebulan. Sebenarnya saya jalani pembedahan cataract di Hospital Selayang pada 1 Jun lalu.

Doktor saya suruh saya berehat selama sebulan. Kini saya muncul kembali mengulas isu isu semasa. Oleh kerana hari ini adalah 7hb Syawal maka saya ceritakan sedikit pengalaman saya beraya di kampung saya di Pasir Gajah, Kemaman.

Walaupun orang tua saya (Haji Abdullah dan Hajah Zaharah) sudah lama meninggal dunia di Pasir Gajah tetapi saya tetap beraya di sini kerana bapa mertua dan emak mertua  (Othman Embong dan Selema Abdullah) pun orang Pasir Gajah. Bapa mertua meninggal dunia pada tahun 2001 dan emak mertua meninggal dunia pada bulan Januari lalu.

Sepatutnya kami beraya di Semenyih kerana sudah tiada orang tua di kampung tetapi isteri mahu beraya dengan adik beradiknya di kampung manakala semua adik saya duduk di Kuala Lumpur. Tahun ini dua orang anak saya, along dan abang zuwairi yang beraya di kampung. Manakala angah beraya di rumah mertuanya di Kedah dan acik beraya di Jenderam, Selangor.

 Pada hari raya pertama seperti biasa selepas menziarahi kubur orang tua, saya beraya di Chukai di rumah kawan kawan Dato Rahim Husin, Haji Mustafa Abdul Rahman dan Yusof Jaafar. Saya cadang nak ziarahi kawan lama Naim Ton Mohamad di Air Putih tapi masa tidak mengizinkan.

Pada hari raya kedua. saya dengan kawan saya Mazlan Pasir Nering mengunjungi rumah terbuka bekas ADUN Ajil, Dato Rosol Wahid. Kebetulan ketika saya tiba di rumah Dato Rosol, ADUN Kuala Brang, Dato Tengku Putera Tengku Awang pun tiba juga. Dah lama saya tidak temui bekas Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu itu. Pada tahun 1996, saya menulis buku HULU TERENGGANU MENUJU KEEMASAN untuk beliau.

Kemudian saya memenuhi undangan rumah terbuka kawan lama saya, Bendahari Perhubungan Umno Terengganu, Anuwar Mohamad di rumahnya di Bukit Petiti. Ketika saya duduk di Banggol Peradong pada tahun 1968-1971, saya pernah berbasikal dari Banggol Peradong sampai ke Bukit Petiti.

Tidak lupa saya singgah di rumah terbuka Pegawai Pembangunan DUN Teluk Pasu, Cikgu Mansor. di Kampung Banggol Tok Esah. Kebetulan Menteri Besar, Dato Seri Ahmad Razif turut hadiri rumah terbuka tersebut.

Selepas lepak di Hotel Primula dengan Bendahari Umno Bahagian Marang, Nasir Mamat, Pok Yas dan Rizal, saya singgah di rumah Penghulu Bukit Payong, Adnan Mat Amin. Kebetulan abangnya Cikgu Kamarudin nikah dengan tiga pupu saya orang Kampung Paloh.

 Terserempak dengan Menteri Besar di hari raya kedua di rumah terbuka PPD Teluk Pasu
 Bersama bekas ADUN Ajil, Dato Rosol Wahid dan mazlan pasir nering (kiri)
 ADUN kuala brang, dato tengku putera tengku awang turut hadiri rumah terbuka dato rosol
 di rumah terbuka anuwar mohamad, bendahari perhubungan umno terengganu
bersama cikgu mansor pegawai pembangunan dun teluk pasu


Pada hari raya ketiga saya pergi ke Machang rumah abang ipar. Isterinya baru keluar dari hospital. Sambil menziarahi biras sambil beraya dengan abang ipar. Turut singgah di rumah mak saudara di Kg Tok Khamis simpang jalan Pasir Putih-Jeli. Janji nak jumpa dengan pemilik MH Online, Hidayat Fansuri yang balik ke Padang Pak Amat tapi tak sempat temuinya kerana saya tidak dapat drive malam.

Pada hari raya keempat saya singgah di rumah mak saudara di Padang Pak Amat tetapi tiada orang. Saya terus pergi ke rumah mak saudara di Selingsing. Anaknya Juraij seorang pegawai kanan di Perbadanan Putrajaya turut balik kampung. Selepas itu saya singgah di rumah abang Juraij, jazlan guru besar Sekolah Kebangsaan Seri Mahligai, Dabong.

Dari situ ke Kampung Danan rumah tok saudara tapi beliau tiada. Terus ke Jelawat temui pak dua pupu saya, Aziz. Tak lama di situ saya ke Ton Bali temui pemilik Agro Malaysia, Shamsul Hazli Mamat. Balik ke terengganu ikut jalan pantai. Cadang nak makan ikan celup tepung di kedai pok nong di mengabang telipot tapi kedainya tutup. Singgah di rumah dua pupu Kamal Shah di Gong Pak Jin. Akhir sekali sebelum balik ke Kemaman saya singgah di rumah bekas anak tiri saya, DJ Farah Fauzi, DJ Radio terengganu menemui adiknya Zahir iaitu anak saya dengan arwah Noriah.

Pada hari raya kelima saya temui kawan kawan di kedai haji mat stopa di stesen teksi Chukai iaitu Mat Dalam Awang, Jantan Mohamad, Haji Yusof Mohamad, Haji Mydin Mak Chili dan Mat Nor Dusun Nyior.

Pada hari raya keenam saya balik ke Kuala Lumpur dan singgah di Bukit Goh menemui mak sepupu, Hajah hasanah dan Haji Abdullah yang duduk di Batu Pahat, Johor. Saya turut mengunjungi rumah pak sepupu Ahmad yang duduk serumah dengan Dato Seri Ahmad Said sewaktu kecil di Teluk Kalong. Bapa saudara Ahmad, ustaz husin nikah dengan kakak Ahmad said, Che da.

Saya sampai di Kuala Lumpur pada jam 5.30 petang setelah mengalami jem dari tol Bentong ke Bukit Tinggi. Saya singgah di rumah adik saya nombor tiga, Hajah Noridah di Gombak Ria.

Pada hari raya ketujuh saya beraya di rumah adik nombor lima, Nor Hafilah di tasik puteri. Saya turut beraya di rumah bakal besan di situ, Ali yang berasal dari Sungai Besar, Selangor  yang bekerja dengan Muhibbah Engineering di kota kinabalu.

Selepas itu kami konvoi lima kereta dengan dua anak saya, angah dan acik serta adik Nor Hafilah dan adik nombor enam, Dr Nor Laily Shakimah  ke rumah adik nombor empat, Saifudin di Taman Melawati. Sebelum itu kami singgah di rumah sepupu kami, Nor Akmal Zuraimie Yati yang duduk di kepong baru.

Hanya seorang lagi adik, haji mahir belum sempat ditemui di musim raya kerana dia masih puasa enam. esok umat islam yang berpuasa enam akan berhari raya termasuk adik saya Haji mahir yang juga bekas setiausaha akhbar Sheikhul Arqam, ustaz ashaari mohamad.
 beraya di rumah bekas naib ketua umno bahagian kemaman, dato rahim husin
 beraya di rumah pegawai khas timbalan perdana menteri, haji mustafa abdul rahman
 bersama yusof jaafar panglima perang haji pa
 bersama abang ipar, zakaria othman di machang
 bersama emak sepupu, hajah hasanah dan haji abdullah batu pahat
di rumah dj radio terengganu, farah fauzi dengan zahir
beraya di rumah pemilik agro malaysia, shamsul hazli mamat di tok bali

Jumaat, November 19, 2010

JIKA ORANG CINA KEMBALI KEPADA BN


BN boleh mendapat majoriti dua pertiga pada pilihanraya umum akan datang jika pengundi Cina kembali menyokong BN. Jika mereka kekal menyokong DAP, jangan harap BN akan dapat majoriti dua pertiga.

Sehubungan dengan itu MCA dan Gerakan perlu bekerja kuat untuk memenangi undi orang Cina. Bagaimanapun Datuk Dr Rais Yatim yakin BN boleh mendapat majoriti dua pertiga semula pada pillihanraya umum akan datang.

Barisan Nasional (BN) boleh meraih majoriti dua pertiga yang minimum sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diadakan seawal-awalnya pada hujung tahun depan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, masih terlalu awal bagi sesiapa membuat telahan yang tepat mengenai potensi parti pemerintah itu namun gelombang menyebelahi BN telah mula dirasai jika momentum ekonomi dan kestabilan negara ketika ini berterusan.

"Harga getah dan sawit masa ini hebat manakala ringgit kita kukuh.

"Faktor pencapaian BN ketika Kedah dilanda banjir dan masyarakat di Selangor yang sudah meluat dengan pelbagai kerenah pakatan pembangkang selain kemenangan di Batu Sapi dan Galas dan dengan penjenamaan BN yang dilakukan juga menjadi faktor penyumbang.

"Jadi, ini bergantung kepada tempoh bila pilihan raya itu hendak diadakan, jika pada hujung 2011 ia adalah tempoh logik bagi BN untuk mencatat prestasi mencapai majoriti dua pertiga yang minimum... bukan dalam margin yang tinggi," kata beliau.

Isnin, Januari 25, 2010

SYUKURLAH DAPAT KEMBALI SEMULA

Setelah tiga hari blog ini tidak dapat dibuka, syukurlah petang ini seorang rakan dapat membuka semula blog ini tetapi dengan mem0belakang.blogspot.com. Bukannya huruf besar O tetapi nombor 0 (KOSONG).

Saya tidak tahu siapa yang hacked blog saya ini. Tetapi ini semua dugaan bila kita menjadi penulis. Bila ada yang kena tegur, sudah tentu ada yang marahi saya. Maka jalan terbaik ialah menggodam blog saya. Maknanya blog saya ini ada kesan juga kepada orang-orang tertentu.

Saya tulis perkara yang benar. Jika tidak benar, bolehlah saman saya di mahkamah. Cara menggodam blog saya ini supaya orang tidak membacanya bukanlah jalan yang gentleman. Nampak sangat tidak gentleman orang berkenaan. Saya tidak mahu menuduh sesiapa. Saya ada sms kepada orang tertentu supaya membaca blog saya. Pagi esok saya dapati blog saya sudah digodam bila seorang rakan, Jamal Nasir Awang cuba membukanya pada pagi Ahad lalu. Ini semua satu pengalaman baru buat saya.

Oleh itu mem0belakang akan tetap menegur perkara yang tidak betul.

Khamis, Disember 31, 2009

MENGENANG KEMBALI TAHUN 2009


Tanpa disedari hari ini adalah hari terakhir tahun 2009. Esok tahun 2010 akan bermula. Mengenang kembali tahun 2009, sudah tentu ada peristiwa pahit dan manis berlaku sepanjang tahun ini.

Tidak terkecuali buat saya, ada yang manis dan ada yang pahit. Bagi saya paling pahit bila putus cinta dengan Fairus binti Zabidi,47, pada 7 julai lalu. Kami sudah menjalin hubungan selama 13 bulan. Sepatutnya nikah pada 10 Oktober lalu, tetapi seperti kata pepatah, manusia cuma merancang tetapi Allah yang menentukannya. Kami tidak ada jodoh untuk hidup bersama.

Sudah lima bulan lebih dia meninggalkan saya. Sehingga ini belum ada pengganti yang saya temui seperti Fairus. Fairus adalah seorang dalam seribu. Saya tak akan temui lagi perempuan sehebat Fairus yang pandai dalam serba-serbi. Pandai memasak, pandai menghias rumah, pandai langskap rumah dan pandai segala-galanya. Tetapi biarlah dia pergi. Saya doakan kebahagiaannya.

2009 juga pahit buat saya kerana terpaksa meletakkan jawatan sebagai editor akhbar Watan pada 1 April lalu. Lima bulan WATAN tak bayar gaji, maka saya terpaksa meletakkan jawatan. WATAN akhirnya ditutup. Sayang kerana kami menghidupkan semula WATAN menguruskan permit penerbitannya dengan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar dan timbalannya, Datuk Wan Farid Wan Salleh tetapi akhirnya WATAN mati semula tanpa nesan.

Saya bekerja dengan majalah Business Kini selama empat bulan tetapi terpaksa letak jawatan kerana taukehnya disahkan dapat penyakit gila babi. Di hadapan saya dia elok tetapi di belakang saya dia kutuk saya. Jadi macam mana saya mahu bekerja dengan orang gila babi seperti ini. Gaji akhir saya dia tak bayar. Jawablah di akhirat nanti kenapa dia tak bayar gaji saya kerana di akhirat dia akan menerima siksaan yang amat pedih tidak membayar gaji pekerjanya.

Saya kini sedang menyiapkan buku LIMA TANGGA KEJAYAAN yang ditulis oleh taukeh Coffee Classic, Haji Sobri Harun. Projek ini dijangka siap pada bulan Januari 2010. Selepas itu saya tak tahu akan pergi ke mana walaupun sudah ada tawaran untuk menjadi editor akhbar UMNO PAHANG.

Tahun ini juga saya dapat tawaran bekerja di RTM pada bulan Mei lalu oleh Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya tetapi saya tolak tawaran itu kerana dapat tawaran bekerja secara lisan dengan sebuah akhbar di Terengganu. Tetapi sampai sekarang saya tak terima surat tawaran itu. Menyesal saya menolak tawaran di RTM yang mana hingga sekarang Datuk Tiger marahi saya.

Tahun ini mencatat sejarah kerana dua projek yang saya lobi telah berjaya. Satu projek fire fighting di Hospital baru Seremban sebanyak RM2.5 juta yang saya lobi dengan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Shirlin Abdul Rashid manakala satu lagi saya lobi projek cuci bersih enam buah sekolah di Kemaman dengan Timbalan Menteri pelajaran, Datuk Dr. Puad zakarshi. Saya pun tak tahu berapa komisen saya dapat kerana kedua-dua kontraktor itu berjanji akan beri komisen jika saya berjaya lobinya. Mereka kata bayaran akan dibuat berdasarkan progress payment yang sudah tentu akan diterima pada tahun 2010.

Satu lagi projek yang saya lobi melalui Menteri Besar mungkin dapat tetapi jawatankuasa tendernya belum bermesyuarat. Menteri Besar telah memberi sokongan kepada syarikat kontraktor kelas B yang saya lobi itu. Terpulanglah kepada jawatankuasa tender. Jika ada rezeki, tak ke mana.Komisennya agak lumayan yang akan dibayar pada tahun 2010 jika berjaya kelak.

Kesimpulannya, pada tahun ini merupakan tahun kejayaan saya walaupun ada peristiwa pahit yang berlaku pada saya yang mana saya tidak dapat lupakan sampai hari ini. Sesungguhnya setiap apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Semuanya ujian dari Allah. Bila lima bulan bekerja tak dibayar gaji, maka girlfriendpun lari. Tetapi Allah sayangi saya. Dia lari pada 7 Julai tetapi pada 8 Julai saya dapat kerja di majalah Business Kini.

Mengenang kembali tahun 2009, saya bersyukur dengan apa yang diberi oleh Allah. Ya Allah, banyak yang Kau beri, sedikit yang dapat kubalas. Mungkin saya akan menamatkan alam duda saya pada tahun 2010. Siapa yang jadi calonnya? Terserahlah kepada Allah kerana jodoh pertemuan, hidup, mati kita semuanya telah ditentukan oleh Allah. Hanya Allah yang tahu siapa yang bakal menjadi isteri saya.


Selasa, Oktober 13, 2009

SELAMAT KEMBALI


Tiga hari saya tidak berada di Kuala Lumpur menyebabkan blog ini tidak dapat diupdatekan. Pada hari Sabtu lalu saya ikuti rombongan santai selebriti-media ke Sutera Beach Resort, Merang, Terengganu.

Program tiga hari dua malam itu adalah anjuran Anita Production yang mempromosi lima artis baru. Dua artis M. Nasir iaitu Ocham dan Zenn, adik kepada penyanyi popular, Shidee. Manakala dua orang lagi dua beradik, Zoufi dan Zwen dari Serendah dan seorang lagi artis wanita, Jocye Saayan.

Kami sampai jam 5.30 petang di Sutera Beach Resort dengan bas persiaran yang ditaja oleh Discovery Global Sdn. Bhd. Tuanpunya syarikat bas itu, Richard Moo dan Irwan Lee turut bersama dalam rombongan kami seramai 40 orang yang disertai oleh artis, media dan staf Anita Production.

Malam itu hotel mengadakan rumah terbuka sempena hari raya aidilfitri. Majlis itu yang diserikan oleh nyanyian lima artis baru turut dihadiri oleh Tengku Temenggong, Tengku Badrul dan isteri. Majlis itu amat meriah kerana hotel mengundanghampir 200 orang hadirin termasuk Ketua Polis Daerah Setiu.

Pada hari ahad, kami ke Pulau Bidong snorkeling dan diving. Hanya orang yang ada lesen diving sahaja dibenarkan diving.Oleh kerana bot terhad, maka 16 orang sahaja yang pergi ke Pulau Bidong.

Petang media sibuk menemubual Pengurus Besar hotel, Malizan yang mempunyai 20 tahun pengalaman dalam bidang perhotelan. Beliau memulakan kariernya ketika berusia 16 tahun di hotel Cashuarina Ipoh sebagai waiter. Beliau telah membuktikan bidang perhotelan merupakan industri yang cerah kepada orang bawahan sepertinya yang boleh meningkat dari waiter hinggalah ke pengurus besar.

Hotel ini juga menyediakan spa di mana jari-jari lembut Raja Jamilah sempat mengurut model kami, Zenn sampai tertidur. Zenn jadi model kami untuk shooting majalah kami.

Lima artis baru turut ditemubual oleh wartawan Sukses, Business Kini, Libur,Maskulin dan Sinar Harian. Krew Muzik-Muzik TV3 dan Diva TV1 turut sama membuat liputan majlis tersebut.

Petang itu kami bermain bola sepak pantai lawan staf hotel. Kami kalah teruk begitu juga pasukan netball kalah di mana oleh kerana pasukan kami kekurangan pemain wanita, terpaksalah pemain lelaki turut main netball.

Pada malamnya majlis lebih santai di mana kami mendengar lagu-lagu dendangan residen artis, Adi Putra yang menghiburkan para pelancong dari Jerman, Itali dan England. Saya turut diundang menyanyi sebuah lagu Biar Bulan Tanpa Bicara di mana inilah kali kedua saya menyanyi secara terbuka tanpa karaoke. Kali pertama di KL International Hotel tiga bulan lepas menyanyi di coffee house dengan lagu yang sama.

Hari terakhir, semalam kami check out pada jam 12 tenghari dan sebelum pulang kami singgah di Kedai Payang. Jam 4.30 petang kami bertolak balik ke Kuala Lumpur dan tiba di destinasi,Pandan Indan pada jam 12.30 malam. Terimakasih Anita Production yang sudi mengundang kami ke majlis santai bersama selebriti media ini. Setelah begitu lama sibuk dengan tugas,maka sekali sekala bersantai di Merang memang menyeronokkan.

Jangan lupa tonton tv1 pada jam 1.45 tengahari ini Diva buat liputan majlis santai selebriti-media anjuran Anita Production ini.

Rabu, Ogos 19, 2009

AHLI UMNO TERENGGANU KEMBALI BERSATU


Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein gembira kerana kepimpinan UMNO serta ahlinya di negeri ini kembali bersatu dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima dan pemerhatiannya, kesemua pemimpin dan ahli UMNO di negeri ini ' bertaut kembali'.

Menurut beliau, selepas mengetuai UMNO di Terengganu banyak usaha dan program jangka panjang dan pendek dilakukan yang menampakkan hasil positif dan menyakinkan.

''Maklum balas yang diterima kini begitu baik sekali dan usaha-usaha sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa.

''Bagaimanapun, saya sekali lagi merayu kepada semua pemimpin dan ahli agar tampil ke depan secara bersama dan sudah tiba masanya kita ke depan dalam 'mengganyang' setiap cubaan jahat parti lawan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO negeri di pejabat UMNO Terengganu di Kuala Terengganu semalam.

Semua pemimpin UMNO negeri termasuk Timbalan Pengerusinya, Datuk Ahmad Said, Setiausaha Badan Perhubungan, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh hadir dalam mesyuarat selama dua jam itu.

Hishammuddin menambah, untuk mengerakkan UMNO di Terengganu, pendekatan dilakukan dengan cara muhasabah bagi memastikan transisi kepimpinan berjalan lancar.

Katanya, isu kepimpinan dilihat perkara penting dalam Perhubungan UMNO negeri bagi melahirkan pemimpin pelapis yang benar-benar berwibawa membawa UMNO dengan semangat dan kesedaran.

''Lupakan peristiwa lalu, muhasabah diri, melihat kelemahan dan tidak lagi menuding jari kepada sesiapa sebaliknya melihat dalam diri sendiri dengan penuh keinsafan.

''Masanya telah tiba untuk sesama kita kembali bersatu hati dengan penuh jiwa raga sambil mengukuhkan barisan dan hala tuju baru,'' katanya.

Katanya, beliau yakin UMNO Terengganu masih cukup terpelihara dan boleh diperkukuhkan sekali gus menang besar dalam pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, UMNO Terengganu berdiri teguh di belakang Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menghadapi isu saman Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menambah, UMNO Terengganu tetap berada di barisan hadapan dalam menghadapi isu itu kerana ia menyentuh pucuk pimpinan tertinggi parti.

''Kami seratus peratus di belakang Timbalan Presiden parti tanpa berbelah bagi.
''Begitu juga dalam pelbagai isu semasa lain, UMNO Terengganu akan menentang habis-habisan usaha pelbagai pihak termasuk tindakan menodai kesucian perlembagaan negara," katanya.

Isnin, November 03, 2008

SALLEH KEMBALI SEMULA


Bekas Ketua Menteri Sabah, Salleh Said Keruak kembali meneraju UMNO Bahagian Kota Belud selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Musbah Jamli, pada pemilihan yang berakhir tengah malam tadi.


Pada pemilihan itu, Salleh yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Belud mendapat 341 undi, manakala Musbah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, 294 undi.
Salleh yang juga Presiden Pertubuhan Bajau Sabah Bersatu (USBO) tidak dipilih bertanding pada pilihan raya lalu.


Sementara itu, Awadnir Matanggal menang tanpa bertanding untuk jawatan Timbalan Ketua UMNO bahagian.


ADUN Usukan, Datuk Japlin Akim yang melepaskan jawatan Ketua Pemuda Kota Belud kerana faktor usia pula menang bagi jawatan Naib Ketua UMNO bahagian.


Pada tahun 2004, Salleh tidak mempertahankan jawatan ketua bahagian. Bila sudah tiada jawatan dalam bahagian, beliau yang ketika itu adalah ahli parlimen Kota Belud kehilangan jawatannya pada pilihan raya umum baru-baru ini apabila beliau digugurkan sebagai calon BN. Bekas Ketua Pemuda Tuaran, Rahman Dahlan dipilih sebagai calon BN Kota Belud menggantikan Salleh.


Dengan kemenangan ini Salleh dapat bergerak semula dalam politik secara aktif dan beliau juga akan bertanding kerusi majlis tertinggi pada bulan Mac depan.