Memaparkan catatan dengan label wartawan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label wartawan. Papar semua catatan

Rabu, April 30, 2014

91 WARTAWAN TERKORBAN TAHUN LEPAS

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Pemerhati daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) mendapati 91 wartawan terkorban tahun lepas, manakala 24 kematian lagi direkodkan tahun ini, menurut Persatuan Wartawan Komanwel (CJA). Presidennya, Rita Payne berkata berpuluh-puluh lagi dipenjarakan atau diancam dan banyak antara mereka yang meninggal dunia dalam zon perang manakala ada juga yang terbunuh ekoran laporan mereka berkaitan jenayah atau politik. "Wartawan dipenjarakan tanpa sebab munasabah atau melalui proses sepatutnya, diserang atau dibunuh di banyak negara, malah sekalipun di negara yang mengisytihar komitmen mereka terhadap kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar. "Usaha sah mereka untuk melaporkan perkara membabitkan kepentingan awam dan mendapatkan hak untuk memperoleh maklumat seringkali dihalang oleh kerajaan itu sendiri," kata Payne dalam satu kenyataan bersempena Hari Kebebasan Akhbar Dunia di sini hari ini. Payne berkata CJA bersuara lantang menentang keganasan dan tapisan yang dihadapi wartawan di seluruh dunia, dan menyokong kebebasan media yang dibenarkan melaksanakan tugas tanpa bimbang akan diapa-apakan atau mengalami keganasan fizikal.
"Kerajaan autoritarian terus menerus berusaha untuk menutup mulut atau memanipulasi media dengan mengancam, menakut-nakutkan atau cuba menyekat akses internet," kata Payne. Payne berkata memandangkan tapisan sendiri semakin bertambah lazim, persatuan seperti CJA boleh melaksanakan peranan penting dengan bersuara bagi pihak rakan setugas yang tidak berupaya melaksanakan hak mereka atau melindungi diri daripada gangguan. -- BERNAMA MAMA AZE ROS

Isnin, April 14, 2014

WARTAWAN SUDAH DIBELI OLEH SETIAUSAHA AKHBAR KHALID?

Memang menarik apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan hasratnya untuk menentang ahli parlimen Gombak, Azmin Ali bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, tiba-tiba timbul isu perempuan simpanan MB dalam Free Malaysia Today. Sila baca http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2014/04/08/bekas-perempuan-simpanan-mb-tuntut-rm3-juta/ Kononnya pihak Azmin Ali telah membocorkan kes ini kepada FMT. Malah banyak blog telah mengaitkan Khalid dengan bekas perempuan simpanan MB. Walaupun FMT tidak menyebut siapa MB berkenaan, tiba-tiba nama Khalid disebut-sebut orang. Jumaat lepas wartawan menyerbu Khalid untuk menjawab persoalan yang berlegar dalam Facebook dan blog mengenai isu tersebut. Khalid menjawab, “saya tidak tahu menahu”. Tiba-tiba setiausaha akhbar MB panggil semua wartawan supaya jangan siar berita itu jika tidak MB akan saman. Peliknya dia yang buat penafian, dia ugut nak saman wartawan pulak. Inilah setiausaha akhbar MB yang hebat buat kerja boleh ugut suratkhabar pula. Atau adakah Khalid sudah beli wartawan yang buat liputan tersebut? Saya berharap setiausaha akhbar MB dapat menjawab soalan ini, berapa banyak dia bayar wartawan supaya tidak menyiarkan berita penafian MB itu.

Isnin, Mac 07, 2011

PBB TAK PERLU WARTAWAN


Menjelang pilihanraya umum negeri Sarawak, nampaknya PBB parti utama komponen BN Sarawak tidak memerlukan wartawan sehingga sanggup pegawai Taib mahmud menghalau wartawan.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak mengadakan satu mesyuarat tertutup dengan beberapa pemimpin kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di tingkat lima Kompleks Dewan Undangan Negeri Baru di Petra Jaya pagi ini.

Antara pemimpin kanan PBB yang hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang juga Timbalan Presiden I PBB, Menteri Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem (Ketua Penerangan), Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Openg (Timbalan Presiden II), Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan (Naib Presiden Kanan I), Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Datuk Seri Michael Manyin Jawing (Naib Presiden) dan Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah (Timbalan Ketua Wanita).

Turut hadir pada masyarakat tersebut ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dougles Uggah Embas (Naib Presiden Kanan II) dan Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof (Ketua Pemuda).

Setiausaha Akhbar Ketua Menteri Jameson Ahip Nawie ketika ditemui media untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung pertemuan tersebut bagaimanapun enggan memberi ulasan dan menjelaskan ia hanya mesyuarat mingguan biasa ketua menteri.

"Siapa bagi arahan kamu datang sini, ini mesyuarat biasa sahaja, kalau ada pengumuman kita akan panggil media," katanya sebelum mengeluarkan arahan kepada beberapa wartawan dan jurugambar media nasional agar segera beredar dari bangunan tersebut.

Rabu, Julai 14, 2010

WARTAWAN MASUK PLKN


Petugas media di negara ini berpeluang melihat sendiri perjalanan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) apabila ditawarkan tempat di beberapa kem untuk menyertai 53,530 remaja yang dipilih mengikuti latihan itu penghujung bulan ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain tinggal bersama peserta PLKN pada 31 Julai dan 1 Ogos ini, wartawan juga bakal menjalani rutin harian yang sama seperti mengikuti latihan fizikal dan menjamah makanan yang sama.

Katanya, program tersebut merupakan kali pertama diadakan untuk wartawan terlibat secara langsung dalam PLKN dan pemilihan peserta akan dilakukan oleh agensi media itu sendiri.

"Kementerian juga akan memperuntukkan satu kem di setiap negeri bagi tujuan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pemilihan Berkomputer Pelatih PLKN Siri 8/2011 di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Datuk Dr. Tiki Lafe dan Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Menurut Ahmad Zahid, 300 wartawan akan ditempatkan di beberapa kem terpilih di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka pada 31 Julai ini.

"Selain itu, kita akan menambah 390 orang lagi wartawan untuk kem di negeri Pahang, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak pada 7 hingga 8 Ogos akan datang," katanya.

Pemilihan peserta PLKN akan datang adalah mengikut pecahan komposisi kaum dengan bumiputera sebanyak 60 peratus; Cina (28 peratus), India (10 peratus) dan lain-lain sebanyak 2 peratus.

Peratusan mengikut jantina pula adalah lelaki sebanyak 55 peratus manakala perempuan pula dengan 45 peratus.

Sementara itu, Abdul Hadi memberitahu, konsep pemilihan pelatih pada kali ini berdasarkan pemilihan rawak berkomputer yang dikenali sebagai 'Monte Carlo Logarithm'.

"Konsep ini terbukti sebagai pemilihan rawak terbaik dan telah diguna pakai oleh banyak pihak di dalam dan luar negara sebelum ini," jelas beliau.

Senarai nama pelatih yang terpilih untuk menyertai PLKN Siri 8/2011 akan disiarkan pada 15 Julai ini melalui laman web khidmatnegara.gov.my.

Maklumat tersebut juga boleh diperolehi menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) iaitu MYSMS dengan menaip perkataan PLKN Semak (nombor kad pengenalan).

Penempatan kem pelatih untuk Kumpulan 1 Siri 8/2011 akan diumumkan pada bulan November manakala penempatan bagi Kumpulan 2 dan 3 pula akan diumumkan pada tahun hadapan.

Ahad, Disember 13, 2009

UMNO RAI WARTAWAN


Kira-kira 800 pengamal media cetak dan elektronik diraikan pada Malam Penghargaan Media Massa 2009 anjuran Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam ini.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri yang juga Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta keseluruhan barisan kepimpinan parti.

Majlis itu, yang julung kali diadakan, bertujuan memberi penghargaan kepada semua syarikat dan pengamal media yang membuat liputan Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung pada 13 hingga 16 Okt lepas.

Beberapa anugerah diberikan kepada pengamal media termasuk anugerah khas Umno bagi mengiktiraf mereka yang membuat berita politik tanah air yang digondol oleh wartawan The Star, Joceline Tan.

Anugerah foto terbaik dimenangi Norafifi Ehsan dari The Star dan video terbaik oleh Buletin Utama TV3 sementara laporan terbaik Rozaman Ismail dari Utusan Malaysia.

Pada majlis itu hadirin dihiburkan dengan persembahan artis tempatan serta wakil media.

Ahad, November 08, 2009

54 ORANG WARTAWAN TERBUNUH

Seramai 54 wartawan dilaporkan terbunuh ketika menjalankan tugas sepanjang tahun ini dengan bilangan besar daripada mereka di kawasan pergolakan konflik di Pakistan dan Filipina.

Menurut data Persatuan Surat Khabar Dunia (WAN), kebanyakan wartawan menjadi mangsa di negara-negara membangun dan dilanda perang.

"Adalah malang bahawa wartawan yang sanggup bekerja dalam keadaan sukar dibunuh. Tidak ada keselamatan untuk mereka di negara-negara yang tidak mengamalkan demokrasi dan suara mereka sering ditutup.

"Akhirnya pihak berkuasa terpaksa menyerah diri kepada media. Mereka harus memahami bahawa berita tidak boleh disekat lagi. Terdapat banyak perantaraan untuk menyebarkan berita dari telefon bimbit, internet sehinggan radio," kata naib presiden WAN Pratap Pawar kepada Bernama di sini pada Ahad.

Pakistan, yang dibelenggu keganasan, mendahului senarai dengan lapan wartawan terbunuh semasa menjalankan tugas diikuti tujuh di Filipina dan enam di Mexico, menurut WAN yang berpangkalan di Paris.

WAN, sebuah pertubuhan bukan mencari keuntungan, ditubuhkan pada 1948 dengan 18,000 penerbit akhbar menjadi ahli persatuan itu.

Jawatankuasa Bagi Melindungi Wartawan (CPJ) dalam kajiannya berkata 760 wartawan terbunuh sejak 1992 dan 30 lagi masih dilaporkan hilang tahun lepas.

Menurut laman web CPJ, yang berpangkalan di New York, wartawan hilang semasa menjalankan tugas dan beberapa daripada mereka dikhuatiri terbunuh tetapi mayat mereka belum ditemui.

CPJ menyenaraikan Somalia, Iraq, Pakistan, Sri Lanka, Filipina dan Russia sebagai enam negara paling bahaya bagi anggota media pada tahun ini.