Memaparkan catatan dengan label serah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label serah. Papar semua catatan

Jumaat, Oktober 11, 2013

KHAIRY SERAH KEPADA PERWAKILAN

PETALING JAYA:Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyerahkan kepada kebijaksanaan perwakilan untuk memilih barisan kepimpinan sayap itu Sabtu ini. Beliau yang akan mempertahankan jawatannya, berkata anggota Umno perlu memilih berdasarkan kewibawaan dan kepimpinan di samping mereka yang mempunyai pengalaman. “Kita serah kepada kebijaksanaan perwakilan untuk buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Generasi Muda Perak bersama Menteri di Ipoh Ahad lalu. Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peluangnya untuk mengekalkan jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan Umno ini. “Semua orang boleh menjanjikan sesuatu tetapi nak melaksanakan itu amat susah sekali dan kita harus bersandarkan kepada ‘track record’ atau sejarah pencapaian seseorang calon,” katanya. Beliau berkata semua anggota mahu melihat perubahan dalam Umno namun ia perlu dilakukan dengan keyakinan untuk memilih pemimpin yang mampu melaksanakan perubahan itu. Selain Khairy, empat lagi anggota Pemuda iaitu penolong setiausaha Pemuda cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka Syed Rosli Syed Harman, ketua pemuda Umno cawangan Bendang Baru, Langkawi Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, ketua pemuda Umno cawangan Bukit Setiawangsa Irwan Ambak Khalid Izhar dan bekas ketua pemuda Umno Bahagian Merbok Abdul Karim Ali turut menawar diri untuk bertanding jawatan itu. Sementara itu dalam facebooknya, Khairy menulis bahawa beliau sekali lagi menawarkan diri untuk terus menyandang jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia, jawatan yang beliau sandang sejak tahun 2009. “Selama empat tahun yang lepas, pelbagai program telah Pemuda Umno-BN laksanakan dengan tema mendekati orang muda melalui politik khidmat bakti. Program-program yang dijalankan oleh Pemuda Umno-BN di bawah kepimpinan saya menyentuh isu-isu yang menjadi kebimbangan anak muda negara terutamanya yang berbangsa Melayu,” jelasnya. Katanya lagi, hasil kajian yang telah beliau buat dalam BN Youth Lab beberapa tahun dahulu, pendekatan Pemuda UMNO-BN telah diubah secara menyeluruh. “Orang muda zaman sekarang tidak lagi tertarik dengan politk yang berteraskan retorik semata-mata, sebaliknya mereka mahu melihat apakah penyelesaian atau solutions yang dapat ditawarkan oleh parti-parti politik,” katanya. Oleh yang demikian, beliau telah membawa Pemuda Umno-BN ke arah solutions-based politics yang mementingkan jalan penyelesaian dan bukan hanya tahu mendesak kerajaan tanpa cadangan atau pelan pelaksanaan sendiri. “Contohnya, kita mendapati orang muda risau dengan masa depan kerjaya mereka dan juga kos sara hidup yang meningkat. Pemuda Umno-BN telah bertindak atas kebimbangan ini dengan penganjuran Karnival Kerjaya Pemuda BN (BN Youth Job Fair) yang sudah masuk tahun keempat penganjuran dan telah menjelajah ke seluruh negara,” katanya lagi. Beliau menambah BN Youth Job Fair telah menerima hampir sejuta pengunjung sejak ia bermula dan telah membantu 140,000 orang – majoritinya anak muda – mendapat peluang pekerjaan. Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata Pemuda Umno-BN juga telah mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan untuk menangani masalah perumahan untuk orang muda melalui BNY HOPE yang akhirnya menjadi polisi baharu melalui PR1MA, Skim Rumah Pertamaku dan rumah transit untuk orang muda. “Jelajah 1Malaysia atau JOM dibawah Pemuda Umno-BN pula telah berjaya membaik pulih ratusan rumah usang orang muda di seluruh negara,” jelasnya lagi. Menurutnya lagi, Pemuda Umno-BN juga telah memperjuangkan isu gaji minimum bersama kesatuan-kesatuan sekerja sehingga ia menjadi realiti. “Pada akhir tahun ini Akta Kebangkrapan akan dipinda hasil daripada usaha kami untuk memberi peluang kedua kepada mereka yang dibelenggu status muflis,” katanya. Beliau menambah banyak lagi program-program yang kami telah buat selama empat tahun lalu. “ Pemberian biasiswa untuk anak muda daripada keluarga berpendapatan rendah untuk ke IPTS juga telah kita berikan melalui BNYES, lesen motosikal diberi dengan harga yang terendah melalui (BL1M) yang masih dalam pelaksanaan, gerakan sukarelawan dibayai melalui Dana Belia 1Malaysia (kini diambil alih 1M4U), profesional muda dilibatkan dalam politik melalui BNYV dan isu keadilan sejagat sering dibangkit terutama isu Palestin,” katanya. Beliau menambah ini tidak termasuk peranan Pemuda Umno-BN sebagai suara orang muda. “Sebagai contoh, baru-baru ini kami membantah cadangan PTPTN untuk menyenaraikan para peminjam yang lewat membayar atau tidak membayar hutang di bawah senarai CCRIS sehinggakan cadangan itu tidak diteruskan,” katanya. Beliau yang juga ahli parlimen Rembau berkata inilah antara pencapaian kami selama empat tahun yang lepas. “Memang betul, corak kepimpinan Pemuda Umno sekarang berbeza dengan zaman dahulu. Namun saya berpendapat gaya lama di mana Pemuda sinonim sebagai kumpulan pendesak semata-mata sudah tidak relevan lagi,” katanya. Katanya, sekiranya diberi mandat sekali lagi, beliau akan terus memimpin Pemuda Umno-BN supaya beliau dapat membawa lebih banyak lagi idea penyelesaian atau solutions untuk orang muda. “Semua orang boleh bercakap, tetapi bukan semua yang boleh melaksanakan,”tegasnya lagi.

Jumaat, Disember 14, 2012

KU LI SERAH KEPADA PUCUK PIMPINAN

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti bagi menentukan sama ada beliau layak bertanding atau sebaliknya sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti. Beliau berkata, pucuk pimpinan di Kuala Lumpur sahaja yang boleh membuat sebarang keputusan tetapi walau apapun keputusan, beliau tetap akan bekerja kuat sepanjang masa untuk menentukan kemenangan BN. “Saya tidak mempunyai kuasa bagi menentukan soal calon termasuk diri saya dan terserahlah kepada pucuk pimpinan atasan yang membuat keputusannya bagi menghadapi PRU-13 nanti," katanya ketika berucap pada majlis Mesra Bersama Pengundi Wanita di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Meranto, di sini, hari ini. Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada golongan wanita yang bekerja kuat untuk parti. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mat Yusoff Abdul Ghani dan ADUN Galas, Ab. Aziz Yusof. Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Gua Musang berkata, bekerja keras bagi kemenangan parti itu adalah tanggungjawab semua pemimpin dan anggota bagi memastikan BN terus mendapat mandat daripada rakyat. Beliau berkata, pada Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur baru-baru ini, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak memberi semangat baharu kepada semua perwakilan untuk menggerakkan jenteranya di semua peringkat. “Oleh itu, kita di bahagian Gua Musang juga telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU-13 pada bila-bila masa termasuk menggerakkan jentera bagi memastikan kerusi BN Parlimen Gua Musang bersama tiga kerusi DUN kekal menang. “Tidak ada sebab bagi rakyat menolaknya jika kita bekerja kuat untuk memperjuangkan nasib mereka kerana kini terbukti kerajaan BN mampu melakukan segala perubahan bagi faedah semua rakyat di negara ini," katanya. Katanya, bagi kerusi Parlimen Gua Musang bersama DUN Nenggiri, Paloh dan Galas mungkin tidak menghadapi sebarang masalah mengekalkan kemenangan. - BERNAMA

Khamis, Februari 05, 2009

SERAH KEPADA RAKYAT PERAK


Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, tindakan Barisan Nasional (BN) menerima sokongan bekas dua Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berhadapan dengan tuduhan rasuah bukan idea yang baik.


Bekas Perdana Menteri itu memberitahu, beliau tidak setuju dengan tindakan BN kerana parti tersebut sepatutnya menerima mereka yang benar-benar berkualiti.


''Menerima ADUN yang berhadapan tuduhan rasuah tidak akan mempertingkatkan kualiti parti ketika BN berhadapan dengan masalah kualiti kepimpinan dalam parti," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Sesi Strategi Eksklusif Krisis Kewangan Global anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di sini semalam.
Dr. Mahathir mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa BN berjaya membentuk kerajaan baru di Perak dengan kelebihan majoriti tiga kerusi.


Pembentukan kerajaan baru itu berikutan keputusan tiga wakil rakyat pembangkang iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi, Mohd. Osman Jailu, Hee Yit Foong menghantar surat kepada Sultan Perak semalam mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Perak dan menyatakan sokongan kepada BN.


Datuk Nasaruddin Hashim yang keluar BN Sabtu lalu turut mengumumkan kembali kepada UMNO hari ini.
Dengan pengumuman itu, BN kini mempunyai sokongan 31 kerusi berbanding pakatan pembangkang sebanyak 28 kerusi.


Menurut Najib, Jamaluddin, Mohd. Osman dan Yit Foong masih kekal sebagai wakil rakyat Bebas tetapi akan memberi sokongan kepada BN dalam sidang DUN termasuk sesiapa sahaja yang bakal dilantik Menteri Besar Perak.


Dr. Mahathir menjelaskan, sekiranya kedua-dua ADUN itu didapati tidak bersalah dalam kes rasuah selepas diterima oleh BN maka orang ramai akan melihatnya sebagai satu manipulasi.


Tegas beliau, bukan satu idea yang baik dengan membawa orang yang kualitinya teruk.

Seperti kata Menteri Besar, Nizar Jamaluddin, Datuk Seri Najib tidak boleh umum BN sudah bentuk kerajaan kerana ia belum mendapat perkenan Sultan Perak. Kita masih ingat sewaktu Pakatan Rakyat nak tubuh kerajaan di Perak pada tahun lepas, betapa susahnya kerana ia melibatkan perlembagaan negeri. Dua tiga kali menghadap tuanku barulah dapat perkenan tuanku.


Untuk tubuh kerajaan, BN sanggup buat apa sahaja, bawa orang yang dituduh rasuah menyokongnya dan orang yang tidak ada prinsip seperti Nasaruddin Hashim mengalahkan Ibrahim Ali yang melompat parti. Ibrahim dipanggil juara katak lompat tetapi tidak pernah dalam masa 10 hari saja seperti Nasaruddin.


Oleh itu sebaik-baiknya Sultan Perak berilah perkenan kepada permintaan Menteri Besar untuk bubarkan Dewan Undangan Negeri. Biarlah rakyat Perak buat keputusan baru siapa yang mereka mahu bentuk kerajaan baru sama ada BN atau PR. Bila diketahui keputusan pilihan raya yang baru, BN dan PR hendaklah menerima keputusan rakyat dengan hati terbuka.


Membentuk kerajaan secara rampas kuasa seperti yang dilakukan oleh BN sekarang nampak sangat tidak bermoral. Biar rakyat buat keputusan siapa yang mereka mahu. Melantik Menteri Besar baru seperti Datuk Ramly Zahari sehingga pilihan raya umum akan datang belum beri jaminan kerajaan BN akan kekal pada pilihan raya umum akan datang. Tak payahlah lantik Dr. Zambry sebagai Menteri Besar kerana beliau adalah orang Anwar Ibrahim, jika itu yang diterima oleh Sultan Perak bahawa BN sudah bentuk kerajaan tanpa mengadakan pilihan raya.


Kesimpulannya, serahlah kepada rakyat Perak untuk membuat penentuan akhir.