Memaparkan catatan dengan label rohaizat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rohaizat. Papar semua catatan

Isnin, Ogos 17, 2009

ROHAIZAT SEDIA JAWAB TUDUHAN


Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Rohaizat Othman sudah bersedia menghadapi pihak pembangkang sepanjang tempoh berkempen bermula hari ini.


Beliau yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh sudah menjangka akan dilemparkan dengan pelbagai tuduhan bersifat peribadi tetapi menganggapnya sebagai cabaran yang perlu dihadapi ekoran kesediaannya bertanding pada pilihan raya kecil tersebut.


''Saya sudah bersedia untuk menghadapi tuduhan (pembangkang) dan sedar bahawa mereka akan menggunakan serangan peribadi (ketika kempen), saya akan menjawab apabila tiba masanya.


''Bagaimanapun, pada masa ini, saya serahkan kepada Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Hafarizam Harun menjelaskannya. Satu kenyataan mengenai perkara ini akan dikeluarkan beliau petang ini," katanya kepada pemberita selepas persidangan perwakilan UMNO Bahagian Permatang Pauh di sini kelmarin.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin bahawa beliau disenaraihitamkan oleh Majlis Peguam Malaysia.


Rohaizat bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu dan menyerahkan kepada Hafarizam untuk menjelaskannya.


Ditanya sama ada isu itu akan menjejaskan peluang BN di Permatang Pasir, Rohaizat berkata, '' Saya tidak fikir begitu."


Tambahnya, perkara tersebut tidak menjadi masalah dan menganggapnya sebagai satu isu lama yang sudah selesai dan tiada kaitan dengannya.


''Saya memang seorang peguam, tetapi tidak mengamalkannya sejak hampir dua tahun lalu," kata Rohaizat sambil menambah, beliau sedar isu yang cuba hendak dibangkitkan oleh Pas itu.


Jumaat lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Rohaizat yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh sebagai calon BN yang bakal dicabar Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man, 52 tahun.


Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman dari PAS pada 31 Julai lepas.

Jumaat, Ogos 14, 2009

ROHAIZAT CALON BN


Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pemilihan setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman sebagai calon BN untuk pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir 25 Ogos ini.


Beliau membuat pengumuman tersebut di Bukit Merah, Permatang Pasir pada jam petang ini.
Nama Rohaizat pernah disebut-sebut akan dicalonkan bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Penanti baru-baru ini.


Bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan apabila BN memutuskan untuk tidak meletakkan calon bertanding di kerusi tersebut.


Manakala Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula akan mengumumkan calonnya pada jam 9 malam ini.


Salah satu yang disebut-sebut mungkin dipilih mewakili PAS kali ini ialah Pesuruhjaya Pulau Pinang, Mohd Salleh Man.


Kerusi DUN Permatang Pasir kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman kerana serangan jantung pada 31 Julai lalu.Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 17 Ogos ini.


Sebelum ini, Umno bahagian Permatang Pauh menyenaraikan empat calon termasuk Mohd Zaidi kepada pucuk pimpinan untuk memilih calon yang terbaik untuk mewakili parti itu.Manakala jawatankusa PAS pula bermesyuarat hujung minggu lalu membicangkan lima orang calon termasuk Salleh.