Memaparkan catatan dengan label relevan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label relevan. Papar semua catatan

Ahad, September 24, 2017

ADAKAH MIKE TYSON MASIH RELEVAN?


oleh Shahbudin Haji Embun

(sudah disiarkan dalam Berita Harian)


Bekas juara tinju dunia, Mike Tyson sudah lama meninggalkan gelanggang tinju dan kini sekali sekala kita akan dapat melihat Mike Tyson muncul dalam beberapa buah filem memegang watak kecil atau sebagai penampilan cameo sahaja.Mike Tyson bukan sahaja terkenal kerana kehebatannya di gelanggang tetapi juga kerana kontroversinya apabila menggigit telinga , pencabar utamanya, Evander Holyfield ketika bertarung di gelanggang. Namanya pasti tidak akan dilupakan dalam lipatan sejarah sukan tinju.


Bagaimana pula dengan nasib Tan Sri Muhammad Muhammad Taib (Mat Taib), seorang pemimpin politik yang terkenal di Malaysia dengan gelaran Mat Tyson, yang baru baru ini mendapat perhatian ramai apabila beliau kembali ke pangkuan UMNO dan sekaligus menimbulkan pelbagai spekulasi dan juga andaian.


Adakah bekas Menteri Besar Selangor dan juga mantan Naib Presiden UMNO yang kini sudah berusia 72 tahun masih lagi relevan dan boleh memainkan peranan yang penting dalam gelanggang politik tanah air? Ada juga yang terus membuat kesimpulan bahawa ini bukanlah satu tindakan yang bijak.


Dalam hal ini, jangan salahkan mereka yang menganggap beliau tidak mampu lagi berjasa kepada UMNO, parti yang ditinggalkan suatu ketika dahulu. Namanya pun sejak beberapa tahun kebelakangan ini agak sepi dan jarang sekali mengeluarkan kenyataan yang menampakkan kebolehan beliau sebagai seorang bekas pemimpin yang disegani.


Nama beliau hanya muncul apabila dia meninggalkan UMNO dan mengumumkan yang dia berjuang dengan PAS dan kemudian meninggalkan PAS pula untuk mencuba nasibnya bersama PKR. Fotonya pula hanya kelihatan berdiri di barisan belakang apabila pihak pembangkang membuat kenyataan akhbar.Ini sekaligus menggambarkan yang Mat taib juga tidk begitu menonjol ketika bersama dengan pembangkang.


Namun pada masa yang sama, jangan juga salahkan mereka yang masih berpendapat, pemimpin yang masih terkenal dengan gelaran Mat Tyson ini masih mampu berbuat sesuatu untuk membantu UMNO Selangor khasnya menawan semula Selangor dalam Pilihan Raya Umum 14 nanti.Nampaknya masih ada yang yakin beliau mempunyai tumbukan atau “gigitan’ yang berbisa.

Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak begitu yakin bahawa penyertaan semula Muhammad dalam UMNO bakal menjadi suntikan semangat untuk UMNO negeri Selangor.Ini mungkin berdasarkan daripada pengalaman Mat Tyson yang pernah menjadi Menteri Besar Selangor dari tahun 1986 sehingga 1997 dan jasanya semasa memegang jawatan Naib Presiden UMNO suatu ketika dahulu.


Ada juga penyokong UMNO yang melihat penyertaan Mat Taib membuktikan bahawa beliau lebih mementingkan agenda bangsa, parti dan negara daripada agenda peribadinya sendiri. Beliau hanya mahu menjadi ahli biasa dan tidak mahu sebarang pangkat. Bagi Mat Taib, dia masih boleh memberikan nasihat dan pandangan serta mungkin boleh membantu merangka strategi untuk mengerak dan melincirkan lagi jentera pilihan raya UMNO Selangor nanti.


Bukan itu sahaja, ada juga yang berharapkan kemasukan Mat Taib kembali ke UMNO akan membuka jalan kepada lebih ramai lagi bekas ahli dan pemimpin UMNO untuk kembali ke pangkuan UMNO. Sebagaimana yang diperkatakan tadi, walaupun beliau agak senyap, namun kita tidak boleh menafikan beliau masih mempunyai pengaruh untuk menyedarkan semula mereka yang sudah meninggalkan UMNO untuk kembali berjuang bersama dengannya.


Sebagaimana yang diramalkan juga, kemasukan Mat Taib telah menimbulkan pelbagai kenyataan negatif daripada pihak pembangkang. Pelbagai gelaran dan sindiran telah dilemparkan. Mungkin mereka lupa yang kini golongan pembangkang sudah bersengkongkol dengan seorang bekas pemimpin yang satu ketika dahulu dianggap sebagai musuh ketat yang tidak boleh dimaafkan. Kini mereka boleh tidur sebantal walaupun mimpi mereka pastinya berbeza.



Antara sebab mengapa Mat Taib tidk lagi berjuang di atas platform pembangkang ialah kerana beliau dapati parti parti tersebut tidak berupaya untuk memperjuangkan nasib rakyat, dan membangunkan negara ,tidak sebagaimana UMNO dan Barisan Nasional yang sentiasa ikhlas memperjuangkan nasib rakyat , tanpa mengira apa jua bangsa dan agama.
Dalam hal ini UMNO Selangor dinasihatkan supaya jangan membuang masa dan menggunakan peluang yang ada untuk terus bekerjasama dan bekerja rapat dengan Mat Taib. Pengalaman beliau semasa menjadi Menteri Besar dan juga ketika berjuang dengan barisan pembangkang begitu berguna sekali untuk dijadikan sebagai panduan dalam mengatur strategi untuk menawan Selangor semula.

Isnin, Jun 27, 2016

PEMECATAN YANG SANGAT RELEVAN




(sudah disiarkan dalam Berita Minggu, 26 Jun 2016)


OLEH SHAHBUDIN HAJI EMBUN

Mungkin berita pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dari UMNO bukannya sesuatu yang memeranjatkan.Perkara ini sudah lama menjadi bualan umum dan hanya menunggu masa ianya disahkan. Sungguhpun begitu, pemecatan ini adalah sangat relevan memandangkan kerosakan yang bakal timbul jika dua tokoh ini terus kekal dalam UMNO

Dan disebabkan aura Euro 2016 dan Copa America yang serentak berlangsung ,sekali lagi penulis menggunakan frasa dalam bolasepak, “Tidak ada seorang pun yang lebih besar dari kelab”. Begitu juga dengan kedudukan Muhyiddin dan Mukhriz dalam UMNO.Tidak dinafikan  mungkin mereka pernah menabur jasa dan bakti untuk UMNO, tetapi pada masa yang sama UMNO juga begitu komited dengan perjuangan parti dan hanya mahukan ahli-ahlinya yang setia dan sama-sama berjuang dengan UMNO walaupun dalam keadaan yang kritikal.

UMNO tidak perlukan pengkritik dalaman yang terus menghentam UMNO hinggakan serangan yang dilakukan ternyata menjurus secara peribadi, seolah-olah membayangkan mereka ini mempunyai agenda untuk meluaskan kuasa dalam UMNO , dan bukannya kerana untuk menyelamatkan UMNO. Apa yang nyata segala kritikan dan tohmahan yang dilemparkan telahpun dijawab dan mereka yang mengkhianati parti ini tidak ada lagi isu dan bahan untuk digunakan.

Walaupun Muhyiddin pernah memegang jawatan tinggi dan dikenali sebagai tokoh UMNO, namun selagi beliau dan Mukhriz berada dalam kapal UMNO, selagi itulah UMNO mengambil risiko akan berlakunya kekecohan yang boleh memberikan kesan terhadap kedudukan UMNO yang kini dilihat semakin mantap.

Apakah akan berlakunya kesan negatif terhadap kedudukan UMNO?. Tidak keterlaluan jika dikatakan pengaruh dan kedudukan Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir tidak sebagaimana kedudukan dan pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa beliau dipecat dahulu.UMNO berjaya menstabilkan kedudukan dan masih kekal sebagai parti yang paling unggul di negara kita.

Itu sebabnya ramai ahli UMNO tidak akan nampak pemecatan ini akan menggugat kedudukan UMNO walaupun masih ada risiko UMNO akan berpecah.Masih ramai ahli UMNO yang tidak mahu melihat apa yang berlaku pada tahun 1987 dahulu berulang lagi.

Selagi  Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir berada  dalam UMNO, maka selagi itulah  terdapatnya risiko yang boleh membawa kepada perpecahan parti, sebagaimana  krisis yang berlaku pada tahun 1987 dahulu di mana letika itu wujudnya Team A dan Team B.

Pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz juga sebenarnya merupakan usaha untuk terus memantapkan kedudukan UMNO. Kalau dahulu, setiap kali berlakunya mesyuarat , soalan yang sama akan dikemukakan oleh para wartawan, iaitu apakah tindakan yang bakal dikenakan pada Muhyiddin dan Mukhriz.

Kini pucuk pimpinan UMNO boleh melihat ke hadapan daripada membincangkan perkara yang sama. Mereka boleh menumpukan perhatian kepada penyatuan bangsa dan memainkan peranan yang lebih penting untuk membangunkan lagi negara ini.

Dan pastinya juga ahli-ahli UMNO serta masyarakat umum akan melihat UMNO sebagai sebuah parti yang tegas dan tidak berkompromi dalam soalan displin.Jangan salahkan UMNO mengambil tindakan seperti ini apabila terbukti Muhyiddin dan Mukhriz bersekongkol dan duduk di atas pentas pembangkang mengkritik kepimpinan negara dengan melontarkan pelbagai tohmahan yang tidak lagi relevan dan sudah basi apabila semua isu itu sudahpun dijelaskan kepada rakyat. Tindakan mereka juga menyebabkan UMNO terus terdedah kepada serangan pembangkang.

Sememangnya apa yang dilakukan itu tidak boleh dimaafkan sama sekali.Bagaimana Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak akan bekerjasama dengan Muhyiddin yang ternyata tidak sehaluan lagi dengan barisan pucuk pimpinan UMNO.

Ahli-ahli UMNO tidak perlu risau kerana orang kanan Najib seperti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein bukanlah calang-calang pemimpin. Mereka ini akan bersama-sama berjuang bukan sahaja dengan Najib tetapi juga akan turun padang bersama dengan ahli-ahli UMNO yang lain tanpa mengira kedudukan dan pangkat.

Perkembangan yang terkini juga akan memberi peluang kepada Najib dan barisan pucuk pimpinan untuk kembali  memulihkan kedudukan dan memantapkan parti untuk menghadapi cabaran yang lebih getir pada masa depan.

Inilah masanya untuk UMNO melihat ke hadapan dan jadikan pengalaman lama sebagai satu teladan dan pengajaran yang akan terus mematangkan UMNO sebagai sebuah parti yang paling mantap, dinamik dan unggul di negara kita.

Catatan gambar: Shahbudin (berkopiah) menyerahkan bukunya berjudul  Najib, Leader of Transformation kepada PM, DS Najib Tun Razak





Jumaat, Ogos 21, 2015

RUPANYA TENGKU RAZALEIGH MASIH RELEVAN

Pendedahan bekas Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali semalam bahawa PAS pernah mencadangkan supaya ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dilantik PM baharu selepas PRU 2013 membuktikan bahawa Ku Li mash relevan dalam persada politik negara.

28 tahun berlalu cita-cita Ku Li menjadi PM melalui Umno hancur berkecai apabila, beliau tewas tipis kepada Dr Mahathir Mohamad dalam pertandingan presiden Umno pada 24 April 1987.  Ekoran kegagalannya itu para penyokongnya membawa kes itu ke mahkamah yang menyebabkan Umno diisytiharkan tidak sah.

Sehubungan dengan itu Dr Mahathir menubuhkan Umno (baru) dan tidak membenarkan para pemimpin Team B menyertai Umno sehingga Ku Li terpaksa berjuang melalui Parti Semangat 46 untuk menghidupkan semula Umno lama.

Dua kali menyerahkan nasib kepada rakyat melalui PRU 1990 dan PRU 1995, akhirnya Ku Li membubarkan Parti Semangat 46 dan kembali kepada Umno pada tahun 1995. pada tahun 1996, beliau mahu tanding jawatan naib presiden Umno tetapi tidak cukup pencalonan, 15 pencalonan apabila keputusan mesyuarat ahli jawatankuasa Umno Gua Musang mencalonkan Ku Li tanding jawatan tersebut dianggap tidak sah kerana pencalonan perlu dibuat dalam persidangan bahagian dan bukannya dalam mesyuarat ahli jawatankuasa bahagian.

Jika bahagian beliau mencalonkan Ku Li dari awal, sudah tentu beliau selaku naib presiden Umno ada peluang untuk menang dan layak dilantik TPM setelah Anwar dipecat dari jawatan TPM. Memang Ku Li tidak ada rezeki untuk jadi PM. Sebab itu apabila PAS mencadangkan nama beliau sebagai calon PM, nampaknya Ku Li lebih dihargai oleh PAS daripada ahli Umno sendiri yang sanggup mengenepikan tokoh yang dikenali di seluruh dunia.


Sewaktu di luar Umno beliau merintis pakatan dengan pembangkang untuk menghadapi PRU satu lawan satu dengan BN pada PRU 1990 dan 1995.

Maka timbullah Angkatan Perpaduan Ummah di mana Parti Semangat 46 bekerjasama dengan PAS untuk menumbangkan BN. Manakala Parti Semangat 46 juga merintis kerjasama dengan DAP melalui Gagasan Rakyat.

Formula ini diteruskan Anwar Ibrahim pada PRU1999 apabila Anwar dipecat dari Umno dan isterinya mengetuai satu lagi parti serpihan Umno, PKR. Asas yang dimulakan ku Li nampaknya mula mendapat perhatian rakyat apabila Pakatan Rakyat menjadi parti pembangkang yang terkuat serta dapat menafikan majoriti dua pertiga BN dua kali berturut-turut pada PRU 2008 dan 2013.

Oleh itu apabila PAS tidak mencalonkan Haji Hadi sebagai calon PM pada PRU 2013 sebaliknya mencalonkan nama ahli Umno, Ku Li sebagai bakal PM membuktikan bahawa Haji hadi bukan orang yang layak jadi PM.

Blogger Sayuti Omar berkata pendedahan Mustafa Ali itu memalukan PAS dan haji hadi. Kata Sayuti, sepatutnya PAS mencalonkan presidennya sendiri dan bukan orang luar.Sejak bila haji Hadi layak jadi PM? jadi MB Terengganu pun beliau tidak layak. Semua orang tahu beliau adalah MB remote control ketika menerajui kerajaan Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004 sebaliknya Mustafa Ali yang jadi MB.

haji hadi MB by name. Haji hadi yang tidak tahu apa, diremote control oleh Mustafa Ali. Apabila cadangan ini dibawa kepada Lim Kit Siang, dia kata dia akan bersetuju jika PKR bersetuju. Apabila PKR berkeras mahu Anwar Ibrahim jadi PM, maka cadangan PAS itu tinggal cadangan sahaja.

Siapa sangka orang di luar pakatan rakyat turut disunting jadi PM. Itulah kehebatan ku Li yangmana  track recordnya menunjukkan bahawa beliau adalah satu-satunya tokoh PM sementara yang boleh ditonjolkan dan akan mendapat sokongan dari ahli parlimen pembangkang dan BN.

Cadangan PAS supaya Ku Li dilantik sebagai PM sementara selama tiga tahun sebelum menyerahkan kerusi itu kepada Anwar Ibrahim. Jika PKR bersetuju dengan cadangan ini mungkin momentum PRU 2013 berubah kerana ramai di kalangan pakatan rakyat pun tidak mahu Anwar yang dikatakan tidak bermoral itu menjadi PM.

jika Ku Li diumumkan sebagai calon PM Pakatan Rakyat dari awal, mungkin BN sudah tumbang pada PRU 2013. Ini menunjukkan Ku Li masih relevan dalam politik Malaysia.

Sejak TPM baharu, Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan ada orang tua dalam BN yang bersekongkol dengan pembangkang untuk dapatkan akuan bersumpah dari 88 ahli parlimen pembangkang dan 37 ahli parlimen BN, negara jadi huru hara.

Seperti kata ketua Umno Bahagian Cheras, Syed Ali al Habshee bahawa dakwaan Dr Zahid menyebabkan timbul perasaan curiga mencurigai sesama pemimpin Umno. Apabila sebuah blog menamakan 20 orang yang terlibat, BBCBN yang diketuai Shahrir Samad terpaksa membuat sidang akhbar menafikan mereka tidak pernah ditemui oleh mana-mana pihak untuk menggulingkan kerajaan. Sebaliknya beliau mendakwa ia adalah rekaan semata-mata.

Ini menimbulkan kemarahan Dr Zahid yang mengatakan beliau ada bukti yang kukuh dan menuduh ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar jangan buat tuduhan melulu. Sebagai menteri dalam negara, sudah tentu beliau mempunyai maklumat risikan yang cukup.

Dr Zahid baru hampir sebulan jadi TPM sudah menimbulkan kenyataan kontroversial menyebabkan ahli Umno nampak beliau bukan calon yang sesuai untuk menggantikan najib. Dalam suasana sekarang jika Najib ditangkap rasuah, maka yang patut menjadi PM ialah Muhyiddin Yasin tetapi sudah ada usaha untuk menyingkirkan Muhyiddin dari Umno. maka calon yang akan menggantikan Najib sudah tentu ialah Dr Zahid.

Bukan sahaja ahli Umno marah kepada Dr Zahid yang membuat pendedahan tersebut malah kononnya syarikat adiknya diberi kontrak mendaftar dalam talian 1.5 juta buruh asing turut menyebabkan sokongan ahli Umno kepada Dr zahid makin luntur.

Ini yang menyebabkan ahli Umno nampak Hishamuddin Husein yang layak menjadi PM baharu menggantikan Najib. Adakah melantik Dr Zahid untuk ditembak dari awal oleh rakyat merupakan strategi najib untuk melonjakkan sepupunya sebagai PM kerana rakyat nampak Dr Zahid penuh dengan kontroversi.

Justru itu kalau rakyat mahu melihat anak Perak pertama jadi PM, maka Dr Zahid hendaklah kurang bercakap. makin banyak bercakap, makin ramai orang meluat. Menilai dua kesilapan Dr Zahid ini, sebenarnya beliau masih ada potensi untuk jadi PM. Sebab itu beliau kena ubah jangan ghairah mencari publisiti sehingga menyebabkan rakyat tertanya-tanya siapa dalang tua yang mahu menggulingkan kerajaan.

 Sebenarnya bukan mereka mahu gulingkan kerajaan BN tetapi
mereka mahu menggulingkan Najib. Jika benar Ku Li dinobatkan sebagai PM baharu, ia masih kerajaan perpaduan yang ditunjangi Umno dan bukannya kerajaan pakatan rakyat. Justru itu menjatuhkan Najib melalui undi tidak percaya di parlimen bukannya satu jenayah. Jika di Perak, kerajaan Pakatan Rakyat boleh dijatuhkan kenapa di peringkat pusat tidak boleh dijatuhkan walaupun Dr Mahathir yakin ahli parlimen BN tidak akan menyokong undi tidak percaya tersebut.


Rabu, Ogos 18, 2010

MCA SUDAH TIDAK RELEVAN KEPADA BN LAGI


Apa nak dihairankan dengan kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek kerana beliau nampak MCA sudah tidak relevan kepada masyarakat Cina lagi. Oleh itu MCA kena keluarkan kenyataan yang lebih berani dari DAP untuk menarik perhatian masyarakat Cina semula.

Bagi saya, MCA sudah tidak relevan lagi kepada BN. BN tidak perlukan MCA pada pilihanraya umum akan datang kerana kerusi majoriti Cina tetap menjadi milik DAP. Pemimpin MCA yang tak sedar diri. mereka lupa bahawa mereka jadi menteri kerana mereka menang di kerusi majoriti Melayu yang mana sepatutnya kerusi itu ditandingi oleh UMNO. Mereka lupa bahawa mereka jadi timbalan menteri dan ahli parlimen kerana menang di kerusi UMNO. begitulah baiknya UMNO mengorbankan kerusi Melayu kepada MCA semata-mata mahu lihat ada juga pemimpin kerajaan dari masyarakat Cina.

MCA kata ia akan bersatu dengan DAP memperjuangkan nasib masyarakat Cina. Nampaknya orang Cina lebih cerdik dari orang Melayu. Walaupun MCA dan DAP berlainan parti tapi demi kepentingan orang cina, mereka rela bersatu. Sebaliknya orang melayu yang tidak cerdik. UMNO dan PAS bertelagah walaupun apa yang ditelagahkan itu untuk kepentingan orang Melayu.

Sedarlah orang Melayu bahawa orang Cina tunggu masa jadi Perdana Menteri sahaja. Bila orang Cina jadi PM Malaysia jangan harap orang Melayu akan dapat hak-hak istimewa yang dipertahankan oleh UMNO sekarang. Kita tahu bukan semua pemimpin UMNO baik teta[i orang Melayu tidak ada pilihan kena kembali menyokong UMNO dan BN dalam pilihanraya umum akan datang untuk emmpastikan orang Melayu terus kekal di bumi Malaysia ini.

Sudah sampai masanya bagi orang Melayu bersatu demi kepentingan orang Melayu. Cukuplah PAS bersekongkol dengan DAP dalam Pakatan Rakyat. Kalau Tun Razak dapat membawa UMNO dan PAS ke dalam satu barisan, maka Datuk Seri Najib selaku anak Tun Razak patut meneruskan usaha ayahandanya itu. Kalau benar PAS memberi syarat mahu jawatan penting seperti Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri, berilah kepada PAS kerana PAS tetap orang Melayu bila ia berada semula dalam BN. Jangan tunggu Pakatan Rakyat menang pilihanraya umum akan datang kerana ketika itu Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Dalam Negeri sudah tentu dari DAP. Ketika itu orang Melayu akan menyesal mengundi Pakatan Rakyat yang memberi kuasa yang lebih kepada orang Cina.