Memaparkan catatan dengan label profesional. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label profesional. Papar semua catatan

Ahad, Januari 10, 2016

ZAHID MAHU HUFFAZ JADI TOKOH PROFESIONAL


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mahu huffaz di negara ini hanya sekadar menjadi imam masjid atau surau semata-mata, sebaliknya menjadi tokoh profesional yang kaya dengan ayat al-Quran.

"Saya mahu mereka jadi jurutera, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara yang mampu jadi imam, jadi khatib baca khutbah bukan sahaja hari Jumaat tetapi pada Hari Raya," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Program Huffaz Aqso Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab 2015 di Masjid Tanah, Melaka semalam.

Pada majlis itu seramai 76 huffaz diberi sijil dan anugerah setelah berjaya menyelesaikan program hafazan al-Quran dalam tempoh tiga bulan.

Turut hadir isteri timbalan perdana menteri, Datin Seri Hamidah Khamis, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Anggota Dewan Negara Tan Sri Mohd Ali Rustam, dan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Negeri Datuk Md Yunos Husin.

Sehubungan dengan itu Dr Ahmad Zahid mencadangkan kurikulum maahad tahfiz di seluruh negara perlu diseragamkan untuk menghasilkan huffaz profesional cemerlang yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Beliau berkata penyeragaman kurikulum itu dapat mengelakkan 'caca marba' dalam sistem pendidikan maahad tahfiz di negara ini dan mewujudkan satu silibus berkesan untuk maahad tahfiz tersebut.

"Saya selaku TPM (Timbalan Perdana Menteri) amat menggalakkan agar banyak maahad tahfiz ditubuhkan di seluruh negara oleh kerajaan negeri, persekutuan, swasta atau orang persendirian.

"Tetapi saya menyeru kepada pengendali sekolah ini mesti mempunyai satu kurikulum khusus seluruh negara. Ada juga pondok buruk, banglo tinggal jadi maahad, bukan kita tidak mahu banyak huffaz tetapi kita mahu ada juga kualiti, ada nilai akademik dan Quranic," katanya.



Ahmad Zahid menyeru kerajaan negeri dan pihak terlibat agar bersepadu dalam membela kebajikan maahad tahfiz serta pelajarnya, supaya pelajar terbabit tidak 'dizalimi' dalam usaha mereka menimba ilmu.

"Di samping mencari pahala, jangan dizalimi dan ketepikan hak anak-anak ini untuk hidup selepas jadi huffaz. Mereka harus ada nilai akademik, nilai ekonomi dan nilai terbaik," katanya.


Mengulas mengenai huffaz yang dilahirkan sekolah tersebut, Ahmad Zahid melahirkan rasa bangga memandangkan sejak penubuhannya pada 2010, sekolah itu mampu melahirkan huffaz yang berkualiti dan mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran daripada 20 universiti terkemuka dunia.

"Alhamdulillah... berkat komitmen isteri saya dan adik beradik beliau, kita berjaya. Allah uji saya dan isteri, kita tahu ujian demi ujian datang. Tiada perkara yang mudah, tetapi berusaha lebih keras dan bijak, untuk capai kejayaan itu sukar tetapi untuk mempertahankan kejayaan lebih sukar," katanya.

Tapak bagi pembinaan Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab itu diwakafkan oleh keluarga Hamidah dan Ahmad Zahid serta isterinya masing-masing merupakan pengasas dan timbalan pengasas sekolah berkenaan.

Sementara itu, timbalan perdana menteri berkata masyarakat Islam perlu bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan kalangan bukan Islam dalam usaha menuntut ilmu.

"Saya rasakan untuk berjaya harus ada kerjasama erat tanpa mengira apa sahaja latar belakang agama, bangsa dan keturunan," katanya.

Khamis, November 13, 2008

MB PERAK TAK PROFESIONAL


Nampak sangat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin tidak professional apabila beliau bertindak di luar dugaan apabila memaksa jurugambar Utusan Malaysia menyerahkan kamera dan memadamkan gambarnya yang diambil ketika penyerahan surat tuntutan maaf daripada seorang peguam semalam.


Kejadian berlaku semasa sesi rehat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di dewan makan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini apabila jurugambar, Mohd. Najib Mohd. Nor, 28, merakamkan gambar Mohammad Nizar menerima surat tuntutan maaf daripada peguam Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali.


Surat itu disampaikan oleh wakil firma guaman Shafee & Co. menuntut Menteri Besar menarik balik tuduhannya bahawa Mohd. Tajol Rosli terlibat dalam konspirasi politik membabitkan penangkapan dua Exco kerajaan negeri ini oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada Ogos lalu.
Dalam kejadian itu, jurugambar Utusan Malaysia telah diherdik dan diminta keluar dengan berkata ''Go.. go..".


Selepas meminta Mohd. Najib keluar, Mohammad Nizar kemudian dengan memanggil semula Mohd. Najib.


''Woi, mari sini. Saya nak memory card kamera tu," katanya.


Mohd. Najib bagaimanapun enggan menyerahkan kad tersebut tetapi bersedia memadamkan gambar yang diambilnya itu di depan Mohammad Nizar.


Bagaimanapun, Menteri Besar itu meminta kamera untuk memastikan gambar- gambar tersebut telah dipadamkan.


Selepas membuat pemeriksaan, beliau menyerahkan kamera itu kepada Setiausaha Akhbarnya, Anuar Hashim bagi membuat pemeriksaan lanjut.


Tidak lama selepas itu, barulah kamera berkenaan diserahkan semula kepada Mohd. Najib.
Mohammad Nizar kemudian bertanya lagi kepada jurugambar itu ''Siapa beri keizinan ambil gambar ini? Awak dari mana?"


Wakil syarikat guaman Shafee & Co. itu kemudiannya diminta menyerahkan surat tuntutan tersebut di pejabat Menteri Besar.


Penyerahan surat tuntutan yang sama juga dikemukakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air, Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Ngeh Koo Ham di pejabatnya.