Memaparkan catatan dengan label pelik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pelik. Papar semua catatan

Khamis, Mei 24, 2012

PELIK BEKAS GURU DAPAT GELARAN TOKOH GURU

Pelik juga bekas guru dapat gelaran Tokoh Guru negeri Terengganu untuk tahun 2012. Seolah-olah guru yang sedang berkhidmat tidak ada yang layak jadi Tokoh Guru.
Bekas Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Terengganu dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri sempena majlis sambutan Hari Guru ke-41 peringkat negeri tahun ini. Mohd Nor Othman, 60, menyifatkan kerjaya sebagai guru selama 32 tahun adalah mencabar dan menganggapnya sebagai ibadah untuk memotivasikan dirinya melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan cemerlang. Beliau yang juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu berazam terus memberi sumbangan terhadap sektor pendidikan selaras dengan hasrat kerajaan negeri Terengganu yang mahu dikenali sebagai negeri anjung ilmu dan kuasa baru pendidikan tanah air. "Walaupun sudah bersara daripada arena perguruan, sebagai Anggota Parlimen saya tetap berjuang terutamanya dalam isu pendidikan. Malah saya masih lagi melibatkan diri dengan kegiatan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) daerah," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Guru Peringkat Terengganu di stadium tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Terengganu, semalam. Mohd Nor adalah lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia di bidang pengajian pendidikan sejarah pada 1971 dan mula bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai, Kuala Terengganu, pada 1976.

Isnin, Julai 12, 2010

LAWATAN KERJA MB BERJAYA


Pelik tapi benar bila Menteri Besar, Datuk Ahmad Said melakukan lawatan kerja ke daerah Kemaman selama tiga hari bermula Jumaat lalu. Saya kata pelik kerana beliau adalah Ketua UMNO bahagian Kemaman. Jadi apabila program ini dilakukan atas sifat rasmi lawatan Menteri Besar maka terasa pelik sedangkan beliau selalu balik ke Kemaman.

Lawatan tiga hari itu amat berjaya. keempat-empat DUN dalam parlimen Kemaman dijelajahinya. Malam tadi program rasmi berakhir di Dewan MPK, program Malam Anugerah Cemerlang JKKK seluruh Kemaman. Dalam ucapannya, Pegawai Daerah, Haji Kamil Othman hairan kerusi masih kosong bila MB sampai. MB sampai lebih awal dari JKKK. Haji Kamil sempat menyindir supaya JKKK menepati waktu yang mana akhirnya semua kerusi dalam dewan itu penuh.

Dengan bersahaja beliau membuat tiga cerita lucu yang menyindir peranan dan tanggungjawab JKKK kepada masyarakat. Dalam ucapannya pula, MB mahu JKKK bekerja kuat. JKKK adalah nadi kuat akar umbi. Jika JKKK lemah, maka lemahlah UMNO. Oleh itu JKKK perlu bekerja kuat untuk mempastikan UMNO tetap menang dalam pilihanraya umum akan datang.

"Adakah tuan-tuan sanggup JSR kembali memerintah kampung anda?" tanya beliau sambil disambut para hadirin, "Dah serik weh!".

JKKK Kampung Pasir Gajah dipilih jadi JKKK paling cemerlang. Kebetulan Pasir Gajah kampung asal saya yang mana JKKK tersebut turut memenangi hadiah JKKK terbaik bagi DUN Air Putih. Bagi DUN Chukai, JKKK perumahan Gong pauh yang mana terletaknya rumah saya, menang hadiah JKKK terbaik.

Semua ADUN hadiri majlis tersebut kecuali ahli parlimen Kemaman, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang diwakili oleh pegawai khasnya, Cikgu Rohani Abdullah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kemaman. Ramai JKKK bertanya ke mana perginya Menteri Belia dan Sukan itu sedangkan majlis itu berlangsung pada hari Ahad, hari tidak bekerja bagi Kuala Lumpur.Sepatutnya beliau selaku ahli parlimen hadiri majlis JKKK itu.

Jumaat, Mei 21, 2010

TIDAK PELIK TAK BERI GUNA DEWAN


Tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang tidak membenarkan UMNO berceramah menggunakan dewan milik kerajaan negeri bukanlah perkara yang pelik. Kita patut tanya diri kita, sewaktu BN memerintah Pulau Pinang, pernahkah kerajaan BN memberi kebenaran kepada DAP berceramah menggunakan dewan negeri?

Kita tak pernah berbuat demikian. Oleh itu kita tidak boleh salahkan Lim Guang Eng menarik balik kebenaran kepada UMNO menggunakan dewan milik kerajaan negeri. Itu hak kerajaan negeri. Pulau Pinang bukanlah oasis demokrasi seperti yang didakwa oleh Lim Guang Eng.

Sebaliknya oasis demokrasi terletak di Terengganu. Lihatlah betapa liberalnya kerajaan BN Terengganu pimpinan Datuk Haji Ahmad Said memberi kebenaran kepada PAS untuk menggunakan Stadium Negeri sewaktu PAS mengumumkan nama calon pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu pada tahun lepas.

Di zaman PAS memerintah Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004, PAS tidak pernah memberi kebenaran kepada UMNO menggunakan dewan milik kerajaan negeri. Sebaliknya PAS menghalau anak-anak KEMAS menggunakan balairaya. Walaupun PAS zalim sewaktu memerintah Terengganu, tetapi Ahmad Said bersikap terbuka. Oleh itu oasis demokrasi sebenarnya terletak di Terengganu. Jadi tak usahlah Lim Guan Eng mendakwa Pulau Pinang sebagai oasis demokrasi.

Selasa, November 17, 2009

PELIK YB TIDAK HADIRI PAMERAN DEWAN UNDANGAN NEGERI


Semalam saya berada di Kuala Terengganu kerana ada urusan. Selesai urusan saya bergegas ke Seri Iman mengikuti majlis Menteri Besar, Datuk Ahmad Said memberi e book kepada para pelajar sekolah rendah di dalam DUN Ladang dan DUN Batu Buruk. Turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Farid Wan Salleh dan abangnya, Datuk wan Hisham yang merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian.


Wan Farid yang sudah lama tidak ditemui sempat menegur saya. Saya turut bertemu dengan kawan lama yang bekerja dengan seorang YB. Sekarang bukan main sombong dia. Padahal saya sudah kenalinya sejak saya bekerja di Sabah pada tahun 1989 lagi. Maknanya sudah 20 tahun saya mengenalinya. Tapi pangkat boleh melupakan seseorang.


Itu baru bekerja dengan YB. Belum jadi YB lagi. Kalau jadi YB entah mungkin besar lagi kesombongannya. Ingatlah pangkat dan kuasa tidak kekal. Hari ini orang hormati awak kerana awak ada pangkat. Bila tak ada pangkat nanti, siapa mahu tegur awak lagi jika awak sombong. Ingatlah pangkat adalah dipinjamkan Allah kepada kita buat sementara saja. Dia berhak menarik pangkat bila-bila masa jika kita tidak bersyukur kepadaNya.


Langkah kerajaan Terengganu memberi e book kepada setiap pelajar sekolah merupakan langkah yang baik kerana mereka tidak perlu lagi membawa buku-buku yang tebal ke sekolah.


Sebelah petang pula saya turut mengikuti program MB di Muzium Negeri merasmikan pameran 50 Tahun Dewan Undangan Negeri Terengganu. Turut hadir ialah Speaker DUN, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.


Pelik juga majlis melibatkan DUN ramai YB tidak hadir. Yang kelihatan ADUN Tepoh, Ramli Noh; ADUN Rantau Abang, Zaabar Datuk Adib; ADUN Kg. Raja, Pehimi;ADUN Manir, Datuk Haji Harun Taib dan ADUN Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar.


Tak tahu ke mana YB Lain pergi. Ramai juga bekas YB yang hadir seperti ADUN Langkap, Pak Su Leh dan ADUN Batu Rakit, Datuk Mansor Mohamad; ADUN Tanggol, Mustafa Muda dan lain-lain.


Dalam ucapannya Tengku Putera berkata dia menjemput semua ADUN tetapi yang hadir bekas ADUN dan bakal ADUN sahaja. Nampaknya ADUN yang ada tidak berminat menghadiri majlis yang melibatkan mereka sendiri. Pelik bin ajaib.


Ahmad Said dalam ucapannya sempat menceritakan semua orang takut nombor 13. Katanya, beliau jadi Menteri Besar Terengganu yang ke 13, sebab itu perlantikannya penuh kontroversi.


Sewaktu melihat pameran gambar semua Speaker DUN, Ahmad Said sempat berkata, "Tengku Putera pun Speaker yang ke 13".


Dalam ucapannya Ahmad menjelaskan bahawa dalam Islam tidak ada sial majal dalam mana-mana nombor. Tahniah kepada Tengku Putera yang berjaya mengadakan pameran ini walaupun banyak yang tidak lengkap. Sepatutnya sepanjang 50 tahun boleh dicatat siapa ADUN paling lama berbahas dalam Dewan dan ADUN mana yang paling banyak mengemukakan soalan sepanjang 50 tahun DUN bersidang.

Selasa, Oktober 06, 2009

PELIKNYA POLITIK


Sudah lama Tan Sri Isa Samad jadi wakil rakyat di Teluk Kemang dan sudah lama beliau jadi Menteri Besar Negeri Sembilan tetapi soal dia bukan anak Negeri Sembilan masih ditimbulkan oleh pembangkang.Isa memang dilahirkan di Melaka tetapi beliau dibesarkan di Bagan Pinang.

Itulah politik. Politik memang pelik. Soal Isa bukan anak Negeri Sembilan tidak perlu ditimbulkan kerana beliau sudah lama membesar di Bagan Pinang.Calon PAS walaupun dilahirkan di Negeri Sembilan tetapi dia tidak pernah kenal para penduduk Bagan Pinang.

Faktor calon tempatan bakal memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, 11 Oktober depan.


Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata BN bukan sahaja berpeluang menang tetapi mampu memperolehi majoriti yang banyak.

"Semasa lawatan saya ke sana (Bagan Pinang) jelas menunjukkan penduduk di kawasan itu menyenangi calon BN," katanya kepada pemberita pada jamuan sempena Aidilfitri di Bagan Pinang semalam.

Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak kononnya BN terpaksa memilih Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata tidak wujud isu sama ada BN terdesak atau tidak memilih Isa, apa yang penting calon berkenaan disukai ramai dan perlu di beri peluang.

Mengenai dakwaan pembangkang, Isa bukan dilahirkan di sana sebaliknya hanya dibesarkan di Bagan Pinang, Ismail Sabri berkata itu lagi bagus kerana calon akan lebih memahami keadaan dan keperluan penduduk di kawasan berkenaan.

Rabu, September 23, 2009

PELIK JUGA DR MAHATHIR HADIRI MAJLIS MENTERI BESAR NEGERI SEMBILAN


Selama ini Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Hassan dianggap sebagai orang Pak Lah. Jadi apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menghadiri majlis terbuka rumah beliau, ia dianggap pelik.


Apatah lagi Dr Mahathir membuat kenyataan seolah-olah tidak pro kepada Tan Sri Isa Samad yang disebut-sebut sebagai bakal calon BN bagi pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang. Kenapa Mat Hassan jemput Dr. Mahathir? Apakah ini mesej beliau bahawa calon BN bukan Isa? Adakah Dr. Mahathir bercakap bagi pihak Mat Hassan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan?


Saya pun tak mahu Isa dipilih sebagai calon kerana saya sokong kenyataan Dr. Mahathir bahawa calon yang bersih yang wajar jadi calon. Isa sudah terbukti bersalah amalkan politik wang. Jadi dia tidak layak jadi calon.


Tetapi amalan UMNO tidak begitu. Six milion dollar man, Datuk Tajudin Rahman turut bersalah tetapi dia dipilih jadi calon parlimen Pasir Salak pada tahun 2008. Kini dia masih ahli parlimen dan Pengerusi FELCRA pula. Bekas Bendahari Agung UMNO, Datuk Azim Zabidi pernah jadi calon BN Bukit Gantang pada pilihanraya umum 2008 tetapi kalah. Beliau pun pernah dihukum terlibat dalam politik wang.


Oleh itu jika Isa jadi mangsa kali ini, maka Tajudin tidak boleh bertanding lagi dalam pilihanraya umum akan datang. Jika tidak orang kata UMNO double standard. Kita ikuti berita Dr. Mahathir seterusnya.


Dr. Mahathir sekali lagi menegaskan UMNO perlu memilih calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.


Beliau berkata, UMNO boleh mendapat majoriti besar pada pilihan raya kecil DUN tersebut yang merupakan kubu kuat parti jika memilih calon yang benar-benar bersih.


Beliau berkata, jika calon tidak bersih diketengahkan dalam pilihan raya tersebut, UMNO mungkin menang di Bagan Pinang tetapi akan kalah di tempat lain.


"Faktor calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah menjadi sangat penting di Bagan Pinang malah pada pilihan raya umum akan datang.


"Bagi saya, bukan sekadar tempat ini sahaja. Soal seluruh Malaysia, orang nak tahu sama ada kita serius atau pun tidak untuk membasmi gejala politik wang, rasuah dan sebagainya,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Hari Raya Aidilfitri di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di Rantau, Rembau semalam.


Dr. Mahathir turut khuatir jika trend pemilihan calon yang tidak bersih diteruskan, parti itu akan kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.


"Saya tak fikir tentang individu, saya kenal semua orang dan saya tak peduli dengan siapa pun tapi saya fikir cuma untuk parti sahaja," tegasnya.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi pilihan raya kecil itu ialah pada 3 Oktober sementara pengundian 11 Oktober.


Dr. Mahathir berkata, Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai masalah untuk menang dalam pilihan raya kecil berkenaan kerana ia merupakan kubu UMNO.


"Yang kita kalah sebelum ini pun semua di kawasan pembangkang," ujar beliau.


Beliau juga berkata, sokongan kaum Cina dan India masih belum cukup untuk membantu BN memenangi pilihan raya berkenaan.


Kata beliau, faktor itu berpunca daripada pemimpin parti komponen yang masih berhadapan dengan masalah sendiri.


"Saya nampak belum ada perubahan yang boleh dilihat atau mungkin saya belum nampak. Masing-masing masih memikirkan masalah kaum sendiri.


"MIC masih mempunyai masalah dalaman dan saya tidak tahu sama ada mereka boleh menumpukan perhatian dalam berkempen untuk membantu BN," jelas beliau.


Jelas beliau, sekiranya semua pemimpin parti mengutamakan parti dan bukannya diri sendiri, sudah pasti semua masalah dapat diselesaikan.

Selasa, Oktober 21, 2008

PELIKNYA DR. RAIS


Pelik juga bila Menteri Luar, Dr. Rais Yatim tidak pertahan Pak Lah yang mengkritik bekas Presiden UMNO, Dr. Mahathir Mohamad. Sebagai menteri yang dilantik Pak Lah dan sebagai ahli majlis tertinggi UMNO yang dilantik Pak Lah, sepatutnya beliau menyokong Pak Lah dalam soal ini.

Pak Lah ada juga benarnya kerana Dr. Mahathir bukan lagi ahli UMNO, kenapa dia perlu atur siapa yang jadi presiden, timbalan dan naib presiden UMNO. Dr. Mahathir pun sebut nama Dr. Rais tetapi perwakilan nampaknya tidak minat dengan bekas timbalan Ku Li ketika mereka dalam Semangat 46 dahulu.

Dr. Rais kata Dr. Mahathir ada locus standi untuk buat kenyataan tentang UMNO kerana 22 tahun beliau menerajui UMNO. Kita tidak persoal hak Dr. Mahathir, tetapi yang dipersoal kenapa beliau beriya benar menentukan siapa yang layak duduk di kerusi ini dan di kerusi itu.

Sekarang ini semua berkiblatkan Najib. Itulah budaya politik UMNO. Pokok belum tumbang, kera sudah melompat ke pokok lain. Pak Lah ada masa lima bulan lagi. Kuasa melantik menteri adalah kuasa penuh Pak Lah. Pak Lah berhak pecat dua menteri yang tidak menyokongnya seperti Muhyiddin dan Dr. Rais.

Kalau Muhyiddin dipecat dari jawatannya, mampukah beliau dapat pencalonan yang tinggi kerana sudah jadi budaya UMNO memilih pemimpin kerana ada jawatan dalam kerajaan. Pak Lah boleh buat begitu tetapi Pak Lah bukannya manusia yang kejam.

Dr. Rais sejak kembali ke dalam UMNO amat terhutang budi kepada Dr. Mahathir yang melantiknya semula sebagai menteri. Isterinya, Masnah Rais dikatakan main peranan supaya Dr. Rais kembali dalam UMNO kerana Masnah mempunyai hubungan yang baik dengan Dr. Siti Hasmah, isteri Dr. Mahathir. Walaupun Dr. Rais sudah membakar jambatan, tetapi Dr. Mahathir yang pemaaf menerimanya kembali dalam kabinet.

Pak Lah melanjutkan perkhidmatan Dr. Rais dalam kabinetnya setelah menjadi Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003. Pak Lah pernah cadangkan nama Dr. Rais sebagai Setiausaha Agung Komanwel tetapi Dr. Rais menolaknya. Sebaliknya Dr. Rais dikekalkan dalam kabinet Pak Lah selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu walaupun beliau tidak patuh kepada arahan Pak Lah supaya menjadi Setiausaha Agung Komanwel.

Ke mana Dr. Rais selepas ini? Apakah beliau akan kekal dalam kabinet Najib? Beliau paling lama jadi ahli parlimen sejak tahun 1974. Dilantik oleh Tun Razak dalam kabinetnya sebagai setiausaha parlimen sebelum dibawa balik ke Negeri Sembilan sebagai Menteri Besar pada tahun 1978 oleh Hussein Onn. Jika Najib mengekalkan Dr. Rais, beliaulah satu-satunya anak yatim yang dapat berkhidmat dengan ayah dan anak (Tun Razak dan Najib).