Memaparkan catatan dengan label mastura. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mastura. Papar semua catatan

Jumaat, Jun 10, 2016

MASTURA MAAFKAN NIZAR



KUALA KANGSAR, 9 Jun (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid berkata beliau tidak akan mengambil sebarang tindakan malah memaafkan mereka yang memfitnahnya.

Kemaafan itu turut diberikan kepada Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mengaitkan kematian suaminya, penyandang kerusi itu dalam nahas helikopter di Sarawak 5 Mei lepas sebagai balasan Allah.

"Saya maafkan Nizar sebab saya percaya Allah akan menunjukkan kebenaran pada kita semua. Saya tidak akan mengambil tindakan (lanjut) dan saya anggap ini satu perkara yang harus saya maafkan. Kami perlu teruskan kehidupan," katanya dalam sidang media di kediamannya di sini semalam






Mastura berkata kenyataan Mohammad Nizar terhadap Allayarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad itu tetap mengguris hati dan perasaan mereka sekeluarga, namun beliau memaafkan bekas menteri besar Perak itu.

Mohammad Nizar dalam satu ceramah umum Amanah di Kampung Sayong Lembah di sini pada Selasa dipetik sebagai berkata "Allah mahu orang Kuala Kangsar 'mengajar' (memberikan kekalahan kepada) BN menerusi PRK Kuala Kangsar".

Selain itu, Mastura berharap semua parti yang bertanding pada PRK Parlimen Kuala Kangsar dapat menghormati kesederhanaan serta keharmonian masyarakat di kawasan itu.






Ditanya mengenai kecenderungan pembangkang menggunakan isu nasional dalam kempen PRK itu, Mastura berkata: "Cara kempan kami berbeza. Saya dipilih mewakili penduduk Kuala Kangsar. Isu nasional biarlah saya fikir masa di Parlimen nanti (jika dipilih)".

Dalam sidang media itu, Mastura turut mengumumkan lima agenda yang beliau akan perjuangkan untuk penduduk Kuala Kangsar jika dipilih sebagai Anggota Parlimen kawasan tersebut.

Katanya agenda itu adalah menaik taraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (Kuisas) kepada Universiti Awam dan menyegerakan kelulusan projek jambatan Manong.

Selain itu, Mastura juga akan memohon kelulusan projek membesar dan melebarkan jalan Manong-Kuala Kangsar, menaik taraf Hospital Kuala Kangsar kepada hospital pakar serta membangunkan semula lembah dan tebing Sungai Perak sebagai pusat pelancongan.

"Semua senarai ini merupakan pemikiran arwah datuk (Wan Mohammad Khair-il) sendiri tapi tak kesampaian. Saya harap saya akan jadi ejen ke arah merealisasikan semua ini demi orang Kuala Kangsar," katanya.

Ketika ditanya mengenai dakwaan ada anggota UMNO di Kuala Kangsar yang tidak gembira dengan pemilihannya sebagai calon, Mastura percaya mereka akan bersama-sama dengannya.

"Pastinya dalam kalangan rakan-rakan, kami mempunyai perbezaan pendapat ...tetapi saya pasti dan yakin rakan-rakan saya (anggota UMNO) akan menyokong saya," katanya.

Pengundian PRK itu berlangsung 18 Jun ini, yang menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, PAS, Amanah dan Bebas.

-- BERNAMA

Selasa, Mei 31, 2016

MASTURA BUKAN NAK PERGI KUTIP BUAH KURMA



Ketua Exco Agama Pemuda PKR (AMK), Wan Ji Wan Hussin berpendapat calon BN di Parlimen Kuala Kangsar Mastura Mohd Yazid masih boleh keluar berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), meskipun dalam tempoh idah.

Wan Ji berkata pendapat ulama yang melarang wanita yang baru kematian suami keluar rumah selama empat bulan 10 hari adalah pendapat pertama berdasarkan satu hadis nabi.

Bagaimanapun katanya, larangan itu tidak mutlak dan hadis berkenaan dibaca dalam konteks ia dibimbangi boleh membawa kepada pernikahan.

"Jika tidak membawa kepada pernikahan, ia tidak termasuk di bawah larangan tersebut," katanya

Memetik satu hadis lain, Wan Ji berkata terdapat satu kisah di zaman Nabi apabila seorang wanita yang kematian suami, dilarang keluarganya daripada keluar rumah bagi memetik buah kurma.

Namun apabila perkara itu sampai kepada pengetahuan Nabi Muhammad, baginda membenarkan wanita itu memetik kurma walaupun masih dalam tempoh idah.

"Perbuatannya itu dimarahi oleh ahli keluarganya. Perkara itu sampai kepada pengetahuan Nabi Muhammad dan nabi membenarkan perempuan itu keluar untuk memetik buah kurma tersebut.

“Jadi, Mastura boleh keluar berkempen tapi dengan pandangan kedua,” katanya.



Sebelum ini ulama Umno yang juga exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahaya berkata Mastura tidak boleh keluar berkempen kerana masih dalam Idah selepas baru kematian suami.

Oleh itu Fathul mencadangkan agar anak Mastura menjadi pengganti untuk berkempen sepanjang tempoh pilihan raya ini.

Menurut Fathul hukum bagi wanita yang sedang idah telah disepakati oleh ulama tentang larangan "keluar" dari rumah selama empat bulan 10 hari.

Beliau memberikan dalil dari Al-Quran dan Al-Sunnah yang digunakan sebagai hujah oleh para ulama dalam menetapkan hukum hakam asas bagi idah.

Mengulas lanjut, Wan Ji berkata beliau tidak bersetuju dengan pandangan sekiranya Mastura keluar berkempen, ia menuju ke arah perkahwinan.

“Saya tak setuju dengan pandangan yang ke arah perkahwinan.


“Bukan tidak boleh pakai baju warna warni sebab itu konteks zaman nabi.

"Zaman sekarang pakai baju warna-warni tak ada orang nak mengurat pun.

"Jadi kalau berkempen itu boleh sebab ikut pandangan kedua,” katanya.

Ulasan saya, Mastura bukannya mahu pergi kutip buah kurma. Maka pandangan ustaz PKR tidak perlu diberi perhatian. Bila Mastura keluar berkempen ia akan menimbulkan fitnah kerana kempen mengempen melibatkan kata mengata kepada calon lawan. Justru itu ia tidak manis bagi orang perempuan yang dalam edah. Oleh itu pendapat ulama supaya Mastura tidak keluar berkempen lebih afdal. 

Apa yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad bahawa wanita boleh pergi kutip buah kurma dalam edah maknanya wanita boleh pergi bekerja dalam edah tetapi dia hendaklah patuhi batas pergaulan sepanjang edah itu.