Memaparkan catatan dengan label langkawi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label langkawi. Papar semua catatan

Rabu, April 25, 2018

PENGUNDI LANGKAWI MAHU ORANG LUAR ATAU ANAK TEMPATAN?

ALOR SETAR, 24 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad berkata beliau tidak gentar berhadapan dengan bekas perdana menteri selama 22 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mempertahankan kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Ketua UMNO Bahagian Langkawi itu berkata beliau yakin rakyat Langkawi akan membuat pilihan bijak dengan memilih anak watan yang benar-benar bekerja demi menyelesaikan masalah mereka dan tidak terpengaruh dengan sentimen nostalgia semata-mata.

"Dalam kes wakil rakyat kita perlu pilih orang yang boleh kerja siang malam bukan nak pilih seorang wakil rakyat yang hanya datang untuk bertanding dan kemudian dia berada di Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon-Calon BN Kedah di Seri Mentaloon di sini, hari ini oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Nawawi dipilih mempertahankan kerusi Parlimen itu bersama-sama Datuk Mohd Rawi Abd Hamid dan Nor Saidi Nanyan yang juga akan mempertahankan kerusi masing-masing iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat dan DUN Kuah.

​​​​​​​Sehubungan itu, beliau berharap pengundi Langkawi memberi undi pada calon yang boleh membawa lebih banyak pembangunan untuk penduduk Langkawi dan masa depan negara.

Ditanya tentang kemungkinan penduduk Langkawi akan terpengaruh dengan isu kontroversi yang dibawakan Dr Mahathir, Nawawi berkata kebanyakan isu tersebut sudah basi dan hanya diceritakan berulang kali.

Dalam pada itu, katanya walaupun beliau yakin dengan kekuatan BN di pulau peranginan itu namun tidak memandang remeh pihak lawan.

Pada 15 April lepas, Pengerusi PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon pakatan pembangkang di kawasan Parlimen Langkawi yang mempunyai 42,697 pengundi berdaftar.

Isnin, April 16, 2018

MAHATHIR LARI DARI KUBANG PASU KE LANGKAWI

LANGKAWI, 15 April - Kubang Pasu yang selama ini menaikkan nama Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun akhirnya ditinggalkan oleh  Pengerusi Pakatan Harapan (PH). Beliau diumumkan sebagai calon pakatan pembangkang itu untuk bertanding kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengumuman itu dibuat Timbalan Pengerusi PH yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sini malam ini.

Sebelum itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sendiri mengumumkan calon daripada partinya, yang akan bertanding di enam kerusi parlimen dan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.


Semua calon PH akan bertanding di bawah simbol tunggal PKR.

Selain PKR, tiga lagi parti komponen PH ialah PPBM, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

Antara calon PPBM yang lain adalah bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang akan bertanding di Parlimen Jerlun dan DUN Jitra.

Calon lain yang akan bertanding kerusi Parlimen adalah Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Wan Saiful Wan Jan (Pendang), Mohd Taufik Yaacob (Baling) dan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi (Jerai).

Calon DUN pula adalah Datuk A. Aziz Mohamud (Ayer Hitam), Halimahton Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Anak Bukit), Mohd Aizad Roslan (Bukit Lada), Syed Fadzil Syed Embun (Kuala Nerang) dan Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang).

Mohd Nazari Abu Hassan (Jeneri), Abdul Rahim Kechik (Bayu), Mohd Saffuan Sabari (Guar Chempedak), Mejar (B) Annuar Abd Hamid (Tanjung Dawai), Datuk Azimi Daim (Bandar Baru), Johari Bulat (Air Hangat) dan Mohd Firdaus Ahmad (Kuah).

Ahad, Disember 31, 2017

DAPATKAH LANGKAWI TERIMA MAHATHIR SEBAGAI AHLI PARLIMEN?

SHAH ALAM, 30 Dis (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan kemungkinan bertanding sama ada di kerusi Parlimen Langkawi, Kubang Pasu atau Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Saya mungkin bertanding di satu daripada tiga kawasan ini. Mereka beritahu saya bahawa saya punya peluang baik untuk menang di Langkawi, Kubang Pasu atau Putrajaya.

"Jadi bersiap-siaplah untuk itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan penggulungan pada perhimpunan agung pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yang juga pengerusi PPBM berkata parti itu telah memutuskan segala hubungan dengan PAS dalam soal menjalin kerjasama politik.

"Melainkan kalau orang PAS keluar PAS masuk mana-mana parti Pakatan Harapan termasuk PPBM, mereka dialu-alukan," katanya.

Mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa beliau sedang berusaha merundingkan persetujuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi menyelamatkan karier politik anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Dr Mahathir menafikan perkara itu.

Laporan itu antara lain menyebut persetujuan itu memerlukan Najib melantik Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri II sebelum PRU14 serta memberinya jawatan Kabinet, sama ada Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri atau Menteri Pertahanan.

Sebagai balasan, Dr Mahathir kononnya akan berhenti menyerang Najib dan tidak akan lagi bersama Pakatan Harapan, menurut laporan itu.

-- BERNAMA