Memaparkan catatan dengan label kwsp. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kwsp. Papar semua catatan

Khamis, Mei 24, 2018

SURI RUMAH AKAN DAPAT KWSP JUGA?

PUTRAJAYA, 24 Mei (Bernama) -- Kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah dicadangkan melibatkan dua peratus daripada gaji suami dan RM50 daripada dana kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga berkata beliau akan bertemu dengan KWSP minggu depan berhubung pelan tindakan caruman KWSP suri rumah itu.

Beliau berkata antara perkara yang perlu dibincangkan dengan KWSP ialah mengenai mekanisme caruman KWSP untuk suri rumah, siapa yang layak dan kaedah pemberian.

"Kita juga kena fikir caruman untuk isteri pertama dan kedua kalau untuk orang Islam," katanya dalam sidang media untuk memulakan tugas di Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata caruman KWSP untuk suri rumah itu merupakan antara keutamaan untuk dilakukannya dalam masa terdekat memandangkan ia merupakan satu daripada manifesto 100 hari Pakatan Harapan.

Selasa, Januari 24, 2017

TERIMA KASIH KEPADA KWSP YANG CEPAT BERTINDAK

Pagi semalam jam 9 pagi ketika memandu ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menemui bisnes partner saya, Datuk Morshidi Abdul Rahman, saya menerima call yang tidak dikenali. Saya angkat call itu dan orang yang call saya memperkenalkan dirinya sebagai Kamil dari KWSP.

"Encik Zabidi ada di mana sekarang?" tanya Kamil.
"Saya sekarang dalam perjalanan ke PWTC," jawab saya. Saya memang mahu ke PWTC menemui Datuk Amran dari Grik tetapi mahu singgah menemui Datuk Morshidi yang ada temujanji dengan pakar mata sekejap di HKL.

"Encik Zabidi boleh datang ke pejabat KWSP di Jalan Raja Laut?" soal Kamil.
"Boleh. Jam 11 saya sampai," jawab saya.

Dalam perjalanan ke HKL saya terfikir kenapa pulak pegawai KWSP nak jumpa saya. Sudah tentu kerana kritikan panas saya terhadap KWSP yang disiarkan dalam blog saya pagi tadi. Tak sangka pula blog saya mendapat perhatian daripada KWSP. Oleh kerana nombor hand phone saya ada dalam borang pengeluaran kelmarin memudahkan pegawai KWSP menghubungi saya.

Jalan yang sesak menyebabkan saya lambat tiba di HKL. Maka saya tangguhkan temujanji dengan Encik Kamil pada jam 12 tengahari manakala temujanji dengan Datuk Amran ditangguhkan kepada jam 5 petang.

Jam 11.45 pagi saya sudah tiba di ibupejabat KWSP di Jalan Raja Laut. Encik Kamil yang juga Pengurus Operasi Transformasi dan Koordinasi KWSP menyambut saya di tingkat bawah dan bawa saya ke tingkat 24 menemui Pengurus Khidmat Pelanggan KWSP, Encik Rodzi.

Mereka minta maaf kerana apa yang berlaku di pejabat KWSP Wangsa Melawati kelmarin akibat salah faham kakitangan KWSP. Kata Encik Kamil, saya boleh keluarkan baki RM700 sekarang dan beliau telah siapkan borang pengeluaran dan saya hanya dikehendaki menandatangani borang tersebut serta menurunkan cap ibu jari kiri dan kanan saya.

Saya pun minta maaf kerana posting saya semalam dalam blog ini mengkritik KWSP agak kasar. Sebaliknya mereka berdua merendah diri dan mengatakan mereka yang patut minta maaf dengan saya akibat kesilapan  teknikal itu.

Saya ucapkan terima kasih di atas sikap pegawai KWSP yang cepat bertindak membaca kritikan saya dalam blog saya. Menurut Encik Kamil, sudah jadi tangguhjawab KWSP untuk menjawab setiap aduan pelanggan. 

Pertemuan kami tidak lama tetapi saya puas hati saya dapat mengeluarkan semua duit KWSP yang tidak dapat dikeluarkan sejak satu tahun lepas sehingga saya bergaduh demgan pengurus KWSP cawangan Kajang pada tahun lepas.

 Dalam perjalanan ke PWTC selepas itu saya terus singgah di cybercafe untuk memadamkan posting saya mengenai KWSP semalam walaupun sudah 2,243 orang membaca posting tersebut. Saya terpaksa memadamkannya kerana orang berbudi kita berbahasa, Terima kasih KWSP.


Isnin, Mei 26, 2014

JUMLAH ASET PELABURAN KWSP MENINGKAT 11.27 PERATUS

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan caruman bersih daripada ahli dan majikan serta prestasi pelaburan yang menggalakkan telah meningkatkan jumlah aset pelaburannya kepada hampir RM600 bilion. Setakat 31 Mac, 2014, aset pelaburan kumpulan wang persaraan itu berjumlah RM597.02 bilion, meningkat 11.27 peratus atau RM60.47 bilion daripada RM536.55 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2013. Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata agensi kerajaan itu kekal fokus dalam objektifnya untuk menjana pulangan pelaburan stabil yang secara konsisten mengatasi kadar inflasi. "Berdasarkan pertumbuhan pesat aset pelaburan KWSP, yang secara puratanya di antara 10 dan 11 peratus setiap tahun, kami akan terus mempelbagaikan aktiviti pelaburan jangka panjang kami dalam pelbagai pasaran dan sektor selaras dengan Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Shahril Ridza berkata bergantung kepada hala tuju pasaran, KWSP akan terus mengambil peluang yang wujud bagi mengimbangi portfolionya bagi tujuan risiko dan pulangan yang optimum.
Bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2014, KWSP melaporkan pendapatan pelaburan sebanyak RM8.83 bilion berbanding RM5.60 bilion dan suku yang sama pada 2013. Peningkatan prestasi pelaburan KWSP yang lebih daripada 50 peratus ini dipacu terutamanya oleh pulangan daripada pelaburan ekuiti. Laporan itu juga menunjukkan 52 peratus dana KWSP telah dilaburkan dalam instrumen berpendapatan tetap yang berisiko rendah; 43 peratus dalam pelaburan ekuiti dan bakinya dalam instrumen pasaran wang, harta dan prasarana, katanya. Tentang prospek hingga hujung tahun ini, Shahril Ridza berkata: "KWSP yakin ekonomi Malaysia akan mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik tahun ini berdasarkan jangkaan pemulihan eksport yang disokong oleh permintaan domestik yang kukuh. Bagaimanapun, KWSP akan terus berhati-hati terutamanya ketika ketidaktentuan menyelubungi pergerakan modal kerana penyesuaian kadar faedah jangka panjang berikutan pemulihan pasaran utama. "Untuk mengoptimumkan pulangan, KWSP berpegang teguh kepada pendekatan pelaburan berhemah dan jangka panjangnya dan akan sentiasa memastikan perlindungan modal manakala meningkatkan nilai simpanan ahli terus menjadi objektif utama kami," tegas beliau. -- BERNAMA NHIZ NHIZ NN KY