Memaparkan catatan dengan label klia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label klia. Papar semua catatan

Jumaat, April 19, 2019

CADANGAN TUKAR NAMA KLIA KEPADA SIA TAK MANASABAH



KUALA LUMPUR: Belum ada keputusan muktamad berhubung cadangan penjenamaan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada nama baru Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (SIA), kata exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Soal penjenamaan semula lapangan terbang itu timbul susulan tersebarnya satu surat di laman Twitter yang menyatakan cadangan tersebut telah dipersetujui dan disahkan pada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Selangor, Oktober tahun lalu.

“Isu ini cuma pernah disebutkan dalam MMKN (Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri), setakat ini tiada apa-apa yang telah diputuskan.

“Perkara ini timbul kerana KLIA terletak di Sepang, Selangor. Lapangan terbang antarabanga yang terkenal sering menggunakan lokaliti sebagai namanya, contohnya adalah Narita/ Haneda di Tokyo, Incheon di Seoul, Suvarnabhuni di Bangkok, Baiyun di Guangzhou, Pudong di Shanghai, Schipol di Amsterdam dan sebagainya,” kata Ng  ketika dihubungi hari ini.


Beliau turut mengesahkan surat yang dibocorkan di media sosial itu merupakan minit mesyuarat exco kerajaan negeri Selangor tetapi tidak mahu mengulas lebih lanjut.

Dalam surat itu, penjenamaan semula KLIA dibangkitkan oleh exco Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Teng Chang Kim dicadangkan untuk mencerminkan lokaliti KLIA yang terletak di daerah Sepang.

“Keperluan ini adalah seiring dengan nama lapangan terbang antarabangsa di luar negara yang menggunakan lokaliti sebagai nama rasmi lapangan terbang tersebut.


“Sehubungan itu, cadangan nama yang dipersetujui oleh exco adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (SIA),” kata surat itu.

Menurut surat itu, Ng akan membawa perkara berkenaan ke mesyuarat Majlis Pengangkutan Negara.


Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke apabila diminta mengulas cadangan itu berkata, pihaknya belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada kerajaan negeri Selangor.

“Saya belum menerima sebarang permohonan rasmi dari kerajaan Selangor. Setakat ini, nama KLIA kekal,” katanya.

Khamis, Ogos 23, 2018

500 PENERBANGAN AKAN TERJEJAS DI KLIA DARI 27 HINGGA 31 OGOS INI

PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Kira-kira 500 penerbangan akan terjejas berikutan penutupan ruang udara sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) selama lima hari bermula 27 Ogos untuk pertunjukan udara sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pengangkutan berkata penerbangan yang terjejas termasuk yang akan tiba dan berlepas dari KLIA dan klia2 dalam tempoh tertentu bermula dari 27 hingga 31 Ogos antara jam 9 pagi hingga 10.30 pagi, bagi tujuan raptai, latihan dan “flypast” sebenar.

Berikutan kedudukan Putrajaya yang begitu hampir dengan KLIA dan klia2, Kementerian Pengangkutan berkata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah diarahkan untuk menutup ruang udara di sekitar KLIA dan klia2 serta kawasan berhampiran dengannya.

“Penutupan sementara ruang udara KLIA dan klia2 adalah penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan flypast Hari Kebangsaan 2018, dan paling utama adalah untuk memastikan keselamatan ruang udara dan peramalan pergerakan pesawat berjadual di KLIA dan klia2.

“Oleh yang demikian, Kementerian Pengangkutan dan CAAM ingin mengingatkan syarikat penerbangan supaya mengemaskini maklumat penerbangan yang terjejas dan memaklumkan kepada penumpang terlebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2018 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos akan menampilkan pertunjukan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan beberapa agensi penguatkuasaan yang lain.

Selasa, Februari 07, 2017

BEKAS PEROGOL BERSIRI TIBA DI KLIA PAGI INI



SEPANG 6 Feb. - Bekas perogol bersiri warga Malaysia paling berbahaya, Selva Kumar Subbiah yang dibebaskan daripada hukuman penjara selama 24 tahun di Kanada dijangka tiba di Malaysia pada pukul 7.45 pagi ini.


Dia yang baru bebas daripada menjalani hukuman penjara atas 19 kesalahan serangan seks, 28 kesalahan berkaitan dadah, 10 kesalahan pelbagai serangan dan 12 kesalahan lain akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini dengan menaiki penerbangan Qatar Airways, QR844.

Difahamkan, Selva Kumar yang dihantar pulang dari Toronto, Kanada semalam transit di Doha, Qatar sebelum bertolak ke KLIA pada pukul 6 petang waktu tempatan pada hari sama.

Kepulangan Selva Kumar akan diiringi dengan dua pegawai pengiring dari sana.

Hukuman penjara Selva Kumar tamat pada hujung bulan lalu selepas dia mula menjalani hukuman penjara pada 1992.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.