Memaparkan catatan dengan label haji. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label haji. Papar semua catatan

Jumaat, Mei 09, 2014

TH PERUNTUK RM130 JUTA UNTUK SUBSIDI JEMAAH HAJI

PETALING JAYA, 9 Mei (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) memperuntukkan RM130 juta untuk menampung subsidi jemaah haji tahun ini bagi memastikan bayaran menunaikan haji kekal pada RM9,980 seorang. Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Paduka Ismee Ismail berkata peningkatan sebanyak RM10 juta berbanding tahun lepas itu adalah disebabkan peningkatan kos di Arab Saudi, termasuk kos penginapan. "Tahun ini sebab kita kekalkan bayaran haji pada jemaah-jemaah haji Muassasah sebanyak RM9,980. Jadi kerana peningkatan kos terutamanya kos penginapan di Mekah, subsidi haji turut bertambah," katanya kepada pemberita selepas majlis pengiktirafan The Malaysia Book of Records di sini, hari ini. TH menerima pengiktirafan itu apabila kelab TaHa yang disasarkan kepada penabung muda berumur daripada tujuh hingga 17 tahun mencipta rekod selaku kelab yang mempunyai jumlah keahlian pelajar sekolah paling ramai dengan 1.12 juta orang ahli. Ismee berkata subsidi yang ditanggung TH tahun ini ialah RM6,175 setiap jemaah berbanding RM5,575 seorang tahun lepas, dan ini hanya untuk jemaah Muassasah yang pertama kali menunaikan ibadah haji. Ismee dalam pada itu menasihatkan jemaah haji tahun ini supaya sentiasa mendengar nasihat dan arahan daripada Kementerian Kesihatan berhubung langkah-langkah pencegahan Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV). Beliau berkata buat masa ini kuota jemaah haji Malaysia kekal pada 22,320 orang selepas kerajaan Arab Saudi memutuskan pengurangan 20 peratus daripada kuota asal ekoran kerja-kerja pembesaran kawasan di sekitar Masjidil Haram, di Mekah sejak tahun lepas. Menurut laman web Kementerian Kesihatan Arab Saudi, www.moh.gov.sa, setakat ini terdapat 126 kematian daripada keseluruhan 463 orang dijangkiti MERS-CoV di negara itu. -- BERNAMA NAAA HK MK

Jumaat, Disember 04, 2009

KUMPULAN PERTAMA JEMAAH HAJI SELAMAT TIBA


Kumpulan pertama 450 jemaah haji selamat tiba di KLIA pada 12.40 tengah malam Khamis, lewat empat jam daripada jadual.

Penerbangan mereka lewat disebabkan kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah.

Pengurus Besar Hal Ehwal Awam Tabung Haji, Abdul Rashid Hussein, berkata penerbangan kedua pula tiba pada pukul 5.15 pagi tadi dan diikuti penerbangan ketiga pada 10 pagi.

"Penerbangan terakhir yang membawa pulang jemaah haji Malaysia dijangka berlepas dari Jeddah pada 2 Jan," katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah haji itu.

Abdul Rashid berkata sehingga malam tadi, seramai 29 jemaah haji Malaysia telah meninggal dunia di Mekah kebanyakannya kerana uzur.

Beliau berkata secara keseluruhannya, perjalanan haji pada tahun ini berjalan lancar dan maklumat balas awal daripada jemaah haji, rata-rata mereka berpuas hati dengan pengurusan dan persiapan yang disediakan.

Seorang jemaah, Khatipah Ismail, 56, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, menyifatkan kejadian hujan lebat dan angin kencang ketika berada di Arafah sebagai satu dugaan.

Kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri itu berkata berikutan kejadian itu, jemaah terpaksa tidur di atas permaidani yang basah tetapi menganggapnya sebagai pengalaman baru dan manis sejajar dengan semangat ibadah haji yang merupakan satu pengorbanan.

Norazam Nayan, 43, seorang guru dari Seremban, berkata kejadian di Arafah itu ada satu pengajaran kepada jemaah tentang erti kesabaran dalam menunaikan rukun Islam yang kelima itu.

"Inilah nikmat yang Allah berikan," katanya.

Norazam, yang menunaikan haji buat pertama kali bersama isteri, Latifah Abdul Gafar, 40, berkata beliau berpuas hati dengan perkhidmatan Tabung Haji sepanjang menunaikan ibadah haji.

Afianty Rezeki Basri, 35, suri rumahtangga dari Gombak, pula menasihatkan mereka yang ingin mengerjakan haji agar melakukannya ketika umur masih muda dan masih mempunyai kekuatan untuk melaksanakannya.

Beliau yang melakukan ibadah itu buat kali kedua berkata ini kerana pengalamannya kali ini agak mencabar disebabkan bilangan jemaah musim ini lebih ramai.

Afianty, yang mempunyai empat orang anak, turut melahirkan rasa syukur kerana ketika berada di Mekah, beliau mendapat tahu dirinya mengandung anak yang kelima.

Rabu, Oktober 29, 2008

TAK PAYAH UNGKIT SOAL IBADAH


Kerja menteri adalah menolong orang. Kalau orang jumpanya mahu sesuatu biasanya orang itu akan bawa surat. Menteri itu akan minit surat itu kepada pegawai berkenaan untuk tindakan selanjutnya.Betapa besarnya minit menteri kepada orang yang datang berjumpanya.

Tentu kita masih ingat apa kata Tun Ghafar Baba dalam kempen Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1993? Katanya, bukan susah jadi menteri. Surat atas meja kita minit sama ada sokong atau tidak sesuatu permohonan.

Ada menteri yang minit dengan pen dakwat merah untuk tanda berjaya. Kalau menteri minit dengan pen dakwat hitam maknanya tidak ada harapanlah tu. Itulah pelbagai feel menteri yang minit surat kepada rakyat.

Dalam soal ibadah, kalau boleh kita tak payah ungkitlah kita tolong orang. Biarlah Allah membalas jasa baik kita. Ini yang hairannya bagaimana Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengungkitkan jasanya meluluskan permohonan khas Menteri Besar Perak, Mohamad Nizar Jamaluddin bersama 22 orang anggota rombongan ke Mekah.

Dr. Zahid harus ingat bila dia tolong MB Perak, dia sudah dapat pahala. Tapi bila dia ungkit begini, pahalanya entah ke mana. Beliau hanya mahu menunjukkan sikap terbuka tidak mementingkan parti politik dalam permohonan menunaikan haji kerana masih terdapat 348,000 orang dalam senarai menunggu Tabung Haji tetapi benda-benda begini tak perlu dihebohkan.

Menteri yang jaga Tabung Haji memang ada kuasa untuk cepatkan permohonan orang yang ada dalam senarai menunggu kerana menurutnya orang yang mendaftar tahun ini boleh pergi ke tanah suci pada tahun 2019.

Saya masih ingat sewaktu Dr. Hamid Othman jadi menteri, saya pernah minta tolongnya melalui seorang kawan, Haji Wan Razak Wan Ibrahim yang sama-sama belajar dengan beliau di Kolej Islam Kelang. Ayah kawan saya, Halim Mohamad terus dapat pergi ke Mekah pada tahun tersebut.

Malah Dr. Hamid juga menolong dua orang yang buat praktikal di pejabat saya untuk dapatkan jawatan sebagai pegawai tadbir di JAKIM. Pertolongan itu juga melalui Ustaz Wan Razak. Alhamdulillah, kedua-dua mereka kini masih berkhidmat dengan JAKIM sampai sekarang.