Memaparkan catatan dengan label bersih. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bersih. Papar semua catatan

Sabtu, Mei 20, 2017

KDN AKAN "BERSIHKAN" SEMUA PEGAWAI PENGUATKUASANYA

SHAH ALAM, 19 Mei (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan tindakan 'pembersihan' secara menyeluruh terhadap anggota dan pegawai agensi penguatkuasaan di bawahnya yang terlibat dengan jenayah.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha itu akan dilakukan setiap waktu dan tidak bermusim.

"Kita harus bersiap siaga setiap masa kerana ada dalam kalangan kita yang ada sifat tidak baik hingga 'merosakkan susu sebelanga'.

"Dan saya tidak mahu keadaan itu berlaku di mana-mana agensi jabatan penguatkuasaan di bawah KDN dan kementerian lain juga," katanya dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika mengulas penahanan sejumlah anggota dan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipercayai terlibat melindungi sindiket pengedaran dadah baru-baru ini.

Ahmad Zahid berkata perkembangan itu turut dipantau oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui maklumat yang diberikan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta agensi lain.

Timbalan Perdana Menteri juga memberi jaminan bahawa KDN tidak akan melindungi mana-mana anggota atau pegawai dalam agensi penguatkuasaan yang bersekongkol dengan sindiket jenayah.

"Itu sebabnya saya bersama-sama rakan di KDN berpendirian bahawa kita tidak harus malu jika ada dalam kalangan orang dalam agensi-agensi penguatkuasaan itu terlibat dan tidak akan ada perlindungan daripada kami. Ini sesuatu yang harus saya pastikan," katanya.

Mengulas mengenai pengumuman PDRM pada Isnin lepas bahawa akan berlaku operasi 'pembersihan' besar-besaran terhadap Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman susulan tangkapan 16 anggota dan pegawai kanan jabatan itu yang dipercayai terlibat melindungi sindiket berkenaan, Ahmad Zahid berkata tindakan itu akan dilaksanakan di seluruh jabatan PDRM.

Jelasnya, ia berikutan terdapat kes pegawai PDRM dari jabatan lain yang turut ditahan seperti di Melaka apabila enam pegawai polis ditahan reman bagi membantu siasatan kes rasuah.

"Kita lakukan operasi pembersihan semua sekali (jabatan) kerana apa yang berlaku di Melaka bukan melibatkan Jabatan Narkotik tetapi melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Berat.

"Saya juga telah berjumpa Ketua Polis Melaka semalam dan saya berikan pengesahan kepada beliau untuk lihat semua yang terlibat. Tidak perlu lindungi walaupun ada dalam kalangan mereka yang kononnya dianiaya, digunakan, kononnya dipaksa...tiada alasan," kata Ahmad Zahid.

Kesemua enam pegawai polis itu direman selama enam hari bermula Rabu (17 Mei) bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di beberapa lokasi sekitar Melaka.

Menurut Ahmad Zahid, tindakan seumpama itu telah menyebabkan persepsi negatif rakyat terhadap PDRM tidak berubah walaupun Indeks Kadar Jenayah di negara ini menurun.

"Usaha-usaha yang dilakukan PDRM untuk menurunkan Indeks Kadar Jenayah adalah yang terbaik tetapi persepsi rakyat tidak berubah disebabkan masalah yang berlaku ini...nila-nila ini yang rosakkan susu sebelanga.

"Justeru, perkara ini harus dibanteras bagi membetulkan imej PDRM secara keseluruhan," katanya.

-- BERNAMA

Selasa, Mac 14, 2017

KEUNTUNGAN BERSIH PETRONAS MENINGKAT RM23.5 BILION

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Perbadanan minyak nasional, Petroliam Nasional Bhd (Petronas), berada dalam kedudukan kukuh memasuki 2017 selepas transformasi yang dilaksanakan tahun lepas bagi memastikan kemampanan dan daya tahan kumpulan pada masa depan.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata dengan prasyarat utama yang dilaksanakan bagi mentransformasikan syarikat itu dan dengan jangkaan pemulihan pasaran, Petronas berkedudukan kukuh untuk berdepan dengan cabaran semasa.

"Usaha berturutan dan penuh teliti kami bagi menyusun semula Petronas, mengurangkan kos dan menambah baik prestasi mula membuahkan hasil dalam menambah baik prestasi kami, seperti yang ditunjukkan menerusi keputusan yang kami catatkan.

"Kami yakin transformasi itu akan memastikan kemampanan dan daya tahan Petronas pada masa depan," katanya pada sidang media selepas mengumumkan prestasi Petronas bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2016 (tahun kewangan 2016), di sini, semalam.

Keuntungan sebelum cukai Petronas bagi tahun kewangan 2016 turun lapan peratus kepada RM33.7 bilion daripada RM36.7 bilion dalam tahun kewangan 2015 susulan penurunan 17 peratus perolehan kepada RM204.9 bilion daripada RM247.7 bilion sebelumnya, sejajar dengan purata harga minyak mentah yang rendah pada tahun lepas.

Keuntungan bersih, bagaimanapun, meningkat 12 peratus kepada RM23.5 bilion daripada RM20.9 bilion pada tahun kewangan 2015, berikutan terutamanya perbelanjaan operasi dan perbelanjaan cukai rendah diimbangi sebahagiannya oleh purata harga rendah.

Kumpulan itu mengakhiri tahun kewangan 2016 dengan penarafan kredit kukuh, tahap kadar hutang rendah pada 17 peratus dan baki tunai kukuh yang direalisasikan daripada disiplin kewangan dan inisiatif kawalan kos.

Wan Zulkiflee berkata meskipun pasaran minyak mencatatkan pengimbangan semula, prospeknya masih kekal tidak menentu, justeru kumpulan akan terus berusaha mencatatkan produktiviti tinggi dan kecemerlangan operasi bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2017 (tahun kewangan 2017).

Dalam tahun kewangan 2016, kumpulan itu berjaya mengurangkan kos boleh dikawal sebanyak lapan peratus, atau RM4.1 bilion, berbanding tahun kewangan 2015.

Pengoptimuman operasi menerusi program seluruh organisasi Petronas dan Perikatan Pengurangan Kos 2.0, atau lebih dikenali sebagai Coral 2.0, dijangka terus menghasilkan penjimatan kos, kata Wan Zulkiflee.

Meskipun Petronas terpaksa mengurangkan kakitangannya seramai 2,300 orang tahun lepas dalam usaha untuk mengukuhkan akauntabiliti dan mengurangkan pertindihan tugas, Wan Zulkiflee berkata beliau tidak menjangkakan penstrukturan semula besar-besaran tenaga kerjanya dalam tahun kewangan 2017.

"Pada 2017, kami menyasar untuk meneruskan momentum mengekang kos dan meningkatkan kecekapan dan memastikan perubahan minda yang menumpukan kepada 'menjadi lebih produktif dengan sumber yang kurang' akan terus menjadi sebahagian penting daripada 'budaya kerja' Petronas," katanya.

Sementara itu, bagi projek Gas Asli Cecair Pacific Northwest, Wan Zulkiflee berkata kumpulan itu masih sedang mengkaji syarat-syarat yang digariskan oleh

Canadian Environmental Assessment Agency dalam kelulusan bersyaratnya yang diperoleh tahun lepas sebelum mengumumkan rancangan Petronas pada masa hadapan.

Mengenai Kompleks Bersepadu Pengerang, beliau berkata, kemajuan projek itu mendahului jadual pada 54 peratus pada akhir tahun kewangan 2016 dan kemajuannya hampir 60 peratus pada Feb 2017.

Petronas memiliki perbelanjaan modal sehingga RM60 bilion bagi tahun kewangan 2017 berbanding RM50.4 bilion pada tahun kewangan 2016

-- BERNAMA