Memaparkan catatan dengan label berjemaah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label berjemaah. Papar semua catatan
Jumaat, Oktober 20, 2017
RASUAH BERJEMAAH TIGA BERADIK
KOTA KINABALU 19 Okt. - Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap penyelewengan dana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) antara tahun 2009 hingga 2015 memasuki episod baharu apabila agensi itu menahan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di pejabat SPRM negeri di sini hari ini.
Mohd. Shafie merupakan individu penting dalam membantu siasatan memandangkan beliau adalah Menteri KKLW selama tempoh tujuh tahun itu ketika penyelewengan dana sebanyak RM1.5 bilion di dalam kementerian didakwa berlaku.
Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Beliau turut mengesahkan seorang jurutera yang juga ahli Warisan, Amarjit Singh, 47, ditahan di pejabat SPRM pada kira-kira 2.45 petang ini.
“Mohd. Shafie ditangkap pada pukul 9 malam ini untuk membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu Mohd. Shafie yang tiba dari Kuala Lumpur hadir ke pejabat SPRM bersama peguamnya pada pukul 5.20 petang selepas dipanggil memberi keterangan dalam siasatan yang bermula 15 hari lalu di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009.
Sebelum ini, dua adik beliau iaitu Hamid Apdal, 52, ditahan pada 10 Oktober lalu manakala Datuk Mohd. Yusof Apdal, 57, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datuk ditangkap kelmarin di pejabat sama.
Hamid bagaimanapun telah dibebaskan pagi ini selepas direman lapan hari manakala Mohd. Yusof masih direman sehingga Sabtu depan.
Siasatan SPRM terhadap kes penyelewengan itu bermula pada 4 Oktober lalu apabila sembilan akaun yang berisi RM150 juta dibekukan manakala sehari selepas itu, beberapa lagi akaun bernilai RM29 juta turut dibekukan.
Kesemua wang berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan peruntukan KKLW sebanyak RM1.5 bilion yang diseleweng daripada keseluruhan RM7.5 bilion dana untuk projek infrastruktur di negeri ini.
Sepanjang siasatan, SPRM turut menangkap tujuh individu membabitkan menantu Hamid, Manzur Hussein Awal Khan, 37; Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony, 46; bekas Timbalan Setiausaha Bahagian KKLW, Norhartarty Rahmat, 40; ahli perniagaan, Yu Sin Kong, 52; Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman; Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim.
Kesemua mereka bagaimanapun telah dibebaskan daripada reman dengan jaminan SPRM.
Jumaat, Oktober 07, 2016
KEMPEN SOLAT BERJEMAAH DI SEMUA JABATAN TERENGGANU
KUALA TERENGGANU 6 Okt. – Kerajaan negeri meminta semua jabatan dan agensi di bawahnya menggerakkan kempen solat berjemaah dalam kalangan kakitangan bagi memupuk kesedaran menyubur sunah dan istiqamah dalam beribadat.
Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, usaha itu seiring dengan penekanan prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB) kerana pegangan agama dapat menghindarkan daripada pengabaian terhadap amanah dan tanggungjawab.
Beliau memberitahu, amalan solat berjemaah perlu dipraktikkan di setiap jabatan kerajaan negeri dan akan dimasukkan dalam jadual jabatan masing-masing.
“Setiap jabatan kenalah fikir apa yang terbaik sebagai pengisian dalam ruang waktu solat itu kelak seperti tazkirah dari semasa ke semasa, dan kita harap usaha ini dapat dilaksanakan di semua jabatan,” katanya.
Ahmad Razif berkata demikian ketika berucap dalam majlis Pengakuan Menerima Jawatan Datuk Bandar dan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini semalam.
Ogos lalu, pihak berkuasa agama negeri telah menggerakkan kempen solat subuh berjemaah di masjid seluruh negeri yang disempurnakan pelancarannya oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Prinsip TTB antara lain menekankan pengamalan ajaran nilai-nilai Islam sebagai falsafah pembangunan dan kepemimpinan untuk memastikan urus tadbir yang berkesan.
Dalam usaha meningkatkan lagi mutu perkhidmatan, katanya, kerajaan negeri akan mengaktifkan semula aplikasi e-Aduan dan juga e-Suka bagi memastikan setiap permasalahan yang diadukan rakyat dapat ditangani dengan sewajarnya.
“Kita akan pastikan segala aduan mana-mana pihak akan sampai terus kepada ketua jabatan terlibat dan saya sendiri akan pantau semua jabatan untuk kita pastikan semuanya berjalan lancar.
“Kita bukan nak cari salah sesiapa tapi sekadar saling ingat-mengingati demi keperluan rakyat,” katanya.
Dalam majlis itu, Ahmad Razif turut menyerahkan cek bernilai RM100,000 bagi membantu meringankan bebanan keluarga dan membiayai kos rawatan Muhammad Syafi Mohd. Syahrizan, 7, dari Kampung Padang Landak, Besut yang terlantar akibat penyakit kanser tulang rahang sejak dua tahun lalu.
Cek disampaikan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Datuk Muhammad Pehimi Yusof.
Langgan:
Catatan (Atom)