Memaparkan catatan dengan label awang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label awang. Papar semua catatan

Isnin, Januari 25, 2016

DATO MOHD NOOR DAN DATO SHAMSUDDIN AWANG SUDAH TIADA

Semalam penduduk Kemaman menerima berita dua kematian. Paginya, seorang bekas AJK Umno Bahagian Kemaman, Dato Mohd Noor Yusof atau Mat Nor Taja meninggal dunia di Hospital Selayang. Jenazahnya dibawa ke Chukai untuk dikebumikan.

Manakala sebelah malam pula bekas Pengerusi 4B Kemaman, Dato Shamsudin Awang meninggal dunia. Mat Nor Taja yang berasal dari Kg Tok Dir, Bukit Payong menetap di Kemaman dari tahun 60an. Pada mulanya beliau bekerja sebagai attendan hospital Kemaman. Selepas itu beliau  menjadi kontraktor dan beliau amat rapat dengan MB Terengganu dan ADUN Chukai, Wan Mokhtar Wan Ahmad.

Dengan naungan politik yang kuat, Mat Nor Taja menjadi orang Kemaman yang paling kaya dan akhirnya menjadi pemaju perumahan yang terkemuka dengan syarikat SMNY. Anaknya Zaki pernah menjadi Bendahari Pemuda ketika Dr Ramli Taib menjadi ketua pemuda Umno Bahagian Kemaman dari tahun 1998-2001 tetapi selepas BN kalah di Terengganu, Zaki bersara terus dari politik.

Yang lucu Wan Mokhtar selaku MB pernah mengumumkan dalam akhbar bahawa kerajaan telah menemui galian baru di Rantau Abang. Kawan saya bekas AJK Umno Bahagian Kemaman pergi ke pejabat PTG di Kuala Terengganu untuk membuat permohonan kawasan galian itu tetapi rupa rupanya PTG sudah luluskan kawasan itu kepada Mat Nor Taja. Betapa rapatnya Wan Mokhtar dengan Mat Nor Taja.

Setiap kali pilihanraya bagi DUN Chukai, arwah adalah financiernya. Bukan sahaja untuk DUN Chukai tetapi untuk seluruh DUN di Terengganu. Pernah seorang rakan beritahu arwah panggilnya  pegang wang tunai RM1 juta di rumahnya pada pilihanraya  umum 1995 kerana arwah tidak percaya kepada anaknya.

 Masa itu ahli Semangat 46 melanggar kereta anaknya Zaki di Geliga. Jadi arwah pergi ke Geliga untuk selesaikan kes kemalangan itu dan kawan tadi terpaksa menunggu sampai malam di rumah arwah pegang duit itu dalam bag bertroli sehingga arwah balik.tetapi selepas itu arwah masukkan semula wang itu ke dalam peti besinya kerana dah lewat malam nak hantar duit itu ke Kuala Terengganu.

Saya tak biasa berurusan dengan arwah kerana arwah pun tak kenali saya. Tetapi beliau king maker dalam politik Kemaman. Orang yang nak jadi calon mesti dapat restu beliau. Wan Mokhtar amat mempercayainya. Pernah Wan Mokhtar mahu memberi pingat Dato kepada Ahmad Said selaku Exco Kerajaan Negeri tetapi arwah berpendapat lebih baik pingat itu diberi kepada timbalan ketua bahagian, Dato Abu Bakar Ali kerana Ahmad Said ketua pemuda. Beliau dikatakan tidak ngam dengan Ahmad Said.

Saya lebih rapat dengan arwah Shamsudin Awang yang juga bekas Penolong Pentadbir Tanah Kemaman. Dengan bantuan Setiausaha Belia 4B Kemaman, Yusof Jaafar , Shamsudin Awang berjaya mengalahkan Tuan Kecil Tuan Tengah dalam perebutan jawatan Pengerusi Belia 4B Kemaman pada tahun 1990an.

Selepas menjadi Pengerusi Belia 4B Kemaman, arwah berhasrat nak jadi ADUN Ayer Putih menggantikan Dato Harun Hassan. Pada tahun 1999, beliau kecewa tak dapat jadi calon BN apabila Wan Mokhtar memilih Dr Ramli Taib dari Kijal sebagai calon Ayer Puteh.Hasrat pengundi Ayer Puteh mahu anak tempatan sebagai calon berkecai.

 Selepas itu arwah meletakkan jawatan sebagai TCS dan bergiat dalam perniagaan sehingga menerima gelaran Dato dari Sultan Pahang.Sudah lama saya tidak temui arwah selepas beliau letak jawatan TCS kerana beliau sibuk ke Kuala Lumpur dengan urusan perniagaannya. Oleh itu saya terkejut menerima berita kematiannya kerana beliau masih muda 56 tahun. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka berdua. Alfatihah.

Ahad, September 19, 2010

AWANG SELAMAT JAWAB NAZRI


Utusan pernah dikritik oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz sebelum ini. Awang melihatnya sebagai perkara biasa. Perbezaan pendapat bukan suatu masalah lalu Awang memilih untuk berdiam.

Namun Awang terpanggil menjawab tindakan terbaru Nazri yang lantang mempersoalkan Utusan berhubung isu Perkasa.

Seperti biasa, melalui portal berita pro-pembangkang, Malaysian Insider, Nazri sampai ke tahap menuduh Utusan mempunyai agenda untuk membawa balik Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

‘‘Saya tidak boleh faham Utusan. Siapa ketua mereka — Najib atau Dr. Mahathir?,’’ kata beliau dalam laporan bertajuk Nazri persoal agenda Utusan perlekeh dasar Najib.

Awang hanya senyum sambil geleng kepala. Tafsiran Nazri begitu liar dan hairan mengapa seorang menteri boleh berfikir sebegitu.

Untuk pengetahuan Nazri, ingin ditegaskan bahawa Awang dan Utusan adalah penyokong Perdana Menteri. Jika hilang jawatan di Utusan sekalipun, Awang tetap akan menyokong Najib. Tiada keraguan.

Maka tidak timbul sama sekali kononnya ada agenda untuk menjadikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. Budak sekolah pun tahu hakikat itu.

Awang boleh faham mengapa Nazri melemparkan tuduhan itu kerana beliau sememangnya anti — Dr. Mahathir. Itulah yang menjadikan beliau tidak objektif. Awang bukan seperti Nazri yang sanggup biadap dengan negarawan yang banyak berjasa. Sebab itu, Awang tidak hairan mengapa akhbar Cina ghairah memperlekehkan Dr. Mahathir. Ini kerana ada pemimpin Melayu sendiri yang membuka laluan.

Kalau suatu hari nanti, Nazri bersara, insya Allah, Awang akan menghormati beliau sebagai seorang veteran dan tokoh berjasa, walaupun jasanya tidak sebesar negarawan-negarawan kita.

Nazri juga menghentam Presiden Perkasa, Ibrahim Ali seolah-olah Ibrahim musuh Umno. Nazri lupa, ketika Umno diserang bertubi-tubi terutama selepas PRU12 dan pemimpin Umno difitnah habis-habisan, siapakah pemimpin NGO yang lantang mempertahankan Umno jika bukan Ibrahim.

Beliau berada di banyak pelosok tanah air berceramah melawan kerakusan pembangkang bagi membela Umno dan BN. Awang tidak ingat apa yang Nazri lakukan? Apakah beliau seberani Ibrahim dalam menghadapi pembangkang?

Dengar cerita daripada beberapa pemimpin Umno, Nazri sudah banyak berlembut dengan pembangkang yang motifnya, mungkin beliau tidak mahu dijadikan sasaran kritikan atau mahu ambil jalan selamat. Menurut cerita lagi, kerana strateginya itu, kini Nazri disenangi oleh ramai pemimpin pembangkang. Kalau benar andaian itu, Awang juga boleh bertanya siapa sebenarnya ketua Nazri. Najib atau Anwar Ibrahim atau mungkin Kit Siang?

Mengenai Perkasa, Nazri harus menerima hakikat Perkasa hanyalah sebuah NGO. Orang Melayu tahu membezakan antara parti politik dan NGO.

Awang sesungguhnya tidak berminat berhujah panjang dengan Nazri. Beliau berjawatan menteri, lagi pandai dan bijaksana. Biarlah orang ramai dan pembaca yang menilai. Awang takut menjadi orang yang riak. Jika Awang dilihat silap perhitungan dan terlanjur kata, Awang sedia menerima apa sahaja hukuman. Tiada penyesalan.

(dipetik dari mingguan malaysia)