Selasa, Mei 22, 2018

LIM GUAN ENG MENTERI PH YANG PALING AWAL TIBA DI PEJABAT BARU


PUTRAJAYA: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tiba di bangunan Kementerian Kewangan di sini, jam 7.40 pagi ini bagi memulakan tugas hari pertamanya.

Guan Eng disambut oleh pengurusan kanan kementerian di lobi bangunan berkenaan.

Beliau sempat bergambar bersama dengan semua pengurusan kanan sebelum dibawa naik ke pejabatnya di tingkat 11.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Gobind Singh Deo memulakan hari pertamanya bertugas di kementerian pada 8.15 pagi ini.

Gobind yang memakai kot dan bertali leher belang merah, tiba dengan kenderaan rasminya.

Beliau disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan para pegawai.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin tiba di pejabatnya bagi memulakan tugasnya sebagai Menteri pada jam 9.30 pagi. Ketibaan beliau disambut Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Seri Mohammad Mentek serta warga kementerian.

Beliau kemudian dibawa ke pejabatnya sebelum ke bilik mesyuarat bagi mendengar taklimat daripada pegawai kanan kementerian. Taklimat itu berlangsung selama dua jam bermula 10 pagi.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu tiba di Wisma Pertahanan pada jam 9.30 pagi bagi memulakan hari pertama selaku Menteri Pertahanan.

Beliau mengambil tabik hormat dan menerima Kawalan Kehormatan Utama (KKU) terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) daripada Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Juniusabdiah Shah Putra Janny.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi serta Panglima Perkhidmatan dan Pegawai Kanan Tentera dan awam Kementerian Pertahanan

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengetik kad perakam waktu jam 9 pagi di pejabat barunya bagi memulakan tugas sebagai Menteri Dalam Negeri.

Beliau diberi taklimat oleh pegawai kementerian berkenaan yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Hadir sama, beberapa ketua agensi di bawah kementerian berkenaan termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Wanita pertama negara dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tiba di pejabatnya bagi memulakan tugas di Bangunan Perdana Putra di sini, kira-kira jam 10 pagi tadi.

Memakai kebaya berbunga merah dan tudung putih, Dr Wan Azizah mengetik kad perakam waktu sebagai permulaan masuk ke pejabatnya yang terletak di tingkat empat.

Sebaik melangkah masuk, doa dibacakan dan beliau disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.

Beliau yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga turut disambut oleh Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Suriani Ahmad, dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik memulakan tugasnya pagi ini di Kementerian Pendidikan, di sini.

Beliau tiba di pekarangan Blok E8, Kementerian Pendidikan jam 9.30 pagi disambut oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin serta pegawai kanan kementerian berkenaan.

Seterusnya, Maszlee mengetip kad perakam waktu jam 9.33 pagi di aras 10 dan masuk ke pejabatnya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pagi ini memulakan tugasnya di Kementerian Pengangkutan di sini.

Beliau tiba di perkarangan bangunan kementerian pada jam 8.20 pagi dan disambut Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Saripuddin Kasim serta warga kementerian.

Anthony kemudian mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Kementerian Pengangkutan secara tertutup.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad tiba di ibu pejabat kementerian tepat 8.30 pagi tadi dan menghadiri mesyuarat yang berlangsung lebih tiga jam

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub memulakan hari pertamanya di kementerian itu hari ini di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.

Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah tiba di MAEPS pada 2.25 petang, diiringi Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Ketibaannya disambut ketua-ketua jabatan sebelum menghadiri sesi taklimat bersama pengurusan tertinggi kementerian.