Rabu, Mei 23, 2018
ARUL KANDA TIPU RAKYAT BAHAWA 1MDB BAYAR HUTANG RM6.98 BILION?
PUTRAJAYA: Lim Guan Eng mendedahkan Kementerian Kewangan menanggung pembayaran hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM6.98 bilion sejak April 2017 dan bukan program rasionalisasi syarikat berkenaan.
Bercakap kepada media selepas memulakan hari pertama tugas sebagai Menteri Kewangan hari ini, Guan Eng berkata jumlah berkenaan adalah termasuk pembayaran untuk perjanjian penyelesaian dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) berjumlah RM5.05 bilion.
"Perkara ini mengesahkan rasa curiga umum mengenai 1MDB yang selama ini mengaburi rakyat dengan mendakwa mereka telah membayar hutang menerusi program rasionalisasi yang berjaya sedangkan Kementerian Kewangan yang selama ini menyelamatkan 1MDB.
"Lebih buruk, senarai pembayaran hutang terkini itu hanya membabitkan faedah, bayaran kupon dan pendahuluan daripada IPIC.
"Itu belum lagi mengambil kira hutang berbilion ringgit yang akan matang bermula tahun 2022," katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Siti Zauyah Mohd Desa.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, kerajaan juga perlu melunaskan bayaran faedah pinjaman 1MDB berjumlah RM143.75 juta pada 30 Mei ini.
Selain itu katanya, 1MDB juga perlu menyelesaikan faedah pinjaman berjumlah RM810.21 juta bagi bulan antara September hingga November ini.
"Saya dimaklumkan Arul Kanda masih kekal sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB sehingga 30 Jun ini. Beliau sehingga hari ini menegaskan yang 1MDB mampu membayar hutangnya.
"Sehubungan itu, saya telah memberi arahan kepada Arul Kanda supaya memberi penjelasan sama ada 1MDB masih mampu membayar hutang yang akan berakhir minggu depan.
"Saya juga telah meminta untuk berjumpa dengan Pengarah 1MDB, Datuk Kamal Mohd Ali dan Datuk Norazman Ayob bagi memberi penjelasan kepada kementerian mengenai situasi semasa dalam 1MDB," katanya.