Jumaat, April 13, 2018

UMNO AKHIRNYA DAPAT KERUSI BANDAR TUN RAZAK TETAPI SHAHRIZAT YANG TANDING

KUALA LUMPUR: Sudah lama Umno menuntut kerusi parlimen Bandar Tun Razak, akhirnya Umno berjaya merebut kerusi itu dari MCA. Akan tetapi orang luar yang akan bertanding di situ iaitu Ketua Wanita Umno Malaysia, Tan Sri Shahrizat Jalil.

Pada PRU 1999, MCA menang melalui Tan Chai Ho dan mengekalkan kerusi tersebut pada tahun 2004. Namun demikian PKR yang meletakkan calon Melayu, Tan Sri Khalid Ibrahim pada PRU 2008 telah mengalahkan Tan Chai Ho. PKR sekali lagi melalui bekas Menteri Besar Selangor itu mengekalkan kerusi tersebut pada PRU 2013.

Dua kali kalah maka Umno melalui Ketua Bahagiannya, Datuk Rizalman Mokhtar menuntut kerusi majoriti Melayu itu diserah kepada Umno. Jika Umno yang berjaya membuat tuntutan tersebut maka Rizalman sebagai bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan yang paling layak menjadi calon.

Namun demikian hasrat Rizalman hancur berkecai apabila beliau ditahan dalam sebuah  pusat hiburan baru baru ini dan kononnya air kencingnya positif  dadah. Rizalman mendakwa beliau dianaiyai oleh pihak tertentu. Walaupun siasatan polis mengesahkan bahawa air kencingnya tidak positif dadah tetapi imejnya sudah tercemar.

Maka orang luar bekas Menteri Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat dihantar ke situ untuk merampas kerusi PKR. Dapatkah jentera Umno Bahagian Bandar Tun Razak menerima Shahrizat yang terpalit dengan isu suaminya beli kondo dengan geran kerajaan yang sepatutnya duit itu digunakan untuk beli lembu? Mahukah Rizalman membantu Shahrizat? Mungkin beliau akan dilantik Senator jika beliau bekerja kuat memenangkan Shahrizat.

Shahrizat yang kalah di Lembah Pantai di tangan calon PKR, Nurul Izzah Anwar pada mulanya dispekulasikan bertanding di Sungai Besar, Selangor tetapi beliau yang berasal dari Pulau Pinang sebaliknya dipayungterjunkan ke Bandar Tun Razak. Shahrizat bukan orang Lembah Pantai kerana beliau adalah Ketua Wanita Umno Bahagian Kepong tetapi beliau tidak dapat bertanding di Lembah Pantai kerana bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik mahu bertanding semula di situ.

Maka beliau terpaksa menerima arahan parti untuk merampas kerusi Bandar Tun Razak dari PKR. Mampukah Shahrizat menang di situ? Sama-samalah kita tunggu 9 Mei nanti.