KUALA NERUS, 24 Feb (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Terengganu tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana anggota parti itu yang didapati cuba sabotaj calon yang terpilih mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pengerusi BN dan Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata sikap 'cah keting' atau musuh dalam selimut ini perlu dihapuskan kerana ia dibimbangi akan menggugat perpaduan di dalam parti sekaligus menyebabkan parti menerima kekalahan.
"Seperti mana yang dikatakan oleh Timbalan Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) BN takkan kalah jika tidak kerana orang BN yang membuatkannya kalah.
"Jadi soal cah keting, musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan (di dalam parti) perlu dihapuskan...jika ia tidak berlaku sudah pasti BN akan terus berkuasa (di Terengganu).
"Di Terengganu, kita akan pastikan anggota yang didapati berbuat demikian dipecat dari parti kerana kita tidak akan berkompromi dengan mereka ini...kalau kita nak menang kita kena pastikan unsur-unsur ini tidak wujud," tegasnya ketika ditemui pemberita selepas melawat Pasar Tani Gong Badak di sini hari ini.
Ahmad Razif yang juga Menteri Besar Terengganu mengulas peringatan yang diberikan Ahmad Zahid dalam Majlis Taklimat Persiapan 2.0 menjelang PRU14 di Bangunan Tunku, Alor Setar, semalam.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya juga mahu semua pihak supaya berlapang dada menerima siapa jua calon yang terpilih mewakili parti pada PRU nanti.
Beliau juga mahu semua parti komponen memiliki semangat juang yang tinggi dan tidak terlalu mengharapkan UMNO selaku tulang belakang BN untuk meraih sokongan.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan pemimpin UMNO di peringkat negeri supaya terus membantu parti-parti komponen lain dalam BN.
-- BERNAMA