Rabu, Januari 17, 2018

ELAUN PERSIDANGAN AHLI PARLIMEN PUN LAMBAT DIBAYAR

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Elaun persidangan anggota parlimen bagi bulan November dan Disember 2017 berjumlah RM1.2 juta akan dibayar pada tahun ini, demikian menurut Parlimen Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Parlimen menjelaskan ia menerima 299 tuntutan daripada anggota Parlimen bagi kedua-dua bulan tersebut, namun pembayarannya terpaksa ditangguh untuk mendahulukan pembayaran ke atas tuntutan-tuntutan bagi 2015 dan 2016 yang berjumlah RM1.33 juta.

"Oleh kerana tuntutan ini lewat dikemukakan kepada pihak Parlimen, ia terpaksa dibayar menggunakan peruntukan tahun semasa setelah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata bagi bulan Oktober tahun lalu, semua tuntutan termasuk Elaun Persidangan bagi Ahli Dewan Rakyat telah dibayar.

Parlimen mengeluarkan kenyataan itu bagi merujuk isu yang dibangkitkan Anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming berkenaan elaun persidangan bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen Malaysia yang menurutnya belum dibayar seperti yang dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Cina, semalam.