Sabtu, September 09, 2017
MB BERJIWA BESAR PELUK AHMAD SAID
CHUKAI, 8 Sept (Bernama) -- Gandingan menteri besar Terengganu dengan dua bekas menteri besar negeri ini mampu memastikan UMNO terus menang di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan perdana menteri yang juga Naib Presiden UMNO menjalankan tugas timbalan presiden parti berkata gandingan kerjasama Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Said itu juga mampu melenyapkan segala kontroversi yang pernah dicanang sebelum ini
"Realitinya Idris dan Ahmad bukan lagi Menteri Besar tetapi ketiga-tiga ini (bersama Ahmad Razif) duduk bersama-sama di atas pentas. Ia adalah petunjuk bahawa sejarah silam telah berlalu. Perbezaan diketepikan demi kepentingan UMNO keseluruhannya.
"Jangan pernah usik UMNO dan Barisan Nasional selagi pemimpin-pemimpin ada bersama dengan kita ini dengan didukung oleh ketua bahagian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan masyarakat..insya-Allah Terengganu masih milik UMNO pada masa akan datang," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan UMNO Bahagian Kemaman 2017 di sini hari ini.
Pada majlis itu Ahmad Razif yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu kelihatan ceria memeluk Ahmad selepas Ahmad selesai memberi ucapan sebagai Ketua Bahagian UMNO Kemaman, dan tindakan spontan itu dipuji oleh Ahmad Zahid.
Idris yang juga Menteri Pendidikan Tinggi hadir bersama para pemimpin UMNO di Terengganu, veteran UMNO serta anggota perwakilan bahagian Kemaman pada majlis itu.
Ahmad Zahid turut menyatakan keyakinannya dengan cantuman idea ketiga-tiga pemimpin berkenaan bagi menzahirkan pelbagai pembangunan untuk kebaikan rakyat malah mereka mempunyai pengalaman dalam menanggani situasi dan era politik di Terengganu.
"Kita llihat apa yang berlaku suatu ketika dahulu apabila kita (UMNO) kecundang untuk mempertahankan Terengganu dan kehilangan satu penggal. Tetapi atas usaha dan kepercayaan kepada Idris (Menteri Besar ketika itu) bersama pemimpin lain, Terengganu ditakluki semula.
"Namun jika tidak diberikan keutamaan kesatuan, ada kemungkinan peristiwa kehilangan kuasa ini akan berlaku semula. Jika kita melayan perbezaan kita...layan tukang kipas kiri dan kanan, maka kita akan tempah maut pada PRU akan datang," katanya.
Selain itu, mengenai pencalonan Ahmad untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang, Ahmad Zahid berkata beliau tidak dapat membuat pengesahan meskipun ada permintaan daripada pihak UMNO Kemaman.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa peluang itu wujud sekiranya Ahmad terus membuktikan komitmen kepada parti dan masyarakat.
Sebelum ini timbul isu melibatkan Ahmad dan Ahmad Razif yang mengeruhkan suasana seolah-olah Terengganu dilanda masalah politik selepas Ahmad meletak jawatan sebagai Menteri Besar pada 2014.
Ia berlarutan hingga berlaku percanggahan pendapat antara kedua-duanya dan timbul spekulasi Ahmad mahu beralih ke parti lain namun ia tidak berlaku selepas Ahmad bertegas tentang kesetiaannya bersama UMNO.
Ahmad sebelum ini menggantikan Idris, yang merupakan Anggota Parlimen Besut pada 2008.
-- BERNAMA