PAS ternyata berang dengan siaran karikatur sebuah akhbar Cina yang memaparkan presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai monyet.
Bertajuk "Akta Monyet" kartun yang disiarkan dalam Nanyang Siang Pau memaparkan seekor monyet bersongkok dan dilabelkan sebagai "speaker" manakala seekor lagi memakai serban dan dinamakan sebagai "Hadi Awang" bertenggek di pokok "Akta 355".
"Hadi Awang" dipaparkan dengan memegang sebatang tongkat sakti sambil mahu menikmati juadah "keledek panas", manakala "speaker" melompat dari pokok itu, sambil berkata: "Simpan untuk hari kemudian."
Karikatur itu juga menunjukkan sekumpulan monyet yang bertekak di bawah pokok berkenaan.
Semakan pada sekitar jam 6 petang tadi mendapati bahawa versi internet akbar itu telah menurunkan kartun berkenaan.
Akhbar itu juga membuat permohonan maaf terbuka petang semalam
"Akhbar kami bertarikh 8 April pada (bahagian) B2 menyiarkan satu komik mengenai Akta 355 dan tidak menghormati Pandikar and Hadi Awang. (Oleh itu) Nanyang dengan sepenuh hati memohon maaf kepada kedua-dua," kata kenyataan dikeluarkan itu.
Kartun berkenaan juga dipadamkan daripada siaran.
Ia diterbitkan dua hari selepas Abdul Hadi membentangkan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau juga dikenali sebagai Akta 355 pada Khamis lalu.
Selepas pembentangan Abdul Hadi dan ucapan sokongan daripada Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, Pandikar memutuskan bahawa perbahasan usul itu ditangguhkan ke sidang Dewan Rakyat yang akan datang pada bulan Julai nanti.
Berang dengan apa yang dianggap sebagai penghinaan, Pemuda PAS Selangor menyeru umat Islam supaya bangkit dan mengadakan bantahan di luar pejabat akhbar itu di Petaling Jaya pagi ini.
“Dewan Pemuda PAS Selangor mengerahkan seluruh Pemuda dan menyeru umat Islam bangkit dan mara mempertahankan maruah umat Islam.
“Kebiadapan dan penghinaan yang di buat melalui karikatur kepada presiden PAS dan perjuangan martabatkan mahkamah syariah dalam RUU 355 oleh akhbar Nanyang Siang Pau,” katanya sambil menambah bahawa mereka menyerahkan memorandum menuntut permohonan maaf.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan menyifatkan karikatur itu sebagai tindakan yang "kurang ajar dan melampau".
"Nanyang Siang Pau mesti menarik balik kartun itu dan memohon maaf kepada umat Islam, terutamanya PAS," katanya.
Beliau juga berkata parti itu sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap akhbar berbahasa Cina, yang dimiliki oleh jutawan balak Sarawak Tan Sri Tiong Hew King.
Ulasan saya, minta maaf tidak cukup bagi Nanyang Siag Pau. KDN patut menggantung penerbitan akhbar itu selama seminggu kerana menghina Speaker dan agama Islam.