Sabtu, Disember 03, 2016

PERKATAAN BERSATU PADA UMNO JADI AZIMAT

OLEH SHAHBUDIN HAJI EMBUN
(sudah disiarkan dalam Berita Harian) 


Perkataan Bersatu yang terdapat pada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) merupakan kata azimat yang telah meletakkan UMNO sebagai sebuah parti yang kekal berdaya tahan walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran dan rintangan sejak dari awal penubuhannya lagi.

Namun UMNO terus bersatu walaupun tohmahan dan fitnah tidak henti-henti menyerang UMNO hinggakan pihak pembangkang begitu lantang dan berani bersuara yang UMNO ialah sebuah parti yang menunggu masa untuk ditalkinkan.

Presiden UMNO ,Datuk Seri Najib Tun Razak telah beberapa kali menegaskan bahawa adalah penting untuk UMNO terus bersatu dan menunjukkan perpaduan yang utuh. Bahkan dalam wawancara baru-baru ini dengan TV3, Najib sekali lagi menegaskan betapa pentingnya perpaduan dalam UMNO diperkasa dan terus diperkukuhkan lagi.

“ Kita mesti menampakkan kita ini sebuah parti yang mempunyai motivasi yang kuat untuk terus berjuang sebagai parti yang berhak untuk terus memimpin negara kita. Maknanya kita mesti tunjuk perpaduan kita, jangan bercakaran sebab keyakinan rakyat ini mesti lihat kepada sebuah parti politik yang bersatu, penyatuan kita itu penting.” Begitulah sekali lagi Najib menjelaskan betapa pentingnya perpaduan dalam UMNO.

Apa yang selalu dilaungkan oleh Najib sememangnya tidak boleh dipandang ringan oleh ahli-ahli UMNO yang lain. Janganlah di depan Najib semuanya terangguk-angguk tanda bersetuju dengan apa yang dikatakan, tetapi semangat yang berkobar-kobar itu terus lenyap apabila masing-masing tidak memainkan peranan untuk terus menyatukan UMNO.

Dalam ahli-ahli UMNO menyalahkan pihak pembangkang yang terus menyerang UMNO dan Barisan Nasional umumnya, mereka juga perlu cermin diri sendiri. Serangan yang bertali arus itu tidak akan berlaku sekiranya parti UMNO terus bersatu dan berpadu menggembelang tenaga menangkis setiap serangan yang dilontarkan.

Sekali lagi dijelaskan, perkataan Bersatu yang terdapat pada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu bukan sahaja merupakan perkataan azimat untuk UMNO, tetapi juga merupakan satu kubu pertahanan dan sekaligus  sebagai peluru untuk menyerang serangan pihak pembangkang yang membuat pelbagai tohmahan dengan sesuka hati mereka tanpa diperkuatkan dengan fakta yang kukuh.

Dalam wawancara dengan TV3 itu, Najib telah menjelaskan dengan begitu menyakinkan akan usaha-usaha yang dilakukan untuk memantapkan lagi kedudukan ekonomi negara. Ini sekaligus akan menutup mulut pihak pembangkang yang semakin sempit mencari ruang untuk membuat serangan balas.

Itu sebabnya juga Najib memerlukan sokongan yang padu dalam UMNO, untuk bersama-sama beliau menangkis setiap tohmahan yang dilontarkan dan bersama-sama menjelaskan kepada rakyat Malaysia  bahawa usaha yang dilakukan oleh Najib adalah demi kesejahteraan rakyat negara ini tanpa mengira kaum dan agama.

Bayangkan jika UMNO tidak bersatu dalam menangani masalah seperti ini. Tentunya ini akan memudahkan pihak pembangkang untuk terus bergerak dan bermaharajalela di dalam kotak penalti UMNO untuk menjaringkan gol.

Cukuplah apa yang dilalui oleh UMNO sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kita sendiri dapat saksikan bagaimana beberapa bekas pemimpin UMNO yang kononnya begitu sayangkan UMNO akhirnya menjadi duri dalam daging yang “membunuh” UMNO dari dalam. Mujurlah juga golongan ini tidak ada lagi dalam UMNO. Dalam hal ini juga UMNO telah membuktikan yang “tidak ada pemimpin yang lebih besar dari parti”.

Mungkin ada pihak yang menyangkakan artikel ini meminta ahli-ahli UMNO bersetuju 100% dengan apa juga yang dilakukan oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO. Bukan itu yang dimaksudkan kerana Presiden UMNO sendiri pernah menjelaskan yang UMNO ialah sebuah parti terbuka yang menerima segala nasihat dan pandangan dari ahli-ahli mereka dengan syarat mengikut saluran yang betul.  

Saya ingin mengambil kesempatan mengakhiri rencana ini dengan mengambil kata-kata dari presiden UMNO sendiri semasa beliau  ditemuramah baru-baru ini.


… bila kita bincang di dalam perhimpunan bukan semata-mata utuk kita tetapi apa UMNO nak lakukan untuk rakyat dan untuk negara. Apa kebaikan yang boleh kita curahkan. Inilah yang saya hendak bahawa kita ini adalah parti yang benar-benar berjuang. Perjuangan kita ialah untuk rakyat dan untuk negara kita. “