CATATAN ZABIDI

Rabu, Ogos 24, 2016

PRU 14 PADA BULAN MAC 2017?



BUKIT  MERTAJAM – Perpaduan kukuh dalam kalangan ahli UMNO ketika ini boleh dijadikan pertimbangan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dalam tempoh terdekat.


Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, walaupun UMNO kini sedang berdepan beberapa dugaan termasuk tindakan bekas Presiden, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin me­nubuhkan parti baharu, namun keadaan itu tidak menggugat perpaduan sedia ada dalam parti.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, ini kerana tidak ada gerakan besar-besaran dalam kalangan ahli UMNO mengumumkan keluar parti untuk menyertai parti politik berkenaan.

“Dalam masa sama, pakatan pembangkang sedang menghadapi perpecahan sesama mereka, jadi saya fikir dengan perpaduan yang ada sekarang merupakan waktu terbaik untuk bergerak ke arah PRU-14.

“Bagaimanapun, keputusan muktamad terletak pada tangan presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kita akan memberi sokongan padu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di sini baru baru ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, parti politik hari ini tidak boleh lagi bergantung harap kepada janji atau manifesto kepada rakyat untuk meraih undi sebaliknya perpa­duan dan konsep bekerjasama menjadi penilaian penting.

Mengambil contoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Ahmad Shabery berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah membuktikan prinsip berkenaan.

“Sehebat mana pembangkang mencari isu, tetapi pada hakikatnya mereka turut dise­lubungi pelbagai masalah dalaman yang gagal diselesaikan sehingga hari ini,” katanya.

Berkenaan hala tuju parti baharu oleh Dr. Mahathir, Ahmad Shabery berkata, beliau percaya ramai yang ragu-ragu tentang keupayaan parti berkenaan.

Malah, tambah beliau, di pi­hak pembangkang sendiri, penubuhan parti berkenaan dilihat hanya memecah-belahkan lagi sesama mereka.

“Persoalannya adakah PKR mampu menerima parti itu menjadi sebahagian daripada mereka kerana sejarah menunjukkan apa yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini adalah berpunca daripada tindakan Dr. Mahathir yang menjadi Perdana Menteri ketika itu,” katanya.

Ulasan saya, PRU14 dijangka diadakan pada bulan Mac 2017. Seperti kata Ahmad Shabery, ia adalah waktu terbaik untuk mengadakan PRU memandangkan pembangkangmasih berpecah dan Parti BERSATU belum diluluskan pendaftarannya oleh ROS.

Walaupun tempoh PRU berakhir pada tahun 2018, tetapi sudah menjadi amalan biasa PRU diadakan empat tahun sekali seperti PRU 1982, 1986, 1990, 2004, 2008. Dengan mengadakan PRU terakhir pada 2013, maka logik PRU14 akan diadakan pada bulan Mac 2017.

Zabidi Hj Saidi - @ 3:35 PG
‹
›
Laman utama
Papar versi web

Perihal Saya

Foto saya
Zabidi Hj Saidi -
Saya adalah mantan Editor MINGGUAN WATAN dan juga penulis buku politik yang telah berkecimpung dalam bidang ini selama lebih 20 tahun. Saya dilahirkan di Kemaman pada 20 Mac 1959 tetapi dibesarkan di Dungun dan Kuala Terengganu. Pada tahun 1980 baru saya kembali semula ke Kemaman dan terus menetap di sana sampailah hari ini. Saya mendpat pendidikan awal di SK Pusat Dungun dan SK Banggol Peradong Kuala Terengganu. Selepas itu saya belajar di MRSM Seremban (1972-1976), SM Sultan Sulaiman K. Terengganu (1977-1978) dan Maktab Adabi Terengganu (1979) sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dari tahun 1980 - 1983.
Lihat profil lengkap saya
Dikuasakan oleh Blogger.