Selasa, September 22, 2015

ZAHID CABAR SHAHBUDDIN DATANG KE MAJLIS UMNO

TPM, Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar blogger yang mempertikai lawatannya ke Indonesia minggu lalu datang ke majlis Umno.
Ketika berucap di majlis pertemuan beliau dengan kepimpinan empat peringkat Umno Wilayah Persekutuan di PWTC malam tadi, beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata blogger itu adalah orang yang kecewa.
"Dahulu dia adalah naib ketua pemuda Umno Bahagian Wangsa Maju di bawah Norza Zakaria dan ahli jawatankuasa Umno Bahagian Wangsa Maju," katanya tanpa menyebut nama blogger tersebut. Bagaimanapun, ia merujuk kepada blogger Shahbudin Husin yang menulis kenapa lawatan rasmi Zahid ke Indonesia sama tarikh dengan majlis sanding anaknya di Jakarta? Baca http://shahbudindotcom.blogspot.my/2015/09/kenapa-lawatan-rasmi-zahid-ke-indonesia.html.
Katanya, besannya orang kaya, itu hak besannya untuk mengadakan majlis besar-besaran di Jakarta.
"Majlis menyambut menantu pada 27 September ini di Kuala Lumpur saya adakan secara sederhana di Dewan Seri Hindon di Putrajaya," katanya.
"Saya jemput semua yang ada dalam majlis ini datang kerana saya tak buat pun kad jemputan," katanya.
"Saya tak buat majlis di hotel kerana jika saya buat di hotel orang kata ada yang sponsor pula," tegasnya lagi.
Dalam majlis penerangan isu semasa itu, beliau menjelaskan beberapa isu seperti 1MDB, derma RM2.6 billion, konspirasi menjatuhkan kerajaan BN dan kejatuhan nilai Ringgit Malaysia.
Beliau meminta pemimpin yang duduk di atas sentiasa ambil berat tentang kebajikan penyokong yang berada di bawah.
Mengenai Muhyiddin Yasin pula, beliau berkata Muhyiddin tidak terlibat dalam konspirasi menjatuhkan Najib Razak, sebaliknya  Dr Zahid mengajak ahli Umno terus menghormati Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno.
Katanya lagi, sebagai pengikut, ahli Umno kena sokong pemimpin yang ada.
"Dahulu kita berada di bawah pemimpin lain, kita sokong dia bukan kerana nama dia tetapi kita sokong dia kerana dia adalah pemimpin kita," katanya.
Sehubungan dengan itu, sekarang semua ahli kena beri sokongan kepada Najib kerana beliau kini adalah pemimpin kerajaan kita dan parti kita.
"Adat bertanding bila sesiapa sahaja sudah menang dalam pertandingan parti, kita kena beri sokongan kepada yang menang. Jika tidak pemimpin itu tidak dihormati lawan kalau kita bercakaran sesama sendiri," katanya.