Pakatan Harapan - pakatan politik PKR, DAP dan AMANAH - bersetuju memilih Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri jika gabungan baru pembangkang itu memenangi pilihan raya umum ke-14.
Langkah pertama Pakatan Harapan itu diumumkan melalui satu kenyataan yang dipersetujui Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Presiden AMANAH Mohamad Sabu.
"Kami yakin bahawa beliau adalah di antara pemimpin yang paling sesuai untuk menangani kemelut ekonomi, salah urus kerajaan, kebajikan rakyat, perpaduan kaum dan krisis kredibiliti yang ditinggalkan oleh Najib Tun Razak," kata mereka dalam satu kenyataan.
Ia dibuat selepas ketiga-tiga parti itu bersidang dalam rundingan meja bulat untuk menubuhkan pakatan baru pembangkang - tanpa dianggotai PAS - di Subang Jaya semalam.
Mereka berkata penubuhan Pakatan Harapan sebagai memenuhi harapan rakyat yang mahu satu pakatan pembangkang yang kuat demi menyelamatkan negara dari kepincangan kepimpinan Umno/BN.
Dalam kenyataan itu, mereka juga berkata krisis yang melanda negara turut mendorong pembentukan Pakatan itu bagi mengekang dakwaan salah tadbir dan kepincangan pentadbiran Najib.
"Krisis kepimpinan negara dan tekanan kewangan terhadap rakyat akibat kepincangan pentadbiran Najib Tun Razak memerlukan penyelesaian segera.
"Lebih lama krisis ini berlanjutan, rakyat biasa akan terus menjadi mangsa menanggung beban ekonomi seharian dan berhadapan permainan adu domba perkauman sesetengah pihak," katanya.
Lucu juga apabila membaca kenyataan pemimpin tertinggi
Pakatan Harapan yang akan tinggal harapan sahaja. Selepas DAP menendang PAS dari Pakatan Rakyat, maka berkuburlah Pakatan Rakyat yang menafikan kemenangan dua pertiga BN pada PRU 2013.
Semalam lahir pula Pakatan Harapan yang memberi harapan kepada rakyat untuk PRU 2018. Tetapi yang peliknya Pakatan Rakyat masih mahukan Anwar Ibrahim sebagai PM sedangkan Anwar berada dalam penjara.
Bukannya mudah untuk mengangkat Anwar sebagai PM andainya Pakatan Harapan menang. Sudah pastinya Wan Azizah yang angkat sumpah sebagai PM terlebih dahulu. Proses mengampunkan Anwar akan makan masa setahun dua sebelum Anwar menjadi PM.
Sepatutnya Pakatan Harapan melupakan hasrat untuk mengangkat Anwar sebagai PM. Seolah-olah Pakatan Harapan tidak ada calon PM. Bukankah Dr Wan Azizah atau Azmin Ali layak jadi PM?
Kenapa perlu bergantung kepada banduan untuk jadi PM? Moral Anwar sudah teruk. Dua kali dihukum kerana meliwat. Soal ia adalah konspirasi politik tidak timbul, kerana mahkamah sudah memutuskan Anwar bersalah. Takkan Pakatan Harapan masih bergantung kepada orang yang tidak bermoral jadi PM?
Saya yakin selagi Anwar dinobatkan sebagai bakal PM Pakatan Harapan, selagi itu rakyat akan memilih BN pada PRU akan datang. Seolah-olah tidak ada calon yang benar-benar bersih yang boleh ditonjolkan sebagai PM oleh Pakatan Harapan.
Buatlah muhasabah para pemimpin Pakatan Harapan kenapa Anwar yang sudah hampir jadi PM pada tahun 1998 tidak diangkat Allah sebagai PM? Tentu ada sebab musababnya Allah berbuat demikian untuk menyelamatkan negara dari menjadi boneka Amerika Syarikat.
Jadi selagi Anwar berangan jadi PM, selagi itu rakyat akan menolak Pakatan Harapan. Modal moral sahaja sudah cukup bagi BN untuk mengganyang Pakatan Harapan. Kalau begini gayanya maka Pakatan Harapan akan hanya tinggal harapan sahaja.