Jumaat, Mac 14, 2014

SEMOGA DOA JEMAAH UMRAH DI MEKAH TERMAKBUL SEGERA

SEPANG, 14 Mac (Bernama) -- Para jemaah yang akan menunaikan umrah di Makkah akan turut berdoa bagi menemui semula pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu. Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya, Ahmad Tarmizi Lim Abdullah, 54, berkata beliau akan menggunakan sebaiknya masanya di sana nanti bagi membawa bersama doa dan harapan rakyat Malaysia, agar ditemui semula pesawat itu. Menyifatkan kejadian itu sebagai ketentuan Allah, katanya doa adalah senjata paling utama bagi umat Islam, katanya kepada Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sebelum berlepas ke tanah suci hari ini. Beliau pergi bersama isterinya Kamariah Husin, 53. "Walaupun tidak berkesempatan untuk turut serta menunaikan solat hajat yang dianjurkan di masjid, namun tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia, saya mengajak keluarga bersama-sama menunaikan solat hajat di rumah," katanya. Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang setelah berlepas dari KLIA menuju Beijing, pada pukul 12.41 pagi Sabtu lalu. Operasi mencari yang memasuki hari ketujuh hari ini masih gagal mengesan pesawat. Rohani Awang, 60, dari Perlis berharap doanya di depan Kaabah agar pesawat itu ditemui semula akan dimakbulkan. "Apa pun kita mesti jadikan insiden ini sebagai iktibar untuk memperbaiki diri kita," katanya yang sentiasa mengikuti setiap perkembangan di media massa. Pekerja swasta Afzan Othman, 37, berkata semua pihak mesti optimis dan terus berusaha mencari pesawat itu. -- BERNAMA RBN YAZ BBJ HK HM