Selasa, Januari 28, 2014
BERAPA LAMA KHALID DAPAT BERTAHAN?
PETALING JAYA: Satu demi satu isu meletus selepas Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor buat penggal kedua pada bulan Mei 2013. Selepas Pakatan mempertahankan negeri Selangor, sudah ada ura-ura orang lain yang jadi Menteri Besar bukannya Khalid Ibrahim
PAS dan DAP menang 15 kerusi manakala PKR dapat 14 kerusi sahaja pada PRU ke 13. Dari segi hak, sepatutnya ADUN PAS atau ADUN DAP yang jadi Menteri Besar. Tetapi oleh kerana perlembagaan negeri Selangor tidak membenarkan orang Cina menjadi Menteri Besar, maka kerusi itu sepatutnya disandang oleh ADUN PAS.
Tetapi PAS tidak dapat sokongan DAP. Maka kerusi Menteri Besar kekal di tangan PKR. PAS dan DAP sokong jika jawatan itu terus disandang Khalid Ibrahim memandangkan beliau sudah menguruskan negeri itu dengan cemerlang dari tahun 2008-2013.
Selangor mempunyai rezab sebanyak RM2.3 bilion di bawah Khalid. Maka Khalid terus menjadi Menteri Besar Selangor walaupun ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali turut mengidam jawatan tersebut.
Kalau PKR mengamalkan konsep parti menguasai kerajaan, Azmin yang sepatutnya jadi Menteri Besar dan bukannya Khalid. Azmin adalah Pengerusi PKR Selangor sedangkan Khalid tiada jawatan dalam Perhubungan PKR Selangor. Malah di peringkat bahagian dan cawangan pun Khalid tiada jawatan.
Azmin memang tidak ngam dengan Khalid kerana Khalid uruskan negeri secara korporat. Sebagai orang politik PR Azmin lain berbanding dengan PR Khalid apabila berurusan dengan orang ramai.
Sebab itu ada usaha untuk menamatkan perebutan jawatan Menteri Besar di antara Khalid dengan Azmin dengan mengadakan pilihanraya kecil untuk membolehkan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baru. Orang luar perlu diketengahkan sebagai Menteri Besar supaya kedua-duanya tidak berkecil hati.
Sanggupkah Anwar menjadi menteri besar kerana selama ini beliau mengidam jawatan Perdana Menteri? Berapa lama lagi Khalid dapat bertahan kerana desakan kepada beliau untuk meletakkan jawatan begitu kuat.
Jika beliau enggan meletakkan jawatan, adakah beliau akan dipecat dari parti? Khalid dikatakan menimbulkan kemarahan Anwar kerana tiga isu.
Isu pertama, isu kenaikan gaji ADUN Selangor serta gaji Menteri Besar dan Exco yang naik berkali ganda. Isu kedua, persetujuan Khalid menyerahkan hak kerajaan negeri kepada kerajaan pusat mengenai pengurusan bekalan air serta isu pemecatan Azmin daripada ahli lembaga pengarah PKNS.
Walaupun Khalid menafikan terlibat memecat Azmin, tetapi selaku Pengerusi PKNS beliau yang patut bertanggungjawab. Atau adakah bekas Pengurus Besar, Othman Omar yang sedang disiasat yang sengaja melaga-lagakan di antara Khalid dengan Azmin?
Sementara itu pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor sebulat suara bersetuju tanpa sebarang bantahan supaya Khalid Ibrahim meletak jawatan sebagai Menteri Besar dan perlu digantikan dengan individu lain.
Ahli Parlimen Kuala Langat dari PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, kedudukan Abdul Khalid sememangnya dibincangkan dalam satu mesyuarat Majlis Pimpinan PKR Selangor yang dipengerusikan oleh Pengerusi PKR negeri, Azmin Ali baru-baru ini.
“Memang dalam mesyuarat tersebut kita ada membangkitkan kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar dan kita telah membuat keputusan supaya beliau digantikan,” katanya.
Beliau mengulas desas-desus wujud desakan kuat daripada kepemimpinan PKR khususnya di negeri ini yang mahu Abdul Khalid digantikan daripada terus memegang jawatan Menteri Besar.
Desakan itu dikatakan berkait rapat dengan rasa tidak puas hati dalam kalangan kepemimpinan PKR Selangor terhadap corak pentadbiran Abdul Khalid di negeri ini.
Sebelum ini Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR dilaporkan sering mengkritik pentadbiran Abdul Khalid melibatkan beberapa isu antaranya menyelar keputusan kerajaan negeri menaikkan gaji dan elaun anggota pentadbiran Selangor di antara 80 hingga 373 peratus berkuat kuasa Januari 2014.
Selain itu, Azmin juga dilaporkan pernah bertindak melalui Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Negeri Selangor mengemukakan memorandum kepada Abdul Khalid ekoran tidak berpuas hati dengan pengurangan peruntukan pembangunan oleh kerajaan negeri.
Abdullah Sani yang juga Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menegaskan, keputusan menggantikan Abdul Khalid tersebut dibuat berasaskan keadaan pentadbiran negeri yang dilihat tidak menepati aspirasi parti.
“Keputusan itu dibuat atas sebab cara Abdul Khalid mentadbir negeri ini membabitkan isu-isu tertentu antaranya industri air, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), kenaikan elaun Menteri Besar dan anggota pentadbiran negeri,” ujarnya.