Selasa, September 03, 2013

UTUSAN MALAYSIA TAKUT KEPADA KU LI

Ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih mesra dengan penggilan Ku Li belum buat pengumuman jawatan apa yang akan ditandingi pada 19 Oktober nanti, tetapi sudah ada akhbar harian milik Umno yang takut kepada Ku Li. Apa motif akhbar itu menyiarkan berita “Jawatan Ketua UMNO Gua Musang disandang Ku Li dicabar “ pada hari ini sedangkan pada Jumaat lalu Bernama sudah melaporkan Ku Li tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Bahagian. Nampak sangat akhbar ini ada motif nak memalukan Ku Li sedangkan Ku Li dalam laporan Bernama pada hari Jumaat lalu telah mengatakan , “Sudah sampai masanya untuk saya berundur dan carilah pemimpin baharu yang lebih jujur dan adil dalam memberi khidmat kepada rakyat”. Akhbar arus perdana itu melaporkan Ku Li yang menyandang jawatan itu sejak 51 tahun lalu akan dicabar pada pemilihan parti itu Oktober ini. Akhbar itu menulis menurut sumber, nama yang disebut-sebut akan bertanding merebut jawatan itu adalah Ketua Pemuda UMNO Gua Musang sendiri iaitu Datuk Bazlan Baharuddin dan beberapa nama lain. Sumber tersebut berkata, pemilihan kali ini adalah platform terbaik untuk mana-mana pemimpin muda menampilkan diri selaras dengan hasrat ahli akar umbi UMNO sendiri yang mahu melihat lebih ramai pemimpin muda diangkat naik. Selain itu, sumber tersebut turut memaklumkan bahawa seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di daerah itu akan turut mencabar jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang kini disandang oleh ADUN Nenggiri, Mat Yusoff Abdul Ghani. Nampak sangat editor akhbar itu tidak membaca berita Bernama Jumaat lalu kerana masih lagi menyiarkan berita yang out of date. Buat malu sahaja akhbar arus perdana itu. Bernama melaporkan bahawa PRU13 lalu adalah yang terakhir baginya tetapi beliau masih meneruskan khidmat kepada penduduk di kawasan itu sehingga ada pemimpin baharu yang dapat menggantikannya. Ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan kepimpinan Umno Oktober ini, Tengku Razaleigh enggan mengulas lanjut. “Saya tidak hendak komen dan kita sama-sama tengoklah pada 28 Sept ini untuk bertanding atau tidak,” katanya. Beliau mengingatkan bahawa mengikut peraturan baharu parti, sesiapa sahaja boleh bertanding merebut sebarang jawatan dalam parti dan perkara itu boleh diputuskan pada hari penamaan calon 28 Sept (untuk Majlis Tertinggi). Mungkin akhbar itu sudah mencium bau Ku Li akan menentang Datuk Seri Najib Tun Razak bagi jawatan Presiden Umno, maka Ku Li perlu dimalukan. Jika Ku Li kalah di peringkat bahagian, macam mana beliau mahu kalahkan Presiden Umno. Jika Ku Li buat keputusan menentang Najib, Ku Li mustahil menang kerana sebahagian besar 150,000 perwakilan tidak kenal lagi siapa Ku Li. Beliau sudah 26 tahun meninggalkan kabinet. Tetapi tentangan itu sekurang-kurangnya dapat mengukur sejauh mana Najib popular di kalangan para perwakilan Umno setelah gagal membawa BN menang majoriti dua pertiga dalam pilihanraya umum lalu. Saya masih ingat apabila Tun Biajid menyindir Tan Sri Syed Jaafar Albar pada tahun 1976 dalam akhbar yang sama bahawa beliau sudah tua jadi Ketua Pemuda Umno, maka Syed Jaafar ambil keputusan menentang Datuk Haji Suhaimi Kamaruddin bagi jawatan Ketua Pemuda yang memberi kemenangan kepada ayah Tan Sri Syed Albar itu. Nampaknya jika akhbar ini terus menyindir Ku Li, maka Ku Li tiada pilihan untuk terus mencabar Najib yang pernah bekerja sebagai pegawainya sewaktu Ku Li menjadi Pengerusi Eksekutif Petronas dahulu.