Ahad, September 04, 2011

SAMBUT HARI MALAYSIA SAHAJA


Sudah 48 tahun Malaysia terbentuk bila Sabah, Sarawak, Singapura (keluar dua tahun kemudian) dan Malaya (Persekutuan Tanah Melayu) bersetuju untuk bergabung. Tetapi kenapa setiap tahun kita masih menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos sedangkan Malaysia terbentuk pada 16 September 1963?

Tahun ini kita tidak merayakan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke 54 kerana ia jatuh pada hari kedua hari raya Aidilfitri. Maka kita tidak sempat buat perarakan kerana warga kota semua balik berhari raya di kampung di seluruh negara. Justru itu kita akan merayakan hari kemerdekaan pada Hari Malaysia pada 16 September ini.

Saya ingin mencadangkan supaya mulai tahun hadapan tak payahlah kita menyambut Hari Kemerdekaan. Sekadar kita beri cuti sahaja kerana yang merdeka adalah Malaya dan bukannya Malaysia. Sambutan 31 Ogos tidak relevan kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Mulai tahun hadapan kita sambut Hari Malaysia sahaja kerana ia adalah sejarah sebenar Malaysia.

31 Ogos 1957 Malaya yang merdeka sedangkan Sabah dan Sarawak belum lagi bersama Malaya. Siapa yang pesongkan sejarah selama ini? Kerajaan Tunku Abdul Rahmankah? Bukan kita tidak hargai jasa Tunku berunding dengan British untuk membebaskan Malaya dari cengkaman penjajah tetapi buat apa kita bernostalgia tentang Malaya yang sudah tidak wujud lagi.

Bukankah sekarang Datuk Seri Najib Tun Razak sedang mempromosikan 1Malaysia? Maka sudah sampai masanya kita ubah sejarah dengan menyambut Hari Malaysia sahaja. Kita beri cuti lagi pada 31 Ogos setiap tahun tetapi tak perlu buat perarakan kerana Malaysia tidak wujud lagi. Kita sambut besar-besaran Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun kerana itulah sejarah sebenar kemerdekaan Malaysia.

Mungkin kedatangan aidilfitri tahun ini memberi rahmat kepada kita kerana kita tak perlu menyambut hari kemerdekaan lagi secara besar-besaran. Apa salahnya perayaan hari Malaysia pada 16 September setiap tahun disambut seperti tahun ini juga di mana perarakan hari kemerdekaan dibuat pada Hari Malaysia. Beranikah Najib buat transformasi ini?

Tanyalah pakar sejarah seperti Dr Ramlah Adam, Adnan Wan Nawang yang tentunya bersetuju dengan pendapat ini bahawa kita sepatutnya sambut Hari Malaysia sahaja. Sewaktu saya belajar di Universiti Malaya (kena tukar nama juga), Adnan yang mengajar subjek sejarah malu kerana kita memperolehi kemerdekaan negara tanpa menitiskan darah. Negara lain rakyat mati berperang dengan penjajah kerana hendak merdekakan negara tetapi kita semudah itu diberi kemerdekaan oleh British tanpa menitiskan darah.Sebab itulah generasi baru tidak menghargai perjuangan kemerdekaan kita kerana kita terlalu gampang mendapat kemerdekaan.