Khamis, Oktober 28, 2010
HARGA BARANG KEPERLUAN DISERAGAMKAN DI BATU SAPI
Harga barang keperluan, gas petroleum cecair (LPG), petrol dan diesel yang dijual di pulau-pulau sekitar Batu Sapi diseragamkan bermula hari ini.
Langkah itu untuk membolehkan pengguna membeli barangan berkenaan dengan harga yang sama seperti di bandar berbanding sebelum ini apabila terdapat perbezaan harga antara RM1 dan RM8.
Program penyeragaman harga itu dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kampung Segaliud kira-kira 70 kilometer dari Sandakan hari ini.
Berucap pada majlis itu, Ismail Sabri berkata, program itu membolehkan penduduk yang tinggal di pulau-pulau sekitar Batu Sapi khususnya di Dewan Undangan Negeri kawasan Sekong menikmati penjimatan dalam perbelanjaan harian.
Katanya, barangan yang terlibat adalah minyak petrol, diesel, LPG, barang subsidi seperti gula, tepung gandum, minyak masak dan beras ST 15 peratus.