Selasa, Mei 11, 2010

SELAMAT HARI JADI, UMNO


Hari ini genap 64 tahun usia UMNO. Sejak tahun 1946, UMNO banyak berjasa kepada orang Melayu. Tanpa UMNO, barangkali nasib orang Melayu tak pasti di bumi Malaysia ini. Dengan UMNO, maka tumbanglah Malayan Union. Dengan UMNO,akhirnya Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957.

Ketika negara mencapai kemerdekaan, usia UMNO baru 11 tahun. Pada tahun 1963 lahirlah Malaysia yang merangkumi Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura. Ketika itu UMNO berusia 17 tahun.

Negara hampir lumpuh apabila tercetus peristiwa 13 Mei 1969. Orang Melayu baru sedar mereka banyak ketinggalan setelah negara merdeka selama 12 tahun. UMNO ketika itu berusia 23 tahun.

Perikatan kalah teruk dalam pilihanraya umum 1969. Perikatan Selangor hampir tumbang. PAS menawan Kelantan, Gerakan merampas Pulau Pinang. Selepas demokrasi dipulihkan, Tun Razak mengambilalih kepimpinan negara. Tun Razak menubuhkan Barisan Nasional pada tahun 1974 dengan keahlian yang lebih ramai termasuk MCA,MIC,PAS, Gerakan, USNO,PBB.

Tun Razak adalah Presiden UMNO yang ketiga selepas Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman. Beliau meninggal dunia pada tahun 1976 dan birasnya, Tun Hussein Onn meneruskan perjuangan sebagai Presiden UMNO yang keempat. PAS ditendang dari BN pada tahun 1977 dan darurat diisytiharkan di Kelantan. Selepas kerajaan Mageran ditarik balik pada tahun 1978, BN berjaya merampas Kelantan dari PAS.

Sejarah pahit UMNO bermula ketika usianya genap 41 tahun. Jawatan Presiden UMNO ditentang hebat. Tun Dr Mahathir Mohamad ditentang oleh Tengku Razaleigh Hamzah pada 24 April 1987 yang mana Dr Mahathir menang dengan majoriti 43 undi sahaja. Kekalahan itu menyebabkan para penyokong Ku Li membawa kes itu ke mahkamah dan mahkamah memutuskan bahawa UMNO diharamkan.

UMNO berpecah dua apabila Dr Mahathir menubuhkan UMNO (baru) dan menyebabkan Ku Li keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti Semangat 46.Ketika UMNO berusia 44 tahun, Semangat 46 bergabung dengan PAS dan DAP menentang BN pada pilihanraya umum 1990. PAS berjaya menawan semula Kelantan.

Dua kali menentang UMNO dalam pilihanraya, akhirnya Ku Li kembali ke dalam UMNO pada tahun 1997 dan membubarkan Semangat 46. UMNO yang kukuh semula menjadi lemah apabila UMNO menyingkirkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Pada tahun 1999, UMNO tewas di Kelantan dan Terengganu ketika usianya 53 tahun. Dr Mahathir berundur pada tahun 2003 setelah memimpin UMNO selama 22 tahun. Tun Abdullah Ahmad Badawi yang tidak pernah termimpi jadi Perdana Menteri menjadi Presiden UMNO yang baru.

Pada pilihanraya umum 2004 ketika UMNO berusia 58 tahun, UMNO menang cemerlang. UMNO berjaya merampas semula Terengganu tetapi kepimpinan Pak Lah yang lemah menyebabkan UMNO kalah teruk pada pilihanraya umum 2008 ketika UMNO berusia 62 tahun.Kesilapan UMNO ialah tidak memujuk Anwar Ibrahim menyertai semula UMNO setelah beliau dibebaskan dari penjara. Ini adalah kerana UMNO angkuh setelah menang besar pada pilihanraya umum 2004. Apabila Anwar berada di luar UMNO, ini menyebabkan BN gagal mendapat majoriti dua pertiga pada pilihanraya umum 2008.

Tun Razak sudah nampak karisma Anwar ketika beliau menjadi pemimpin pelajar. Sebab itu Tun Razak pernah mempelawa Anwar bertanding pada pilihanraya umum 1974 tetapi beliau menolaknya kerana beliau mahu mengetuai ABIM.Jika Pak Lah selaku Presiden UMNO ketika itu mencontohi Tun Razak, BN tidak kalah teruk dalam pilihanraya umum 2008.

Keputusan pilihanraya umumj 2008 menunjukkan UMNO tetap kalah di Kelantan selain kalah di Kedah,Perak dan Selangor. DAP berjaya menawan Pulau Pinang. Kegagalan BN membentuk kerajaan dua pertiga majoriti menyebabkan Pak Lah menyerahkan kepimpinannya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setelah menjadi Perdana Menteri selama 1 tahun 1 bulan, Najib telah membawa pelbagai perubahan. Katanya, jika UMNO tidak berubah, UMNO akan rebah pada pilihanraya umum 2012.

Selepas pilihanraya umum 2008, beberapa pilihanraya kecil diadakan sama ada wakil rakyatnya meninggal dunia atau meletakkan jawatan. BN kalah di Permatang Pauh, Bukit Gantang,Kuala Terengganu, Bukit Selambau tetapi BN menang di Bagan Pinang, Hulu Selangor dan Batang Ai.BN dijangka mengekalkan kerusi parlimen Sibu pada hari pengundian minggu depan.

UMNO semakin tua, 64 tahun tetapi UMNO belum nyanyuk.Orang tua jika sentiasa jogging akan tetap segar seperti Prof Diraja Ungku Aziz. UMNO mampu menang pada pilihanraya umum akan datang jika UMNO sentiasa berubah.

Pendekatan Najib turun padang sewajarnya diikuti oleh semua ADUN dan ahli parlimen. Jika Perdana Menteri boleh turun padang,masakan ahli parlimen dan ADUN tidak boleh berbuat demikian. Ahli-ahli UMNO semakin cerdik.Mereka tidak boleh diperbodohkan oleh wakil rakyat mereka seperti dahulu. Kebanyakan wakil rakyat berjuang bukan untuk rakyat tetapi untuk kepentingan peribadi mereka. Itulah yang merosakkan UMNO. Mereka lebih menyenangi menemui kontraktor daripada menemui rakyat biasa.

Oleh itu UMNO kena berubah dari semua aspek.Jangan ambil kesempatan dari UMNO seperti mana tiga bekas Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn yang mati di luar UMNO.UMNO hanya elok ketika mereka ada jawatan. Bila tiada jawatan, UMNO tidak elok. Di manakah letaknya keikhlasan kita menyertai UMNO?