Sudah lama saya tidak balik ke Kemaman. 18 hari sejak 3 Februari lalu. Hari ini balik kerana ada anak dua pupu kahwin di Gong Pasir, Dungun. Seperti biasa setiap pagi Sabtu bila saya berada di Chukai, saya akan bersarapan di kedai Mat Stopa di stesen teksi bersama rakan baik, Sulong.
Pagi ini Mohd. Nor Dusun Nyior turut ada sama. Saya kecil hati dengan Mohd. Nor ini. Dahulu saya minta dia calonkan saya untuk bertanding jawatan ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman pada tahun lepas, tetapi dia tidak calonkan saya walaupun saya sudah hulur RM150 kepadanya. Bila saya tanya dia kata lupa. Duit sapu, cadang nama tidak. Ada juga orang seperti ini.
Setiap kali balik ke Kemaman, banyak topik politik yang dibualkan. Paling heboh suratkhabar WATAN yang terbaru yang memuatkan satu rencana mengenai politik UMNO Kemaman iaitu Haji Dol kuasai UMNO Kemaman.
Bukan main marah Haji Dol, Bendahari UMNO Bahagian Kemaman kepada saya. Saya selaku editor berhak menyiarkan rencana yang ditulis oleh Fadzilah Mokhtar itu kerana ia menggambarkan kemarahan ahli UMNO Kemaman kepada beliau.
Menurut seorang rakan bernama Haji Khalid Karim, dia suruh saya jaga-jaga sikit kerana Haji Dol dan Ngah Ismail sedang mencari saya di keliling bandar Chukai dengan dua buah kereta pagi ini mahu pukul saya. Masih ada orang primitif yang mahu pukul orang kerana marahi menulis benda yang benar. Saya tak takut dipukul kerana rencana itu menyiarkan benda yang benar dan bukannya memfitnah Haji Dol.
Tak payah masuk politiklah kalau mahu jadi samseng. Tergamak pula dia upah orang untuk pukul saya. Lebih baik Haji Dol letak jawatanlah kalau ditegur sikit dalam tulisan sudah melenting. Khairy Jamaluddin menantu Pak Lah macam-macam ditegur oleh para penulis, tapi tak ada pun kita dengar cerita Khairy upah orang untuk pukul penulis. Nampak sangat Haji Dol masih primitif. Tidak profesional.
Oleh itu Datuk Ahmad Said selaku Ketua Bahagian hendaklah melihat perkara ini secara serius. Jangan sampai ahli jawatankuasa UMNO Bahagiannya terlibat dengan jenayah. Buat malu aja.