Selasa, Oktober 07, 2008

SIAPA PILIHAN PEMUDA ANTARA KAMARUDDIN DAN HISHAM

Gambar atas : Calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Kamaruddin Ali dan (bawah) Calon Naib Ketua, Halizi Datuk Abu Bakar)
Sepatutnya mesyuarat pergerakan pemuda UMNO Bahagian Kemaman diadakan pada hari Sabtu ini, 11 Oktober tetapi ditangguh semula ke tarikh asal, 17 Oktober depan. Para perwakilan akan memilih di antara dua orang calon sama ada Penolong Setiausaha Pemudanya. Mohd. Hisham Zubir atau bekas Naib Ketua Pemudanya, Kamaruddin Ali.

Di atas kertas Hisham mendahului Kamaruddin kerana berjaya mendapat pencalonan yang banyak. Hisham mendapat 60 pencalonan sementara Kamaruddin mendapat 19 pencalonan. Tetapi di kertas undi boleh pasti siapa yang menang kerana biasanya perwakilan bebas mengundi tetapi merujuk kepada cawangannya yang mencalonkan orang tertentu.

Sehubungan dengan itu kedua-dua calon ini masih mempunyai masa 10 hari untuk mengejar para perwakilan. Yang menariknya, kedua-dua calon yang bertanding adalah AJK UMNO Bahagian Kemaman. Pada tahun 2004, Kamaruddin Ali yang merupakan bekas wakil calon BN Kijal (Datuk Ahmad Said) menang sebanyak 223 undi manakala Hisham mendapat 216 undi. Kamaruddin tempat ke 12 manakala Hisham di tangga ke 15. Itu dalam bahagian. Pemuda pada 17 Oktober ini mungkin memberi pertimbangan yang lain sama ada mahu mengundi Hisham atau Kamaruddin.

Hisham dikatakan mendapat restu dari AJK Pemuda UMNO Bahagian Kemaman yang kini diketuai oleh Setiausaha Politik MB, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid. Beliau tidak mempertahankan jawatan kerana usianya sudah melebihi 40 tahun. Majoriti AJK Pemuda menyokong Hisham kerana Kamaruddin dianggap sebagai calon luar kerana tidak berada dalam barisan AJK Pemuda.

Pada tahun 2000, Kamaruddin adalah Naib Ketua Pemuda tetapi tidak cukup kuota untuk mempertahankan kerusinya pada tahun 2004 apabila kerusi itu dimenangi tanpa bertanding oleh Rosli Ahmad, penyelia KEMAS Daerah Kemaman. Yang anehnya Rosli yang masih belum habis usia pemudanya tidak bertanding kerusi Ketua Pemuda sebaliknya meletakkan proksinya, Hisham untuk berdepan dengan Kamaruddin.

Mampukah Kamaruddin yang juga Pengerusi anak syarikat KSB menewaskan Hisham? Sama-samalah kita tunggu 17 Oktober ini. Kamaruddin beregu dengan anak bekas ADUN Kemasek, Halizi Datuk Abu Bakar untuk berdepan dengan regu Hisham dengan Tarmizi Haji Johar. Biarlah perwakilan pemuda menentukan masa depan mereka.