Selasa, Oktober 07, 2008

PENIPUAN DI SANA SINI

MINGGU lepas saya sudah menulis kisah seorang Datuk yang menipu kawan saya. Kali ini saya ingin menceritakan pelbagai kisah menarik penipuan di sana-sini yang boleh dijadikan panduan kepada kita semua.
Datuk R bukan sorang saja Datuk yang menipu. Ada lagi Datuk lain yang menipu. Yang sedihnya macam mana orang bergelar Datuk sanggup menipu. Kali ini kisah Datuk J dari Sabah. Dia ni kawan kepada kawan saya. Pada suatu hari Datuk J menelefon kawan saya, M, tanya nak duit tak RM1,000. Siapa yang tak mahu duit apabila dengar Datuk J nak beri RM1,000.
“I mahu you menyamar sebagai pegawai tender jabatan ini,”beritahu Datuk J kepada M dalam telefon.
“Nanti bos I, Wong telefon. You cakap surat tawaran tender sudah siap, you sebut you mahu RM10,000. Dapat duit tu, I beri you RM1,000,”kata Datuk J.
M seronok bila mendengar kata-kata Datuk J itu.
Lima minit kemudian ada panggilan di handphonenya daripada nombor yang tak dikenali.
“Hello Encik M. Saya Wong partner Datuk J. Letter of award (LA) dah siap ke? Datuk J kata you mahu RM10 ribu, betul ke?”tanya Wong.
“Sudah siap. Datuk J sudah cakap berapa saya mahu? Itu memang betul lah. You beri sama Datuk J. Jangan beri kepada saya, nanti BPR cari,” kata M sambil tertawa.
“Okay. Esok saya beri RM10 ribu kepada Datuk J untuk beri kepada you,”kata Wong lagi.
Esoknya, M call Datuk J tanya duit yang dijanjikan. Sampai sekarang M tak dapat duit RM1,000 itu. Sebaliknya RM10,000 semuanya disapu oleh Datuk J tanpa pengetahuan Wong. Wong ingatkan duit itu orang dalam yang nak, rupa-rupanya Datuk J yang nak.
Kisah penipuan kedua agak menarik juga. Kawan saya, H mahu membeli kereta sempena Hari Kemerdekaan ke 50 tahun lepas. Proton menawarkan kereta murah kepada pembeli Iswara Aeroback.
Kawan sepejabat H yang bernama R bila dapat tahu H mahu beli kereta terus memperkenalkan kawannya seorang jurujual Proton di Jalan Ipoh bernama K.
K orangnya tinggi kurus. Sekali imbas macam penagih dadah.
Oleh kerana percaya kepada R, kawan sepejabat, terus H beri duit tunai sebanyak RM2,500 untuk bayar muka kereta Iswara Aeroback itu kepada K.
Sampai hari ini H tak dapat kereta yang ditempah. Bila H call kedai K, K sudah berhenti kerja kerana kes dadah. K tak pernah bayar RM2,500 kepada kedainya sebagai bayaran muka Iswara Aeroback. Hangus duit H sebanyak RM2,500. R yang memperkenalkan K kepada H naik malu. R berhenti kerja kerana tak tahan dengan perlian H. H selalu perli R agaknya berapa komisyen dapat sebagai introducer kepada K. Akhirnya K ditahan polis kerana kes dadah dan dimasukkan ke dalam pusat serenti.
Bila berkawan hendaklah berhati-hati. Jangan cepat percaya kepada kawan sekalipun kawan baik. Nama B memang kena blacklist gara-gara hutang kereta lamanya tidak dibayar. Namun demikian B memang bercadang nak beli kereta baru pula.
S kawan baik B beritahunya bahawa dia ada kawan dalam sebuah bank yang boleh tutup black-list. Tapi kena bayar RM1,500. B yang mahu beli Viva terus beri deposit RM900 kepada S untuk tutup black-list. Bila pinjaman diluluskan, barulah bakinya, RM600 akan diberi kepada pegawai bank itu. Oleh kerana terlalu mempercayai kawan baiknya B tanpa berfikir panjang terus beri duit kepada S.
Sampai sekarang juga B tak dapat beli Viva. Bila B call S, S tak angkat phone. Tiga bulan kemudian B terserempak dengan S. S tak boleh elak dan bukan main marahnya B kepada S kerana tak pernah angkat phone untuk tanya blacklistnya boleh ditutup atau tidak.
Secara selamba S menjawab pegawai itu menipu dan telah berhenti kerja kerana sudah ramai pelanggan yang ditipunya. B tak percaya dengan cerita S itu. Entah-entah S yang menipunya.

(lihat WATAN, 21-27 September 2008)