Rabu, Oktober 10, 2018

ORANG YANG KATA PORT DICKSON TIDAK MEMBANGUN KENA CEK MATA

PORT DICKSON: Bekas Ketua Umno Bahagian Port Dickson, Tan Sri Isa Samad berkata beliau bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK Port Dickson Sabtu ini kerana Umno tidak bertanding.

Bercakap secara live dalam Facebook Datuk Zaharin Mohd Yasin pagi ini, Isa berkata sepatutnya Umno bertanding kerana  PRK ini adalah peluang terbaik bagi  Umno untuk menghuraikan isu isu yang gagal ditangani oleh kerajaan PH.

"Oleh kerana Umno tak bertanding, maka saya berhenti menjadi ahli Umno dan buat keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas," katanya sambil menerangkan bahawa beliau berhenti menjadi ahli Umno kerana tak mahu esok keluar dalam suratkhabar Isa dipecat dari Umno setelah jadi calon Bebas.

Ditanya jika Umno bertanding dan meletakkan Datuk Seri Mohamad Hassan sebagai calon pada PRK Port Dickson, Isa berkata beliau tidak akan bertanding sebagai calon Bebas tetapi sebaliknya akan menyokong Mohamad Hassan sebagai calon Umno kerana itu adalah keputusan parti.

"Sewaktu saya digantung selama tiga tahun keahlian Umno, saya berkempen untuk BN setiap kali PRK kecuali di Batang Ai, Sarawak. Oleh itu sebagai ahli parti, jika Umno bertanding saya tetap sokong siapa sahaja yang jadi calon." tegasnya.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan menjelaskan bahawa jika ada orang kata Port Dickson tidak membangun, beliau secara berseloroh suruh orang itu cek mata kerana matanya tak terang.

"Port Dickson adalah daerah pelancongan dan sudah banyak perancangan yang dibuat di zaman saya dilaksanakan semasa saya jadi MB malah pengganti saya Mohamad Hassan telah melaksanakannya juga," jelas beliau.

Bercakap trend undi tentera, Isa mendakwa pada PRU lalu BN dapat juga banyak undi tentera tetapi tak dapat mengatasi majoriti PKR di tiga DUN  Chuah, Lukut dan Sri Tanjung kerana majoriti BN menang di DUN Bagan Pinang dan Linggi amat tipis.

"Saya yakin saya akan dapat juga undi tentera kerana hubungan saya dengan tentera amat baik. Walaupun saya bukan lagi wakil rakyat tetapi hubungan kami amat baik," katanya.

Isa yang pernah jadi Pengerusi FELDA menegaskan bahawa beliau bertanding kerana menentang calon PKR dan calon PAS yang merupakan musuh tradisi Umno.

Oleh itu beliau yakin para pengundi di DUN Bagan Pinang dan DUN Linggi akan mengundi beliau sebagai proksi  Umno setelah Umno tidak bertanding.

Beliau menyeru semua ahli Umno turun mengundi beramai-ramai Sabtu ini kerana itu adalah hak ahli Umno untuk mengundi walaupun parti mengambil keputusan untuk boikot PRK Port Dickson.




72 ANGGOTA POLIS DIBUANG TAHUN INI HINGGA SEPTEMBER

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Sejumlah 72 anggota polis dibuang kerja atas pelbagai kesalahan termasuk rasuah dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata ada dalam kalangan mereka berpangkat Superintendan dan Deputi Superintendan selain anggota berpangkat rendah.

Menurutnya, setakat ini 1,484 anggota polis dikenakan tindakan tahun ini.

"Mereka melakukan pelbagai kesalahan seperti salah laku kuasa, cuai, gagal hadir bertugas dan terbabit dengan aktiviti jenayah," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar pemantapan integriti di sini hari ini.

Beliau turut berkata 3,096 kes kesalahan tatatertib melibatkan kakitangan polis direkodkan tahun lalu, namun ia dapat dikurangkan tahun ini

Isnin, Oktober 08, 2018

7,191 PENGUNDI AWAL AKAN TENTUKAN NASIB ANWAR HARI INI

PORT DICKSON, 8 Okt (Bernama) -- Seramai 7,191 daripada jumlah keseluruhan 7,268 pengundi awal yang terdiri daripada warga Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dalam proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil Port Dickson esok.

Seramai 77 orang selebihnya iaitu 23 anggota polis dan 54 anggota tentera akan mengundi secara pos.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Azhar Azizan Harun berkata, daripada 7,191 pengundi itu, seramai 6,636 orang anggota tentera dan pasangan mereka akan mengundi di Hangar, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) dan di Dewan Serbaguna, Kem Segenting PD, manakala seramai 555 anggota polis akan mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

"Pusat pengundian awal akan dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5.30 petang, kecuali tiga saluran di IPD Port Dickson iaitu khemah A, B dan C akan ditutup awal pada jam 12 tengah hari kerana jumlah pengundi yang sedikit.

"Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding di bahagian-bahagian pilihan raya yang berkenaan di samping pemerhati-pemerhati Pilihan Raya daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR," katanya dalam kenyataan hari ini.

PRK Parlimen Port Dickson adalah PRK keempat selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong, kesemuanya di Selangor, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas.

Azhar Azizan berkata, proses pengiraan undi awal tidak dibuat di tempat mengundi (saluran) selepas pengundian, sebaliknya peti-peti disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap-lokap balai polis.

Pengiraan undi awal tersebut hanya akan dijalankan pada 13 Okt, iaitu hari pengundian biasa PRK itu, secara berkelompok di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dengan disaksikan oleh ejen calon dan pemerhati pilihan raya yang dilantik SPR, katanya

Ahad, Oktober 07, 2018

THE STAR DIGESA MOHON MAAF KEPADA MUJAHID

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Akhbar berbahasa Inggeris, The Star digesa memohon maaf secara terbuka kerana menulis laporan yang salah sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam ini, Siti Zulaikha Zulkifli, Setiausaha Akhbar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa, berkata permohonan maaf itu perlu disiarkan dalam akhbar dan portal mereka.

Katanya jika perkara berkenaan tidak dibuat dalam tempoh 24 jam tindakan lebih tegas akan diambil.

Semalam (6 Okt), akhbar tersebut menyiarkan laporan bertajuk 'No More Moral Policing' serta versi online 'No more night khalwat raids or intrusion into Muslims private lives, says Mujahid'. (‘Tiada lagi kepolisan moral’ dan ‘Tiada lagi serbuan khalwat waktu malam atau merejah kehidupan peribadi orang Islam, kata Mujahid’)

Siti Zulaikha turut menegaskan bahawa tiada langsung dalam temu bual bersama media berkenaan Mujahid mengeluarkan kenyataan seperti tajuk yang ditulis akhbar berbahasa Inggeris berkenaan.

Katanya selepas penelitian dibuat, beliau mendapati Mujahid langsung tidak menyebut perkataan seperti yang ditulis dalam berita berkenaan pada perenggan pertama iaitu 'No more knocks on the door in the middle of the night and no more breaking down of doors by the religious authorities investigating reports of khalwat or other alleged wrongdoings.

(Tiada lagi ketukan di pintu pada waktu tengah malam dan tiada lagi perbuatan pecahkan pintu oleh pihak berkuasa agama yang menyiasat laporan mengenai khalwat atau dakwaan kesalahan-kesalahan lain)

"Ekoran tajuk yang disensasikan serta perenggan pertama yang ditulis berdasarkan interpretasi wartawan media tersebut, berita ini menjadi viral sehingga menyebabkan salah faham terutamanya terhadap umat Islam di negara ini.

"Saya amat menghormati kebebasan media, namun ini tidak bermakna pihak media boleh menulis berita di luar konteks sehingga tercetusnya perdebatan awam dan memberi impak negatif kepada beliau (Mujahid),” katanya.

-- BERNAMA

Sabtu, Oktober 06, 2018

ORANG TUA KENA SENTIASA MEMBACA DAN MENULIS SUPAYA OTAK KITA SENTIASA AKTIF

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pergaduhannya dengan perdana menteri terdahulu antara faktor yang membuatkan otaknya aktif bekerja.

“Saya bergaduh besar dengan perdana menteri terdahulu. Jadi setiap masa otak saya aktif memikirkan cara dan kaedah untuk menukar kerajaan.

“Jadi apabila anda sentiasa berfikir, menggunakan otak anda, ini bermakna anda tidak akan menjadi pelupa, seperti yang anda dapat lihat pada orang tua,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian pada “Persidangan Penuaan, Pembelajaran dan Teknologi: Meningkatkan Kehidupan, Menghubungkan Komuniti” di sini, hari ini yang turut dihadiri isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Presiden Persatuan Third Age Media Cheah Tuck Wing.

Beliau menjelaskan kemunculannya kembali dalam politik selepas bersara didorong oleh kehendak rakyat untuk menukar kerajaan dan pentadbiran sebelum ini bagi mendapatkan kehidupan lebih baik.

“Dua minggu selepas saya bersara, orang datang berjumpa saya. Mereka tidak gembira dengan pengganti saya. Mereka tanya saya, boleh Tun lakukan sesuatu mengenainya

“Jadi saya mula buat sesuatu. Saya menjadi amat aktif. Sudah tentu apabila pengganti itu akhirnya melepaskan jawatan, kami ada tokoh kedua untuk menggantikan tokoh pertama selepas saya.

“Malangnya sekali lagi orang datang berjumpa saya dan berkata tolong lakukan sesuatu. Buat permulaan saya cuba nasihatkan tetapi tidak berhasil. Kemudian saya memutuskan saya tidak boleh biarkan tokoh ini terus menjadi pemimpin saya, jadi saya keluar parti (UMNO),” katanya.

Beliau berkata untuk membolehkan menukar pentadbiran sebelum ini, beliau menubuhkan parti baharu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk mengalahkan parti yang pernah dipimpinnya dan seterusnya mengambil alih kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Menyentuh tentang generasi sudah berusia, Dr Mahathir berkata kumpulan spesifik itu perlu kekal aktif selepas bersara untuk memastikan badan mereka sihat.

“Ia bukan hanya otot anda tetapi juga otak anda. Jika anda tidak gunakan otak anda, ia cenderung menjadi semakin merosot.

“Kemudian keupayaan untuk bercakap, bersyarah, mengutarakan pendapat, membuat aduan, semua itu akan hilang kerana otak anda tidak lagi berfungsi. Jadi saya berpendapat adalah baik untuk orang tua sentiasa membaca, menulis dan juga bergaduh. Kerana ia satu senaman bagi otak anda,” katanya sambil disambut gelak ketawa oleh audien.

Dr Mahathir, 93, turut berkongsi pengalamannya bahawa sepanjang hidupnya beliau membuat kajian tentang proses penuaan iaitu orang mempunyai peluang lebih baik untuk hidup sehingga usia tua jika mereka tidak menghidap penyakit sukar diubati seperti kanser.

Beliau menegaskan menjadi tua adalah proses biologi tetapi apabila orang tidak menggunakan apa yang mereka ada, tubuh akan menjadi lemah dan mereput.

“Apa yang kita ada Semua kita mempunyai otot. Kita menggunakannya untuk melakukan semua perkara berbentuk fizikal. Jika anda tidak gunakan otot anda, ia akan merosot, hilang kekuatannya dan anda rasa tidak sihat.

“Dan apabila anda rasa tidak sihat, dengan itu anda mahu berehat dan tidur. Apabila anda berehat dan tidur, otot anda tidak digunakan langsung.

“Jadi seperti yang saya katakan, apabila anda tidak gunakan otot anda ia akan menjadi lemah dan semakin lemah. Inilah kecenderungan semua orang tua. Jadi apa yang orang tua patut lakukan Saya fikir mereka tidak sepatutnya pergi tidur (yang tidak sepatutnya),” katanya.

--BERNAMA

LIEW GESA PEGUAM NEGARA TIDAK DAKWA ADIK LOKMAN

PUTRAJAYA, 5 Okt (Bernama) – Jabatan Peguam Negara digesa supaya tidak menimbang untuk mendakwa Azman Noor Adam, adik kepada anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam, kerana menghina Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri yang bertanggungjawab bagi hal undang-undang Datuk Liew Vui Keong berkata kes itu tidak sepatutnya diteruskan kerana Dr Mahathir sendiri tidak kisah dengan apa jua kenyataan yang dibuat tentang beliau.

“Ini mencerminkan Perdana Menteri kita begitu berjiwa besar. Sebagai pemimpin negara dan menteri kerajaan, kami sering menjadi bahan cemuhan dan kritikan orang ramai.

“Perkara yang perlu diperhatikan ialah sesuatu kenyataan yang dibuat terhadap pemimpin politik janganlah besifat menghasut kerana undang-undang memperuntukan bahawa tindakan boleh diambil terhadap orang yang menabur fitnah. Malah, undang-undang juga memperuntukkan bahawa seseorang yang difitnah, boleh mengambil tindakan dari segi undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Liew berkata demikian bagi mengulas penahanan Azman baru-baru ini selepas dia didakwa menyebar gambar yang menghina Dr Mahathir melalui media sosial.

Jumaat, Oktober 05, 2018

STEVIE CHAN MAKIN KURUS SELEPAS JADI CALON BEBAS



PORT DICKSON, 4 Okt (Bernama) -- Berjalan kaki lebih dua jam setiap kali berkempen, calon Bebas Pilihan Raya Kecil Port Dickson Stevie Chan Keng Leong akui berat badannya semakin menyusut walaupun baru lima hari turun berkempen.

Personaliti media sosial itu berkata kaedah berkempen 'walkabout' yang diamalkannya di kawasan tumpuan pengundi, memerlukan dia berjalan sekurang-kurangnya tiga kilometer di setiap kawasan untuk bertemu pengundi.

"Bagi calon lain, mereka lebih banyak berkempen secara berpidato atau berceramah yang memerlukan mereka berdiri di satu tempat tertentu, (tapi) saya pula banyak berjalan ke kawasan pengundi, lama-lama badan jadi kurus juga,” katanya ketika ditemui Bernama sedang jenuh berkempen di sekitar sini baru-baru ini.

“Bila lihat balik gambar sendiri pada poster kempen, dalam poster lagi gemuk daripada sekarang. Secara purata saya habiskan dua hingga tiga jam berjalan dan meluangkan masa bersama pengundi setiap hari," tambahnya.

Beliau berkata, kawasan tumpuan umum seperti restoran, medan selera dan tempat riadah di sepanjang persisir pantai pusat peranginan itu adlh antara lokasi utamanya untuk mendekati pengundi.

Kata Stevie sebagai calon Bebas, beliau tidak mempunyai bilik gerakan, pondok panas serta jentera kempen yang ramai berbanding calon daripada parti politik.

Biarpun tidak terikat dengan jadual kempen yang padat, namun secara purata, dua hingga tiga sesi walkabout dijalankan setiap hari, katanya.

Stevie adalah antara lima calon Bebas yang akan turut berentap dengan calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dalam saingan tujuh penjuru merebut kerusi Parlimen Port Dickson pada 13 Okt ini.

PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi itu pada 12 Sept lepas untuk memberi laluan kepada Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding sebagai Presiden PKR, bertanding untuk kembali ke Parlimen.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S.Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 13 Okt ini, manakala pengundian awal pada 9 Okt.

-- BERNAMA

Khamis, Oktober 04, 2018

SEPETANG DI PORT DICKSON

PORT DICKSON: Petang semalam selepas menemui Baharin Sukari dan Kamri Kamarudin di Al Taqwa Corner di Bandar Seri Putra, saya dan Baha Ibrahim pergi ke Port Dickson untuk meninjau suasana PRK Port Dickson.

Jam 6.30 petang kami tiba di gerai di Batu 4 Port Dickson. Kami makan burger ayam bakar yang berharga RM8.00 sebiji. Kami diberitahu oleh penjual burger bahawa calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim datang bersarapan di warung mereka pagi semalam. Beliau walkabout di Pasar Tani Batu 4 yang terletak dalam DUN Bagan Pinang.

Kami solat maghrib di masjid Bagan Pinang. Selepas itu kami menyelusuri kampung tersebut untuk mencari markas calon Bebas, Tan Sri Isa Samad. Kami tanya pemuda yang makan di sebuah warung di situ tetapi dia tak tahu di mana markas bekas ADUN Bagan Pinang.

Dari situ kami ke kampung Si Rusa menunggu kedatangan Anwar Ibrahim yang akan berceramah di situ pada jam 10 malam. Ceramah dimulakan dengan Haji Rashid dari Persatuan Pahlawan Malaysia. Beliau datang dari KL semata mata berkempen untuk Anwar.

Beliau berkata penduduk Port Dickson sepatutnya bangga kerana Anwar memilih Port Dickson untuk kembali ke parlimen kerana dua tahun lagi Anwar akan jadi PM Malaysia yang datang dari parlimen Port Dickson.

Ahli parlimen Tampin, Dr Hassan Bahrom turut berucap yang mahu pengundi Port Dickson keluar beramai ramai mengundi pada 13 Oktober nanti.

"Yang bertanding ini bakal PM. Kalau majoriti bakal PM sedikit, malu kita penduduk Port Dickson," kata beliau yang mahu PH mengekalkan majoriti 17,710 undi yang dimenangi bekas wakil rakyat, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada PRU Mei lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata beliau mahu pengundi Port Dickson beri kemenangan besar kepada Anwar supaya lebih banyak projek dapat dibawa ke kawasan tersebut.

"Saya akan kaji jika rakyat Bagan Pinang mahu PPR untuk generasi akan datang," kata beliau yang turut membatalkan pemilihan penerima rumah PPR di Kelantan kerana beri rumah PPR kepada mereka yang tidak layak.

"Kita mahu orang yang tiada rumah yang dapat rumah PPR," katanya sambil memberitahu kementeriannya akan berlaku adil kepada semua rakyat Malaysia yang memohon rumah PPR.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang turut berucap di majlis itu yakin pengundi tentera akan tetap bersama Anwar kerana beliau amat perihatin dengan nasib tentera.

Anwar yang berucap di majlis tersebut berkata sudah empat hari beliau berada di Port Dickson berkempen dan puas hati dengan kemesraan pengundi pelbagai kaum yang ditunjukkan kepada beliau.

"Kalau saya bertanding di Permatang Pauh saya sudah tahu kerana mereka adalah saudara mara saya tetapi saya kagum dengan semangat ukhuwah yang ditunjukkan oleh pengundi Port Dickson yang menerima saya di mana saya pergi," katanya.

Sebaik baik sahaja Anwar tiba di tempat ceramah  (ketika Zuraida berucap) beliau terus bersalam dengan orang ramai dan terus ke belakang minum bersama dengan penduduk kampung sambil bergurau senda dengan mereka. Orang kampung ambil kesempatan berselfie dengan Anwar yang bakal menjadi ahli parlimen mereka pada 13 Oktober nanti. Insya Allah.Tepat jam 12 malam kami pulang ke Kuala Lumpur dengan harapan pengundi Port Dickson memberi majoriti yang besar kepada calon PH, Anwar Ibrahim.

Rabu, Oktober 03, 2018

BEKAS ADUN BAGAN PINANG ENGGAN SERANG PERIBADI ANWAR

PORT DICKSON, 2 Okt (Bernama) -- Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menegaskan bahawa beliau tidak akan menyerang peribadi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang kempennya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Calon bebas itu berkata sebaliknya corak kempennya lebih tertumpu kepada khidmat yang pernah diberikan beliau selama ini kepada masyarakat setempat.

"Kalau nak bangkitkan serangan peribadi (Anwar) calon Pakatan Harapan, saya boleh ceritakan sejak tahun 1998 lagi… semua dalam kocek saya, tapi ia tidak eloklah. Bagaimanapun, saya dan Anwar adalah kawan lama," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas program 'walkabout' di Kampung Arab dan Air Meleleh di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai serangan beberapa pemimpin PH terhadap dirinya dalam satu program ceramah di Kampung Pitchitan di sini, semalam.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Anwar, Mohd Isa, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar (PAS) dan empat calon bebas termasuk bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Selasa, Oktober 02, 2018

994 ORANG BACA BERITA ISTERI KETIGA DITAHAN REMAN BUNUH SUAMI

Berita "Isteri ketiga ditahan reman bunuh suami" yang disiarkan dalam blog Catatan Zabidi mengungguli rating tertinggi bagi bulan September 2018 dengan 994 hits.

10 rating tertinggi bagi bulan September adalah seperti berikut:-

1. Isteri ketiga ditahan reman bunuh suami (5/9) - 994 hits.
2. Sudah sampai masa beri kuasa penuh kepada SPRM mendakwa pesalah rasuah (4/9)
3. Buat aduan kepada whatsapp 0192794317 mengenai SST (11/9)
4. Tahniah kepada Dato Othman keluaran MRSM Seremban batch pertama dilantik Pengarah Besar FELDA (20/9)
5. Parti Perpaduan Nasional (PPN) jadi tunjang penyatuan Melayu( 8/9)
6. Empat bulan bertugas, akhirnya setpol angkat sumpah (5/9)
7. Kali pertama dalam sejarah Dewan Negara tolak RUU yang diluluskan Dewan Rakyat (13/9)
8. Jangan ghairah jadi PM, nanti kena pancung (27/9)
9. Tommy Thomas tak berani berhadapan dengan Shafee Abdullah? (1/9)
10. Kutipan RM75 juta bukti filem Melayu masih diminati (23/9)

PENERIMA PENYAPU DR KHIR TOYO DILANTIK DATUK BANDAR KUALA LUMPUR

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan sebak apabila terkenang peristiwa penerimaan ‘penyapu’ daripada kerajaan Negeri Selangor ketika beliau berkhidmat di bawah Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) pada tahun 2007.

Katanya ketika itu MDHS mencapai kutipan cukai yang tidak memuaskan iaitu kurang daripada 40 peratus pada tahun 2006.

“Ketika dipanggil untuk menerima anugerah penyapu daripada bekas Menteri Besar Selangor (Dr Mohamad Khir Toyo), saya baru sahaja ditukarkan dari Kementerian Wilayah Persekutuan untuk dinaikkan pangkat sebagai pegawai daerah Hulu Selangor M52 pada September 2007.

“Anugerah itu diberi pada Disember 2007 atas prestasi hasil kutipan cukai bawah 40 peratus pada tahun 2006 dan bersama-sama dengan saya untuk menerima ‘penyapu’ itu ialah Yang Dipertua MDSH ketika itu Tukiman Nail.

“Walaupun ia bukan zaman saya, saya tetap juga menerima ‘penyapu’ dengan penuh tanggungjawab, yang mana ia telah menjadi sejarah kekalahan Barisan Nasional di Selangor,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai peristiwa itu selepas Majlis Serah Tugas Datuk Bandar Kuala Lumpur di sini hari ini.

Nor Hisham berkata selepas peristiwa itu, beliau cuba meningkatkan hasil kutipan cukai dalam masa dua tahun sehingga mendapat anugerah cemerlang RM100,000 daripada bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pada tahun 2009.

“Kami (MDHS) telah berjaya mencapai lebih 92 peratus hasil kutipan cukai dalam masa dua tahun yang kemudiannya mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Negeri Selangor,” katanya.

Sementara itu, Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad berkata peristiwa itu sebagai dorongan kepada Nor Hisham untuk membuktikan pencapaian mereka dalam Pihak Berkuasa Tempatan.

“Sebagai ketua, walaupun beliau menerima bagi pihak orang lain namun ia sebagai pengalaman pahit yang memberi dorongan kepada PBT itu untuk membuktikan kemampuan dan buktikan mereka salah dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Dr Mohamad Khir dilaporkan menjelaskan pemberian penyapu itu bukan bertujuan menjatuhkan maruah tetapi secara simbolik bagi membersihkan sikap buruk dan amalan negatif PBT yang tidak mencapai tahap maksimum kualiti perkhidmatan yang ditetapkan.

Susulan peristiwa itu, Dr Mohamad Khir dikritik pelbagai pihak termasuk Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kerana tindakan itu dilihat mengaibkan penjawat awam.

-- BERNAMA

Isnin, Oktober 01, 2018

BEKAS AHLI PARLIMEN MIC KEMPEN UNTUK ANWAR



PORT DICKSON: Isu Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku bakal perdana menteri terus dijadikan kempen untuk menarik sokongan pengundi di kawasan Parlimen Port Dickson.

Kali ini ia disuarakan bekas Naib Presiden MIC Datuk S Sothinathan yang juga bekas anggota parlimen Teluk Kemang - nama lama bagi kerusi parlimen Port Dickson - selama dua penggal.

Menyifatkan Anwar sebagai pemberian Tuhan kepada penduduk Port Dickson, beliau berkata mereka bertuah kerana tidak banyak kawasan yang mempunyai perdana menteri sebagai wakil rakyat.

"Sejak kita merdeka, hanya tujuh kawasan parlimen yang mendapat perdana menteri sebagai anggota parlimen. Kini pengundi Port Dickson mampu catat sejarah.

"Maka kita perlu menyokong penuh Anwar dan memberikan kemenangan besar kepadanya pada 13 Oktober ini (hari mengundi)," katanya ketika berucap dalam program Ceramah Perdana DUN Sri Tanjung di Port Dickson, semalam.

Sothinathan yang menang dalam PRK Teluk Kemang pada 2000 menjadi anggota parlimen sehinggalah tewas kepada PKR pada 2008. Beliau yang pernah menjadi timbalan menteri sumber asli dan alam sekitar itu mengambil keputusan untuk keluar MIC pada Ogos lalu.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Port Dickson yang dikenali sebagai destinasi pelancongan mampu dibangunkan setaraf bandar-banda di Lembah Klang.

"Sekarang kita terpaksa ke Kuala Lumpur untuk setiap urusan penting. Selepas saya tamat sekolah, saya perlu ke Kuala Lumpur untuk lanjutkan pelajaran kerana kurangnya institusi pengajian tinggi di sini.

"Saya harap selepas Anwar menang, beliau akan memberi tumpuan khas kepada isu seumpama ini," katanya kepada kira-kira 500 hadirin.

Selain Anwar sendiri, turut hadir di program itu antaranya adalah bekas anggota parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah dan Anggota Parlimen Rasah Cha Kee Chin dan timbalan speaker DUN Negeri Sembilan M Ravi.

Dalam pada itu, Sothinathan berkata penglibatannya dalam kempen Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam PRK ini tidak bermaksud beliau mahu kembali dalam politik.

"Saya sudah bersara daripada politik. Tetapi mengambil keputusan untuk bersama Anwar demi kepentingan penduduk Port Dickson," katanya lagi.

Anwar kini berdepan enam calon dalam usahanya untuk kembali ke Parlimen iaitu Leftenen Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar dari PAS dan lima calon Bebas; Tan Sri Isa Samad, Saiful Bukhari Azlan, Lay Seck Yan, Stevie Chan dan Kee Chee Yuen.

Ahad, September 30, 2018

SEKIRANYA EKONOMI BELUM PULIH DALAM TEMPOH DUA TAHUN, MAHATHIR WAJAR TERUS JADI PM


ALOR SETAR, 30 Sept (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) disaran menimbang situasi semasa negara termasuk keadaan ekonomi sebelum memutuskan had masa untuk Tun Dr Mahathir Mohamad berundur sebagai perdana menteri.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah berkata sekiranya keadaan ekonomi negara belum pulih dalam tempoh dua tahun Dr Mahathir mengetuai pentadbiran negara, sebaiknya perdana menteri diberi masa lebih lama sebelum meletak jawatan.

Bagaimanapun perkara itu terserah pada pimpinan peringkat tertinggi PH, katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Kedah, di sini hari ini.

Amiruddin diminta mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang meminta supaya Tun Mahathir Mohamad diberi peluang untuk terus kekal mentadbir negara sehingga habis tempoh penggal pentadbiran selama lima tahun.

Mengulas lanjut, beliau berkata walaupun Dr Mahathir dan PH sendiri telah berjanji dan memberi jaminan bahawa jawatan perdana menteri akan diserahkan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, biar masa menentukan perkara tesebut.

Dr Mahathir dan pucuk pimpinan PH sebelum ini sepakat untuk menyerahkan jawatan nombor satu negara itu kepada Anwar selepas perdana menteri selesai membantu memulihkan ekonomi negara yang dijangka dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun.

-- BERNAMA

Jumaat, September 28, 2018

BEKAS MB LAWAN BEKAS TPM DI PORT DICKSON



PORT DICKSON, 27 Sept (Bernama) -- Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengesahkan bahawa beliau telah keluar daripada UMNO dua hari lalu untuk bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, 13 Okt ini.
Beliau berkata tindakan keluar daripada parti itu bukan atas desakan mana-mana pihak tetapi sebaliknya keinginannya untuk menabur bakti kepada rakyat di kawasan itu susulan tindakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak bertanding.

"Tidak timbul persoalan saya akan dipecat. Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) pun tak pernah tanya kepada saya selaku pemimpin senior mengenai soal calon di Port Dickson dan mengapa pula saya nak bertanya dengan dia untuk saya bertanding," katanya pada sidang media di sini, malam ini.

"Orang Port Dickson kenal saya dan tahu perkhidmatan saya, jadi saya serah kepada mereka untuk menilai," katanya bekas Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang sambil menambah beliau belum memikirkan untuk menyertai mana-mana parti selepas ini.

Ditanya adakah penyertaannya di atas tiket bebas pada PRK ini bertujuan memeriahkan suasana, Mohd Isa yang juga bekas Anggota Parlimen Jempol berkata ia bukan niatnya.

"Ini bukan pemilihan jawatankuasa kampung, ini pilihan raya. Kita masuk sebab nak menang bukan masuk nak kacau daun. Ini tak betul. Pilihan raya ini kita tak boleh buat main-main," katanya.

RK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandang kerusi, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan baru-baru ini bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Dewan Rakyat.

Selain Anwar dan Mohd Isa, PAS turut mengumumkan Lt.Kol.(B) Mohd Nazari Mokhtar sebagai calon di samping calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas yang juga personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17, 710 undi mengalahkan calon BN, Datuk V.S Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

-- BERNAMA


Khamis, September 27, 2018

JANGAN GHAIRAH JADI PM ANWAR, NANTI KENA PANCUNG



KUALA TERENGGANU, 26 Sept (Bernama) -- Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat menolak sebarang andaian dan persepsi negatif berhubung hubungannya dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anwar berkata beliau tidak mampu menolak semua desas-desus seumpama itu namun berharap kesungguhannya bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam memberi kepercayaan kepada Dr Mahathir terus mendapat sokongan terutama dalam kalangan anggota PKR.

"Saya ambil keputusan bersama dengan kepimpinan PKR dan PH, masalah (negara) yang dihadapi besar dan kita tak mampu hadapi jika ada masalah dalam pimpinan PH. Maka kita biar(lah) kerajaan ini kuat dan di bawah (teraju) perdana menteri yang tegas barulah boleh selesaikan masalah besar seperti 1MDB.

"Tetapi ini tak menghalang orang cucuk dan mentafsir begitu begini untuk ajak saya bergaduh. Janganlah ajak saya bergaduh dengan Dr Mahathir...dah 20 tahun gaduh. Kami dah berbaik. Jangan ada adu domba politik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama pemimpin dan anggota PKR Terengganu di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini hari ini.

Katanya walaupun PKR tidak berjaya menguasai Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu, hubungan baik dengan kerajaan negeri pimpinan PAS harus dibina demi kepentingan rakyat.

Selain itu, Anwar yang berucap kira-kira setengah jam, berkata beliau tetap bertegas menolak mana-mana anggota PKR terlibat rasuah dan langkah pemecatan akan diambil terhadap mereka yang berbuat demikian.

Bercakap pada sidang media kemudian, beliau menyifatkan tindakan beberapa bekas tokoh UMNO yang dilaporkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sama sekali tidak menggugat hubungan PKR dengan sekutunya dalam PH.



Beliau berkata sebagai parti yang sama-sama bernaung di bawah payung PH, PKR akan meneruskan jalinan kerjasama dan mengekalkan sikap saling mempercayai terhadap Bersatu dan parti komponen lain dalam pakatan itu.



"Kita masih lagi parti yang kuat dalam Pakatan (Harapan)...selagi hubungan dijalin dengan baik saya tidak harus musykil,” katanya.



"...yang penting kita harus mengekalkan hubungan baik dengan Bersatu, saling bekerjasama dan saling mempercayai...hubungan peribadi saya dengan Tun (Dr Mahathir) juga sangat baik, jadi saya tidak gusar,” katanya.



Majlis hari ini turut dihadiri Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail.



Dalam pada itu, Anwar, yang dinamakan calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bulan depan, berkata beliau tidak terkejut apabila Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu dan PH memaklumkan tidak akan turun berkempen membantu beliau pada PRK itu.



Anwar berkata perkara itu telah dimaklumkan sendiri Dr Mahathir atas faktor mempunyai kekangan kerja sebagai perdana menteri.



"Sebagai perdana menteri, beliau ada beritahu tidak pernah turun berkempen pada mana-mana PRK kerana saya faham beliau ada keutamaan (sebagai perdana menteri). Tapi saya tahu beliau akan beri kerjasama dan meminta semua parti di bawah PH turut sama berkempen...dan beliau juga menasihatkan saya agar terus bekerja kuat,” katanya.

Anwar seterusnya berkata beliau tidak sesekali memandang rendah calon lain yang akan bertanding menentangnya pada PRK itu.

Katanya segala perancangan mengenai kelebihan yang bakal dinikmati penduduk di kawasan Parlimen itu termasuk dalam soal pendidikan akan diumumkan ketika mendapat peluang bertemu dengan masyarakat di sana tidak lama lagi.

-- BERNAMA

Selasa, September 25, 2018

POLIS SABAH SEDANG SIASAT PENULIS BLOG DAKWA TIMBALAN MENTERI ADA HUBUNGAN SULIT

KOTA KINABALU, 25 Sept (Bernama) -- Polis Sabah sedang menyiasat penulis sebuah blog yang mendakwa seorang timbalan menteri persekutuan mempunyai hubungan sulit dengan pegawai khasnya.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata siasatan itu dijalankn susulan dua laporan polis yang diterima, masing-masing daripada Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Isnaraissah Munirah Majilis dan isteri kepada pegawai khasnya.

Semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan ini selesai, katanya kepada pemberita selepas merasmikan upacara perbarisan dan amanat Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan di sini hari ini.

Difahamkan, Isnaraissah Munirah yang juga Anggota Parlimen Kota Belud dan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan), mengetahui tentang artikel itu menerusi pautan yang dihantar kepadanya oleh seorang kawan melalui aplikasi WhatsApp.

ISNARAISSAH NAFI HUBUNGAN SULIT DENGAN PEGAWAI KHASNYA



KOTA KINABALU, 24 Sept (Bernama) – Seorang timbalan menteri persekutuan membuat laporan polis untuk menggesa pihak berkuasa menyiasat penulis sebuah blog yang mendakwa berlaku hubungan sulit antara Anggota Parlimen Kota Belud itu dengan pegawai khas beliau.

Isnaraissah Munirah Majilis, timbalan menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, membuat laporan polis itu semalam di Subang Jaya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, beliau menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan terhadapnya seperti yang terkandung dalam catatan penulis blog itu pada Sabtu lepas.

"Saya membuat laporan ini untuk membersihkan nama saya dan keluarga. Saya juga mahu penulis portal ini disiasat,” jelas beliau.

Munirah, yang juga Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan), mendapat tahu tentang artikel itu menerusi pautan yang dihantar kepadanya oleh seorang kawan melalui aplikasi WhatsApp.

Mengenai akaun Facebook beliau, Anggota Parlimen itu menegaskan beliau tidak terlibat dalam sebarang hubungan sulit seperti yang didakwa oleh penulis blog itu.

"Artikel oleh penulis blog itu berniat jahat dengan tujuan merosakkan nama baik saya sebagai seorang wakil rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

Isnin, September 24, 2018

SIAPA RANCANG KEKECOHAN DI PEMILIHAN PKR CABANG MERBOK?

SUNGAI PETANI, 23 Sept (Bernama) -- Insiden kekecohan yang berlaku pada proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di cabang Merbok dan Jerai semalam dipercayai dilakukan pihak tertentu yang sememangnya dirancang lebih awal dan membabitkan pemimpin tempatan.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul berkata ia berdasarkan kepada insiden yang berlaku berturut sebelum itu yang pada mulanya di Sungai Petani diikuti Merbok dan Jerai selepas itu.

"Mereka dipercayai individu sama yang seramai lebih 50 orang dan terdapatnya beberapa pemimpin parti tempatan yang membuat kecoh di Sungai Petani dan kemudiannya di dua tempat itu.

"Saya sendiri melihat kejadian itu ketika melawat pusat pemilihan cabang Jerai di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Choong Hwa di Gurun apabila sekumpulan individu datang merempuh dewan dan bertindak ganas secara tiba-tiba," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Polis telah menahan 10 lagi lelaki yang dipercayai terlibat menimbulkan kekecohan semasa pemilihan PKR Cabang Merbok sehingga menyebabkan kecederaan dekat sini semalam.

Ahad, September 23, 2018

KUTIPAN RM75 JUTA BUKTI FILEM MELAYU MASIH DIMINATI



Bulan ini kita dikejutkan dengan dua buah filem Melayu yang mendapat kutipan tertinggi dalam sejarah kutipan tiket di Malaysia. Pada mulanya filem Hantu Kak Limah arahan Mamat Khalid yang kutip RM35 juta diikuti oleh Munafik 2 arahan Shansul Yusof yang kutip sebanyak RM40 juta.

Ini menunjukkan rakyat Malaysia masih meminati filem Melayu jika ceritanya menarik. Filem Hantu Kak Limah yang bergenre seram komidi adalah cerita simple tetapi garapan Mamat Khalid berjaya mengutip RM30 juta adalah satu kejutan kepada peminat filem Melayu.

Dengan membawa semula lagu Serikandi Cintaku yang dinyanyikan Awi dan Mus May dalam filem tersebut membuatkan lagu yang pernah dipopularkan oleh Kumpulan Bloodshed menjadi popular semula.

Filem Hantu Kak Limah, yang disutradarai oleh Mamat Khalid, telah mencapai lebih dari RM35 juta di box office lokal sejak pertama kali ditayang pada 9 Ogos lalu.

Itu adalah filem Malaysia terlaris tertinggi, sebelum filem ini diambil alih oleh film seram lainnya, Munafik 2, baru-baru ini.

Film ini diproduksi oleh Infinitus Entertainment (Malaysia), cawangan lokal Infinitus Entertainment Ltd yang berpusat di Hong Kong dengan cawangan di kota-kota lain seperti Taipei dan Beijing.

Infinitus Entertainment Ltd didirikan pada tahun 2015 antara ikon Hong Kong Andy Lau Focus Films Ltd dan taipan bisnis Malaysia Datuk Seri Robin Tan Yeong Ching, dengan Tan sebagai ketua perusahaan dan Lau sebagai kepala produksi perusahaan.

Dalam kurun waktu singkat tiga tahun, cawangan Malaysia telah membuktikan bahwa film-film Malaysia dapat memberikan film-film Hollywood sebuah pelarian untuk wang mereka.

Keberhasilan Hantu Kak Limah mengikuti di balik kesuksesan film pertama perusahaan, film thriller aksi tahun lalu J Revolusi, disutradarai oleh Zulkarnain Azhar, yang mengaut RM7.2 juta di box office.

Produser eksekutif Infinitus Entertainment (Malaysia) Gayatri Su-Lin Pillai mengatakan bahwa mereka tidak pernah mengharapkan kesuksesan box-office seperti ini.

"Keberhasilan Hantu Kak Limah hanya menunjukkan bahwa khalayak Malaysia mulai percaya pada konten Malaysia.

"Jika kamu membuat film yang relevan, penonton akan datang dan melihatnya."

Ini telah memotivasi dia dan teamnya untuk memproduksi lebih banyak film komersial dengan substance.

"Kami ingin menyeimbangkan antara kreativitas dan komersialisme," tambahnya.

"Setiap filem yang kami sajikan untuk pemirsa kami haruslah sesuatu yang lebih baik daripada yang terakhir yang kami hasilkan. Kami ingin membuat filem yang dinikmati orang-orang."

Managing director T.P. Lim mengatakan bahwa perusahaan bermaksud memproduksi setidaknya tiga film setahun dalam jangka pendek.

"Tetapi rencana jangka panjang kami adalah untuk mengekspos konten dan talent Malaysia ke pasar dunia," katanya, seraya menambahkan bahwa mereka ingin membuat konten Malaysia untuk platform internasional seperti Netflix dan iflix.

Lim juga melihat kemungkinan cawangan Malaysia bekerja sama dengan cawangan lain dalam grup.

Salah satu contoh yang dia sebutkan adalah dengan cawangan Hong Kong dalam serial televisi Cina, Trading Floor.

"Sebagian besar dari acara itu diambil di Malaysia dan kami membantu mereka dengan lokasi shooting," ia menjelaskan, menambahkan bahwa siri itu telah menjadi hit besar.

Ada rencana untuk musim kedua dan kemungkinan kuat bahawa itu akan dishooting di Malaysia lagi.

"Kami bisa menjual Malaysia secara fisik," katanya.

Lim juga tidak menutup kemungkinan pertukaran konten antara kantor pusat dan cabang-cabang.

"Misalnya, kami bermain-main dengan gagasan mengadaptasi Hantu Kak Limah untuk pasar Cina dengan aktor Hong Kong," katanya.

"Ini adalah kisah yang mudah untuk beradaptasi dengan budaya dan bahasa apa pun."

Lim menambahkan bahawa itu membantu bahwa pendiri perusahaan tidak hanya melaburkan wang tetapi juga waktu, keahlian, dan upaya mereka untuk memastikan keberhasilan perusahaan.

"Andy Lau telah melihat J Revolusi dan menawarkan banyak saran brilian sehingga kami dapat membentuk film itu menjadi produk yang lebih baik sebelum ia mencapai bioskop," katanya.

"Datuk Seri Robin Tan juga penggemar filem yang bersemangat. Dia menonton semua jenis filem dan suka menganalisisnya. Dia memiliki banyak pengetahuan tentang filem."

Tan, yang juga CEO Berjaya Corp Bhd, juga aktif menawarkan idea untuk meningkatkan produk sebelum menjangkau khalayak.

Sementara itu, Munafik 2 ialah sebuah filem seram Malaysia 2018 arahan Syamsul Yusof dan merupakan kesinambungan daripada filem Munafik yang ditayangkan pada 2016 dan yang kedua dalam trilogi Munafik yang dirancang.

Ia juga merupakan filem ke-40 terbitan Skop Productionsdan dibintangi oleh Syamsul sendiri sebagai Ustaz Adam, Fizz Fairuz, Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Fauzi Nawawi, Mawi, Rahim Razali dan pelakon Indonesia, Weni Panca.

Ia mengisahkan seorang pemimpin ajaran sesat, Abu Jar yang mempergunakan ajaran Islam untuk kepentingan diri, Ustaz Adam bertekad menentang Abu Jar dan menyelamatkan Sakinah yang menjadi mangsa nafsu serakah Abu Jar.

Penggambaran dijalankan pada Mac 2017 di Kuala Lumpur, Lembah Klang, Perak dan Pahang dan berakhir pada Mei 2017, filem ini ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 30 Ogos 2018 dan di Indonesia pada 26 September 2018.

Munafik 2 menerima ulasan positif dan bercampur-campur daripada pengkritik dan telah meraih kutipan tertinggi sebanyak RM40 juta dalam masa 17 hari di seluruh negara, sekaligus menjadikannya salah satu filem tempatan dengan kutipan tertinggi di Malaysia bagi tahun 2018.

Kesinambungan ketiga filem ini sedang dalam perancangan dengan Syamsul kembali mengarah, menulis skrip dan menjayakan peranannya.

Shamsul menganggap filem Munafik2 adalah saham akhirat apabila beliau tiada nanti. Nasir Bilal Khan yang terkenal dengan Tok Adi dalam siri tv "Tanah Kubur" terbukti berjaya membawa watak Abu Jar yang penuh kontradik dengan watak Tok Adi.

Tahniah kepada Mamat Khalid dan Shamsul Yusof yang menghidupkan semula filem Melayu.

Sabtu, September 22, 2018

MEMALUKAN PEMILIHAN PKR KECOH KERANA KELEMAHAN PETUGAS

BUTTERWORTH, 22 Sept (Bernama) -- Pemilihan PKR 2018 di tiga cabang di Kedah iaitu Sik, Sungai Petani dan Kulim-Bandar Baharu ditangguhkan berikutan beberapa masalah terutamanya kelemahan petugas yang menjaga pusat mengundi.

Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Ismail Yusop berkata pihak JPP akan bermesyuarat semula bagi menentukan tarikh baharu pengundian di tiga cabang terbabit.

"Pemilihan PKR di tiga cabang itu ditangguhkan bukan disebabkan masalah sistem e-undi dan sistem kami dalam keadaan baik serta berjalan lancar. Namun, masalah itu timbul disebabkan kelemahan para petugas yang menjaga pusat mengundi.

"Memang kami telah beri latihan dan penerangan serta simulasi sebelum ini kepada petugas-petugas berkenaan, namun apabila tiba hari pengundian hari ini beberapa kelemahan daripada mereka timbul mungkin sebab gugup atau tidak memberi perhatian semasa latihan diadakan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Pemilihan PKR 2018 bermula di Kedah dan Pulau Pinang hari ini melibatkan 105,056 anggota layak mengundi bagi memilih barisan kepimpinan peringkat pusat dan cabang..